Percaya atau tidak, sebanyak RM 10,000 disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking ke-101 hingga ke-150. Yang membawa erti setiap pemenang yang menduduki carta tersebut akan memperoleh RM200. Manakala RM36,000 tunai lagi diperuntukkan disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking dari tempat ke-11 hingga ke-100 atau RM400 untuk setiap ranking.
Itu baru kedudukan ranking ke-11 hingga ke-100, hadiah wang tunai untuk kedudukan ranking tempat ke-10 sehinggalah podium utama iaitu juara pula berjumlah RM59,000. Sekali gus ia melebihi RM100,000 wang tunai yang menanti untuk direbut. Begitulah tawaran luar biasa yang disediakan oleh pengurusan Seri Bayu Tekala bagi pertandingan memancing yang bakal dilangsungkan pada 29 Oktober nanti bertempat di Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Kajang.
Ads
Menurut pengurus acara ini, pihak kolam turut menyediakan dua kategori khas untuk tangkapan spesies patin Chao Phraya dan tongsan sisik halus. Bagi setiap juara kategori akan memperoleh RM 500, kedua sebanyak RM300 dan ketiga sebanyak RM200. Selain itu pihak penganjur atau pihak kolam turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan dua buah kaca TV 32” LED dan 10 unit kekili dari jenama Shimano.
Ads
Ads
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftran di kaunter pendaftran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 28 Oktober sehinggalah bermulanya pertandingan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kebijaksanaan mengesan spot atau lubuk yang didiami ikan adalah kunci utama untuk pancingan yang berjaya.
Berikut disenaraikan kawasan-kawasan yang lazimnya menjadi lubuk ikan-ikan sungai air tawar berkumpul.
➡ Kawasan dalam dan berarus lemah
Lubuk ini biasanya boleh dikesan berdasarkan tona warna air yang lebih gelap dan pergerakan arus dalam radiusnya amat perlahan berbanding kawasan sekitarnya.
➡ Selekoh sungai
Cubalah pilih spot di selekoh atau belokan sungai terutama di kawasan yang berarus senak atau terhenti sebelum bergerak kembali. Lazimnya ikan akan menyerbu umpan yang masuk ke spot ini.
➡ Selekoh berpokok
Jika terdapat banyak selekoh di sesuatu sungai, pilihlah selekoh sungai yang banyak terdapat pokok di tebingnya.
Pokok-pokok ini menyebabkan kawasan sungai menjadi redup dan ikan sememangnya menggemari lokasi yang tidak terkena cahaya terik matahari secara langsung.
Selain itu akar-akar pokok yang menjalar di dalam air turut menyebabkan objek hanyut tersangkuk termasuklah juga makanannya.
➡ Pusaran air
Air sungai yang mengalir dari tempat cetek ke tempat yang dalam akan mengakibatkan aliran sungai berputar membentuk pusaran.
Kesan dari pusaran ke atas permukaan dasar akan menyebabkan terbentuknya lubang yang dalam atau palung.
Air sungai yang membawa pelbagai material termasuk makanan ikan juga ikut berputar dan masuk lubang. Di sinilah ikan akan menanti untuk mengambil makanannya.
➡ Sekitar tiang jambatan
Pembinaan jambatan di sungai yang mana penanaman tiang di tengah sungai secara tidak langsung menjadi satu spot ikan untuk menunggu makanan yang hanyut dan tersangkut.
Ia turut menjadi spot persembunyian ikan-ikan pemangsa untuk menyerang hendap mangsanya.
➡ Sekitar pokok tumbang
Pokok yang tumbang ke dalam sungai merupakan tempat persembunyian strategik ikan disebabkan arus sungai terhalang.
Kesannya, arus di sebalik batang pokok akan menjadi perlahan. Sekaligus menjadi lokasi yang baik untuk ikan berehat, menunggu makanan hanyut atau juga menjadi pemangsa kepada ikan lain.
➡ Di sebalik bongkah batu
Tidak semua sungai terdapat bongkah batu besar yang menghalang arus sungai kecuali di sungai-sungai pergunungan.
