Casting Sampai Lebam Di Dam Sg. Lebam

Share

 

Lokasi terakhir kami ialah memancing di sebuah Empangan yang berhampiran dengan Pantai Desaru iaitu Empangan Sungai Lebam. Kami menyewa sebuah bot laju untuk casting di empangan ini.

 

Empangan ini sangat dikenali oleh kaki pancing yang tinggal berhampiran kerana populasi toman yang banyak mendiami Empangan ini. Selain itu dikhabarkan juga, terdapat patin dan tapah bersaiz gadang pernah ditewaskan oleh pemancing sebelum ini di sini.

 

 

Cuaca yang berangin dan mendung memberi kelebihan untuk casting sepanjang hari. Memancing di empangan ini tidak mengecewakan. Banyak ikan toman berjaya diperoleh di sini. Gewang minnow dan selaman dalam cukup laku lebih-lebih lagi buat toman bersaiz remaja.

 

Terdapat juga di beberapa lokasi empangan ini diselaputi rumput-rumput panjang. Kami dapati, toman juga banyak menghendap mangsa di celah-celah rumput yang panjang.

 

Umpan katak tiruan kalis sangkut juga yang dibawa memberi banyak kelebihan semasa memancing di sini. Artoz juga berjaya menangkap seekor haruan yang beratnya hampir 2 kg. Setiap hasil tangkapan di empangan ini kami lepaskan semula dengan selamat.

 

 

Kembali Pulang

 

Tamatnya memancing di Empangan Sungai Lebam, bermakna kami telah mengakhiri trip marathon kami di Johor Bahru.

 

Lokasi berbeza-beza serta variasi pancingan yang pelbagai telah kami kunjung sepanjang 5 hari kami berada di Negeri Johor. Pancingan di kolam, muara, laut dan empangan ternyata telah memberi kami satu kepuasan memancing yang maksimum.

 

 

Walaupun tidak semua kunjungan kami berjaya, tetapi kami tetap gembira memancing di negeri Johor ini dan amat berterima kasih kepada warga JFT terutama Che Wan kerana sudi melayan kami sepanjang kami berada di sini. Kami pasti akan kembali lagi ke negeri Johor kerana banyak lagi spot-spot menarik untuk memancing yang belum kami kunjungi lagi.

 

IKLAN