Salah satu spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif. Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja. Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing. Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan. Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Ads
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah. Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Ads
Kegembiraan bersama rakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Ads
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit). Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Perjalanan menaiki bot dari jeti Kampung Pekan Lanchang mengambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke Lubuk Tujuh dengan buah bot fiber menggunakan enjin sangkut 9.9 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda.
Keadaan sungai yang mempunyai banyak tunggul yang sukar dilihat amat memerlukan kepakaran ketika mengemudi bot. Saya yang mengemudi salah satu bot, beberapa kali terlanggar serpihan kayu balak yang hanyut. Bahkan beting pasir yang surut turut menyukarkan perjalanan ke lubuk ini.
Namun, Alhamdulillah segala-galanya selamat apabila kami sampai juga ke lokasi ini. Lubuk Tujuh nyata begitu ideal untuk tujuan perkhemahan sambil memancing. Terdapat tiga kawasan teluk air yang menjadikan ianya lubuk terbaik untuk diduga.
Sebelum tiba di lokasi, Abang Chik, sempat singgah di beberapa lokasi di tebing sungai, terutama di bawah akar-akar pokok yang menjalar ke gigi air untuk menyauk udang sungai untuk dijadikan umpan.
Sambil mengemaskan peralatan dan memasang khemah, bila memandang sahaja sungai di depan mata, rakan-rakan lain tidak melepaskan peluang melabuhkan umpan masing-masing. Semua jenis umpan, kami gunakan. Kami menjadikan beting sisir sungai sebagai lokasi tempat bermalam dengan mendirikan dua khemah.
Waktu malam hanya dipenuhi dengan aktiviti ‘sembang’ dan aktiviti memancing menggunakan teknik rendaman dasar menggunakan umpan anak ikan di kawasan hadapan khemah. Pemandangan yang terhad pada waktu malam menyukarkan sesi memancing sekiranya kami menggunakan bot.
Kayu dan sampah hanyut di sepanjang sungai dikhuatiri akan menyebabkan bot boleh terbalik. Malam itu, beberapa ekor baung berjaya didaratkan pada sesi pancingan malam menggunakan anak ikan.
Di sini ikan baung lebih agresif pada waktu malam. Kopi O menjadi kudapan kami menghabiskan sesi pancingan di waktu malam. Ridzuan yang bangun awal pagi cuba casting menggunakan gewang. Lontaran demi lontaran dibuat di sekitar tebing sungai yang berumput.
Kata Ridzuan, “Ikan apa pun tak kisah, janji ada ikan yang sambar gewang aku”. Beberapa kali melontar gewang, akhirnya satu sambaran diterima sebaik sahaja gewang betul-betul melalui satu rumpun kangkung yang berada di tepi sungai.
Lantas Ridzuan menyentap dan mengangkat joran ke posisi yang lebih tinggi bagi mengelakkan larian ke kawasan yang berumput. Tewas sang haruan dalam skala 1 kg.
“Besar juga haruan sungai ni,” katanya dengan gembira.
Sesi pancingan diteruskan. Tumpuan sudah tentulah balingan ke arah lubuk yang dalam. Namun, balingan tepat ke lubuk banyak diakhiri dengan episod duka iaitu mudah sangkut di celah ranting dan reba kayu yang terperangkap di dasar.
Kerap kali ragutan diterima dan jika lambat sahaja saja, alamatnya leburlah mata kail dan batu ladung. Situasi sukar diduga ini amat memerlukan ketangkasan dalam mengawal larian ikan.
Asri yang menggunakan umpan cacing ketika itu membuat lontaran kebahagiaan sisi lubuk dan memegang joran tidak mengambil masa yang lama untuk mendarat seekor spesies baung berat sekitar 1.2kilogram.
Permainan yang singkat dan sentapan segera yang dibuat berjaya mematahkan larian ke dalam kawasan reba. Saya turut tidak ketinggalan, cuba untuk casting, sambil-sambil menunggu umpan pancingan dasar di getu sang ikan.
