Memancing udang galah boleh dilakukan dari tebing atau menggunakan sampan atau bot. Tetapi bagi saya, pancingan dari bot lebih sesuai kerana anda boleh bertukar lokasi sekiranya di satu-satu lokasi itu ‘senyap’ tiada sebarang getuan.
Untuk pancingan bot fiber menggunakan enjin 5-8 kuasa kuda, memadai hanya 2-3 orang sahaja dalam satu bot. Ini bagi membolehkan seorang itu memasang lebih dari 2 pancing setiap orang.
Selepas umpan dihulurkan, perhatikan setiap hujung joran. Ketika ini, tali harus sentiasa tegang. Bila sahaja ada getuan, sentap dengan lembut dengan cara mengangkat tinggi joran anda, bagi memudahkan mata kail tertancap kemas di mulut udang.
Terdapat juga kaki pancing yang ‘merasuah’ terlebih dahulu udang galah iaitu datang berkumpul di bawah bot dengan cara menebuk tin sardin, makanan kucing (jenis basah) dan menggantungnya di bawah bot.
Dengan cara ini, udang akan tertarik dan berkumpul dek kerana bau dari tin yang ditebuk ini. Pemancing akan menghulurkan sahaja pancing di bawah bot.
Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, joran perlu diangkat untuk memastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
Jadi kenalah rajin selalu. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
Sebaiknya umpan perlulah divariasikan dengan melontar joran dalam kedudukan berbeza iaitu balingan jauh, tepi, depan, belakang dan juga di bawah bot.
FAHAMI GETUAN UDANG GALAH
Perlu diingat, memancing udang galah ada kalanya tidak mendapat respon seperti mana anda memancing ikan.
Kadang-kadang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan. Ada juga yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
Bahkan ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu. Apa yang perlu ada ketahui lagi ialah, sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Jangan terkejut, kononnya bila anda mahu melihat sama ada umpan ada atau tidak, ketika separuh karauan kekili dilakukan, tiba-tiba sahaja hujung rod anda digetu kuat isyarat sang jenggo telah menelan umpan anda.
SEWA BOT
Kebanyakan spot memancing terkenal di negara kita memang ada menyediakan khidmat sewaan (harga cukup berpatutan) bot dan enjin, bot sahaja (enjin sendiri).
Hanya perlu bawa sendiri bot berkenaan. Jika anda masih baru dalam hobi ini, tanyalah dan berkenalanlah dengan mereka yang arif dan pakar memancing udang galah.
SOAL KESELAMATAN
Walaupun memancing udang galah dianggap tidak terlalu mencabar, soal keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan.
Pakailah jaket keselamatan ketika berada di dalam bot. Begitu juga dengan pendayung yang perlu sentiasa ada di dalam bot.
Untuk pengetahuan, pancingan udang galah pada waktu malam sebenarnya lebih galak, namun memerlukan lebih ketelitian kerana pada malam hari pandangan mata amat terhad. Selain lampu suluh, parang juga hendaklah sentiasa dibawa.
Serangan nyamuk dan agas, perkara yang perlu anda hadapi, gunakan losyen penghalau nyamuk, ubat nyamuk, baju lengan panjang, lampu kepala, baju hujan dan sebagainya.
Memancing pada malam hari juga terdedah dengan binatang berbisa seperti ular. Berhati-hati jika anda memancing di bawah pokok. Sebaiknya jika lokasi memancing udang galah itu agak berbahaya, jauh dari penempatan, sebaiknya batalkan hasrat anda.
Memancing udang galah juga tidak terlepas daripada gangguan seperti umpan terlebih dahulu dimakan oleh anak-anak ikan. Sila berhati-hati melepaskan mata kail jika umpan terkena ikan yang berduri tajam. Jika terkena ular air, potong sahaja perambut tersebut.
PERINGATAN
Bercakap soal udang galah, tidak dinafikan memang terdapat hubungannya dengan reptilia bergelar sang buaya.
Apa yang penting ketika berada di dalam bot, mulut jangan cabul. Begitu juga dengan mata dan telinga perlu sentiasa peka memandang dan mendengar keadaan sekeliling.
