Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing.
Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi. Berapa besar jenahak yang pernah korang dapat dapat?
Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar.
jenahak air cetekjenahak air dalam
Ads
Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.
Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.
Ads
Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya.
Ads
Percaya atau tidak harga seekor jenahak (yang dipancing, bukan jenahak yang dijaring) sudah mencecah RM 60 sekilogram? Bayangkan jika berjaya memancing 10 ekor jenahak dengan purata 5 kg seekor…!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Mabuk berkaitan dengan aktiviti memancing di laut terbahagi kepada dua jenis iaitu mabuk laut dan mabuk darat. Mabuk laut dipecahkan kepada tiga kategori iaitu mabuk laut ringan, mabuk laut sederhana, dan mabuk laut berat.
Bagi mabuk laut ringan, ia tidak terlalu mengganggu aktiviti pemancing. Pemancing yang mabuk laut ringan akan merasa sedikit pening sahaja dan boleh diubati dengan hanya menyapu minyak angin atau apa-apa ubat sapuan.
Bagi mabuk laut sederhana, pemancing akan muntah tetapi masih boleh melakukan aktiviti memancing. Kes mabuk berat pula akan menyebabkan pemancing termuntah beberapa kali dan tidak mampu untuk berdiri apalagi melakukan sebarang aktiviti memancing.
Sementara bagi kategori mabuk darat pula, ia selalunya terjadi apabila kita sudah berada di darat. Kesannya boleh dirasai sehingga beberapa hari. Mereka yang mabuk darat akan rasa terumbang-ambing semasa berdiri dan tidur. Mabuk darat juga boleh membahayakan jika mereka yang terlibat memandu kenderaan.
Gangguan kecil pada medula oblongata di otak akan menyebabkan individu terasa seakan dibuai-buai. Kesan mabuk darat ini akan hilang dengan sendiri.
Pelbagai cara boleh gunakan untuk mengelak dari mabuk laut. Semua kaedah ini diperoleh dari perbualan dengan nelayan-nelayan tempatan dan rakan-rakan pemancing yang lain. Walaupun anda biasa ke laut, risiko untuk mabuk laut tetap ada.
Jangan Makan Makanan berminyak
Sebaiknya kurangkan mengambil makanan yang banyak minyak (berlemak) sebelum turun ke laut. Lebih bagus sekadar mengalas perut dengan makanan yang kaya protein.
Jangan Makan Asam Berlebihan
Makan asam atau benda masam seperti asam masin ketika tekak mula terasa mual. Tapi jangan makan berlebih pula kerana ia boleh menyebabkan rasa loya sekaligus percepatkan lagi pening dan mabuk.
Jangan terlalu fokus
Jangan terlalu lama memandang lantai bot. Kerap mengikat perambut atau mata kail di atas bot boleh mengundang mabuk laut.
Jangan tengok ombak
Jangan merenung atau melihat riak air laut dalam tempoh yang lama. Pergerakan naik turun bot dibawa alun akan percepatkan proses pening. Cuba beri tumpuan pada objek jauh seperti pantai, bot nelayan, bukit-bukau dan pulau-pulau. Dalam pada masa cuba atur pernafasan agar berasa tenang dan damai.
Jauhi bau diesel
Pastikan anda tidak mencium bau minyak diesel dan asap bot. Bau petrol juga boleh menimbulkan masalah yang sama. Duduklah di mana arah angin bertentang dengan bau petrol.
Jauhi bunyi enjin
Jangan duduk berdekatan enjin bot. Bunyi yang kuat boleh mengundang mabuk. Cubalah ambil angin segar dengan duduk di bahagian hadapan bot.
Jangan hidu bau ikan
Jangan bermain dengan hasil tangkapan terlalu lama. Jangan terbuai dengan keseronokan sementara. Harus diingat, bau hanyir ikan boleh menerbitkan rasa loya.
