Rentetan daripada isu inchthyophobia, perasaan takut atau fobia pada ikan yang telah dibincang, di sini kami senaraikan pula jenis-jenis penyakit takut yang lain pula dalam hobi memancing ini.
Penyakit jenis ini juga merupakan penyakit yang agak meluas bilangannya. Ia jauh lebih serius dari inchthyophobia kerana ada yang sanggup tidak berhadapan dengannya meskipun belum pernah mencubanya.
Fobia yang dimaksudkan ialah takut mabuk laut atau bahasa saintifiknya uwekkphobia.
Pitibiphobia
IKLAN
Takut jenis ini merupakan penyakit yang paling kritikal dalam hobi memancing. Namun pemancing yang masih bujang terselamat daripada wabak penyakit ini kerana ia hanya dihidapi oleh pemancing yang sudah berumahtangga.
Seriusnya tahap penyakit ini sehingga tertubuhnya kelab PTB iaitu Pemancing Takut Bini. Jika hendak diistilahkan, pitibiphobia mungkin paling tepat.
Kumpauphobia
Ia merupakan sejenis penyakit atau fobia yang dihadapi oleh hampir semua pemancing. Bohong la kalau pemancing itu langsung tak takut dengan fobia jenis ini.
Malah ada yang sanggup tidak pergi memancing semata-mata takutkan penyakit ini. Jika inchthyophobia ialah takut pada ikan, kumpauphobia pula ialah perasaan takut tak dapat ikan atau kumpau.
IKLAN
Shopeephobia
Satu-satunya penyakit yang boleh merosakkan mata (mata pencarian) dan boleh menyebabkan kekurusan melampau pada dompet.
Penyakit yang dimaksudkan takut untuk masuk ke kedai pancing. Takut jenis tak boleh mengawal diri dari shopping berlebihan.
Malah ada juga yang tidak berani untuk online sosmed kerana takut tak boleh control online shopping pulak.
IKLAN
Kecamphobia
Penyakit jenis ini boleh menyebabkan penghidapnya takut nak memancing. Bukannya takut nak memancing kerana ada hantu atau kejadian jenayah, sebaliknya takut kena kecam oleh netizen.
Nak pancing ikan tu takut netizen ni kecam, nak pancing ikan ni takut netizen lain pulak yang kecam. Sudahnya langsung tak memancing dan jadi macam netizen lain yang mengecam pemancing-pemancing.
Pancingan kolam air tawar merupakan konsep memancing yang sarat dengan terma dan syarat. Selain dari larangan terhadap penggunaan alatan memancing, larangan terhadap material yang terdapat dalam umpan memancing juga tidak terkecuali.
Namun, sebab musabab disebalik larangan yang ditetapkan oleh pihak pengusaha kolam tidaklah pula dinyatakan dengan jelas. Contohnya seperti larangan penggunaan bahan yang berasaskan minyak.
Antara nama umpan yang paling banyak menggunakan bahan minyak ialah umpan tepung (umpan minyak) dan ia dikatakan menjejaskan kualiti air kolam sekaligus boleh menyebabkan kesan yang negatif pada ikan.
Wacana kali ini, kami sediakan pendapat dan jawapan dari pemancing dan juga pengusaha kolam berkaitan dengan isu ini.
“Pandai-pandailah tauke kolam tu nanti. Kita masuk berbayar. Dengan duit-duit tu nanti dia rawatlah balik air tu. Yang penting umpan kena pacak sifu. Hahahaa…”
Muhammad Helmi
“Kalau sistem air kolam keluar masuk cantik tak ada masalah cuma ada sesetengah kolam air mati.”
Far East
“Pendapat kome… Semua jenis UMPAN tidak lari dari berasaskan kandungan MINYAK. Kalau nak bandingkan minyak dengan chemical, chemical lagi berbahaya untuk kolam dan ikan. Jadi pihak kolam hendaklah berfikiran terbuka pasal umpan ni. Cume jangan ada pengunaan usus ayam… nanti kawasan kolam busuk bau bangkai.”
Atok Ulong GP
“Ikan tak berapa sihat untuk jangka masa panjang kalau makan umpan ni… kurang nutrition berbanding pelet.”
Papadanish
“Yang pengusaha kolam kena bubuh garam dan taik ayam untuk jaga kualiti air. Jika tak tau minta khidmat nasihat dari jabatan perikanan. Bertahun kolam Undertaker Tehel pakai umpan minyak… sampai kolam tutup takde pulak ikan mati. Kolam Panchor pun sama… kolam Bukit Bulat… boleh jer guna umpan minyak.Tepung salah satu sumber protein tu pasal ikan patin makan umpan tepung.”
Anaz Ishak
“Takda masalahlah… kalau inlet outlet air keluar masuk stabil.”
Shah JL
“Umpan minyak tidak menjejaskan air kolam sama sekali. Ini kerana, minyak dah dicampurkan bersama tepung. Tepung adalah 1 bahan yang bersifat menyerap. Minyak dah pun sebati dengan tepung. Ia akan kekal. Dan jika ada pun cuma minyak berlebihan saat umpan jatuh, itu pun dalam kuantiti yang amat sedikit. Kita contohkan, tepung ibarat span. Cuba ambil span dan serapkan pada minyak.
