Pencuri di kalangan pemancing… apa pendapat korang tentang perkara ini dan bagaimana agaknya untuk mengatasi tabiat mencuri terutamanya di kedai-kedai menjual peralatan memancing?
“Seringkali jugak kita melihat di FB, video rakaman kecurian di dalam kedai pancing. Nak kata kaki pancing ni kaki mencuri pun tak boleh jugak sebab ianya adalah dari hati dan sikap masing-masing.
Selalunya kaki mencuri ni asal barang boleh jadi duit tentu dia sebat… tapi bila kes mencuri dalam kedai pancing orang ramai akan kaitkan dia seorang kaki pancing aka kaki mencuri.
Yang terpalit dengan tohmahan adalah kita yang sememangnya kaki pancing. Pedih jugak bila dengar orang kata kaki pancing rupanya kaki mencuri.
Mudah-mudahan suatu hari nanti kita akan bertemu juga dengan kaki mencuri dalam kedai pancing atau di lapangan mancing… masa tu tau la nasib!”
– Loyer Anglers
“Allahu Akbar! konsep saya, tangkap ikan yang boleh buat lauk, dah perkara asasnya tak betul, bagi anak bini makan. Macam mana nak bagi keluarga tu sempurna.
Biar tak ada, biar menabung asalkan kita tak buat dosa. Jangan dibalas waktu atas bot sudah. Yang dicuri mata kail, yang jatuh ke dalam laut reel dan rod yang mahal pulak tu.”
– Blue Frogman
Ads
“Dengan orang macam ni jangan amalkan konsep tangkap dan lepas. Dapat tangkap dan tapau je. Hehe…”
– Nash Shisha
“Tak takut kumpaw sepanjang zaman ke? Kena pulak member asyik naik ikan je… awak sebab pakai barang curi tak dapat. Duri dengan gelama pun tak mau makan.
Boleh juga cuba kaedah ini. Pada pintu kedai tulis ayat ‘KALAU SAYA MENCURI BARANG DI DALAM KEDAI INI INSYAALLAH AKAN KUMPAW ABADI’.”
– Syamsul Hasan
Ads
“Nak memancing guna barang curi… lepas tu, dapat ikan dibuat makan. Ishh… ishh… tak berkat kot rezeki tangkapan tu.”
– Aqu IWann
“Pencuri tu bukannya pemancing, dia curi dan jual kat pemancing dengan harga yang murah asalkan boleh beli ubat… seorang pemancing sejati bukanlah seorang pencuri!”
– Muhammad Aliff Johari
Ads
“Tangkap, lepas tu ikat kat pokok! Hukumannya, libas badan dia dengan ekor pari. Hehe…”
“Turunkan harga barang pancing. Itu cara lagi baik. Kalau semua barang harga murah, dah tentu takde yang nak mencuri.”
– Nasir Mohamad Gp
“Panjang tangan di kedai pancing okey lagi… ni ada kes sama komplot, sama bot sempat pulak panjang-panjangkan tangan… haha. Betul-betul haramjadah ada pemancing macam ni.”
– Asyraaf Kay
“Dah masuk lokap nanti, sabun jatuh jangan kutip kat dalam tu. Siksa woooo… kata kawan sekolah aku dulu. Entah ler kenapa dia kata macam tu.. tapi dari penceritaan dia dengan gaya muka yang amat-amat seksa dan taubat.”
– Khairul Anuar Jeemadi
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Suatu masa dahulu, mendengar nama pulau jerejak pasti ramai yang berasa gerun kerana pulau ini pernah menjadi tapak kuarantin bagi pesakit kusta, tibi dan juga penjara bagi pesalah jenayah.
Malah, ada yang pernah menggelar pulau ini sebagai ‘Pulau buangan’ Dan ‘Pulau Alcatraz Malaysia’.
Namun, di sebalik tinggalan kisah lampau ini, Pulau Jerejak ini mendapat tempat sebagai antara lokasi pilihan memancing yang popular di perairan Pulau Mutiara.
Pulau dengan keluasan 362 hektar dan terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar ini menjadi habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Siapa sangka sebuah pulau kecil yang dahulunya mencatatkan 1001 kini menjadi antara spot pancingan yang popular di utara tanah air.
Pulau Jerejak yang terletak di selatan Pulau Pinang kini semakin mendapat tempat di hati kaki pancing sejak mula berubah wajah untuk dibangunkan menjadi sebuah kawasan peranginan.
Menurut penduduk sekitar, kunjungan kaki pancing perairan Pulau Jerejak ini semakin meningkat saban hari terutama hujung minggu dan cuti umum.
Apa tidaknya, hasil laut yang ada di sini bolehlah dikategorikan sebagai gred A. Dari spesies jenahak, kerapu, siakap, pari, talang, dan GT, semuanya pernah dinaikkan di pulau ini.
Malah, ada suatu ketika dikatakan kawanan ikan merah pernah singgah di perairan pulau ini.
