Selalunya pertandingan memancing diadakan pada waktu-waktu tertentu sahaja, berlainan dengan team Jelajah Joran Otaimer atau dikenali sebagai JJO, mereka mengambil
pendekatan berbeza bagi menyambung silaturahim atau ukhwah sesama mereka dan juga sahabat-sahabat yang sukakan rentapan getaran sang sepit biru.
Udang galah atau Jenggo yang banyak memberi harapan buat para pemancing tegar untuk membawanya pulang sekaligus menjuarai acara yang dipertandingkan.
Buat kali yg ke-3, JJO telah mengadakan acara memancing udang galah dalam suasana raya di bulan Syawal bagi mencari juara di pertandingan tersebut.
Apa yang menariknya tema dan pemakaian mestilah memperagakan pakaian hari raya bagi memastikan semua peserta terasa kemeriahannya.
Seramai 56 orang telah menyertai pertandingan memancing udang galah pada 23 Jun lalu di Batu 3, Batak Rabit, Teluk Intan.
Kemeriahan terasa bila ada peserta yang membawa lemang dan rendang juga kuih-muih juadah raya bagi menjamu sesama pemancing yang menyertai pertandingan.
Pertandingan bermula jam 9.00 pagi itu dimulakan dengan ada yang memakai pakaian raya sampai ke petang. Acara juga tamat pada pukul 5.30 petang.
Ads
Setelah tamat pertandingan segala hasil akan dibawa ke meja urusetia untuk diadili. Kategori yg dipertandingkan adalah; Juara udang galah terberat raya, Juara ikan terberat
raya, Juara tangkapan misteri raya, Juara tekaan di Facebook, Juara pakaian raya terbaik, Tangkapan pecah boll yang melebihi 340gm.
Mengikut kata urusetia pertandingan JJO, En. Mohd Helmi Basir, Ini adalah pertandingan yang ke-35 di Sungai Perak, selain itu kami juga pernah mengadakan pertandingan di Temerloh Pahang.
Ads
Acara ini juga diadakan setiap 2 bulan sekali bagi memenuhi kehendak sahabat2 jenggo yg gigil kata mereka jika tak turun ke sungai.
Berbeza dengan turun berseorangan atau berdua, mereka memilih untuk beramai-ramai di atas sungai sambil menikmati alam sekitar dan juga jumpa kawan2 sehobi yg boleh bertukar idea,skill serta kurangkan stress setelah seminggu bekerja.
Keputusan pertandingan:
Ads
Juara ikan terberat – Zul Metal (715gm)
FB Contest (teka berat udang) – Alimah Reckon (130gm)
Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.
Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.
Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.
Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.
Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.
Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.
Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.
Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.
SPOT JIGGING RINGAN
Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.
Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.
Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.
Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.
Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.
Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.
Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!
LUBUK RUBY DAN KERTANG
Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.
Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.
Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.
Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.
Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.
Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.
Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.
Empangan Bakun sudah dikenali ramai dengan keluasan kawasan takungan air yang merupakan terbesar di Malaysia. Tasik yang mempunyai keluasan permukaan air yang hampir sebesar republik Singapura dengan kepelbagaian bentuk muka bumi, semestinya menjanjikan satu arena mengilat yang pasti menawarkan 1001 pengalaman.
Perkenalan saya dengan rakan sekerja dari Bintulu Sarawak iaitu Richard telah membuka satu peluang baru kepada saya dan rakan-rakan untuk merancang satu trip 3 hari 2 malam ke Tasik Bakun. Trip ini di sertai oleh rakan-rakan pemancing dari Sibu Sarawak iaitu saya, Zyul, Ayie dan Pak Anjang serta Richard selaku guide kami.
Pak Anjang menyarankan agar kami berangkat pada sebelah malam dari Sibu agar kami dapat berehat di rumah Richard dan masa memancing yang lebih panjang memandangkan kami akan mengharungi perjalanan yang agak jauh. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 5 jam dari Sibu ke Sungai Asap disambut dengan mesra oleh Richard walaupun jam sudah hampir pukul 2 pagi.
HARI PERTAMA
Keletihan akibat perjalanan selama 5 jam dan tidur yang tidak mencukupi tidak melunturkan semangat kami untuk menduga penunggu Tasik Bakun. Suasana damai di kawasan kampung Richard sememangnya amat menyegarkan, jauh berbeza dengan suasana kota yang sibuk.
Seawal pukul 7 pagi lagi, kami telah memunggah bekalan dan enjin bot ke dalam Hilux milik Pak Anjang. Semangat kami berkobar-kobar walaupun masih ada 2 jam perjalanan ke jeti Tasik Bakun dengan mengharungi jalan balak yang berlubang-lubang. Dari Bakun, kami perlu mengharungi perjalanan ke rumah rehat yang mengambil masa 1 ½ jam.
