Ikan Laut Yang Bersirip Tajam & Duri Berbisa (Siri 2)!!

Share

 

GEDEMA

Nama saintifik : Allenbatrachus grunniens

Nama umum : Grunting toadfish, Frogfish

Biasanya ikan ini akan menghuni kawasan dasar berhampiran pesisir pantai yang berlumpur dan berpasir. Depu singa ini mempunyai duri-duri kecil terutama pada sebahagian besar kawasan operkulumnya. Duri-duri kecil ini berbisa jika tertusuk dan mampu mendatangkan kesakitan jika tidak mendapat rawatan segera.

 

ARUAN TASIK

Nama saintifik : Rachycentron canadum

Nama lain : Cobia

Aruan tasik mempunyai daya larian yang begitu kuat. Spesies ini juga mampu membesar mencapai saiz gergasi. Dalam mengendalikan ikan ini terutama di atas bot yang bergerak, perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko terkena sengatan durinya. Sebaris duri keras dan tajam aruan tasik yang terletak pada bahagian sirip dorsalnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius.

 

BELUKANG

Nama saintifik : Hexanematichthys sagor

Nama umum : Sagor catfish

Ikan belukang hampir menyerupai ikan duri. Ikan ini selalunya menjadi pengacau umpan dan sering dinaikkan ketika memancing di kawasan berair payau. Begitu pun, seperti ikan duri, ikan belukang juga mempunyai duri sengat yang berbisa. Duri ini terletak di bahagian sirip dorsalnya serta pada sirip pektoralnya.

 

DENGKIS

Nama saintifik : Siganus vermiculatus, S. javus

Nama umum : Spinefoot fish, Rabbitfish

Ikan dengkis hampir menyamai rupa ikan kitang namun dari segi nilai, ikan dengkis sememangnya jauh lebih bernilai dari kitang. Begitu juga dengan bisa dari sengat berduri ikan kitang. Ia mampu menyebabkan bahagian yang terkena sengat terasa kejang untuk beberapa jam lamanya.

 

KITANG

Nama saintifik : Scatophagus argus

Nama umum : Spotted scat

Ikan kitang berbentuk pipih dan biasanya mempunyai corak berbintik hitam di badannya. Ikan ini mempunyai duri yang berbisa di sepanjang barisan sirip dorsal serta sirip pelviknya. Duri yang berbisa pada ikan ini mampu mendatangkan kecederaan teruk yang menyebabkan rasa kebas dan kesakitan berlarutan jika tidak dirawat.

 

MAYONG

Nama saintifik : Netuma thalassina, Arius thalassinus

Nama umum : Giant sea catfish

Ikan mayong mempunyai bentuk seperti ikan duri namun saiznya lebih besar dan mampu mencapai panjang sehingga 1.8 meter. Ikan mayong juga mempunyai duri dan sengat yang berbisa serta mampu mendatangkan kecederaan. Duri utama pada sirip dorsalnya sangat tajam dan keras ditambah dengan sepasang duri pada bahagian pektoralnya.

 

IKLAN