Dalam soal memancing, soal semangat setia kawan hendaklah diutamakan. Sentiasa muhasabah diri dan bersyukur dengan rezeki pemberian Allah.
Jika anda memancing secara berseorangan atau berdua, maklumkanlah pemergian anda kepada keluarga. Jika trip ramai-ramai bersama rakan, patuhilah arahan ketua yang dilantik.
Untuk pemancing baru, jangan segan minta tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dan kaki pancing yang sudah biasa janganlah lokek memberi tunjuk ajar dan nasihat.
Semua pemancing sedia maklum bahawa ikan layaran adalah spesies gamefish yang dilindungi. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab pemancing untuk memastikan kelestarian ikan ini dapat diterus setelah berjaya memancingnya.
Tempoh Pertarungan
Apabila dikenali ikan yang dipancing itu ialah layaran, cubalah untuk tidak memanjangkan tempoh pertarungan. Pertarungan yang panjang sehingga melebihi 30 minit akan meningkatkan tekanan atau stress pada ikan.
Ia turut menjejaskan mekanisma dan sistem biologi ikan yang tidak dapat dilihat pada fizikal ikan. Justeru itulah kita disarankan menggunakan peralatan berkuasa bagi menyingkatkan tempoh masa pertarungan.
Cara Pengendalian
Setelah ditewaskan dan dihela sehingga merapati bot, sebaiknya ikan dipegang pada kedua-dua paruhnya atau paling hampir dengan pangkal paruh. Elakkan dari memegang pada hujung paruh kerana ia akan menyebabkan patah. Harus diingat paruh ini merupakan senjata utama layaran memburu makanan. Walaupun ia akan tumbuh kembali namun akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali berfungsi. Sekiranya ikan meronta apabila dipegang paruhnya, ia merupakan petanda positif yang menunjukkan ia masih bertenaga.
Tanggal Mata Kail
Sebaiknya cubalah tanggal mata kail yang tertancap pada mulut ikan ketika ia masih berada di dalam air. Sekiranya mata kail tersebut berada jauh di dalam mulut ikan, usah dipaksa untuk mengeluarkannya.
Potong saja tali perambut sependek mungkin dari paruhnya. Peluang survival ikan lebih tinggi dengan berbuat demikian. Mata kail tersebut akan tertanggal dengan sendirinya atau mereput dalam tempoh tertentu.
Mendaratkan Ikan
Adalah lebih baik jika ikan dilepaskan kembali tanpa didaratkan ke atas bot. Sekiranya ingin mendaratkannya bagi sesi fotografi, elakkan dari melakukannya seorang diri. Ikan perlu ditampung pada bahagian kepala dan badannya. Kemudian barulah langsungkan sesi fotografi sepantas yang mungkin. Elakkan dari membiarkan ikan berada di luar air melebihi jangka masa 5 minit.
Jangan Lap Lendir
Perkara ini sangat penting dan sering terlepas pandang. Ikan layaran tidak memiliki sisik tebal sebagaimana ikan jenahak atau merah. Justeru itu badannya dilitupi dengan lendir yang banyak dari kepala hingga ke ekor. Dan lendir ini amat besar fungsi peranannya pada ikan.
Oleh yang demikian jangan sesekali menghapuskan lendir ikan dengan apa cara sekalipun. Kurangkan sentuhan pada badan ikan apatah lagi mendakapnya.
Bantuan pernafasan
Sebelum dilepaskan kembali sepenuhnya ke laut, perhatikan reaksi ikan apabila dimasukkan ke dalam air. Sekiranya tiada sebarang pergerakan pada penutup insang atau berkeadaan statik, berilah bantuan pernafasan dengan melalukan air memasuki mulutnya.
Bot digerakkan agar oksigen di dalam air dapat disalurkan ke sistem pernafasannya. Lakukan sehingga ikan memberi respon untuk berenang secara semulajadi.
Walaupun cabarannya tidaklah sehebat seperti casting ikan siakap liar di muara atau kuala sungai, ia tetap amat mengujakan apabila umpan yang digunakan disambar.
Untuk casting siakap kola mini perlu ada skil dan teknik tersendiri.
Kekili atau reel
Sama ada kekili spinning atau baitcasting, sebaiknya gunalah kekili jenis high speed. Disyorkan menggunakan kekili yang memiliki gear ratio 5.0 dan ke atas.
Siri 1000-2000 (spinning) paling sesuai digunakan dan ia mestilah tahan lasak dan kalis air masin. Jika bukan jenis air masin, harus membilasnya dengan segera selepas menggunakannya.
Joran atau rod
Joran bagi kaedah casting ikan siakap 5.5’ atau 7’ setengah paling sesuai. Tetapi sebenarnya penggunaan rod haruslah sesuai dengan tinggi tubuh badan pemancing.
Rod dengan kekuatan 10-20lb adalah sesuai untuk menduga atau memancing ikan siakap kolam.
Tetapi jika inginkan lebih perlawanan dan mahu lebih akrobatik dari siakap boleh mencuba joran yang lebih ringan.
Tali Utama
Tidak kisah, apa brand yang digunakan. Asalkan ia jenis braided, kuat dan tahan lasak. Saiz 10-20 lb paling sesuai di sini.
Tapi sebenarnya bergantung pada saiz ikan di dalam kolam. Lazimnya tali utama 8lb hingga 15lb.
Lagipun kolam berbayar hanya melepas ikan berat purat 1kg ke 3kg sahaja. Jadi tidaklah perlu menggunakan tali yang lebih besar poundage.
Leader atau perambut
Pilih perambut jenis fluorocarbon. Atau sekurang-kurangnya mono campuran fluorocarbon. Perambut Perambut berkekuatan 20-40lb lebih ideal.
Biasanya selepas menaikan ikan siakap, bahagian perambut yang telah luka perlu dipotong atau dibuang.
Biasanya saya akan guna perambut pakai buang yang disambung pada leader kerana leader akan jadi pendek sekiranya banyak kali perlu dipotong.
Mata kail
Saiz mata kail bergantung kepada tempat atau kolam berbayar tersebut. Sesetengah tempat mempunyai ikan siakap melebihi 4kg hingga ke 8kg, tapi amat jarang kolam berbayar melepaskan ikan siakap sebesar tu.
Kebanyak purata berat dalam 1kg hingga 3kg. Biasanya mata kail no 2 digunakan. Paling penting, mata kail mestilah tajam, tahan lasak dan kuat, kerana ikan siakap boleh mengerjakannya sampai lurus atau patah.
Batu ladung
Batu ladung atau pemberat digunakan kalau menggunakan udang kopek. Ia adalah mengelakkan umpan udang kopek tadi terapung di atas air semasa casting.
Kalau menggunakan umpan udang hidup biasanya saya tak menggunakan pemberat, kecuali udang enggan menyelam.
Ia juga memudahkan udang hidup bebas bergerak di dilam air. Untuk penggunaan gewang untuk mengumpan siakap pula anda tak perlu menggunakan pemberat.
Umpan
Pemilihan umpan bergantung kepada peraturan. Lazimnya udang hidup merupakan umpan yang paling lumrah digunakan.
Selain itu anak ikan hidup seperti belanak atau lampam juga bagus dan mampu bertahan lebih lama. Selain itu udang kopek atau isi ikan juga boleh digunakan untuk casting.
Jenis kolam
Faktor air memainkan peranan penting. Jika air jernih, potensi sambaran lebih tinggi. Begitu juga dengan tahap kemasinan air kolam.
Sesetengah kolam berbayar menggunakan air payau yang disedut terus dari sungai yang merupakan habitat sebenar siakap.
Jadi berkemungkinan ikan siakap makan umpan adalah pada kadar tinggi atau lebih galak. Kebanyakkan kolam ini ada berdekatan dengan kuala sungai.
Bagi kolam yang menggunakan air tawar dan kemasinan dijaga dengan penambahan garam biasanya kurang galak atau kurang memakan umpan kecuali kolam tersebut dijaga teliti dengan kemasinannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...