Esoknya, seawal jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Sandakan pula. Perjalanan dijangka mengambil masa tujuh hingga lapan jam dengan laluan bukit bukau dan merentasi kaki Gunung Kinabalu.
Akhirnya perjalanan panjang ini bernoktah setelah kami tiba di Bandar Sandakan Sabah. Ketibaan kami di sana disambut oleh guide kami iaitu Tuan Syamil Salleh yang bertanggungjawab membawa kami ke lubuk kanai.
Untuk malam kedua, kami bermalam di Labuk Hotel untuk berehat dan mempersiapkan set pancing masing-masing.
Beberapa gewang killer dalam ‘mazhab perburuan’ kanai seperti Zerek Giant Ruby, Rapala TDD9 dan TDD11 siap diletakkan di dalam kotak.
Ads
Hari ketiga iaitu hari menduga sang kanai telah tiba. Seawal jam 6.00 pagi, selesai memenuhkan perut masing-masing, kami bertolak ke jeti yang hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari tempat penginapan kami.
Di jeti kami bertemu dengan Tuan Syamil Salleh dan bermula pula perjalanan kami ke lubuk kanai yang mengambil masa kira-kira satu jam.
Setibanya di Sungai Pitas yang merupakan lubuk kanai, kami memulakan aktiviti memancing. Bermulalah ujian memujuk raja muara ini.
Pertarungan dengan sang kanai sangat menguji minda dan fizikal kami apabila beberapa kali tarikan masih belum mampu menewaskan spesies ini.
Kekecewaan kami akhirnya terungkai apabila Abang Moktar berjaya mendapatkan lesen kanai miliknya dengan anggaran 4kg.
Ads
Dalam beberapa jam menduga kanai pada hari itu, kanai milik Abang Moktar merupakan kanai tunggal yang diperoleh.
Kami yang lain pula sekadar mendaratkan beberapa ekor siakap merah dan alu-alu buat pengubat spesies blackbass ini.
Pada jam 4.00 petang kami mengambil keputusan untuk berangkat pulang ke jeti dan akan meneruskan sesi pancingan pada hari esoknya.
Esoknya sekitar jam 7.00 pagi, kami bertolak ke lubuk utama. Nampaknya untuk hari kedua memancing ini, dengan izin-Nya keadaan air nampak tenang dan cuaca yang baik menemani kami sepanjang perjalanan.
Setelah sampai di Sungai Pilus, kami memulakan aktiviti casting. Tanpa diduga, trip hari ini amat menggembirakan kami apabila masing-masing merasai kehebatan dan ketangkasan sang kanai beraksi.
Ads
Apa pun, kami masih perlu berhati-hati ketika bertarung dengan sang kanai yang sememangnya diketahui gemar membuat larian pantas ke kawasan reba.
Mujur kami telah bersiap dengan set pancing heavy kali ini. Tali braided kekuatan 60lbs dengan perambut kekuatan 80lbs setidak-tidaknya membantu kami untuk menahan asakan keras dari kanai.
Hasilnya, kesemua kami berjaya mendaratkan spesies kanai.
Kesemua spesimen yang tewas dianggarkan seberat antara 4kg hingga 5kg. Masing-masing cukup gembira apabila mendapat lesen kanai dan mengambil peluang bergambar sebagai bukti lesen kanai sebelum dilepaskan kembali.
Selang beberapa bulan sebelum trip ini, kami ada merancang untuk memancing ke sebelah timur semenanjung untuk melampiaskan nafsu memancing yang semakin bergelora. Namun hajat dan gejolak nafsu ini terpaksa kami batalkan kerana padang pancing yang diidamkan untuk kami turun bertarung masih lagi bergelora.
Monsun barat daya masih menghasilkan lambungan ombak setinggi dua hingga tiga meter. Kadar ketinggian yang mampu membuatkan si pemancing diam terkedu pening tanpa mampu memancing. Maka perairan sebelah barat semenanjung lah yang menjadi pilihan kami.
Lokasi pilihan
Pulau jarak merupakan lokasi yang menjadi impian ramai pemancing baik baru mahu pun yang lama untuk menguji peralatan, skil dan teknik pemancingan terkini. Di pulau jarak ini jugalah ramai pemancing tumbang dek kekurangan skil namun ada juga yang terus ketagihan kerana ‘tersampuk’ listrik dari kekuatan tenaga ikan-ikan ‘big game’ yang bermastautin di perairan ini.
Pulau ini tidak mempunyai sebarang pantai. Ia lebih kepada dinding-dinding batu granit vetikal yang menganjur ke lantai laut. Ini menjadikan lokasi ini lokasi yang ideal untuk pembiakan plankton, batu-batu karang lalu menjadi rumah yang sesuai untuk banyak spesies ikan. Malah ia menjadi lokasi yang cantik untuk penyelam datang menyelam dan menyingkap rahsia isi kandung laut di perairan jarak ini.
