Ikan tuna (juga dikenali sebagai tunny) adalah ikan air masin yang berada dalam suku Thunnini, subfamili kepada famili Scombridae (mackerel). Suku thunnini terdiri daripada 5 genus dan terdapat 15 spesies tuna kesemuanya. Spesies tuna memiliki kepelbagaian saiz yang amat mengagumkan.
Dari spesies terkecil bullet tuna yang mampu mencapai panjang 50 cm dan seberat 1.8 kg sehinggalah spesies terbesar, Atlantic bluefin tuna yang mampu mencapai panjang maksimum 4.5 meter dengan berat sehingga 684 kg. Purata Atlantic bluefin tuna yang ditemui sekitar 2 meter panjang dan dipercayai mampu hidup sehingga 50 tahun.
Ikan tuna, opahs (sunfish) dan mackerel sharks merupakan satu-satunya spesies ikan yang dapat mengekalkan suhu tubuh lebih tinggi daripada suhu air di sekelilingnya.
Keluarga tuna merupakan spesies predator atau pemangsa yang aktif dan tangkas. Ikan tuna memiliki bentuk badan bergaris arus, ramping dan merupakan antara ikan pelagik yang paling pantas. Sebagai contoh, yellowfin tuna mampu mencapai kelajuan sehingga 75 km sejam.
Ikan tuna biasanya ditemui di lautan bersuhu sederhana dan ia ditangkap secara komersial di samping begitu popular sebagai ikan sukan. Berikutan tangkapan berlebihan, beberapa spesies tuna khususnya southern bluefin tuna diancam kepupusan.
Taksonomi:
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Class : Actinopterygii
Order : Scombriformes
Family : Scombridae
Genus : Allothunnus, Auxis, Euthynnus, Katsuwonus, Thunnus
Ikan ceramin-ceramin (Sabah) atau ebek bukanlah satu nama spesies ikan yang janggal bagi pemancing di Malaysia.
Tergolong dalam kalangan keluarga Carangidae, ikan ebek atau nama sebenarnya, Alectis indica merupakan ikan jack yang mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar, atau lebih sinonim dengan terma kaki pancing iaitu saiz mega.
Ikan ebek merupakan sejenis spesies ikan marin yang mudah ditemui di perairan tropika seperti Lautan Pasifik yang melangkaui Afrika Timur ke India, Asia, Indonesia, Australia dan juga Malaysia.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidaklah sesukar mana, bermula dari kawasan muara hingga ke lautan lepas.
Mungkin disebabkan itu, ebek atau nama lainnya, diamond trevally menjadi antara spesies yang sering menjadi buruan pemancing di Malaysia.
Malah kekuatan pertarungan di hujung kail juga cukup untuk memberikan kepuasan pancingan kerana ebek cukup agresif sebaik sahaja kail tercangkuk kemas di mulutnya.
Walaupun mampu membesar sehingga keberatan 25kg dan panjang sehingga 1.6 meter, kebiasaan spesies ebek yang dipancing di perairan Malaysia bersaiz lebih kecil.
Ebek yang berat sekitar 6-7 kg sudah dianggap saiz yang besar jika dinaikkan menggunakan joran dan kekili.
Sinonim
Ebek atau diamond trevally merupakan salah satu daripada tiga spesies ikan jack daripada genus Alectis di mana kumpulan ikan ini datang daripada 33 genera dalam keluarga Carangidae.
Carangidae pula merupakan ikan jenis perciformes dalam suborder yang digelar Percoidae.
Spesies ini asalnya diterangkan secara saintifik oleh pengkaji naturalis Jerman iaitu Eduard Rüppell pada tahun 1830 di bawah nama binomial Scyris indicus, hasil spesimen yang dikumpul dari Laut Merah.
Selepas penamaan Ruppell itu, beberapa orang pengkaji lain tanpa disedari telah menerangkan semula spesies ini, dengan nama-nama seperti Hynnis insanus
(Valenciennes, 1862), Caranx gallus (Klunzinger, 1879) dan Hynnis momsa (Herre, 1927), yang merujuk kepada spesies yang sama.
Selang beberapa tahun, pengelasan asal Ruppell juga telah disemak semula; di mana asalnya spesies ini diletakkan dalam genera Seriolichthys, dan akhirnya diletakkan dalam genus Alectis oleh James Douglas Ogilby pada tahun 1913.
Lantas, nama spesies ini telah ditetapkan sebagai Alectis indicus dalam cetakan sains. Bagaimanapun genus Alectis adalah genus feminin, dengan itu indica merupakan ejaan spesies yang betul.
Taburan Spesies Dan Habitat
Secara saintifiknya, taburan spesies ebek tertumpu di kawasan tropika seperti Lautan Hindi dan Barat Lautan Pasifik merangkumi Madagascar, Afrika Timur, Laut Merah hingga ke India, China, Asia Tenggara, utara Jepun hingga ke selatan Indonesia serta utara Australia.
Selalunya, ikan ebek akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20meter hingga 100meter sebagai habitatnya.
Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus laut. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara.
Morfologi
Dari segi morfologi luaran ikan ebek, spesies ini mempunyai bentuk kebiasaan pada spesies ikan jack. Badan ikan ebek mempunyai bentuk yang bersudut yang agak menonjol selain daripada badan nipis mampat yang kuat.
Pengenalan utama bagi spesies ebek boleh diperhatikan pada bahagian kepalanya yang mempunyai bentuk sedikit cekung berhampiran matanya yang membezakannya antara saudara terdekat dalam genus Alectis.
Dengan sedikit imaginasi, pemancing dapat melihat bentuk bersudut ikan ini seakan-akan sebutir berlian apatah lagi ditambah dengan warna perak berkilat pada badannya yang memukau apabila disimbah cahaya matahari.
Sirip dorsal ikan ebek menunjukkan bentuk yang melengkung ke belakang dan bentuk sudut yang jelas bentuk badannya dapat dilihat pada unjuran antara sirip dorsal lembut dan sirip anal lembut yang menggariskan bentuk badannya ke bahagian ekor.
Bagi sirip pektoral pula, spesies ebek mempunyai sirip pektoral yang panjang dan melengkung sehingga ke garisan lengkung lateral.
Badannya kelihatan seolah-olah tidak bersisik, namun jika diperhatikan lebih dekat, dapat diperhatikan kehadiran sisik-sisik kecil dan halus yang tertanam pada badannya.
Garisan lateral pada badannya jelas menonjol dan melengkung pada bahagian anterior dan kehadiran sisik kasar scutes antara 6-11 scutes juga kelihatan pada bahagian kaudal pedunkel.
Bagi ebek juvenil, sirip anal dan dorsalnya seakan filamen yang lebih panjang berbanding ebek dewasa.
Bagi ebek dewasa, warna badannya ialah perak terang dan menyilaukan hingga ke warna perak biru kehijauan, sering kali warna bahagian kepala lebih gelap dan beransur perak apabila semakin ke bawah.
Bahagian operculum atas ebek mempunyai tompok hitam kecil. Warna sirip berfilamen lembut ebek pula biasanya berwarna biru atau hitam.
Biologi Dan Diet
Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin alam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya seterusnya menjadikan senarai tersebut sebagai diet pemakanan utama.
Bagi kitaran persenyawaan pula, tidak banyak diketahui berkaitan ikan ebek. Namun pemerhatian sebuah kajian di Indonesia mendapati persenyawaan spesies Alectis indica
berlaku di kawasan beting yang berkedalaman antara 35-45meter berhampiran kawasan berkepulauan.
Sebagaimana ikan sembilang, sembilang karang turut memiliki sirip kaudal atau sirip ekor yang sama sebagaimana ikan belut.
Oleh yang demikian sembilang karang turut digolongkan dalam keluarga belut berduri atau bermisai.
Sembilang karang boleh dikenali dengan jelas berdasarkan corak jalur pada badannya.
Sembilang karang berwarna coklat atau kelabu gelap pada keseluruhan badan dengan tiga jalur melintang berwarna putih.
Jalur pertama bermula dari bahagian hidung melintasi atas mata ke arah bahagian atas ekor.
Jalur kedua juga bermula dari hidung tetapi melintasi bawah mata dan berakhir pada pangkal bawah sirip ekor.
Jalur ketiga pula lebih pendek, ia bermula dari bahagian atas hidung dan berakhir sebelum sirip ekor.
Sembilang karang mempunyai taburan yang agak meluas dan boleh ditemui di Lautan India dan Laut China Selatan, ke arah timur hingga ke Samoa, ke arah selatan hingga ke Australia dan ke arah utara hingga ke Jepun.
Sembilang karang lebih gemar mendiami kawasan terumbu karang sepanjang pantai terbuka dan kadangkala bergerak ke muara tetapi jarang sekali memasuki perairan yang bersaliniti rendah.