Perahkan sedikit (perah span sama efek dengan kepal tepong juga). Kemudian letak kat air… minyak dalam span tu dah tentu tak keluar semua. Cuma bahagian luaran sahaja yang keluarkan minyak, itu pun jumlah sedikit. Itu sahaja pendapat saya.”
Mohd Zaidi Sodikin
“Tokey kolam goyang wooo…. asyik aling cak aling cak je. Jenuh pulak nak bayar duit ikan… hahaha. Bagi alasan jejas kualiti air, ikan kurus… padahal, maintenance kolam tak pernah jaga. Duit pemancing mau selalu.
Respek habis kat tokey kolam yang berani bagi pakai semua umpan kecuali organ dalaman yang tak diproses.”
Mohd Hafiz Razali
“Ramai orang takut bila umpan minyak turun… alasan air kolam jadi kotor. Sebaliknya umpan minyak bagi banyak shoot Mekong den hari-hari turun umpan minyak. Setakat ni tak pernah lagi kena sound mana-mana kolam nama naik papan. Tak ada istilah bab minyak kolam jadi kotor.”
Yung Nirman
“Takdenya kualiti air terjejas. Kolam Bigboss Kundang… ikan membesar dengan sihat. Majoriti orang main tepung. Tokey tak larat nak membayar dia tukar peraturan pembayaran ikan pulak. Tapi takpe… tepung masih belum diharamkan di kolam tu. Hati pemancing kena jaga… barulah duit masuk jeeee…. kikikiki.”
Mungkin korang pernah dengar istilah memancing seperti kumpau atau rentung. Istilah-istilah berkaitan dengan memancing ini ada macam-macam. Begitu juga dengan istilah yang berkaitan dengan ikan toman.
Toman Jalur
Istilah toman jalur bukanlah merujuk kepada spesies, sebaliknya julukan kepada toman juvenil atau toman kecil yang masih belum pecah belang atau jalur hitam pada badannya.
Ia bukanlah satu hasil tangkapan yang membanggakan malah dianggap sebagai hiburan atau pemanas badan untuk memburu saiz yang sebenar.
Toman Rempit
Toman rempit pula lebih merujuk atau menjurus kepada toman yang memiliki daya pecutan deras umpama sebarau.
Ia juga boleh merujuk kepada toman juvenil yang sudah melepasi peringkat toman jalur yang sudah pecah corak dengan berat saiz sekitar satu kilogram.
Berikutan masih remaja itulah ia memiliki daya renangan yang agak mengelirukan.
Toman Bujang
Skop toman bujang ini agak meluas kerana ia bukan sahaja meliputi saiz dan jantina. Toman bujang ada yang bergerak secara solo dan juga berkumpulan.
Namun ia lebih menjurus kepada toman yang tidak berpasangan atau bukan induk.
Mamato / Mama Toman
Mamato atau mama toman lebih menjurus kepada induk toman yang hadir bersama kumpulan anaknya dan merupakan toman yang menjadi buruan utama.
Walaupun mama toman tidak semestinya bersaiz besar namun induk yang bersaiz melebihi 5 kilogram senantiasa menjadi sasaran untuk kepuasan pertarungan.
Toman Negro
Toman negro merupakan istilah atau panggilan yang diwujudkan bagi merujuk kepada warna badan toman yang hampir seratus peratus hitam.
Untuk tempoh tertentu, tidak dapat dipastikan ia berlaku ketika musim mengawan, bertelur atau period menjaga anak, rona warna sebahagian toman bertukar ungu gelap atau hitam peka.
Toman Cendol
Toman cendol juga bukan merujuk kepada spesies tetapi lebih kepada situasi di mana kejayaan mendaratkan toman dengan jumlah yang banyak.
Lazimnya juga saiz-saiz toman yang banyak didaratkan itu juga kecil-kecil umpama toman rempit.
Banglo Toman
Banglo toman bukan merujuk kepada toman sebaliknya spot atau kediaman toman. Spot yang layak digelar banglo toman lazimnya sentiasa dihuni oleh toman walaupun sudah banyak kali toman berjaya didaratkan di spot tersebut.
Nursery Toman
Nursery toman tidak sama seperti santuari toman atau spesies lain yang mana aktiviti memancing tidak dibenarkan.
Nursery toman ini lebih merujuk kepada sesuatu lokasi yang sering terdapat toman jalur atau toman juvenil dalam jumlah yang banyak umpama sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Toman pendatang
Ada dakwaan terbaharu mengatakan ikan toman bukanlah ikan natif atau ikan asal, sebaliknya adalah ikan pendatang! Maka ramailah yang mengecam. Namun, satu perkara kita perlu ambil tahu ialah pengertian ikan pendatang.
Ikan pendatang bukan saja bermaksud ikan import, sebaliknya juga ikan penceroboh atau bukan habitat asal. Contohnya jika Tasik Beris bukanlah habitat asal ikan toman maka jika ada ditemui toman maka ia dianggap sebagai ikan pendatang.
Fenomena pertandingan memancing mula berkembang sejak awal tahun 90an lagi. Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial Facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil. Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka. Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung. Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta… uishh bukan kepalang lumayan.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini. Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak Positif
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini: Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza. Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
Sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas. Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga. Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia. Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa. Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini. Halal ke haram? Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing. Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta. Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian. Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut. Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”