IKLAN

 

Bagi peminat teknik mengilat dan kaki pancing yang pernah mengunakan umpan tiruan atau gewang, pasti akan sinonim dengan jenama Rapala.

Percaya atau tidak, majoriti kaki casting mesti akan ada walaupun seketul gewang jenama ini dalam kotak gewang asing-masing.

 

Jenama Rapala memang cukup tersohor di mana-mana di seluruh dunia. Di Malaysia juga tidak terkecuali, terutama melalui produk gewangnya.

Namun tahukah anda, pelopor kepada jenama yang terkenal ini? Ceritanya bermula di Finland!

 

Lauri Rapala yang dilahirkan pada tahun 1905 merupakan seorang warga Finland. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pembukaan Rapala-Normark Group, sebuah syarikat penghasilan gewang dan barangan pancing terkemuka.

 

KISAH AWAL PENCIPTAAN GEWANG

 

Semuanya bermula daripada seorang lelaki warga Finland yang lapar bersama pisaunya pada awal tahun 1930-an.

IKLAN

Lauri Rapala, seorang nelayan biasa telah membuat satu pemerhatian genius yang mudah iaitu; ikan besar memakan ikan kecil, terutamanya ikan kecil yang cedera.

Dari situlah bermula segalanya.

 

Lauri Rapala yang sering memancing di Tasik Paijanne mendapati ikan pemangsa berulang kali menghentam ikan kecil sebagai mangsanya.

Lauri menyedari bahawa jika dia mampu menghasilkan kerja tangan yang menyerupai anak ikan yang cedera, dia mampu menangkap lebih banyak ikan, lebih banyak wang dan tidak perlu menghabiskan banyak masa yang lama menunggu ikan memakan umpan.

 

Jadi Lauri memulakan kerja tangannya. Dengan menggunakan pisau pembuat kasut dan kertas pasir, beliau mula mengukir gabus untuk untuk mendapat bentuk anak ikan.

Setelah berusaha, akhirnya sekitar tahun 1936, terhasilnya gewang tiruan daripada hasil kerja tangan Lauri.

 

IKLAN

Mengikut cerita, Lauri mampu mendapatkan sehingga 600 lbs ikan sehari dengan menggunakan gewang yang dihasilkannya.

Seterusnya, cerita Lauri ini mula tersebar dan reputasi gewang tiruan ini mula meningkat naik seterusnya menjadi lagenda.

 

Gewang tersebut adalah ‘Original Floating Rapala’, yang merupakan nenek moyang kepada generasi gewang Rapala yang ada di pasaran sekarang selain menjadi kegilaan kaki pancing.

 

REPUTASI DAN PENAMBAHBAIKAN

 

 

Ketika perang tercetus di Eropah pada tahun 1939, Lauri mula menghasilkan gewangnya menggunakan kayu balsa.

Ketika perang, bahan api dinamit digunakan untuk mendapatkan ikan sebagai makanan. Lauri menegaskan gewangnya mampu menangkap lebih banyak ikan berbanding dinamit.

Lantas sebuah pertandingan di adakan antara Lauri dan rakannya. Setelah beberapa jam, Lauri berjaya menangkap 78 ekor ikan mengatasi tangkapan rakannya yang menggunakan dinamit atau bom.

 

Selepas perang, permintaan terhadap gewang Lauri semakin meningkat. Lantas Lauri telah mengajar cara pembuatan gewang kepada anak-anaknya bagi menghasilkan gewang dalam skala besar.

Mereka juga menghasilkan mesin untuk meningkatkan kualiti dan keefisienan gewang yang terhasil.

 

Selain itu, bagi memastikan setiap gewang yang dihasilkan datang dengan kualiti renangan seperti yang dimahukannya, Lauri akan memastikan agar setiap gewang melalui proses ujian tangki.

Ujian ini akan dilihat sendiri oleh Lauri sebagai kelulusan akhir sebelum dijual.

 

Selain gewang, beberapa produk lain juga telah dikeluarkan di bawah nama Rapala seperti beg, pisau, kekili, joran dan sebagainya.