Ia juga bergerak dalam kumpulan yang agak besar yang terdiri dari beberapa ratus individu. Sembilang karang hanya bersaiz sekitar 20-35 cm panjang.
Seperkara lagi yang menarik tentang ikan ini adalah isinya yang sangat sedap dan lembut. Mungkin antara yang terlembut berbanding ikan-ikan lain.
Nisbah isinya juga tinggi sebagai mana catfish yang lain.
Sebagaimana ikan sembilang, ikan sembilang karang turut terkenal kerana duri atau spinanya yang berbisa.
Oleh yang demikian, jangan terlalu ghairah untuk menanggalkannya dari cangkukkan mata kail apatah lagi jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia memancing.
Anda mungkin berhadapan dengan bahaya besar apabila sembilang dapat melibaskan kepala dan membenamkan sengatnya ke tangan anda.
Bisanya cukup untuk membuatkan anda ingin pulang terus ke rumah dan melupakan keseronokan memancingnya.
Bukan setakat itu, bisanya juga boleh kekal sehingga beberapa hari dan agak lambat untuk sembuh.
Bagi mereka yang alah terhadap bisanya, mungkin mereka akan turut mengalami demam.
klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Pelari pecut samudera yang tersohor ini dikenali sebagai Ono di Hawaii, manakala Peto di Amerika Utara. Memang sekali pandang, wahoo (Acanthocybium solandri) tak ubah seperti tenggiri batang (Scomberomorus commerson).
Yang membezakannya ialah muncung wahoo lebih runcing, potongan badan lebih bersilinder, cabang ekor yang lebih melebar dan sirip dorsal pertama yang lebih panjang serta seragam ketinggiannya (pada tenggiri, sirip dorsal ini meninggi di depan dan menganjur rendah ke belakang)
Lazimnya wahoo berwarna biru kehitaman dan semasa hidup, ia mempamerkan jalur menegak yang berombak seperti corak harimau. Paling menggerunkan ialah barisan gigi setajam pisau belit di dalam muncungnya yang tirus itu.
Kebanyakan wahoo yang ditangkap pemancing ialah antara 7 hingga 25kg. Hairannya, spesimen kurang 6kg jarang ditemui.
Wahoo gergasi melebihi 40 kg sering ditangkap di perairan Australia dan ia lebih banyak berkeliaran di sekitar kepulauan Fiji, di mana spesimen sehebat 65kg pernah direkodkan.
Wahoo boleh ditemui di kawasan lautan tropika, subtropika dan bersuhu sederhana di seluruh dunia. Di Malaysia, spesies ini bersepah di kepulauan Spratly di luar pantai Sabah dan Sarawak.
Wahoo merupakan ikan pelagik lautan terbuka yang menyukai air lautan yang bersih dan biru dengan suhu 21 darjah ke 30 darjah Celcius.
Ia jarang dijumpai berdekatan persisiran. Wahoo gemarkan lokasi bertentang jurang karang yang dalam, gunung lautan dan puncak terumbu. Spesimen besar pula lebih suka terasing jauh sehingga melepasi penghujung pelantar benua.
Spesies ini disifatkan ganas perangai. Ia berstrategi dengan hanyut perlahan di bawah bayangan dan biasan cahaya gelombang lautan yang hampir di permukaan air.
Apabila sampai di jarak yang bersesuaian, ia akan memecut sepantas kilat untuk menyambar mangsanya, dan mengerat ke beberapa bahagian dalam sekelip mata saja.
Mangsanya terdiri dari ikan tongkol, anak belitung, todak dan sotong. Walaupun kerap bersendirian, wahoo juga akan memburu dalam pasukan sejumlah dua hingga berbelas ekor, terutama di kawasan tropika.
Biasanya wahoo diperangkap dengan gewang berenang laju seperti skirt dan replika ikan selaman dalam, perambut dawai adalah perlu jika wahoo yang dicari.
Namun ramai pemancing agak bernasib baik biarpun berperambut tangsi, kerana taktik ikan ini yang suka membantai mangsanya dari ekor.
Wahoo jarang disasarkan pemancing, sebaliknya ia terkena semasa memburu ikan tuna, mersuji, layaran, tenggiri, aji-aji dan sebagainya. Sebab itulah ia acapkali digelar ikan pengacau.
Tetapi wahoo tetap juga dialu-alukan kerana rupa bentuknya begitu menarik, tambahan pula kederasan larian dan keenakan isinya. Parasit besar berbentuk seperti cacing sering dijumpai dalam perut wahoo, tetapi ini tidak mempengaruhi isinya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...