Mari kita cuba lihat sejenak dan fikirkan, aktiviti memancing secara logik tidak akan mengundang bala kepada sumber perikanan. Yang ketara dan penyumbang utama ialah aktiviti penangkapan ikan yang tidak beretika seperti yang mengebom, penggunaan racun atau tuba dan penggunaan elektrik.
Maka golongan ini wajib dibendung dengan apa cara sekalipun. Itu belum campur dengan pembalakan haram yang memusnahkan terus lubuk-lubuk pembiakan ikan.
Jujurnya, sukar untuk mengharapkan pihak berwajib sahaja. Jadi di sinilah peranan kita sebagai pemancing beretika, berilmu dan sayangkan sumber perikanan kita. Lantas menjadi tugas kita, menghalang aktiviti tak beretika iniasekurang-kurangnya dalam kalangana rakan-rakan kita sendiri.
Jika tidak mampu menghalang secara fizikal, sekurang-kurangnya kita menasihati mereka dan menyedarkan mereka tentang kepentingan sumber ini dan apa akibat buruk daripada perbuatan mereka. Selain itu, dalam melihat kesilapan orang lain, kita sendiri kadangkala lupa untuk melihat diri sendiri.
Kadangkala kita masuk ke hutan untuk trekking, camping dan memancing. Apabila mahu pulang banyak sampah seperti plastik atau tin yang ditinggalkan di campsite oleh grup kita.
Secara tidak langsung, kita turut menyumbang kepada berlakunya kerosakan sumber ini. Inilah perkara yang perlu kita elakkan, nampak remeh namun kesannya cukup dalam. Sebagai pemancing, pastilah isu ini terasa dekat dengan kita. Pemancing dan sumber ikan seperti sungai ibarat simbiosis dan saling memerlukan.
Jadi, tanpa menuding jari kepada sesiapa, sama-samalah kita mengambil langkah sewajarnya dalam meneruskan kelestarian alam sekitar seterusnya dapat memberikan kepuasan dalam hobi kesayangan kita ini.
Saya ada terdengar tentang istilah pemancing rekreasi. Jadi, saya nak tanya kat admin la… pemancing rekreasi ni pemancing macam mana? Apa beza dengan memancing yang biasa dibuat oleh kaki pancing?
JAWAPAN:
Jika ditanya secara peribadi maka saya akan menjawab tiada apa-apa perbezaan pun antara pemancing rekreasi dan pemancing biasa kerana memancing itu sendiri adalah aktiviti rekreasi. Jadi secara logiknya tiada perbezaan antara keduanya. Pemancing rekreasi atau pemancing biasa kedua-duanya adalah pemancing yang berekreasi.
Walau bagaimana pun jika ingin dibuat pecahan istilah, dalam konteks perikanan pada dasarnya boleh dikategorikan kepada tiga iaitu; pemancing rekreasi, pemancing sara diri dan pemancing komersial.
Pemancing rekreasi ini lebih menjurus kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti memancing untuk mencapai kepuasan hobi secara individu. Kumpulan pemancing rekreasi ini pula biasanya juga digelar pemancing sukan (melakukan aktiviti sukan memancing) dan lebih dekat dengan konsep tangkap dan lepas, bag limit dan sebagainya.
Sementara pemancing sara diri pula ialah mereka yang melakukan aktiviti menangkap ikan atau hidupan marin sebagai makanan atau pendapatan keluarga. Sebagai contoh seseorang yang memancing udang galah dan menjual hasil tangkapannya. Begitu juga dengan nelayan kolam yang menyara hidup dengan menjual hasil tangkapannya.
Kumpulan pemancing komersial pula ialah mereka yang membuat aktiviti perikanan dalam skala besar untuk mendapatkan pendapatan yang besar seperti pengusaha kolam akuakultur, kolam pancing dan nelayan bot besar.
Untuk pancingan pantai atau surfcasting, kombinasi peralatan yang sesuai digunakan ialah joran minimum 12 kaki, kekili mendatar sekurang-kurangnya saiz siri 4000 (lebih baik jika kekili gelendung panjang atau surf cast reel, tali utama dari jenis sulam atau braided 20-40lb, batu ladung jenis gantung atau batu mati lonjong (saiz bergantung kepada kelajuan arus).
Perambut 30-50lb (bergantung kepada struktur dasar lokasi dan ikan sasaran) dan dipadankan dengan mata kail nombor 8 hingga nombor 2, atau 1/0 hingga 3/0 bergantung juga pada spesies sasaran. Umpan yang sesuai bagi newbie pula terdiri dari jenis umpan yang tidak mudah tertanggal dari mata kail ketika melakukan lontaran. Disarankan anda mencuba umpan seperti umpun-umpun, hirisan sotong atau hirisan ikan belanak.
Sebaiknya anda perkemaskan teknik lontaran terlebih dahulu sebelum memasang impian untuk menerima strike. Tetapkan satu jarak sasaran yang perlu dicapai dan lakukan berulang kali. Dalam pada masa yang sama turut memantau keadaan umpan selepas melakukan lontaran.
Kombinasi peralatan surfcasting ini juga boleh diaplikasikan di tasik air tawar. Terutamanya peralatan utama seperti joran, kekili dan tali utama. Namun teknik perambut, batu ladung, mata kail dan umpan perlu disepadankan dengan konsep pancingan ikan air tawar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...