Sabiki atau kita lebih senang memanggilnya apollo adalah salah kaedah memancing yang lazimnya digunakan untuk mencari umpan ikan hidup seperti bilis, tamban, beliak mata, selar dan sebagainya lagi.
Namun jika memperoleh ikan selar, selayang, kembung atau cencaru yang bersaiz kasar ia pasti lebih menyeronokan kerana boleh dibuat umpan, ia juga boleh dibuat lauk malah boleh bertukar misi pancingan.
JENIS
Ada pelbagai jenis apollo yang terjual di kedai pancing. Apollo yang lazim digunakan adalah apollo kertas dengan manik hijau.
Namun apollo udang (udang getah yang dilekatkan pada mata) juga sesuai digunakan terutamanya untuk mencari ikan selar dan cencaru.
SAIZ
Pilihlah saiz apollo yang sepadan dengan ikan sasaran. Contohnya jika mencari bilis, beliak mata dan tamban kecil di kawasan kelong atau rumah rakit lebih sesuai guna apollo saiz 4-5.
Jika di kawasan boya, unjam atau kapal parkir sebaiknya guna saiz 6-10. Untuk ikan sasaran yang lebih kasar seperti cencaru pula elok pilih saiz 12-16.
Selain saiz matanya yang besar, perambutnya juga lebih kasar dan kuat.
PORT
Ikan-ikan pelagik ini lazimnya berkumpul atau mencari makan di kawasan berstruktur seperti tiang-tiang jambatan, boya, kelong, tukun, unjam dan kapal parkir.
Sementara spot untuk melontar apollo adalah bahagian kepala arus hadapan yang dilanggar arus.
Bukannya di bahagian belakang boya atau unjam, kapal atau kelong.
LONTARAN
Apollo sebaiknya dilontar ke bahagian hadapan kepala arus atau objek seperti kepala unjam dan biarkan tenggelam seketika sebelum membuat kayuhan.
Sebaiknya juga guna batu ladung saiz sederhana yang cepat tenggelam bersesuaian dengan arus.
UNJUN
Tidak perlu tunggu sehingga batu cecah dasar untuk buat unjunan. Memadai sekadar anggaran 3/4 kedalaman air kerana ikan pelagik jarang berada di dasar.
Cara terbaik ialah sebaik batu ladung mencecah air, rasakan pergerakan tali pancing yang keluar bagi mengesan sebarang ragutan ikan pada apollo.
UMPAN
Boleh juga letakkan hirisan ikan/udang/sotong pada mata kail apollo sekiranya penggunaan apollo kosong kurang mendapat sambutan.
Seperkara lain kaedah ini berpeluang untuk memperoleh ikan-ikan pelagik yang bersaiz lebih kasar.
Malong ialah spesies ikan air masin yang licik, berbadan lendir dan sememangnya tidak mampu dikendalikan ketika ia masih hidup dengan tangan. Saya masih ingat apabila ingin merakamkan gambar malong tiada siapa yang berani ketika ia masih hidup kecuali mengunakan pemegang.
Jika disimpan di dalam bekas air yang sedikit kita akan dapati air tersebut akan menjadi pekat kerana lendir yang dikeluarkan dari badan malong. Ia juga tahan lasak walaupun dengan sedikit air. Selain itu malong sering didakwa menyerang pemancing apabila ia berada di daratan semata-mata usaha untuk mempertahankan diri.
Ia sebenarnya tidak ganas tetapi kes serangan melalui gigitan berpunca dari kelalaian pemancing ketika cuba mengendalikan ia dengan tangan kosong. Bermulut muncung dan bergigi tajam membuka dengan luas serta lincah terutama di dalam sampan kecil boleh mengerjakan betis dan lengan bagi mereka yang lalai.
Malong bermulut runcing memanjang dikuatkan pula dengan gigi atas dan bawah untuk mencengkam mangsa. Badan licin memanjang dan menirus hingga ke hujung ekor. Sirip dorsal lembut, kecil dan memanjang dari pangkal leher hingga hujung ekor. Badan berwarna kekuningan semakin cerah di sebelah bawah.
Tubuhnya membulat walaupun seakan leper jika pandang dari sisi. Barisan gigi sebelah atas berada pada kedudukan sebaris tengah rahang manakala gigi bawah di kiri dan kanan rahang. Jika dilihat barisan gigi malong, selain gigi tajam memanjang, ia turut dibarisi gigi-gigi tajam lecil tersembunyi di bahagian dalam mulut.
