Berikutan kegagalan memburu spesies tenggiri di perairan Pulau Kapas, kami berlima meneruskan pencarian tenggiri di perairan Pulau Tenggol pula.

Bagi cabaran memburu tenggiri di perairan Dungun ini kami menaiki bot pancing persendirian milik Nazar.

 

Nazar merupakan adik kepada Pokmud yang turut sama dalam trip memburu tenggiri ini.

Besarlah harapan kami tenggiri perairan Dungun ini tidaklah sesombong tenggiri perairan Kuala Terengganu.

 

Bot berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.

Lubuk yang berstruktur tapak unjam sekitar 3 kilometer melepasi sempadan taman laut itu pernah dikunjungi oleh Nizar dan Pokmud dan hasil yang diperoleh sangat menakjubkan.

Menurut Pokmud, berpuluh ketul jig berkubur di situ dan berbelas ekor tenggiri berjaya dibawa pulang.

 

Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula.

IKLAN

Setelah beberapa kali drift di lubuk tersebut, hasilnya tetap sama. Tiada sebarang sambaran yang berlaku.

Keputusan awal yang agak mengecewakan itu mendorong Nazar ke lokasi seterusnya yang semakin menjauhi Pulau Tenggol.

 

Ternyata di lubuk ketiga ini berpenghuni. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih.

Namun ikan yang didaratkan hanyalah alu-alu bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah alu-alu bukannya tenggiri.

Malah ikan tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.

 

“Kalau kacang (alu-alu) dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas Nazar selaku tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.

IKLAN

 

 

 

Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.

 

Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh.

Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka.

Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.

IKLAN

 

 

 

 

Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri.

Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.

 

Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI