226 tahun, itulah usia dan jangka hayat kehidupan bagi Hanako, yang juga merupakan spesies ikan koi yang hidup paling lama pernah direkodkan.
Hanako yang bermaksud “flower girl” merupakan seekor ikan koi betina yang cantik dengan sisik berwarna scarlet (merah dengan kilauan oren) dari Jepun.
Hanako mati pada 7 Julai 1977 setelah hidup dalam usia yang begitu panjang iaitu selama 226 tahun.
Spesies ikan koi ini dilahirkan pada tahun pertama Horeki, di tengah era shogun iaitu Tokugawa Era.
Ads
Pada 25 May 1966, Dr. Komer Koshihara yang merupakan pemilik si Hanako telah membuat hebahan media ke seluruh tanah Jepun menerusi stesen radio Nippon Hoso Kyokai berkenaan usia ikan koi yang cantik ini.
Ketika itu, usia Hanako ialah 225 tahun dengan berat 7.5 kg dan panjangnya 70 cm.
Ads
Dia juga menjelaskan Hanako merupakan ikan yang diwariskan dalam keluarganya sejak turun temurun.
Usia Hanako disahkan oleh Professor Masayoshi Hiro setelah membuat analisis garisan sisik Hanako di dalam makmal selama 2 bulan.
Ads
Biarpun ikan koi dikenali dengan usia yang panjang, namun untuk mencapai usia melebihi 2 abad ialah sesuatu yang menakjubkan.
Tak hairanlah spesies ini cukup dihormati oleh masyarakat Jepun. Apa yang menakjubkan selain cerita di atas ialah, usia Hanako lebih tua berbanding usia Amerika Syarikat, lahir 5 tahun sebelum genius muzik klasik iaitu Mozart lahir, hidup dalam zaman Napoleon, Elvis Presley dan The Beatles!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu jenis yang mempunyai tulang belakang (vertebrata) dan ikan yang mempunyai banyak tulang (bony fish). Kedua-dua kumpulan ini banyak dibezakan daripada cara mereka berkembang biak.
Bony fish seperti lampam, siakap dan gelama, mereka mengembangkan zuriat dengan cara bertelur di dalam air dan telur tersebut akan disenyawakan oleh sperma ikan jantan.
Bagi ikan veterbrata, ia seperti mamalia iaitu telurnya akan disenyawakan di dalam badan ikan betina dan apabila cukup tempoh melahirkannya ia akan mengeluarkan zuriatnya untuk memulakan hidup baru.
Kebiasaannya bony fish atau nama saintifiknya Osteichthyes mempunyai dua set sirip pektoral dan pelvik dan set sirip menegak (dorsal, anal dan kaudal). Insangnya yang terletak di kedua bahagian dilitupi dengan tulang leper dan sesetengah ikan mempunyai pundi renang di bawah tulang leper ini.
Dengan kemasukan udara yang fleksibel ke dalam insang, ini membolehkan bony fish ini mengekalkan apungan dan pernafasan walau sedalam mana ia menyelam.
Insang
Ikan akan bernafas dengan memasukkan air ke dalam mulutnya, kemudian memaksa air tersebut melalui insangnya dan keluar secara perlahan-lahan menerusi celah-celah insangnya.
Di dalam kawasan insang, ikan akan menggunakan setiap helaian insang tersebut menapis oksigen yang terkandung bersama-sama air dan sebatikan oksigen tersebut ke dalam darahnya serta menyingkirkan karbon dioksida daripada darahnya ke dalam air di sekitarnya.
Sisik
Bony fish adalah ikan yang mempunyai sisik berbanding cartilaginous fish dan sisik mereka boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu cycloid (sisik yang mempunyai mata yang lembut dan rata) dan ctenoid (sisik yang mempunyai mata tidak rata).
Sisik ini akan tumbuh dalam keadaan yang tersusun seperti susunan atap rumah. Sisik yang hilang atau tercedera akan tumbuh secara semulajadi tetapi bukan dalam keadaan yang asal. Jerung juga mempunyai sisik yang kecil yang dipanggil placoid scales.
