Malam itu sambil ditemani sebotol air kopi O pekat dan cempedak goreng yang dibekalkan oleh ibu, saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap landing di pinggir air. Di dada langit, bulan mengambang penuh. Awan pada malam itu tidak sepekat mana. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, cukup untuk menjadikan badan dan mata saya segar sepanjang malam.

 

Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam, air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.

 

Saya melabuhkan punggung di satu kawasan lapang yang sedikit berpasir. Tidak jauh daripada saya, dalam jarak 50 meter, Nasrul dan kawan baiknya Bahtiar juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa. Sejak petang tadi, kami bertiga memang sudah berjanji untuk memancing di lombong terbiar berdekatan dengan kawasan Sidam Kiri ini.

 

Dikatakan sekarang adalah musim ikan kaloi dan haruan. Setakat dua, tiga kilo beratnya sudah menjadi perkara biasa penduduk sekitar mendapatnya. Itu yang menyebabkan saya, Nasrul dan Bahtiar geram mendengar cerita-cerita begitu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk memancing di sebelah malam. Dengan berbekalkan umpan anak ikan, katak, cengkerik dan cacing, kami bertiga mencuba nasib di lombong seluas dua ekar ini.

 

Tidak jauh daripada saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya. Umur sebenar pokok itu tidak diketahui, cuma apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya. Jentolak rosak, pemandu jentolak jatuh sakit, hujan ribut dan sebagainya. akhirnya pokok sena yang mempunyai banyak akar berjuntaian itu dibiarkan begitu saja kerana dikatakan berpuaka.

 

Sesekali mata saya pasti melirik ke situ. Sebagai pemuda yang dilahirkan dalam zaman merdeka dengan usia baru mencecah usia 25 tahun, saya kurang percaya dengan cerita-cerita misteri begini. Dalam zaman yang serba moden ini mana ada hantu atau jembalang.

Semuanya mainan perasaan manusia itu semata-mata apatah lagi saya merupakan graduan dalam tahun akhir bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan. Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Saya mengucapkan syukur, Alhamdulillah ini rezeki pertama setelah lima belas minit menunggu.

 

Dari jauh, saya lihat Bahtiar dan Nasrul juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu. Setelah memasang umpan anak katak pada mata kail (dengan harapan kali ini haruan pula yang akan menyambarnya) tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali. Seperti dua orang budak kecil yang bermain kejar-kejar sambil mengacah sesama sendiri. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.

 

Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas. Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi. Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.

 

Gelagat Bahtiar Dan Nasrul tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi (sebenarnya umpan saya sedang dimakan ikan). Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.

 

Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka. Perasaan saya menjadi semakin geram dan tidak sabar. Dalam otak hanya satu yang saya fikirkan, saya mesti berjaya menangkap kedua-dua ikan putih ini untuk ditunjukkan pada kawan-kawan dan sanak saudara.

 

Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya. Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!

 

“Iqbal…Iqbal….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.

 

Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!

 

Nasrul datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Bahtiar, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.

 

Kejadian ini baru dua tahun berlaku. Walaupun diuji begitu, saya tidak serik untuk ke lombong itu lagi. Setiap kali turun ke Sungai Petani, saya pasti akan memancing di situ. Cuma kali ini saya memancing pada sebelah siang sahaja. Sebelum waktu Maghrib tiba, saya pasti akan angkat kaki dari situ.

 

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Kaya. Saya selamat kerana ajal saya belum tiba dan keluhuran budi dua orang sahabat yang tidak meninggalkan saya begitu sahaja. Sesungguhnya inilah ujian hidup. Saya mula percaya, selain manusia ada juga makhluk Allah yang turut menumpang sama di muka bumi ini. Wallahualam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI