Bagaikan tidak cukup seharian mengelilingi kolam ternakan ikan, kemudian sambung pula berembun sepanjang malam, namun apa yang diperoleh sangat tidak berbaloi. Dan untuk tidak terus berakhir dengan kekecewaan, Geng Sunway yang diterajui oleh Abang Lan segera menukar strategi.
Geng Sunway adalah nama jolokan yang diberikan kepada kumpulan pemancing haruan yang majoritinya menetap di Sunway, Petaling Jaya. Sementara kolam Kolam Halim yang dimaksudkan adalah bekas lombong yang dijadikan kolam ternak ikan secara kecil-kecilan oleh Halim.
Manakala haruan-haruan yang bersifat pemangsa kepada benih-benih ikan ternak yang gagal dihapuskan itu pula merupakan sasaran utama Geng Sunway apabila berkunjung ke Kolam Halim di Temoh, Perak ini.
Namun hasil pancingan pada kunjungan terbaharu ini ternyata agak mengecewakan. Berikutan cuaca panas dan kemarau, paras air lombong surut dengan begitu ketara. Apabila paras air berubah maka habitat haruan pun berubah. Haruan dikesan berada jauh ke tengah lombong. Justeru itu Geng Sunway sepakat untuk mencuba nasib di lokasi baru yang dicadangkan oleh Abang Lan.
Ads
Menurut Abang Lan, seorang kenalannya pernah meredah parit-parit di sebuah ladang kelapa sawit dalam kawasan Tanjung Tualang dan hasilnya begitu menggalakkan walaupun sekadar menggunakan umpan tiruan, bukannya katak hidup.
Dan dengan baki katak hidup yang masih ada, Geng Sunway ke ladang sawit sekitar 40 kilometer dari Kolam Halim. Setibanya di ladang sawit yang dimaksudkan, Geng Sunway berpecah dan bebas memilih parit-parit yang ada.
Ads
Setelah memerhati keadaan parit yang ketara tidak sesuai untuk mengamalkan pancingan umpan tiruan saya memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam sesi ujian lapangan baharu ini sebaliknya sekadar menemani Bob untuk merakam foto sekiranya beliau berhasil.
Dalam pada masa yang sama dapatlah saya timba ilmu memancing haruan menggunakan umpan katak hidup yang sememangnya saya kurang berkemahiran. Ternyata saya tidak salah memilih Bob sebagai guru. Setelah mencurahkan serba sedikit ilmu, jasa baik Bob itu terbalas dengan mendaratkan seekor bujuk dengan skala saiz yang agak lumayan juga.
Ads
Disebabkan bekalan katak hidup yang terhad dan ladang sawit itu terlalu luas untuk diredah dengan berjalan kaki, sesi ujian terpaksa dipendekkan. Selain Bob, Nayan turut sama berhasil mendaratkan seekor haruan dengan skala saiz yang juga lumayan.
Yang pasti parit besar dan parit kecil di kawasan ladang sawit tersebut ternyata berpotensi dan Geng Sunway mula merancang untuk kembali dengan kenderaan dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk memujuk bujuk yang agak banyak populasinya di situ.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
Pada November 2019 lalu, Jabatan Perikanan Sabah telah menyenaraikan enam spesies ikan terancam terbaharu dalam Akta Perikanan 1985, bermula pada tahun lalu.
Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol berkata, spesies ikan terancam terbaharu itu melibatkan empat spesies ikan yu dan dua spesies ikan pari.
Spesies itu adalah yu sirip putih besar atau nama saintifiknya, Carcharhinus longimanus; yu tukul (Sphyrna zygaena); yu tukul parang (Sphyrna mokarran); yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan 2 spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris dan Mobula alfredi.
Ia menjadikan keseluruhannya ada 36 spesies hidupan marin terancam, dilindungi mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985 bertujuan mengelak kepupusan.
“Untuk itu, Jabatan Perikanan Sabah menjelajah ke 17 daerah di Sabah, khususnya daerah marin, bagi memberi pemahaman mengenai spesies marin yang tidak boleh ditangkap dan dijual,” katanya kepada pemberita selepas Program Sosialisasi Spesies Terancam di sini hari ini.
Kissol turut menasihati masyarakat maritim di seluruh negeri khususnya nelayan, supaya melepaskan spesies marin terancam kembali ke laut jika mendapati hidupan marin berkenaan tertangkap atau tersangkut pada pukat nelayan.
Beliau menghargai keprihatinan masyarakat keseluruhan, khususnya nelayan dan penjual ikan, agar disalurkan maklumat betul dan panduan bagi membolehkan mereka mematuhi undang-undang berkaitan perikanan dengan lebih baik.
Pada program itu, Kissol menggantungkan poster yang tertera gambar dan maklumat mengenai spesies marin terancam di Pasar Umum Sandakan.
Ketika air surut jernih di Sungai Jelai, Kuala Lipis memang waktu terbaik untuk memancing udang galah, ikan kerai dan juga tenggalan. Tetapi siapa yang dapat menyangka pari sungai yang menyentap dan memakan umpan yang dipertaruhkan seperti cacing air dan anak udang sungai.
Pari sungai atau pari air tawar adalah spesies yang kian terancam dan hanya terdapat di dua buah sungai utama di Semenanjung, Sungai Pahang dan Sungai Perak. Namun ia masih boleh ditemui di perairan Sungai Pahang seperti Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh.
Sesetengah orang luar dari kawasan Pahang masih tidak percaya tentang kewujudan pari sungai. Mereka beranggapan ia adalah pari tuka, akan tetapi bukan ikan tuka. Ikan ini merupakan speisis pari air tawar yang bersaudara dengan pari air tawar gergasi yang terdapat di Thailand, bukan semua tempat ada ikan pari air tawar.
Tempat saya memancing iaitu sungai jelai sangat jauh beratus kilometer dari laut dan air masin. Pari sungai banyak terdapat di Sungai Jelai, Sungai Jerantut dan juga Temerloh. Habitat atau lubuk yang disukainya ialah kawasan berpasir.
Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar dengan mengunakan umpan cacing dan anak udang. Dalam pancingan ikan pari, joran akan melengkung apabila ditarik pari. Adakala ikan pari akan mendap atau masuk ke dalam pasir menyebabkan sukar untuk bawak naik .
Kalau sudah berjaya didaratkan, haruslah berhati-hati kerana bisa pari sungai juga adalah sangat berbisa dan bahaya seperti pari air masin. Badan pari sungai juga sangat berlendir berbanding pari laut. Bagi orang Kuala Lipis, isi pari sungai sangatlah sedap. Menu biasa bagi saya orang Kuala Lipis adalah ikan pari masak tempoyak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...