Setibanya kami di rumah rehat, kami berehat seketika mengalas perut sebelum memulakan aktiviti pancingan kami. Yang menariknya tentang rumah rehat kami itu ialah ia terapung di atas air. Menurut Richard, rumah itu dibina oleh keluarganya pada lokasi asal tanah mereka sebelum tempat tersebut menjadi empangan.
Satu pengalaman yang amat unik dan menarik. Menurut Richard sekitar Tasik Bakun banyak terdapat banyak anak-sungai dan jeram berbatu yang merupakan syurga mengilat sebarau dan tengas. Kami menjadi semakin bersemangat walaupun keletihan. Mi segera yang dimasak pun tidak dihiraukan kerana asyik menyiapkan senjata mengilat masing-masing.
Kami memulakan kembara dengan menaiki bot yang dikemudikan oleh Richard sendiri ke destinasi yang pertama. Satu cabaran terpaksa kami tempuhi kerana jalan masuk ke kawasan sungai berbatu dipenuhi dengan timbunan sisa balak yang hanyut. Bot terpaksa diikat pada sebatang pokok dan kami terpaksa meredah semak dan air yang dalam sebelum sampai ke kawasan yang lebih cetek.
Pak Anjang memulakan aksi hari pertama dengan satu sambaran yang kuat daripada penghuni sungai. Rupa-rupanya seekor haruan yang agak besar saiznya. Suasana sungai sangat tenang dan mendamaikan. Kami mengilat sambil berjalan di sepanjang sungai yang berbatu itu. Pencarian penghuni sungai berbatu itu pada mulanya tidak memberangsangkan.
Namun Richard tersenyum sambil memberitahu “Tunggu sehingga kita sampai ke lubuk yang pertama”. Namun kami tetap melontar gewang sambil berjalan dan sambaran demi sambaran yang kami terima agak mengujakan. Setiap karauan gewang kami pasti disambar oleh sebarau juvenil.
Setibanya kami di lubuk yang pertama kami tidak membuang masa dan terus mengilat. Amat mengejutkan kami apabila seorang demi seorang berjaya menewaskan sebarau. Sememangnya sungai ini belum tercemar dengan aktiviti-aktiviti manusia. Sebarau bersaiz 500-700 gram sentiasa membaham gewang yang kami lontarkan. Setelah hari beransur petang kami trekking kembali ke tempat di mana bot ditambat pada paginya.
Petangnya kami sampai ke rumah rehat dan segala otot pada kaki sudah terasa perit hasil trekking seharian. Pada sebelah malamnya kami berborak sambil menikmati makanan yang disediakan oleh Richard sambil ditemani deruan bunyi generator rumah rehat ini. Sememangnya masakan dengan bahan minima amatlah lazat dan licin dibedal semuanya.
HARI KEDUA
Seawal pukul 6 pagi saya bersama Pak Anjang dan Richard telah keluar menggunakan bot di sekitar kawasan rumah rehat untuk mengilat sementara Ayie dan Zyul melayan fly di rumah rehat. Harapan menggunung untuk cuba mencari sebarau bersaiz kasar di sekitar kawasan itu namun hanya disambut oleh sebarau remaja sahaja.
Tanpa melengahkan masa, kami balik ke rumah rehat untuk bersarapan dan menyiapkan kelengkapan mengilat. Timbunan kayu balak di sungai berbatu lebih banyak berbanding hari sebelumnya namun Richard mengambil keputusan untuk membawa masuk bot sambil meredah timbunan balak.
Objektif pada hari kedua adalah untuk sampai ke lubuk-lubuk yang lebih jauh ke hulu sungai sambil mencari ikan trofi untuk trip ini. Amat meletihkan apabila perlu melangkah batu-batu yang besar dan licin. Sememangnya tidak dinafikan ikan air tawar terutamanya sebarau sememangnya banyak sehinggakan kami boleh melihat kawanan ikan ini di kawasan air yang cetek. Tidak ketinggalan spesies kejor atau dikenali sebagai semah di Sarawak juga banyak terdapat di sungai ini.
Strike demi strike membuatkan kami sangat teruja. Terutama dari spesies kejor sememangnya mempunyai kudrat dan larian laju yang berbeza dari sebarau. Joran bersaiz ringan yang kami guna menyebabkan tentangan dari kejor dan sebarau bersaiz 500 gram ke 700 gram amat mengujakan.
Teknik karauan laju diperlukan untuk menarik minat penghuni sungai ini dan lontaran tepat ke kawasan bawah jeram semestinya akan ada sambaran walaupun seolah-olah tempat tersebut tidak berpenghuni.