Dengan bayaran serendah RM15 bagi satu kepala, anda boleh memancing di pulau ini dari pagi hingga ke lewat petang.
Malah, ada juga pemancing yang memilih sesi malam hingga awal pagi untuk menduga ikan di kepulauan kecil ini.
Bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini, mereka boleh memilih sendiri lokasi memancing pilihan mereka.
Tidak kiralah di hadapan atau belakang pulau, semuanya anda boleh deal dengan boatman yang membawa anda ke sana.
PANGGILAN PULAU
Kunjungan saya ke pulau ini tidak dirancang sama sekali. Kunjungan ke rumah rakan sewaktu di IPT dahulu, membuatkan saya mengajaknya untuk merasai pengalaman memancing di sini.
Saya memilih sesi pancingan dari pagi hingga lewat petang untuk beraksi di Pulau Jerejak ini. Untuk trip kali ini, tiada spesies sasaran yang disasarkan, cuma lebih kepada mengharapkan ikan yang bersaiz memuaskan dapat dinaikkan.
Seawal jam 8.00 pagi saya bersama seorang rakan tiba di Jeti Batu Maung untuk menuju ke Pulau Jerejak.
Tepat jam 8.30 pagi kami pun memulakan perjalanan ke lokasi pilihan kami. Kami memutuskan untuk mencuba nasib di bahagian belakang pulau yang berhampiran dengan sangkar ikan. Spot ini sememangnya top di kalangan kaki pancing.
KEBERKESANAN UMPAN DI SEKITAR PULAU JEREJAK
Melalui pengalaman rakan saya yang telah beberapa kali berkunjung ke sini, diet utama ikan di kawasan pulau ini ialah udang hidup dan belanak yang banyak bermain di kawasan pulau ini.
Oleh sebab itu, kami telah standby awal-awal membawa jala untuk mencari umpan hidup. Sebagai pilihan, kami juga telah bersedia dengan umpan hirisan ikan termenung dan sotong sebagai umpan alternatif lain sekiranya bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
Nasib kami agak baik. Kerana sewaktu tiba, air bergerak pasang turut membawa ratusan udang dan anak ikan ke pesisir pantai.
Rupanya begitu mudah sekali mendapatkan bekalan umpan hidup di sini. Namun, ujar rakan saya, pernah dalam kunjungannya dahulu begitu sukar mencari umpan hidup.
Justeru itu, bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini dinasihatkan bersedia dengan back-up plan andai kata terjadi situasi bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
BABY GT PENGUBAH SUASANA
Selesai sahaja mendapatkan bekalan umpan hidup, kami terus memulakan aktiviti pancingan.
Di sesi awal ini, hanya menyaksikan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan duri tumpas di tangan kami.
Mungkin disebabkan faktor air yang masih surut tatkala itu menjadikan hanya ikan kecil yang mendominasi tangkapan.
Namun segalanya berubah apabila air mulai pasang menjelang tengahari. Umpan udang hidup yang saya lontarkan berhampiran kawasan berbatu rakus disambar penghuni dasar.
Menjerit reel ekonomi Ajiking Wahoo yang saya gunakan sewaktu ditarik spesies yang belum menunjukkan rupa ini.
Dengan pantas penulis melakukan karauan apabila sang ikan laju meluru ke kawasan terumbu karang.
Tak sampai 5 minit bertarung, muncul kilauan putih yang sudah keletihan di atas air. Rupa-rupanya seekor baby GT berskala 1 kg yang menyambar umpan saya.
Nyata saya amat gembira kerana, inilah ikan GT pertama yang penulis daratkan dengan teknik bottom.
Terkulai sahaja baby GT di dalam box ikan, kami semua mulai bersemangat melontar joran. Tidak lama selepas itu, giliran joran Mat pula disambar ikan.
Meliuk lentuk rod yang diletakkan dibatu apabila disambar spesimen bersaiz kasar. Tidak perlu menunggu lama, terkulai seekor jenahak berskala 800 gram yang membaham umpan belanak hidup.
Pada hari itu sahaja pelbagai spesies ikan yang kami perolehi. Namun yang paling rajin menggetu umpan ialah ketuka yang begitu menggemari umpan udang hidup yang kami hidangkan.
Selain itu, plotan (duri bersaiz kasar), tetanda, gerut-gerut dan pelbagai spesies karang lain turut tumpas di tangan kami.
Apabila air mulai penuh kami cuba juga menggunakan pelampung yang berumpankan ikan belanak dan udang hidup untuk memburu siakap, namun, tiada seekor pun yang sudi pada trip kali ini.
Apapun, kami masih berpuas hati dengan hasil-hasil pancingan sepanjang seharian kami di pulau ini.
PENGAKHIRAN CERITA
Menjelang jam 6 petang, kami mula berkemas dan bersedia untuk pulang ke jeti.
Sepanjang perjalanan pulang, kami dihidangkan dengan pemandangan indah lautan dan flora yang menghijau di sekitar Pulau Jerejak ini.
Pulau Jerejak sememangnya wajar boleh diketengahkan menjadi kawasan memancing yang popular di Malaysia.
