SHIMA : Saya mula memancing agak lewat sebenarnya. Malah saya seperti tiada minat untuk memancing sehinggalah mula mengikut suami ke kolam-kolam pancing kira-kira 6 tahun yang lalu.
Dari situlah saya mula jatuh hati dengan memancing ni. Dari kolam pancing kemudian saya beralih minat memancing di pantai pula. Sekarang ini saya dah jatuh hati dengan surfcasting ni.
UMPAN : Kenapa anda memilih hobi ini?
SHIMA : Sebelum memancing dulu, saya mengalami sedikit masalah kesihatan… murung dan stress. Dan adalah tugas suami untuk menceriakan hidup isterinya… menceriakan saya.
Ads
Suami saya berusaha dengan pelbagai cara termasuklah dengan cara memancing ini. Saya belajar dari suami tentang memancing. Ternyata ia amat memberi kesan positif yang mendalam. Hidup semakin ceria dan gembira.
Lebih-lebih lagi bila ikan makan pancingan kita. Terasakan seolah-olah segala masalah dunia dapat dilupakan buat sementara waktu. Memancing memberi saya ketenangan jiwa.
Dalam masa yang sama dapat menikmati keindahan ciptaan Tuhan dan betapa kerdilnya kita. Sedikit ujian dari Tuhan.. tapi Tuhan gantikan dengan nikmat yang tak terhingga.
Ads
Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada suami kerana dapat mengenali hobi ini. Ini kerana ia adalah terapi jiwa saya… melupakan segala masalah.
Walaupun sementara tapi saya puas. Alhamdulillah kesihatan saya semakin baik dan berat badan juga menyusut dalam keadaan sihat.
UMPAN : Apa rintangan dan harapan anda dalam hobi ini?
SHIMA : Saya berharap lebih ramai lagi wanita menerokai hobi memancing ini kerana ia dapat memberikan ketenangan dan keceriaan yang maksima.
Lebih-lebih lagi dapat ikan. Serta dapat merapatkan lagi hubungan pasangan masing-masing yang dah berkahwin. Selain itu ia turut dapat merapatkan ukhwah sesama sahabat.
Ads
UMPAN : Boleh tak ceritakan pengalaman pahit manis selama bergelar pemancing ini?
SHIMA : Yang paling manis adalah… apabila umpan pertama disambut dengan hebat dari sang ikan. Itu adalah saat paling manis sebab tak perlu tunggu lama. Dan sudah tentu sepanjang hari akan tersenyum dengan lebar tanda kepuasan yang teramat sangat.
Saat paling pahit adalah… bila tangan terkena mata kail. Nak tak nak kena tekad juga cabut buang sendiri sebab masa tu tiada siapa nak minta tolong. Sakit memang amat sakit tapi saya tidak pernah serik untuk memancing lagi.
Pernah juga beberapa kali terjatuh di atas batu ketika memancing di pantai sehingga lebam siku, lutut, perut… tapi itu sekadar beri pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati dan tidak terlalu seronok sangat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pancingan kelong telah lama wujud di Malaysia tetapi masih kurang pendedahan sehingga sukar untuk kita meraih infonya.
Jika ada pun, hanya merujuk kepada lokasi dan kejayaan trip, tetapi kurang dari segi teknikal dan persembahan.
Maka wujudlah tanggapan negatif dan kurang menyenangkan merangkumi hasil tangkapan, kos, spesies buruan dan sebagainya.
Untuk memperoleh hasil tangkapan yang baik di kelong, aspek-aspek seperti teknik persembahan, umpan terbaik, musim, tarikh dan waktu, pasang surut air, kedudukan
balingan, peralatan dan kelengkapan, spesies sasaran, pergerakan ikan serta kedudukan kelong perlulah difahami terlebih dahulu, sebelum bersandarkan kepada nasib semata-mata.
Semua ini boleh boleh diperoleh melalui kekerapan kita ke sesuatu lokasi dan pengalaman daripada otai.
Memancing di kelong sebenarnya satu gaya pancingan yang pasif. Apabila ke kelong, kita perlu ingat bahawa hasil bergantung sepenuhnya kepada musim dan pergerakan ikan.
Oleh kerana kelong adalah satu struktur tetap di pesisir laut, kita tidak bebas mengikut pergerakan ikan dan terpaksa menunggu kumpulan ikan bergerak menghampirinya.
Peluang ini perlulah digunakan sebaik-baiknya, di mana kita perlu memerah segala teknik dan tenaga yang bakal mempengaruhi hasil tangkapan nanti.
Walau bagaimana pun, sangat sukar untuk kita meramal waktu ini. Tetapi salah satu caranya, kita boleh merujuk kepada pergerakan ikan umpan seperti tamban.