Kawasan air yang deras ini selalunya akan mendapat sambaran dari spesies kejor yang pantas. Gewang-gewang selaman dalam yang berwarna terang dan sesudu merupakan tarikan kepada penghuni sungai ini. Penggunaan shallow runner pada karauan laju juga terbukti berkesan.
Pada sebelah petang, saiz sebarau yang dinaikkan semakin memberangsangkan. Lontaran Richard yang tepat pada satu lubuk berbatu di sahut oleh satu sambaran yang kasar oleh penghuni sungai. Pak Anjang sempat merakamkan detik-detik pertarungan Richard dengan sebarau seberat 1.5kg. Sebarau pertama yang bersaiz atas satu kilogram berjaya ditewaskan.
Kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di sebuah lubuk sebelum pulang. Boleh tahan juga lubuk ini kerana banyak sambaran dari sebarau dan kejor yang bersaiz kasar. Zyul memulakan aksi rehat kami apabila deep diver yang dilontarnya tiba-tiba ditarik dengan kuat.
Joran dengan kekuatan 4lb-10lb melentur dengan kuat sekali mengalih tumpuan kami kepadanya. Selepas bertarung hampir 10 minit dia berjaya menewaskan kejor bersaiz 1.3kg. Kudrat larian spesies ini bagaikan torpedo, lebih-lebih lagi bila mengawal lariannya dengan tali mono 10lb!
Lubuk yang kecil tetapi mempunyai banyak penghuni sungai yang sentiasa menantikan gewang-gewang kami. Sehinggakan saya dan Ayie beberapa kali menerima sambaran pada masa yang sama ‘double strike’. Pada jam 6 petang kami balik ke rumah rehat. Walaupun keletihan namun kegembiraan terukir diraut wajah kami.
HARI TERAKHIR
Kami bercadang untuk singgah sebentar di kawasan air terjun dalam perjalanan balik. Dikatakan kawasan air terjun ini juga banyak sebarau bersaiz kasar. Setibanya di kawasan air terjun ini, kami memasuki kawasan secara senyap dan tanpa membuang masa terus melakukan lontaran gewang. Lontaran pertama Pak Anjang terus ditarik dengan kasar ke arah reba dengan kuat sekali.
Dengan pengalaman dan tenang Pak Anjang berjaya menaikkan seekor sebarau bersaiz 1.4kg. Sememangnya gewang berwarna terang dan selaman dalam yang digunakan oleh Pak Anjang amat menarik minat sebarau-sebarau di kawasan ini. Aktiviti memancing kami ditamatkan pada sebelah tengah hari dengan bergambar beramai-ramai di kawasan Empangan Bakun.
Pengalaman dan kenangan mengilat di Tasik Bakun tidak akan kami lupakan. Walaupun rata-rata saiz yang dinaikkan tidaklah mencapai tahap mega, namun kepuasan menaikkan pelbagai spesis sehingga tidak terkira adalah sangat-sangat memuaskan. Semua hasil tangkapan kami lepaskan untuk memelihara tempat ini untuk masa hadapan.
Keletihan tergambar diraut wajah setelah sampai ke jeti dan kami masih perlu meneruskan perjalanan balik yang jauh selama 7 jam lagi. Kami pasti akan kembali ke tasik ini lagi pada masa hadapan untuk menjejak saiz-saiz mega yang belum didaratkan!
Destinasi kami kali ini ialah perairan Kedah atau lebih tepat lagi berdekatan dengan Pulau Langkawi.
Kami masih teringat saat-saat gembira mendaratkan kerapu bersaiz mega di sini. Kali ini, kami berkesempatan mengulangi spot yang sama sekali gus bersemuka dan bertarung dengan spesies kerapu bersaiz mega.
Fokus PancinganDasar
Untuk menjejaknya, kami memberikan sepenuh perhatian kepada pancingan dasar iaitu menggunakan setup berat.
Meskipun berhasrat menjejaki trofi kerapu mega semata-mata, kami tidak menolak menyasarkan umpan dari dimakan oleh spesies seperti jenahak dan juga ikan lain.
Setibanya kawasan lingkaran spot yang dikehendaki, enjin bot dimatikan oleh tekong. Bot kemudiannya dibiarkan berhanyut sambil kami melemparkan tanduk dan batu ladung bersama umpan hidup ke dasar.
Berdebar juga menanti saat menanti umpan sampai ke sasaran. Disebabkan kami semua menggunakan kekili elektrik jadi kami tidak perlu kayuhan secara manual kecuali seorang sahaja yang menggunakan kekili manual Ajiking Pro Italy Troll.
Mana yang menggunakan kekili elektik, tunggu sahaja, joran ‘sujud minum’ air. Sekitar 20 minit menunggu, terdapat tanda-tanda umpan mula dimakan sebelum jorannya terus sahaja melengkung mencecah hampir air.