Tiba-tiba terlihat riak air di sekitar reba kayu, menandakan ada ikan pemangsa yang sedang cari makan. Terlintas di benak saya, mungkin sebarau atau badong. Dengan menggunakan gewang Rapala shad rad- redhead saya cuba casting sebaik mungkin ke sport tersebut.
Lantas satu deburan kuat dan serentak itu juga, gewang yang dilontarkan ditarik kuat oleh ikan. Dek kerana air yang keruh, pada awalnya sukar untuk memastikan apakah ikan yang terjerat.
“Belida!” Spontan teriakan Asseri bila dia melihat kelibat warna keperakan sisi badan ikan berkenaan muncul di permukaan air. Walaupun sangkaan saya badong, kerana ia kuat melawan, belida yang saya anggarkan melebihi berat 1 kg ini cukup memuaskan hati saya.
Memandangkan Sungai Semantan, adalah salah satu cabang sungai yang bertemu dengan Sungai Pahang, patin adalah satu lagi spesies yang kami idamkan.
Berbekalkan umpan buah ara sebiji dan dicangkukkan di mata kail, saya melabuhkan umpan di lubuk kedua yang tidak jauh dari pokok buah ara yang sedang gugur. Sebenarnya, sebelum kami naik ke tebing, Abang Chik sempat mengambil beberapa biji buah ara yang masak sebagai umpan memancing patin.
Saya menggunakan buah ara yang masak ranum dan mempunyai bau yang sangat harum. Bau yang kuat akan menarik sang patin untuk menjamah umpan. Selain patin, buah ara juga adalah umpan terbaik untuk memancing kelah.
Caranya, mata kail perlu dicucuk ke dalam buah ara dan hanya sedikit hujung mata kail terkeluar. Gunakan batu ladung bentuk buah kana sebagai pemberat. Saiz batu ladung pula perlu mengikut arus sungai.
Di lubuk ini saya berjaya mendaratkan seekor patin sungai skala 1.8kilogram setelah hampir satu jam menunggu. Ternyata percaturan pemasangan umpan dan pemilihan lubuk yang tepat menjanjikan hasil dan kepuasan yang maksima.
Lewat petang, kami bersiap pulang. Ternyata walaupun air Sungai Semantan sentiasa keruh, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai spesies hidupan di dalamnya. Pendek kata kesabaran adalah kunci kejayaan jika berhasrat ingin menaikkan spesies rare Sungai Pahang.
Seorang lelaki berusia 34 tahun berdepan saat getir apabila terperangkap di tengah sungai selepas arus bertukar deras secara tiba-tiba di Air Terjun Sungai Kedondong, kira-kira jam 4.25 petang, semalam.
Mangsa, Muhammad Fadzli Jalil, 34, berasal dari Rawang berkunjung ke pusat rekreasi itu bersama sembilan ahli keluarga sempena cuti umum Hari Krismas.
Fadzli berkata, mereka sekeluarga mula bermandi-manda sejurus tiba di lokasi berkenaan pada jam 3.15 petang sebelum hujan lebat hampir satu jam.
“Bila hujan, kami naik dan berteduh di sebuah pondok wakaf untuk menikmati makanan yang dibawa. Selepas hujan berhenti, kami turun semula ke sungai untuk sambung mandi dan saya seorang diri berada di atas batu di tengah sungai untuk mengambil gambar.
“Tidak lama kemudian saya dengar sayup-sayup orang menjerit dan bila berpaling, nampak mereka sedang berlari ke atas tebeng sebelum lihat air sungai di sebelah atas berwarna coklat dan deras,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.26 petang dengan tujuh anggota termasuk pegawai ke lokasi terbabit.
“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki terperangkap di tengah sungai dengan kedudukan di atas batu besar berikutan arus deras.
“Pasukan menggunakan tali dan jaket keselamatan bagi menyelamatkan mangsa dengan membawa ke tebeng dalam tempoh masa hampir 20 minit. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...