Ikan kelah atau kelah tergolong dalam ketegori haiwan omnivor yang akan memakan pelbagai jenis alga, krustasia, serangga dan amfibia termasuk beberapa jenis buah-buahan dan biji benih pokok yang jatuh keatas air sama seperti beberapa jenis ikan kap yang lain sebagai diet harian yang seimbang. Namun untuk memancing ikan kelah ini terdapat beberapa jenis umpan yang popular. Antaranya ialah…
KELAPA SAWIT
Tidak dapat dinafikan apabila menyebut umpan ikan kelah maka nama sawit akan pertama sekali disebut. Pada asalnya buah kelapa sawit bukanlah diet asal ikan kelah kerana ia bukanlah pokok hutan di sungai pergunungan. Ia mula menjadi salah satu dietnya apabila ada campur tangan pemancing setelah berpuluh tahun lamanya.
Buah kelapa sawit yang menjadi pilihan kelah ialah kelapa sawit yang masak tua atau diperam sehingga lembut terlebih dahulu. Kelapa sawit boleh digunakan mencangkukkan buahnya (dengan biji atau tanpa biji) pada mata kail atau dihiris-dihiris.
BUAH-BUAHAN HUTAN
Ikan kelah dikenali sebagai spesis ikan yang sangat suka kepada pelbagai jenis buah-buahan hutan. Kebanyakan buah hutan ini berbuah mengikut musim yang berbeza beza. Buah hutan yang paling popular sekali ialah buah neram, buah maris, buah ara, buah perah dan macam-macam lagi.
Untuk menggunakan buah-buahan ini perlulah mengikut musimnya. Dikatakan buah merupakan umpan terbaik di antara buahan hutan. Mungkin disebabkan sifatnya yang agak berair dan lembut. Apabila buah ara, neram atau buahan lain jatuh ke dalam sungai, kelah seperti `menggila’ untuk mendapatkan makanan idamannya itu.
Buah ini boleh dipotong dadu atau kecil kecil begitu sahaja. Ada juga yang memeramnya, tapi jangan terlalu lama kerana akan menjadi terlalu lembik.
CACING TANAH, UlAT & SERANGGA
Sebagaimana yang sedia maklum cacing tanah merupakan umpan universal untuk memancing hampir kesemua ikan sungai. Begitu juga jika ingin memancing kelah. Tatkala umpan lain tidak dihiraukan oleh kelah maka beralihlah kembali ke umpan universal ini.
Cacing tanah yang paling sesuai untuk digunakan ialah cacing tanah yang digali dari tanah kawasan lubuk. Atau cacing tanah yang digali sendiri di mana-mana lokasi asalkan bukannya cacing yang diternak untuk tujuan komersial seperti yang terjual di kedai-kedai pancing. Cara menggunakan cacing ini pun mudah. Cangkukkan saja seberapa banyak yang mampu pada kail.
ANAK IKAN / UDANG
Peratusan untuk mendaratkan kelah dengan menggunakan anak ikan dan udang mungkin lebih rendah berbanding menggunakan buah-buahan. Tetapi harus diingat kelah adalah haiwan omnivor. Dikatakan juga warna pada badan kelah berpunca dari dietnya memakan krustasea dan serangga.
Anak ikan atau udang ini haruslah diperoleh dari lokasi lubuk pancing yang sama. Malah penggunaannya lebih berkesan jika memancing pada malam hari. Berdasarkan pengalaman pemancing, ada diantaranya berjaya mendaratkan kelah mencecah berat 6kg dengan menggunakan umpan anak ikan.
LURE
Mendaratkan ikan kelah menggunakan gewang mungkin peratusan yang rendah tetapi ia bukanlah cakap kosong. Untuk bersua dengan kelah yang menyambar gewang sama ada sesudu, gewang selaman atau permukaan anda perlu ke sungai lubuk dara yang belum diterokai atau sangat jarang dimasuki pemancing.
Gewang-gewang dengan warna tertentu seperti warna buah sawit dan dipersembahkan seperti buah-buahan hutan yang gugur berpeluang tinggi akan disambar kelah. Berbanding teknik pancingan menggunakan umpan asli, memperoleh kelah hasil teknik mengilat merupakan satu kepuasan yang tiada tolok bandingnya.
Walaupun memancing hanyalah hobi namun aktiviti memancing itu tidak akan terjadi tanpa disertai dengan 6 ini. Ia umpama rukun negara juga.