Tanpa menunggu lama, terus sahaja Cikgu Lim menyentap sebelum memulakan karauan Ajiking Pro Italy Trollnya. Strike pertama adalah jenahak dalam skala 3 kg.
Selepas menukar umpan kurita baru yang dibedal jenahak, kami menunggu lagi sentapan berikutnya.
Kali ini agak lama kami menunggu, lebih kurang 30 minit dari tangkapan jenahak pertama tadi, alam kekili elektrik yang digunakan menjerit kuat sambil rod menjunam rakus mencecah air.
Terus sahaja butang menggulung tali ditekan sambil kami semua berdebar menantikan apakah makhluk di bawah air dipaksa naik.
Akhirnya sasaran kami tertunai juga, apabila seekor kerapu mega atau juga dikenali sebagai boron terkulai di tepi bot sebelum dicangkuk masuk ke dalam bot.
Sesi petangnya selepas berehat, kami teruskan mencari spesies yang sama di spot-spot terbaik tekong.
Petang itu seekor lagi kerapu dalam anggaran 6-8 kg berjaya kami perolehi. Ternyata, umpan kurita adalah umpan pembunuh terbaik di lubuk ini.
Selain kurita, kami turut membawa umpan udang lipan dan ia juga tidak menghampakan buat kami, lebih-lebih lagi ia begitu rakus dijamah jenahak.
Petang itu seekor lagi jenahak berjaya kami perolehi selain seekor siakap merah. Cuma saiznya tidaklah seperti besar, tapi ia sudah cukup menggembirakan kami.
Aksi Sebelah Malam
Sesi pancingan di sekitar lubuk ini, diteruskan lagi pada waktu malam. Harapan kami pancingan tidak lain tidak bukan adalah mencari kerapu dan juga jenahak bersaiz mega.
Seperti mana yang diketahui, dua spesies ini bergerak aktif sebelah malam.
Dalam usaha mencari hasil terbaik, kami cuba mencandat mencari umpan sotong hidup selain menggunakan sotong kurita yang masih berbaki.
Umpan yang dipertaruhkan oleh James Lim akhirnya disambar rakus. Serta-merta butang pada kekili elektrik Banax miliknya ditekan.
Rod dipaksa bekerja keras ‘tunduk minum air’ menahan asakan mangsa yang cuba meloloskan diri.
Selang beberapa minit kemudian, akhirnya muncullah kerapu mega yang diidam-idamkan. Kelihatan Tersenyum puas beliau!
Kali ini saiznya lebih besar dari yang diperolehi siang tadi. Keadaan begitu rancak sekali tidak lama kemudian dengan seorang demi seorang menaikkan jenahak termasuklah ‘bantal emas’ yang dicari.
Pemancing Perlu Tahu!
Dalam usaha mencari kerapu mega, beberapa aspek amat kami titikberatkan. Penggunaan mata kail standard big game hook misalnya adalah perkara yang menjadi keutamaan kami di sini.
Maklumlah, spesies kerapu ada kalanya menghampakan pemancing sekiranya mata kail yang digunakan benar-benar tidak kuat.
Berdasarkan pengalaman, ketika ikan mula membaham umpan yang dihulurkan, jangan sesekali terus menyentap joran.
Ini kerana, besar kemungkinan umpan yang sedang digetu oleh sang ikan belum habis ditelan.
Caranya, biarkan beberapa saat lagi, kemudian barulah menyentapnya dengan kuat.
Seandainya ia terlepas (akibat sentap terlalu cepat), besar kemungkinan ikan dan kelompok ikan berkenaan telah lari.
Sebab itu bila ada kes putus tali, tekong tidak akan menunggu lama, terus sahaja berpindah lubuk.
Penggunaan tali juga harus dititikberatkan. Jika tali sudah terlalu lama, elok ditukar. Gunakan tali yang berkekuatannya sesuai dengan ikan sasaran.
Begitu juga dengan tali perambut atau shock leader. Gunakan tali perambut yang sesuai dengan ikan sasaran dan yang disarankan adalah jenis 100 peratus flourocarbon.
Kesimpulan Trip
Secara keseluruhan, kesemua ahli yang mengikuti trip memancing ini memperoleh pengalaman yang berguna sekali gus menjadi kenangan terindah buat diri masing-masing.
Mana tidaknya, untuk mendapatkan kerapu bersaiz mega ini bukanlah sesuatu yang mudah perlukan set pancingan yang sesuai, selain perlu ada pengalaman untuk menewaskannya.
Juga bonus bagi tangkapan jenahak yang membuatkan kami tersenyum lebar dengan saiznya yang cukup montel.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...