(Oleh: Muhammad Safuwan Zakaria)

Destinasi kami kali ini ialah perairan Kedah atau lebih tepat lagi berdekatan dengan Pulau Langkawi.

Kami masih teringat saat-saat gembira mendaratkan kerapu bersaiz mega di sini. Kali ini, kami berkesempatan mengulangi spot yang sama sekali gus bersemuka dan bertarung dengan spesies kerapu bersaiz mega.

 

Fokus Pancingan Dasar

 

Untuk menjejaknya, kami memberikan sepenuh perhatian kepada pancingan dasar iaitu menggunakan setup berat.

Meskipun berhasrat menjejaki trofi kerapu mega semata-mata, kami tidak menolak menyasarkan umpan dari dimakan oleh spesies seperti jenahak dan juga ikan lain.

 

Setibanya kawasan lingkaran spot yang dikehendaki, enjin bot dimatikan oleh tekong. Bot kemudiannya dibiarkan berhanyut sambil kami melemparkan tanduk dan batu ladung bersama umpan hidup ke dasar.

 

Berdebar juga menanti saat menanti umpan sampai ke sasaran. Disebabkan kami semua menggunakan kekili elektrik jadi kami tidak perlu kayuhan secara manual kecuali seorang sahaja yang menggunakan kekili manual Ajiking Pro Italy Troll.

 

Memburu Boron Langkawi

 

Mana yang menggunakan kekili elektik, tunggu sahaja, joran ‘sujud minum’ air. Sekitar 20 minit menunggu, terdapat tanda-tanda umpan mula dimakan sebelum jorannya terus sahaja melengkung mencecah hampir air.

Tanpa menunggu lama, terus sahaja Cikgu Lim menyentap sebelum memulakan karauan Ajiking Pro Italy Trollnya. Strike pertama adalah jenahak dalam skala 3 kg.

 

Selepas menukar umpan kurita baru yang dibedal jenahak, kami menunggu lagi sentapan berikutnya.

Kali ini agak lama kami menunggu, lebih kurang 30 minit dari tangkapan jenahak pertama tadi, alam kekili elektrik yang digunakan menjerit kuat sambil rod menjunam rakus mencecah air.

Terus sahaja butang menggulung tali ditekan sambil kami semua berdebar menantikan apakah makhluk di bawah air dipaksa naik.

IKLAN

Akhirnya sasaran kami tertunai juga, apabila seekor kerapu mega atau juga dikenali sebagai boron terkulai di tepi bot sebelum dicangkuk masuk ke dalam bot.

 

Memburu Boron Langkawi

 

Sesi petangnya selepas berehat, kami teruskan mencari spesies yang sama di spot-spot terbaik tekong.

Petang itu seekor lagi kerapu dalam anggaran 6-8 kg berjaya kami perolehi. Ternyata, umpan kurita adalah umpan pembunuh terbaik di lubuk ini.

 

Selain kurita, kami turut membawa umpan udang lipan dan ia juga tidak menghampakan buat kami, lebih-lebih lagi ia begitu rakus dijamah jenahak.

Petang itu seekor lagi jenahak berjaya kami perolehi selain seekor siakap merah. Cuma saiznya tidaklah seperti besar, tapi ia sudah cukup menggembirakan kami.

 

Aksi Sebelah Malam

 

Sesi pancingan di sekitar lubuk ini, diteruskan lagi pada waktu malam. Harapan kami pancingan tidak lain tidak bukan adalah mencari kerapu dan juga jenahak bersaiz mega.

Seperti mana yang diketahui, dua spesies ini bergerak aktif sebelah malam.

IKLAN

 

Dalam usaha mencari hasil terbaik, kami cuba mencandat mencari umpan sotong hidup selain menggunakan sotong kurita yang masih berbaki.

Umpan yang dipertaruhkan oleh James Lim akhirnya disambar rakus. Serta-merta butang pada kekili elektrik Banax miliknya ditekan.

Rod dipaksa bekerja keras ‘tunduk minum air’ menahan asakan mangsa yang cuba meloloskan diri.

 

Memburu Boron Langkawi

 

Selang beberapa minit kemudian, akhirnya muncullah kerapu mega yang diidam-idamkan. Kelihatan Tersenyum puas beliau!

Kali ini saiznya lebih besar dari yang diperolehi siang tadi. Keadaan begitu rancak sekali tidak lama kemudian dengan seorang demi seorang menaikkan jenahak termasuklah ‘bantal emas’ yang dicari.

 

Pemancing Perlu Tahu! 

 

Dalam usaha mencari kerapu mega, beberapa aspek amat kami titikberatkan. Penggunaan mata kail standard big game hook misalnya adalah perkara yang menjadi keutamaan kami di sini.

Maklumlah, spesies kerapu ada kalanya menghampakan pemancing sekiranya mata kail yang digunakan benar-benar tidak kuat.

IKLAN

 

Berdasarkan pengalaman, ketika ikan mula membaham umpan yang dihulurkan, jangan sesekali terus menyentap joran.

Ini kerana, besar kemungkinan umpan yang sedang digetu oleh sang ikan belum habis ditelan.

Caranya, biarkan beberapa saat lagi, kemudian barulah menyentapnya dengan kuat.

 

Memburu Boron Langkawi

 

Seandainya ia terlepas (akibat sentap terlalu cepat), besar kemungkinan ikan dan kelompok ikan berkenaan telah lari.

Sebab itu bila ada kes putus tali, tekong tidak akan menunggu lama, terus sahaja berpindah lubuk.

 

Penggunaan tali juga harus dititikberatkan. Jika tali sudah terlalu lama, elok ditukar. Gunakan tali yang berkekuatannya sesuai dengan ikan sasaran.

Begitu juga dengan tali perambut atau shock leader. Gunakan tali perambut yang sesuai dengan ikan sasaran dan yang disarankan adalah jenis 100 peratus flourocarbon.

 

Kesimpulan Trip

 

Memburu Boron Langkawi

 

Secara keseluruhan, kesemua ahli yang mengikuti trip memancing ini memperoleh pengalaman yang berguna sekali gus menjadi kenangan terindah buat diri masing-masing.

Mana tidaknya, untuk mendapatkan kerapu bersaiz mega ini bukanlah sesuatu yang mudah perlukan set pancingan yang sesuai, selain perlu ada pengalaman untuk menewaskannya.

Juga bonus bagi tangkapan jenahak yang membuatkan kami tersenyum lebar dengan saiznya yang cukup montel.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI