Bila saya video memancing atau majalah memancing yang lama-lama, saya ada perasan kebanyakan rod yang dipakai jenis lama-lama yang ada roller (seperti gambar yang saya berikan).
Soalan saya, masih ada lagi rod macam tu sekarang ini dan dipakai untuk apa?
JAWAPAN:
Sebelum saya pergi terus kepada jawapan, mungkin ada baiknya juga buat sedikit penerangan tentang fungsi guides atau cincin pada joran.
Kita harus faham apa kegunaan cincin atau guide pada joran.
Peranan utama cincin adalah untuk membimbing (guide) tali keluar daripada kekili dengan lurus serta mengurangkan daya geseran pada tali utama.
Semakin besar hasil tangkapan maka semakin kuat tekanan kepada peralatan pancing. Justeru itu untuk pancingan hardcore, ia memerlukan cincin yang kuat dan berkuasa.
Kebiasaannya jenis cincin beroda yang dibina pada joran bertujuan untuk kegunaan menunda (trolling) atau memancing ikan yang memiliki daya renangan pantas yang dikenali sebagai ikan sukan (game fish).
Kebanyakan joran jenis pancing dasar dan menunda diperbuat menggunakan cincin beroda sebelum teknologi pembuatan cincin joran berkembang.
Cincin beroda dibuat supaya dapat menghindarkan geseran ketika tangsi keluar melaluinya dan seterusnya janaan haba terhadap dua objek yang bertemu pada kelajuan tinggi.
Roda yang berputar boleh mengurangkan geseran berbanding cincin statik. Apabila cincin yang diperbuat daripada bahan tahan hakisan seperti silikon karbid (SiC) memasuki pasaran, bahan ini terbukti lebih efisyen dan lebih baik berbanding roda.
Cincin jenis SiC diperbuat daripada seramik paling terbaik daya hakisan dan mampu mengurangkan janaan haba apabila tangsi melalui diatasnya (nyah haba) dengan kelajuan tinggi.
Dan tentu saja teknologi yang mahal menuntut belanja yang tinggi juga.
Umpan apakah yang sesuai untuk memancing baung dan keli. Apakah jenis umpan yang sesuai untuk ikan di kolam air tawar?
JAWAPAN:
Kolam air tawar dihuni pelbagai spesies ikan yang mempunyai naluri dan diet makanan tersendiri. Namun biasanya hampir semua ikan ternakan kolam diberi makan dedak. Ada pelbagai jenis dedak untuk makanan ikan kolam air tawar. Namun masalah ketara kepada kaki pancing ialah pemilihan jenis dedak yang terlalu banyak di pasaran dan cara memasang dedak pada mata kail. Penulis cuba rumuskan jenis umpan dan sasaran ikan yang biasa diperoleh daripada umpan berkenaan.
Cacing (hampir semua ikan kolam kecuali patin). Cengkerik (pacu, baung, keli dan tilapia). Usus/perut ayam (keli/ keli Afrika dan patin). Roti/sisa roti (tongsan, kap dan patin). Udang sungai (baung, ketutu dan tilapia). Anak ikan (belida, toman, baung dan keli). Serangga termasuk belalang (tilapia, ketutu, keli, pacu dan baung). Katak (toman dan haruan). Dedak (patin, rohu, tongsan dan leekoh).
Antara umpan yang disebutkan, dedak paling popular dan digunakan secara meluas di kebanyakan kolam. Dedak di pasaran ada pelbagai jenis, jenama dan saiz. Ia biasanya diadun dengan telur, air belacan, air sirap, santan kelapa, sisa biskut dan macam-macam lagi.
Ada juga pemancing mencampurkan adunan pelbagai dedak supaya lebih berkesan. Ini tidak termasuk dedak yang diperam semalaman atau lebih sehingga berbau tengik untuk menarik ikan.
Bandaraya Alor Setar yang berkedudukan di pinggir Selat Melaka dan dikelilingi sistem sungai seperti Sungai Kedah, Sungai Langgar, Sungai Tajar, dan Sungai Anak Bukit menjelaskan lagi pancingan air masin menjadi pilihan utama.
Apabila laut tidak mesra pemancing, kolam air masin akan menjadi galang ganti sebagai pengubat rindu. Maka tidak hairanlah banyak kolam pancing komersial air masin beroperasi di Alor Setar umpama `koq’ di dalam kolam. Dan salah satu daripada kolam-kolam tersebut adalah kolam Kuala Kedah Sport Fishing.
Kolam Kuala Kedah Sport Fishing yang terletak di Kampung Keluncur, Mukim Kubang Rotan, Alor Star ini mula beroperasi pada Mac 2013 yang lalu oleh anak tempatan yang juga seorang kaki pancing tegar air masin.
Ir. Zainal Alam Hj Bakar, 58 tahun, memanfaatkan kawasan bakau bersebelahan dengan kuala Sungai Kedah ini dengan mengusahakan sebuah kolam memancing air masin bagi memenuhi minat penduduk setempat. Kolam berukuran 100 kaki X 50 kaki mendapat bekalan air masin secara terus dari kuala sungai bersebelahan kolam.
Seminggu sekali, penggantian air kolam akan dilakukan dengan mengepam keluar air kolam ke sungai ketika air sungai surut dan menyedut kembali air sungai ke kolam ketika air pasang.
Kolam berkedalaman 11 kaki dan menampung air sehingga 8 kaki dalam ini menempatkan ikan-ikan yang diternak di dalam sangkar khususnya dari Sungai Merbok dan ikan-ikan laut lepas.
Jika tiada permasalahan stok dengan pembekal, pemancing akan berpeluang memancing siakap, siakap merah, bawal angsa, kerapu, jenahak, merah, aruan tasik serta gerepoh pada satu masa. Dengan kebanyakan ikan diperolehi daripada pembekal sangkar ternakan dan laut lepas, ia menjanjikan ikan-ikan di kolam Kuala Kedah Sport Fishing bukan saja seronok ditentang malah turut lazat untuk dijadikan juadah.
Beroperasi dari 9 pagi hingga 1 pagi setiap hari, dengan yuran memancing RM 50 bagi tempoh 4 jam pertama, RM 10 per jam untuk tempoh berikutnya, pemancing boleh membawa balik ikan yang berjaya dipancing dan dibenarkan untuk menyambung waktu memancing bila-bila masa saja jika gagal menghabiskan tempoh memancing untuk 4 jam pertama.
Ia merupakan satu keistimewaan berbanding kolam-kolam pancing air masin lainnya yang tidak membenarkan pemancing menyambung pancingan pada waktu-waktu lain sekiranya gagal menghabiskan tempoh memancing 4 jam pertama.
Selain dari kelebihan itu, kolam Kuala Kedah Sport Fishing turut mengadakan sistem ranking dan sistem pecah jackpot tanpa mengutip wang daripada pemancing. Dalam erti kata lainnya, sistem pertandingan yang disediakan adalah bebas dari unsur-unsur perjudian. Bahkan pihak kolam turut memberi bonus berupa 4 jam memancing percuma bagi pemancing yang telah 10 kali memancing.
Ikan-ikan yang dilepaskan lazimnya bersaiz yang hampir sama. Purata siakap bersaiz hingga 4 kg seekor, jenahak dari 1.5kg hingga 3kg. Siakap merah 1.5 hingga 2kg. Merah juga sekitar saiz 1.5 kg hingga 2 kg. Sementara kerapu pula, jika dibekalkan saiz-saiz kasar sehingga 10 kg, ia akan dijadikan ikan target pertandingan pecah jackpot.
Dan semua ikan-ikan ini boleh dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup yang dibekalkan dengan harga serendah 70 sen seekor atau umpan ikan mati. Umpan anak ikan hidup sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya di kolam ini.
Kolam Kuala Kedah Sport Fishing ini juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas sebagaimana kolam lainnya. Dan sejurus team Majalah Umpan mengunjungi kolam ini, ia akan ditutup bagi tempoh 2 minggu bagi proses penyelenggaraan.
Khususnya bagi penyusunan semula ‘koq’ atau kolong di dasar kolam bagi kejadian ikan berkumpul pada sesuatu tempat sahaja dan menguntungkan beberapa pihak pemancing sahaja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...