Lazimnya di sebalik bongkah batu itu terdapat ikan-ikan kecil dan udang serta makanan ikan lainnya.
Tidak terkecuali ikan-ikan pemangsa bersaiz besar memasuki kawasan ini untuk memburu mangsanya.
➡ Rerumput di gigi sungai
Bahagian tepi sungai khususnya berarus perlahan lazimnya ditumbuhi rerumput yang agak banyak. Ia menjadi lokasi kegemaran ikan-ikan kecil mencari makanan.
Sesetengah ikan betina turut menjadikannya kawasan bertelur. Maka ia merupakan lubuk yang tidak harus diketepikan untuk mencuba nasib.
➡ Batu-batuan
Kawasan sungai yang cetek dan dipenuhi dengan batu-batu kecil yang mengakibatkan arus sungai berselerak juga merupakan habitat kegemaran ikan-ikan kecil dan udang mencari makanan.
Apabila ada ikan kecil dan udang maka ia akan mengundang kehadiran ikan-ikan predator juga. Jika anda penggemar gaya pancingan mengilat atau casting, ia adalah spot yang sama sekali tidak boleh diabaikan.
➡ Longgokan sampah
Sampah semulajadi seperti ranting dan daun pokok yang dihanyutkan arus lazimnya akan berhenti di sesuatu lokasi dan akan menyebabkan arus terhambat.
Dengan banyak longgokan sampah yang turut membawa makanan itu sekaligus membuatkan ikan gemar berkumpul. Jadi, labuhkanlah umpan anda di kawasan ini.
Siapa sangka, bermula daripada kesukaran mendapatkan gewang yang sesuai di pasaran sedikit masa lalu, akhirnya menjadikan figura ini antara crafter gewang yang semakin dikenali hari ini.
Melihat kesukaran atau kekurangan sebagai satu peluang, Zul Fadzli Bin Mat Rawi atau Cikgu Zul mampu melahirkan jenama Zuls Craft Handmade dalam arena pancing di Malaysia khususnya.
Sewaktu mula-mula cuba menghasilkan gewang sendiri, Cikgu Zul yang mula mengenal dunia hanyir ini sejak seawal usia 5 tahun, dia mendapati gewangnya mampu mendapatkan sambaran ikan tempatan seperti haruan, sebarau dan toman.
Sinking minnow, pencil dan inline spinner antara hasil gewang terawalnya. Prestasi gewang buatannya membuat minat Cikgu Zul semakin memuncak dan terus menghasilkan dan menambah baik gewang rekaannya hingga ke hari ini.
Motivasi & cabaran
Menurut Cikgu Zul, dia membuat gewang secara serius sejak enam tahun lalu dan rakan-rakan pemancing menjadi motivasi utama bagi dirinya dalam penghasilan gewang hari ini.
Melihat paparan hasil tangkapan rakan pemancing menggunakan produknya membuatkan Cikgu Zul lebih mencabar diri untuk terus menghasilkan gewang yang berkualiti setanding produk luar.
Kepelbagaian gewang buatan Cikgu Zul dapat dilihat hari ini apabila turut menghasilkan spinnerbait, buzzbait, slashbait, blade dan juga jig serta jighead untuk soft plastic.
Sepanjang menghasilkan gewang sendiri, kekangan masa menjadi kekangan terbesar bagi Cikgu Zul terutama untuk penghasilan skala besar selain kesukaran mendapatkan bahan seperti kayu.
Namun, perlahan-lahan, cabaran ini dapat diatasi apabila Cikgu Zul mengumpul modal untuk membeli mesin yang membantu mempercepatkan pembuatan gewang.
Rakan-rakan pembuat gewang lain seperti PJFC, KGBS, Lure Maker project, Handmadelurecraft dan lain-lain turut sama memberikan pandangan dalam mengatasi masalah yang timbul.
Bagi Cikgu Zul, ciri-ciri yang diberi pada gewangnya adalah berdasarkan pengalaman. Contohnya, popper, pencil atau jumfrog buatannya mementingkan kemampuan menghasilkan percikan dan bunyi yang merangsang naluri ikan.