Sebagai rakyat, kita harus berpegang kepada 6 rukun negara dan sebagai pemancing juga kita harus berpegang kepada 6 rukun, iaitu…
PEMANCING
Tentu saja rukun utama dalam rukun memancing adalah pemancing! Tanpa pemancing sudah tentu akitiviti memancing tidak dapat diaplikasikan.
Pemancing itu sendiri tiada sebarang sempadan. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemancing tanpa mengira lapisan masyarakat, bangsa, agama, usia, status, darjat atau pangkat.
Untuk menjadi pemancing juga tiada sebarang syarat, kelayakan atau sempurna tubuh badan. Malah hari ini semakin ramai golongan kurang upaya memilih hobi memancing. Yang penting harus memiliki minat dan berilmu.
PERALATAN
Rukun kedua yang tidak kurang peri pentingnya adalah alatan memancing. Tanpa adanya peralatan memancing sudah pastinya aktiviti memancing masih tidak dapat diaplikasikan.
Peralatan juga ada rukunnya tersendiri. Rukun peralatan lebih menjurus kepada alatan utama, selebihnya lebih menjurus kepada pelengkap atau kelengkapan.
Peralatan utama yang perlu ada ialah tali pancing, mata kail, joran dan kekili. Aplikasi memancing boleh dipraktikkan hanya menggunakan tali pancing dan mata sahaja, begitu
juga dengan mengggunakan tali pancing, mata kail dan joran sahaja tetapi rukun pelengkap utama peralatan terdiri daripada tali pancing, mata kail, joran dan kekili.
UMPAN
Bayangkan anda pergi memancing tanpa membawa UMPAN. Apa yang anda akan peroleh? Justeru umpan juga merupakan rukun utama dalam memancing.
Umpan terbahagi kepada beberapa jenis namun yang paling utama adalah umpan organik (benda hidup atau mati) dan umpan tiruan seperti gewang, jig dan yang seumpamanya.
Jika ada yang mengatakan memancing masih diaplikasikan tanpa menggunakan umpan, contohnya teknik sembat yang hanya menggunakan mata tiga, ingin saya tegaskan di sini bahawa teknik sembat bukanlah aktiviti memancing!
Ia sama sahaja dengan aktiviti menjaring, tuba atau seumpamanya.
SPESIES SASARAN
Secara umumnya subjek sasaran yang menjadi salah satu rukun memancing ialah ikan. Namun bukan ikan sahaja yang dipancing.
Udang dan sotong juga merupakan spesies atau subjek sasaran utama dalam memancing.
Jika difikirkan secara mendalam, rasanya ramai yang setuju bahawa spesies sasaran inilah sebenarnya yang menjadi rukun utama dalam rukun memancing.
Bayangkan sekiranya spesies-spesies sasaran ini sudah pupus sama sekali. Bayangkan jika tiada lagi udang galah, sotong dan semua jenis ikan… apakah aktiviti memancing masih boleh diaplikasikan?
PADANG PANCING
Tanpa pandang pancing, lokasi atau lubuk memancing, aktiviti memancing hanya sia-sia.
Pada asasnya padang pancing terbahagia kepada dua iaitu lubuk semula jadi hasil ciptaan Tuhan seperti laut dan sungai, dan satu lagi lubuk buatan atau hasil campur tangan manusia seperti tasik buatan, bekas lombong dan kolam-kolam pancing komersial.
Tak kiralah sama ada ia adalah padang pancing anugerah Tuhan atau ciptaan manusia, ia tetap merupakan rukun utama dalam memancing wajib dipelihara.
REZEKI
Mungkin ada yang tidak bersetuju atau mahu menafikan tetapi mempercayai rezeki adalah rukun yang perlu ada dalam memancing.
Ia mungkin bersifat subjektif kerana tidak berjisim atau dapat dilihat dengan mata kasar.
Rezeki tidak sama seperti peralatan memancing yang boleh dipegang tetapi tanpa rezeki bukan sahaja tidak boleh memperoleh hasil malah untuk menjadi pemancing sekali tidak boleh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...