Untuk menentukan musim ikan pula, sebaik-baiknya rujuklah kepada penjaga kelong. Mengikut pemerhatian, kebanyakan ikan biasanya didaratkan antara bulan April hingga September.
Oktober hingga Februari pula lebih sinonim dengan musim tengkujuh, justeru kurang sesuai.
Pasang surut air dan cuaca turut mempengaruhi pergerakan ikan. Waktu terbaik ialah air pasang pagi atau petang, tetapi pagi lebih menjanjikan.
Tengah hari bukanlah tak sesuai tetapi aktiviti biasanya sedikit terganggu dengan faktor cuaca terik dan tiupan angin kuat.
Malam pula biasanya dihabiskan dengan pancingan dasar dan koyan.
Terdapat tiga kaedah pancingan yang biasa digunakan di kelong iaitu menghanyut, dasar dan koyan.
Menghanyut adalah teknik utama yang biasanya dilakukan pada waktu siang untuk menyasarkan spesies seperti todak, talang pandan, talang, parang, alu-alu, senangin dan apabila tiba musimnya tenggiri dan alu-alu besar pula diburu.
Spesies talang pandan dan todak biasanya berada di sekitar kelong setiap waktu, manakala yang lain lebih dipengaruhi oleh musim dan pasang surut.
Air bunga pasang dan bunga surut adalah waktu terbaik. Air mati pula kurang sesuai untuk buru spesies mega.
Tamban merupakan umpan terpenting dan saiz umpan yang besar menjanjikan hasil yang besar.
Ikan selar pula kurang dapat perhatian. Sebaik-baiknya gunakan apollo saiz 5, 7 atau 9 dari jenis sisik / kulit ikan untuk mencari tamban dan selar.
Apollo juga kadangkala mampu menjerat sagai, todk dan talang pandan. Untuk memancing alu-alu besar, umpan talang pandan dan todak saiz 200 ke 400gram adalah yang terbaik,
malah ada pemancing menggunakan talang sehingga 900gram untuk menunggu alu-alu belasan kilo.
Menghanyut tanpa pemberat dan pelampung lebih efektif, dan biarkan ikan hanyut mengikut arah arus.
Umpan yang dihanyutkan berhampiran kelong mudah menjerat talang, talang pandan dan todak. Jika menyasarkan tenggiri dan alu-alu, sebaik-baiknya lepaskan umpan kira-kira 50 meter atau lebih dari kelong.
Ini memberi kelebihan untuk kita melemahkan mangsa sebelum ia menghampiri kelong, takut-takut nanti ikan melakukan pecutan terakhir ke arah tiang kelong.
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Tekong
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
INFO TRIP
Jumlah ahli : 9 orang
Jumlah sampan : 3 orang (kapasiti 5 termasuk boatman, jurumudi dan 3 pemancing)
Kos keseluruhan: RM 13,000
Tempoh: 4 hari 3 malam
Sasaran: Kelah merah, kejor, sebarau, baung
Tip: Tubuh badan perlu sihat, mampu mengharungi air dan merentas denai.
Banyak langkah yang perlu diambil untuk pastikan sesebuah trip memancing menemui kejayaan. Antara langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:
Kenali siapa tekong anda.
Pastikan anda tahu siapakah tekong anda nanti. Sebaiknya kita hubungi dia… tanya teknik, perambut, saiz batu, jenis mata, tali yang sesuai sebelum tiba trip memancing. ‘Kemesraan’ ini banyak membantu bila kita berada di atas bot nanti. Jika tidak ada tekong, pastikan anda berkomunikasi dengan pemancing yang kerap memancing di lubuk yang sama.
Buat Homework
Adakan homeworks berkaitan keadaan air sebelum turun memancing di satu-satu lubuk. Ketahui bila air mati, bila air pasang, pasang surut air, faktor hujan, pendek kata semua yang berkaitan dengan fasa air.
Spesies sasaran
Kenal pasti apakah spesies yang hendak diburu. Dari spesies anda akan dapat menentukan apakah peralatan yang sesuai sebelum turun ke satu-satu lubuk pancing. Jika rajin buka internet, cari info berkaitan sifat dan tabiat spesies ikan tersebut.
Ketahui Umpan Terbaik
Apakah umpan sesuai untuk target spesies kita. Sekali lagi menuntut anda merujuk kepada mereka yang biasa dengan padang pancing tersebut. Jangan malu bertanya.
Peralatan Perlu Saja
Hanya bawa peralatan yang sesuai sahaja, jangan amalkan bawa semua peralatan bila turun ke satu-satu lubuk.
Doa
Last sekali, solat dan doa pada Allah SWT yang hari ni aku keluar rumah untuk mencari rezeki untuk keluarga, InsyaAllah. Inilah petua saya dan Alhamdulillah saya jarang mangkor.
(Admin: Sedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham Nasir Yusof yang meninggal dunia pada 17 Oktober 2022.)
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...