Begitu juga dengan gewang jenis selaman, getaran dan renangan yang dapat meniru ikan yang panik atau cedera lebih cepat mendapat sambaran.
Setelah itu, baru faktor warna diberi perhatian. Cikgu Zul menggunakan kayu pokok betuh untuk gewangnya kerana sifat kayu ini yang berat, kukuh dan daya apungan yang tinggi.
Selain stabil, tekstur kayu betuh juga tahan lasak dan tidak bocor apabila dikekah oleh pemangsa bergigi tajam seperti toman.
Cikgu Zul juga menanam sendiri pokok ini bagi mengelakkan terputusnya bekalan kayu tidak berlaku.
Penelitian ketika menghasilkan gewang bermula dari pemilihan kayu dan material lain untuk pemasangan.
Kekuatan dawai steel antara 150lb-200lb pula digunakan dan dipasang dengan kaedah tebuk terus (through wire construction) dan diikat kemas bagi mengelak badan gewang pecah atau tercabut.
Kemasan akhir Zuls Craft Handmade pula menggunakan airbrush bagi mendapatkan corak dan motif yang lebih halus dan cantik.
Kemasan setiap gewang pula menggunakan teknik epoxy coating agar permukaan gewang berkilat, keras dan tahan lasak untuk menahan pemangsa bergigi tajam atau objek keras seperti batu dan tunggul kayu semasa mengilat.
Pandangan & Harapan
Secara peribadi Cikgu Zul melihat padang pancing di Malaysia semakin mengecil dan semakin ketandusan stok ikan. “Hal demikian berpunca daripada pemancing itu sendiri.
Tepuk dada, tanya hati dan akal. Jangan tanya pada selera kerana nafsu tidak pernah cukup dengan apa yang ada,” tambah Cikgu Zul.
Cikgu Zul juga menyarankan undang-undang lebih ketat dikuatkuasakan untuk amalan penangkapan tidak sihat seperti tuba dan bom di samping berharap generasi pemancing lebih menghargai dan melestarikan spesies tempatan.
Dengan itu, generasi akan datang dapat mewarisi dan menikmati apa yang kita nikmati sekarang.
“Akhir sekali, harapan saya terhadap gewang buatan tangan anak tempatan akan terus berkembang.
Hari ini dapat dilihat melalui grup-grup di FB, whatsapp dan sebagainya semakin ramai yang berminat dan dapat menghasilkan gewang-gewang buatan tangan yang berkualiti.”
“Suatu hari nanti, kita tak perlu lagi bergantung kepada jiran seberang sempadan untuk memenuhi permintaan caster kita.
Saya sedia untuk memberi tunjuk ajar dan panduan kepada sesiapa saja yang berminat dalam pembuatan gewang ini.
Jangan kita kedekut dengan ilmu yang ada. Berkongsilah agar ilmu dan pengalaman itu tidak ‘pergi’ bersama kita,” luah Cikgu Zul.
Begahak merupakan ikan pemangsa air tawar yang menjadi idaman pemancing. Kemunculannya dalam jangka waktu yang singkat serta kesukaran menjejakinya membuatkan spesimen ini berada pada ranking yang tinggi dari segi nilai tangkapan menggunakan gewang.
Saban tahun, kehadiran begahak dinantikan para pemburunya. Ikan pemangsa ini boleh diperdaya dengan menggunakan gewang. Pemancing khususnya mereka yang meminati kaedah mengilat atau casting bersiap siaga dengan peralatan memancing serta gewang pilihan. Namun hasrat dan impian untuk bertemu muka dengan keluarga catfish ini bukanlah mudah.
Menurut kajian, di Semenanjung Malaysia begahak yang mempunyai dua ‘misai’ ini hanya terdapat di Sungai Pahang dan anak sungainya yang tertentu sahaja. Di kalangan penduduk Pahang ia lebih biasa dipanggil gohok. Kemunculannya pula bukanlah sepanjang tahun. Oleh yang demikian kenalah bersedia dengan sebaik mungkin apabila waktu keemasan yang dinanti-nantikan menjelang tiba.