Hujung mulut sebelah atas seperti mengecil terbina sedemikian sesuai untuk membenarkan cengkaman kuat terhadap mangsa. Mangsa apabila dicengkam malong, ia jarang dapat melepaskan diri dengan mudah.
Malong banyak menghabiskan masa di dasar sungai atau muara serta didalam lubang perumahnya. Mendiami kawasan yang berdataran samada pepasir halus dan lumpur pada kedalaman dari 10meter hingga 100 meter. Lubang atau sarangnya menyediakan tempat pelindungan paling sesuai dari musuh.
Ia keluar memburu mangsa tidak kira siang dan malam yang terdiri dari anak ikan. Berlainan dengan spesies pengacau sesirat yang gemar menggumpal, menyimpul, melendirkan serta memintalkan tangsi, malong tidak bersifat demikian walaupun kedua-duanya berlendir dan memiliki ciri-ciri persamaan habitat dan pemakanan.
Nama umum: Daggertooth pike conger
Keluarga: Muraenesocidae
Ciri fizikal: Badan memanjang kekuningan seperti belut air tawar. Barisan gigi tajam adalah ciri-ciri yang paling di geruni pemancing
Diet: Ikan dan hidupan krutesia
Habitat: Mendiami lubang dikawasan dasar berlumpur
Taburan: Wilayah Indo-Malaysia, Filipina hingga Selatan Jepun, Indo-West Pasifik. Kebanyakannya di sekitar perairan Selat Melaka, Sarawak dan persisiran Sabah.
Pada saya, kunjungan ke sungai pegunungan di Pahang benar-benar menguji fizikal dan mental. Keindahan sungai dan hutan belantaranya benar-benar memukau pandangan mata. Pada saat saya menulis ini, masih terbayang bagaimana tengas melenturkan hujung joran selain terjumpanya anak-anak tengas dan juga kelah berenang bebas di celah batu.
Namun saya tidak pasti sampai bilakah keindahan hutan belantaranya dan penghuni sungainya akan mampu bertahan kerana tidak lama lagi, pokok-pokok balak besar yang menjadi zon penampan Sungai Hulu Lembing ini bakal ditebang. Namun, saya tetap berhajat mahu ke sini lagi dan cuba untuk sampai di bahagian tengah Sungai Hulu Lembing.
Kepada rakan-rakan yang ingin mencuba pancingan sungai pegunungan sebegini, saya ingin berkongsi sedikit panduan dan info:
Untuk trip melibatkan trekking, persediaan bersenam atau berjoging adalah cara terbaik untuk persediaan. Tidak mengapa jika kita berbadan besar yang penting sihat dan cergas.
Pilih beg yang sesuai untuk tujuan trekking dan hadkan barang yang akan dibawa. Bawa barang yang betul-betul penting untuk digunakan saja.
Pastikan kasut yang dipakai jenis tahan lasak. Bagi saya dan kebanyakan geng trekking, kasut getah berharga kurang dari RM10, sudah cukup baik. Pastikan saiznya tidak terlalu ketat dan longgar.
Pakai stoking untuk elakkan kaki melecet. Gunakan stoking panjang (stoking bola untuk elakkan serangan pacat dan terkena duri).
Pakai pakaian yang cepat kering. Kalau boleh elakkan pakaian material cotton yang menyerap dan menyimpan air. Dan jangan lupa bawa sleeping bag kerana cuaca malam sangat sejuk.
Maksimum dua joran setiap seorang. Jangan bawa joran 1 piece. Jika ada travel rod 3-5 pieces lagi bagus. Dan pastikan joran yang dibawa bersesuaian dengan jenis pancingan sungai pergunungan.
Bawa kelengkapan sewajarnya seperti tiub motosikal, minyak petrol tambahan, pam angin, spanar, jika menaiki motosikal. Untuk perjalanan dalam hutan, sebaiknya tukar tayar kepada tayar berbunga cross.
Buang atau tanam sampah (tin kosong, plastik) di satu tempat, jangan sepahkan ia. Tanamkan sikap menyayangi alam semula jadi yang bersih dan sihat.
Pastikan jalan dalam kumpulan, elakkan dari terpisah jauh dengan rakan. Setiap orang pastikan nampak kelibat rakan di hadapan dan rakan di hadapan pula kena pastikan ada rakan di belakangnya.
Jangan menegur jika terpandang perkara pelik di dalam hutan, mengambil dan bawa pulang benda-benda yang pelik.
Doa, tawakal mohon perlindungan keselamatan dari Allah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...