Ikan cartilaginous
Dengan nama saintifiknya Chondrichthyes, ikan jenis ini majoritinya mendiami lautan iaitu perairan air masin seperti pari dan jerung. Jerung mempunyai bentuk badan yang panjang manakala si pari pula mempunyai bentuk badan yang betul-betul leper dan separa bulat.
Insang dan mulut pari berada di bahagian bawah badannya. Bagi jerung pula, insangnya berkedudukan hampir sama seperti bony fish iaitu bahagian tepi badannya tetapi ia tidak dilindungi oleh tulang leper. Insang cartilaginous fish mempunyai injap berpusar. Ini memberikan ruang kepada ikan ini menyerap makanan.
Renangan
Pari berenang dengan mengayuh atau mengibas sirip pektoralnya manakala jerung berenang dengan menggunakan otot ekornya yang digerakkan ke kiri dan ke kanan.
Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.
PATIN
Nama saintifik: Pangasius pangasius, P. sutchi, P. nasutus, P. gigas
Nama umum: Shark catfish, River catfish
Nama tempatan: Patin, Mekong, Patin buah, Patin muncung
Ikan patin merupakan spesies yang terkenal tidak kira sebagai hidangan atau pertarungan bagi pemancing di Malaysia. Patin liar boleh dijumpai di lombong atau sungai. Spesies ini sinonim dengan bandar Temerloh di Pahang sebagai hidangan dan bernilai tinggi.
Terdapat tiga spesies yang direkodkan berasal dari semenanjung iaitu patin buah (Pangasius nasutus), patin juara (P. micronemus) dan patin muncung (Helicophagus waandersii). Patin liar mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding patin sangkar atau ternak.
Bagi pemancing pula, selain patin liar, patin Mekong (Pangasionodon gigas) yang merupakan spesies berasal dari Thailand paling memberi kepuasan dalam pertarungan.
Selain itu, patin juga menjadi spesies penting dalam sektor akuakultur kerana mudah diternak. Sehingga kini terdapat lebih kurang 30 spesies dari tiga genus berbeza bagi ikan dari keluarga Pangasiidae ini.
Kaedah Memancing
Patin liar yang bersaiz besar biasanya mendiami lubuk-lubuk yang dalam di dalam sungai atau lombong. Ia bersifat omnivor dengan diet utama seperti cacing, lundi serangga, buah-buahan, ikan kecil dan udang.
Bagi pancingan di kolam, biasanya penggunaan roti, pellet dan dedak bersama perisa pandan atau strawberi sangat popular. Pelbagai resipi umpan untuk patin boleh didapati sekarang. Rajinkan bertanya kepada otai-otai kolam atau cuba adunan resipi sendiri untuk memikat sesies ini.
BAUNG
Nama saintifik: Mystus nemurus
Nama umum: Malaysian river catfish
Nama tempatan: Baung
Ikan baung merupakan antara spesies air tawar yang berasal dari Malaysia. Baung dikatakan mempunyai potensi besar dalam bidang akuakultur untuk diternak. Selain rasa yang agak lazat, baung juga menjadi spesies popular bagi pemancing. Secara morfologinya, baung mempunyai dua pasang barbel atau misai dibahagian kepalanya.
Habitat baung biasanya di sungai-sungai atau tasik yang besar. Selain itu, ia bersifat pemakan dasar yang memakan pelbagai jenis makanan termasuk invertebrata benthic, krustasia, ikan, udang dan serangga sebagai diet utamanya.
Kaedah Memancing
Waktu yang paling sesuai untuk memancing baung ialah pada waktu malam dengan teknik pancingan dasar. Antara umpan popular bagi menjerat baung di kalangan pemancing ialah cacing, perut atau kulit ayam, anak ikan dan umpan tapa.
Teknik pancingan asas sahaja sudah mencukupi untuk memancing baung dan kalau kena lubuknya, tak menang tangan nak melayan.
Selain pancingan dasar, ikan baung juga boleh dipancing dengan teknik mengilat dan trolling. Gewang yang berkesan untuk baung ialah gewang selaman dalam dengan karauan perlahan.
KENERAK
Nama saintifik : Bagarius bagarius
Nama umum : Devil catfish, Goonch
Nama tempatan : Kenerak, Hantu, Baung Bodoh, Baung Askar
Kenerak (Bagarius bagarius) atau baung kenerak antara spesies yang unik. Ia unik kerana warna badannya coklat kehijauan dan bertompok-tompok seakan pakaian askar. Selain itu, rupanya juga dikatakan agak menakutkan.
