Nama penuh: Zul Fadzli Mat Rawi

Nama FB: Zuls Craft

Nama produk: Zuls Craft Handmade

 

Siapa sangka, bermula daripada kesukaran mendapatkan gewang yang sesuai di pasaran sedikit masa lalu, akhirnya menjadikan figura ini antara crafter gewang yang semakin dikenali hari ini.

Melihat kesukaran atau kekurangan sebagai satu peluang, Zul Fadzli Bin Mat Rawi atau Cikgu Zul mampu melahirkan jenama Zuls Craft Handmade dalam arena pancing di Malaysia khususnya.

 

Sewaktu mula-mula cuba menghasilkan gewang sendiri, Cikgu Zul yang mula mengenal dunia hanyir ini sejak seawal usia 5 tahun, dia mendapati gewangnya mampu mendapatkan sambaran ikan tempatan seperti haruan, sebarau dan toman.

 

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

 

Sinking minnow, pencil dan inline spinner antara hasil gewang terawalnya. Prestasi gewang buatannya membuat minat Cikgu Zul semakin memuncak dan terus menghasilkan dan menambah baik gewang rekaannya hingga ke hari ini.

 

Motivasi & cabaran

 

Menurut Cikgu Zul, dia membuat gewang secara serius sejak enam tahun lalu dan rakan-rakan pemancing menjadi motivasi utama bagi dirinya dalam penghasilan gewang hari ini.

Melihat paparan hasil tangkapan rakan pemancing menggunakan produknya membuatkan Cikgu Zul lebih mencabar diri untuk terus menghasilkan gewang yang berkualiti setanding produk luar.

 

Kepelbagaian gewang buatan Cikgu Zul dapat dilihat hari ini apabila turut menghasilkan spinnerbait, buzzbait, slashbait, blade dan juga jig serta jighead untuk soft plastic.

IKLAN

Sepanjang menghasilkan gewang sendiri, kekangan masa menjadi kekangan terbesar bagi Cikgu Zul terutama untuk penghasilan skala besar selain kesukaran mendapatkan bahan seperti kayu.

 

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

 

Namun, perlahan-lahan, cabaran ini dapat diatasi apabila Cikgu Zul mengumpul modal untuk membeli mesin yang membantu mempercepatkan pembuatan gewang.

Rakan-rakan pembuat gewang lain seperti PJFC, KGBS, Lure Maker project, Handmadelurecraft dan lain-lain turut sama memberikan pandangan dalam mengatasi masalah yang timbul.

 

Bagi Cikgu Zul, ciri-ciri yang diberi pada gewangnya adalah berdasarkan pengalaman. Contohnya, popper, pencil atau jumfrog buatannya mementingkan kemampuan menghasilkan percikan dan bunyi yang merangsang naluri ikan.

 

Begitu juga dengan gewang jenis selaman, getaran dan renangan yang dapat meniru ikan yang panik atau cedera lebih cepat mendapat sambaran.

Setelah itu, baru faktor warna diberi perhatian. Cikgu Zul menggunakan kayu pokok betuh untuk gewangnya kerana sifat kayu ini yang berat, kukuh dan daya apungan yang tinggi.

 

IKLAN

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

 

Selain stabil, tekstur kayu betuh juga tahan lasak dan tidak bocor apabila dikekah oleh pemangsa bergigi tajam seperti toman.

Cikgu Zul juga menanam sendiri pokok ini bagi mengelakkan terputusnya bekalan kayu tidak berlaku.

 

Penelitian ketika menghasilkan gewang bermula dari pemilihan kayu dan material lain untuk pemasangan.

Kekuatan dawai steel antara 150lb-200lb pula digunakan dan dipasang dengan kaedah tebuk terus (through wire construction) dan diikat kemas bagi mengelak badan gewang pecah atau tercabut.

 

Kemasan akhir Zuls Craft Handmade pula menggunakan airbrush bagi mendapatkan corak dan motif yang lebih halus dan cantik.

Kemasan setiap gewang pula menggunakan teknik epoxy coating agar permukaan gewang berkilat, keras dan tahan lasak untuk menahan pemangsa bergigi tajam atau objek keras seperti batu dan tunggul kayu semasa mengilat.

 

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

IKLAN

 

Pandangan & Harapan

 

Secara peribadi Cikgu Zul melihat padang pancing di Malaysia semakin mengecil dan semakin ketandusan stok ikan. “Hal demikian berpunca daripada pemancing itu sendiri.

Tepuk dada, tanya hati dan akal. Jangan tanya pada selera kerana nafsu tidak pernah cukup dengan apa yang ada,” tambah Cikgu Zul.

 

Cikgu Zul juga menyarankan undang-undang lebih ketat dikuatkuasakan untuk amalan penangkapan tidak sihat seperti tuba dan bom di samping berharap generasi pemancing lebih menghargai dan melestarikan spesies tempatan.

Dengan itu, generasi akan datang dapat mewarisi dan menikmati apa yang kita nikmati sekarang.

 

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

 

“Akhir sekali, harapan saya terhadap gewang buatan tangan anak tempatan akan terus berkembang.

Hari ini dapat dilihat melalui grup-grup di FB, whatsapp dan sebagainya semakin ramai yang berminat dan dapat menghasilkan gewang-gewang buatan tangan yang berkualiti.”

 

“Suatu hari nanti, kita tak perlu lagi bergantung kepada jiran seberang sempadan untuk memenuhi permintaan caster kita.

Saya sedia untuk memberi tunjuk ajar dan panduan kepada sesiapa saja yang berminat dalam pembuatan gewang ini.

Jangan kita kedekut dengan ilmu yang ada. Berkongsilah agar ilmu dan pengalaman itu tidak ‘pergi’ bersama kita,” luah Cikgu Zul.

 

Ikon : Masta Zuls Craft Handmade

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI