Susah rupanya nak nak pancing ikan ebek ni! Sehingga sekarang saya masih belum lagi ada lesen ebek. Boleh tak admin kongsi sedikit tip untuk memancing ebek?
JAWAPAN:
Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasea sebagai mangsanya sekaligus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas. Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun.
Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krustasea bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Boleh tak admin ceritakan apa fungsi sonar yang digunakan untuk memancing?
JAWAPAN:
Perkataan sonar berasal daripada perkataan ‘SOund, NAvigation, Ranging’ (bunyi, panduan dan jarak). Jadi alat yang menggunakan bateri ini akan memaparkan apa sahaja yang ada di bawah bot termasuk ikan dan struktur muka bumi di bawah sana. Komponennya terdiri dari pemancar (transmiter), transduser, alat penerima dan skrin paparan.
Apabila ia di pasang, signal elektrik voltan rendah dari transmiter akan ditukar kepada gelombang bunyi oleh tranduser dan dipancarkan ke dalam air. Gelombang bunyi akan terpantul balik ke permukaan apabila mengenai objek dalam air. Sekali lagi gelombang bunyi ini akan ditukar kepada signal elektrik oleh alat penerima seterusnya dihantar kepada skrin paparan sama ada dalam bentuk hitam putih atau warna (lebih mahal harganya).
Sonar akan sentiasa menghantar dan menerima isyarat berulang kali dalam setiap saat. Ini kemudian akan memberi gambaran secara terus menerus pada skrin selagi pancaran bunyi dan signal elektrik tidak terganggu. Apa saja yang menghalang gelombang bunyi di dalam air akan dipaparkan pada skrin termasuk kedalaman air semasa.
Objek yang menghalang gelombang bunyi di pertengahan air sering diertikan sebagai ikan atau mungkin sampah dan sebagainya. Sonar berprestasi tinggi, merangkumi empat elemen penting iaitu pemancar berkuasa tinggi, transduser yang cekap, alat penerima sensitif dan skrin paparan beresolusi tinggi.
Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai model dan terpulang kepada bajet anda. Bermula dari ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit. Ada yang berjenama, tidak kurang juga yang jenama ’cap ayam’. Pendek kata lagi mahal harganya, lebih tepat dan jelas kualiti paparannya serta terdapat fungsi lain yang disertakannya.
Dengan menggunakan sonar, pemancing boleh mengekplorasi lebih banyak lubuk. Tidak perlu lagi menunggu ikan datang untuk memakan umpan yang disuakan, sebaliknya anda terus menjejaki di mana ’rumah’ atau ikan yang banyak berkumpul. Bagi nelayan laut dalam, sonar, adalah alat terpenting bagi untuk mereka mencari rezeki.
Umpan bulu ayam putih yang dahulunya umpan rahsia di kalangan tekong di perairan utara Malaysia boleh dianggap bukan lagi rahsia di kalangan kaki casting terutamanya di perairan Kedah.
Bahkan, umpan ’killer’ ini sebenarnya telah pun dipraktikkan di pulau-pulau berbatu yang lain seperti Pulau Sembilan, Perak. Saya sendiri pernah mempraktikannya di perairan selatan tanah air.
Apa yang menariknya, kehalusan umpan bulu ayam ini banyak diusahakan oleh pengusaha produk pancing tempatan. Ia dihias cantik dengan semburan cat putih, ditaburkan serbuk pengilat, selain dikemaskan dengan epoxy untuk mengukuhkan keseluruhan ikatan bulu ayam berkenaan.
Cara penggunaan umpan bulu ayam atau bullet fly ini sebenarnya tidak banyak beza dengan menggunakan sesudu atau jig micro. Namun ia lebih banyak dimainkan di permukaan air bagi memburu spesies pelagik.
Kesesuaian Reel
Kekili spinning jenis high speed amat penting di sini. Disyorkan menggunakan kekili yang memiliki gear ratio 6:1 dan ke atas. Siri 2000-3000 paling sesuai digunakan dan ia mestilah tahan lasak dan kalis air masin. Jika bukan jenis air masin, harus membilasnya dengan segera selepas tiba di daratan.
Kesesuaian Rod
Rod casting 6’ hingga 7’ paling seronok untuk digunakan. Tetapi sebenarnya penggunaan rod haruslah sesuai dengan tinggi tubuh badan seseorang. Ini kerana jika seorang itu bertubuh rendah rod 6’ atau 6’ setengah adalah sesuai. Pendek kata, hujung rod jangan sampai mencecah air.
Rod dengan kekuatan 10-20lb atau PE 05-2 adalah pilihan yang seimbang. Tetapi jika inginkan ‘lebih perlawanan’ boleh mencuba joran yang lebih ringan.
Kesesuaian Tali
Tidak kisah, apa brand yang digunakan. Asalkan ia jenis braided, kuat dan tahan lasak. Saiz 15-20 lb paling sesuai di sini. Boleh juga ingin menggunakan tali tangsi namun keupayaan hook up tidaklah sebagus jika menggunakan braided.
Perambut Pilihan
Pilih perambut jenis fluorocarbon 100%. Perambut nilon monofilament agak kurang praktikan berbanding fluorocarbon. Perambut berkekuatan 20-40lb adalah pilihan paling ideal.
Mata kail
Saiz mata bergantungkepada tempat. Biasanya mata kail no 2 digunakan. Paling penting, mata kail mestilah tajam, tahan lasak dan sedikit lembut, kerana jika tersangkut di celah batu, boleh menariknya sampai bengkok mata kail kerana paling penting dapatkan semula batu ladung yang berhias bulu ayam tersebut.
Selain dua mata, ikatan tunggal juga boleh dipraktikkan. Tali yang sesuai untuk mengikat mata kail adalah jenis braided berkekuatan 80lb ke atas.
Kesesuaian Faktor Arus Air
Faktor air memainkan peranan penting. Jika air jernih, potensi sambaran lebih tinggi dan arus hendaklah tidak terlalu laju. Sebaiknya rujuk pasang surut air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...