Petanda lazim yang diguna pakai untuk mengesan kehadiran spesies ini adalah selepas banjir ketika mana ikan-ikan kecil mula mudik ke hulu dalam jumlah yang banyak. ‘Musim ikan mungkus’ kata orang Pahang yang pada kebiasaannya hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun. Ketika inilah begahak muncul untuk berpesta meratah anak-anak ikan dan pastinya gewang yang dilontarkan akan dihambat ikan pemangsa ini.
Ketika itu banyak bot-bot yang menghanyutkan jaring. Ikan-ikan kecil ini akan dijual secara longgok sekitar RM5 –RM10 selonggok. Selain ikan mungkus, ikan bersaiz besar juga turut diburu termasuk begahak dengan menggunakan jaring bermata kasar.
GEWANG APA?
Ini pun satu hal. Dulu sebelum saya terjebak ke dunia casting, membottom adalah teknik yang biasa untuk memancing. Bila begahak terkena pancing, itu adalah kes tidak sengaja. Kalau nak jadi rezeki umpan perut ayam pun pernah dibedal begahak.
Setelah racun menggewang meresap di tubuh dan semakin bertambah gewang yang menghuni lure box, maka pelbagai aksi dan jenis gewang dihulurkan sebagai hidangan untuk mengenal pasti yang mana menjadi kesukaan begahak. Saiz yang sesuai sekecil 4 cm hinggalah 12 cm. Warna pula dipilih warna semula jadi dan juga warna-warna terang. Mata kail pula dari jenis halus dan kuat.
Semasa musim kemarau baru-baru ini rakan saya mendapat berita tentang gerombolan begahak yang dilihat bermain di satu lokasi di Sungai Pahang. Segera saya merancang untuk berkunjung dan peralatan gempur disediakan sebaik mungkin.
PERALATAN SESUAI
Kebiasaannya begahak dipancing dengan menaiki bot, tetapi kali ini kami akan casting dari tebing. Sesuatu yang agak mencabar. Dengan kawanan ikan yang bermain di tengah sungai sudah pasti memerlukan teknik dan peralatan yang berbeza.
Joran 7 kaki dan ke atas diperlukan agar lontaran gewang dapat dibuat lebih jauh. Begitu juga gewang bersaiz besar perlu digunakan. Tali sekitar 25lb – 40lb sesuai digunakan kerana kita tidak tahu saiz ikan yang ada di dalam air. Begahak 17kg dan lebih besar lagi pun pernah dinaikkan pemancing.
Hendak menggunakan tali yang lebih halus bimbang putus dan bila menggunakan tali yang lebih kasar diameternya, gewang tidak dapat dilontar jauh. Tiupan angin juga antara faktor yang membantut kelancaran kelajuan gewang.
Ketika matahari baru memancarkan sinarnya yang kekuningan, ketika itulah waktu keemasan yang dinantikan. Begahak memulakan aktiviti pagi mengejar anak-anak seluang. Percikan air serta bunyi sambaran mula kedengaran dan gewang pilihan terus menerjah air. Semakin hampir gewang jatuh dengan tempat begahak menyambar, semakin tinggi peratusan gewang disergap.
Pak Mat, orang kampung berdekatan yang meminati kaedah casting begitu bersemangat melontar gewang. Beberapa kali lontaran yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil. Gewang taruhan Pak Mat telah disambar dan joran panjangnya melengkung kerana asakkan sang begahak yang membenamkan diri. Joran dipaut dan tali digulung.
Begahak bukanlah perenang handalan berdasarkan bentuk badannya di bahagian ekor yang menirus serta ekornya yang kecil. Tidak sebagaimana kelah dan sebarau yang memecut laju setelah membaham gewang. Namun begitu tentangan begahak agak kuat. Taktiknya memberatkan badan dan tarikan padu diperlukan apatah lagi bila saiz 5 kg ke atas yang mengena.
Kebiasaannya selepas beberapa minit bertarung ia akan mengikut sahaja tali yang dikarau dengan sesekali ada sedikit perlawanan. Pak Mat akhirnya berjaya mengheret ikan ke tebing. Hasil pertama pada awal pagi itu menggelepar di atas tanah membuatkan senyuman terukir di bibir Pak Mat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...