Saya juga percaya, jika dijaga dengan rapi, pasti pulau ini dapat menggamit lebih ramai kaki pancing dari dalam dan luar Malaysia.
Trip repeat pasti akan saya rangka lagi dalam masa terdekat nanti untuk memburu spesies gred A lain yang masih bersembunyi di ‘Pulau Buangan’ ini.
Taman Botani Negara Shah Alam atau juga dikenali Taman Bukit Cerakah suatu ketika dahulu, sering menjadi tumpuan warga Lembah Kelang khususnya Shah alam untuk berehat pada hujung minggu. Aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung di sini seperti jogging, berbasikal dan sebagainya sambil menghirup udara segar yang dikelilingi hutan hujan.
Bagi kaki pancing pula, Empangan Air Kuning (EAK) yang terdapat di taman botani adalah satu pilihan alternatif untuk rekreasi memang. Kawasan memancing di EAK ini juga kemas dan bersih. Terdapat pelbagai ikan yang dimasukkan ke dalam empangan ini seperti ikan raja, pacu, patin, toman dan sebarau.
Di sini anda akan melihat pelbagai teknik pancingan diamalkan seperti pancing layang, pancingan dasar dan mengilat. Namun buruan utamanya tetap satu iaitu ikan pacu. Ini kerana pacu yang terdapat di sini memiliki kekuatan yang kuat dan bertenaga sehingga mendapat nama jolokan pacu ‘steroid’.
Purata berat saiz pacu di sini sekitar satu hingga lima kilogram. Teknik pancing layang dan dasar menggunakan umpan, kejayaan untuk merasa tarikan pacu di sini adalah 90%. Berbeza pula bagi yang suka mengilat, hanya 10% saja kejayaan untuk mendarat pacu. Boleh dikatakan terlalu sukar untuk memperdayakan pacu di sini dengan menggunakan gewang terutama jenis hard lure.
Sempena pelancaran warna terbaru dari Rasengan Limited untuk gewang model minnow SSXS siri Black Mamba,kami mengambil cabaran untuk mengujinya dengan pacu di sini atas cadangan Hasan Udin. Ternyata nasib menyebelahi kami, lontaran kali ketiga gewang Rasengan Black Mamba merah oleh Nazrol Luffy berjaya memikat pacu steroid dengan larian padunya umpama Speedy Jantan. Selepas itu peluang saya pula merasa tarikan pacu steroid di sini yang tertipu dengan Black Mamba berwarna kuning.
Izzat Sabri juga berjaya mendaratkan pacu bersaiz tiga kilogram. Pada masa yang sama Nazrol Luffy masih bertarung dengan pacu steroid keduanya. Dengan set aksi joran kekuatan 2-6lbs, ia mengambil masa 10minit untuk mendaratkan pacu steroid seberat lima kilogram. Keseluruhan dua jam masa yang diluangkan mengilat di sini cukup berjaya bagi kami. Dengan lima ekor ikan pacu steroid berjaya didaratkan tidak termasuk dengan rabut dan mata kail terkangkang dikerjakan oleh pacu steroid.
Ketika air surut jernih di Sungai Jelai, Kuala Lipis memang waktu terbaik untuk memancing udang galah, ikan kerai dan juga tenggalan. Tetapi siapa yang dapat menyangka pari sungai yang menyentap dan memakan umpan yang dipertaruhkan seperti cacing air dan anak udang sungai.
Pari sungai atau pari air tawar adalah spesies yang kian terancam dan hanya terdapat di dua buah sungai utama di Semenanjung, Sungai Pahang dan Sungai Perak. Namun ia masih boleh ditemui di perairan Sungai Pahang seperti Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh.
Sesetengah orang luar dari kawasan Pahang masih tidak percaya tentang kewujudan pari sungai. Mereka beranggapan ia adalah pari tuka, akan tetapi bukan ikan tuka. Ikan ini merupakan speisis pari air tawar yang bersaudara dengan pari air tawar gergasi yang terdapat di Thailand, bukan semua tempat ada ikan pari air tawar.
Tempat saya memancing iaitu sungai jelai sangat jauh beratus kilometer dari laut dan air masin. Pari sungai banyak terdapat di Sungai Jelai, Sungai Jerantut dan juga Temerloh. Habitat atau lubuk yang disukainya ialah kawasan berpasir.
Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar dengan mengunakan umpan cacing dan anak udang. Dalam pancingan ikan pari, joran akan melengkung apabila ditarik pari. Adakala ikan pari akan mendap atau masuk ke dalam pasir menyebabkan sukar untuk bawak naik .
Kalau sudah berjaya didaratkan, haruslah berhati-hati kerana bisa pari sungai juga adalah sangat berbisa dan bahaya seperti pari air masin. Badan pari sungai juga sangat berlendir berbanding pari laut. Bagi orang Kuala Lipis, isi pari sungai sangatlah sedap. Menu biasa bagi saya orang Kuala Lipis adalah ikan pari masak tempoyak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...