Namun begitu, Ia tetap menjadi buruan kerana sifat melawan serta rasanya yang sedap lantas mendapat permintaan yang tinggi. Kenerak biasanya mendiami kawasan yang berarus deras dan berjeram di celah-celah batu dan kayu.
Bagi saiz dewasa ia tinggal di kawasan yang dalam serta luas atau sederhana luas. Walaupun laporan dari luar negara menunjukkan kenerak bersaiz mega, namun di Malaysia, kenerak bersaiz belasan kilogram sudah semakin sukar ditemui melainkan saiz biasa.
Kaedah Memancing
Spesies ini lebih mudah dijumpai di kawasan sungai berbatu yang berarus deras atau berjeram. Umpan yang biasa digunakan hampir sama untuk memancing baung. Umpan anak ikan atau serangga juga menjadi pilihan kenerak.
Bagi kawasan luas seperti sungai berbatu, anda mungkin boleh menggunakan gewang untuk menjerat kenerak. Gunakan gewang selaman dalam dan warna terang kerana sifatnya yang tinggal di dasar.
Terdapat beberapa sub-famili todak di dunia namun spesies todak yang mengisi slot info spesies kali ini ialah todak yang biasa ditemui di perairan negara kita. Ikan yang tergolong dalam family Belonidae (needlefishes) dan genus Ablennes ini dikenali sebagai flat needlefish di peringkat global.
Taburan ikan todak begitu meluas di seluruh dunia dan hampir seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia lazimnya boleh ditemui perairan cetek dari kawasan estuary hinggalah ke tengah laut. Ciri-ciri utama ikan berparuh ini memiliki muncung panjang yang dibarisi gigi atas dan bawah di sepanjang paruhnya.
Ikan todak memiliki badan pipih memanjang dengan tona warna hijau cerah di bahagian atas dan putih berkilau di bahagian bawah badan. Todak jenis ini mempunyai lapan belang berwarna biru gelap bermula pangkal sirip dorsal pertama hingga hujung ekor. Belang ini hanya separuh bahagian ukur lilit badannya sahaja.
Panjang mulutnya hampir satu per tiga dari keseluruhan panjang badannya. Memiliki barisan gigi tajam di bahagian bawah dan atas rahang mulut. Giginya tajam di sepanjang muncung atau paruh mulutnya. Mulutnya tidak begitu besar untuk menelan mangsa tetapi dengan bantuan giginya ia mampu mengerjakan mangsa yang lebih besar dari kapasiti mulutnya untuk ditelan. Saiz mata agak besar.
Dengan memiliki ekor bercabang tegap tetapi pendek membolehkannya melakukan pecutan serta anjakan untuk meloncat ke udara. Ikan ini mampu membesar hingga 95cm panjang tetapi saiz purata 60cm sahaja. Todak jenis ini mempunyai ekor tirus dan bercabang lebih kuat dari jenis mempunyai ekor bulat.
Kedudukan sirip dorsal agak jauh ke belakang badan kira-kira 2/3 dari pangkal kepala bagi ikan yang dikenali sembir di pantai timur.
Ikan todak bergerak dalam kelompok tersendiri. Mereka Menghabiskan masa berkeliaran di permukaan air. Ikan pelagik ini gemar berada di kawasan cahaya lampu. Ia boleh dilihat berkeliaran di sekeliling kawasan limpahan cahaya pada malam hari.
Ia kelihatan jinak ketika menghampiri bot tetapi akan bergerak pantas melarikan diri apabila ternampak bayang pergerakan manusia atau terancam keselamatannya.
Todak boleh membuat pecutan di atas permukaan air (hanya bahagian ekor sahaja yang mengena air) dalam jarak amat jauh seperti jet pejuang sedang berlepas dari landasan. Ini boleh diperhati ketika ia melarikan diri dari serangan pemangsa.
Todak yang terperanjat adalah yang tidur di permukaan air dan membabi buta melompat dan menujah di permukaan air untuk menyelamatkan diri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...