Empat orang pemancing berkumpul di kuala lumpur pada petang 11 januari lalu bagi merealisasikan impian dan meleraikan ketagihan memancing yang sudah beberapa bulan tidak bertarung dengan spesies rakus di pulau jarak. Bob, dan panglima ghaib merupakan pemancing yang pernah dan juga agak kerap turun ke sini untuk memancing. Manakala Mahfudz dan Bernard yang masih baru dalam arena jigging, ingin mencuba nasib di perairan ini.
Gelora gigil
Jam 6.45 pagi, suara garang enjin menderum menandakan bot sudah sedia untuk berlepas ke lokasi. Cuaca yang cantik terzahir pada langit yang membiru terang dan deruan angin yang berhembus selesa lalu menambahkan ‘gelora gigil’ tangan masing-masing. Perjalanan ke pulau jarak yang mengambil masa satu jam tiga puluh minit dirasakan sekejap kerana ombak tidaklah begitu tinggi. Keadaan ini cukup selesa buat kami menuju ke lokasi tanpa banyak perlu bot menghempas ombak.
Lokasi yang menjadi sasaran kami adalah kawasan yang mempunyai tunggul-tunggul karang atau struktur bukit laut. Satu lokasi yang mempunyai struktur yang menganjur naik dari lantai laut yang membentuk bukit-bukit kecil di dasar laut. Kawasan ini sangat subur dari segi jumlah batu-batu karang dan tumbuhan laut yang lain.
Teknik pilihan
Teknik jigging sambil berhanyut pada jarak sekitar antara 60 meter hingga 100 meter dari kawasan bukit dasar laut merupakan teknik pilihan atas nasihat tekong abang lan. Matahari yang cukup terik menemankan kami di geladak bot dimana masing-masing berdiri berposisi untuk jigging. Peralatan ‘light-jigging’ sudah lama tersedia sejak dari dalam perjalanan ke sini tadi.
Daripada bacaan radar ‘echo-sounder’ yang terpasang di bot, kedalaman di padang pancing ini adalah sekitar antara 50 meter sehingga 90 meter. Agak dalam juga perairan ini dan peralatan yang menjadi pilihan untuk ‘bermain’ disini antaranya dari siri pe1 sehingga pe4. Kekili yang dipilih untuk bertarung terdiri dari siri 4000 hingga 6000 berserta tali sulam antara pe2 hingga pe4. Perambut yang mampu bertahan di sini adalah dari skala 50lb hingga 70lb.
Kepingan besi jig hampir kesemuanya mempunyai berat di antara 150 gram sehingga 180 gram digunakan. Ini kerana arus yang agak laju mampu ‘melayangkan’ atau ‘mengapungkan’ gewang jig jika berat yang digunakan berskala 100gm ke bawah.
Jig-jig yang banyak menjadi pilihan di sini adalah terdiri dari yang berprofil gemuk dan pendek (leaf type), jig madai dan warna yang memang ‘hit’ ketika itu ialah yang berwarna biru dan mempunyai adunan warna putih dan perak. Jig jenis ini sangat sesuai dimainkan di separa air dengan kelajuan yang sekata dan mempunyai renangan ‘vertikal’ dan ‘horizontal’ yang cantik dari lantai ke permukaan air.
Bila jig jadi tukun
Bagi mahfudz yang baru lagi berjinak dengan arena jigging ini, teknik menghanyut masih lagi asing baginya. Beberapa keping jig menjadi makanan karang. Hanyutan jig yang terlalu hampir pada lantai laut membuatkan kepingan jig kerap tersangkut pada tunggul karang.
Dalam kelekaan meleraikan kekusutan fikiran angkara batu karang yang membaham jig, joran xzoga bertuankan Bernard melendut keras. Laluan diberi kepada bernard dengan semua kawan-kawan serta merta menggulung tali masing-masing. Laluan kini terbentang luas untuk bernard yang pertama kali memancing di perairan ini. Senyum dalam terpaksa buat bernard kerana hentakan ikan di bawah semakin meruntun jiwa.
Tangan semakin sakit, pinggang semakin keras. Duduk yang selesa tadi kini sudah menjadi tidak keruan. Selepas 15 minit bertarung, akhirnya ikan menyerah kalah. Gerepoh (giant trevally) berskala hampir 11kg tersadai di pangkuan bernard.
Selepas itu, kekili abang lan pula menjerit nyaring. Dengan belasan tahun pengalaman memancing di laut, jenahak 2kg tidak langsung menjadi masalah langsung buat abang lan. Hanya beberapa minit diperlukan untuk mendaratkan ikan tersebut. Usai jenahak didaratkan, sekali lagi gerepoh membaham jig. Kali ini joran panglima ghaib melentur dengan disertakan dengan larian yang agak kuat dari pemangsa di bawah bot. Gerepoh berskala 4kg melarikan jig 150gm yang menjadi pilihan untuk mengunjun di perairan jarak kali ini.
Karen pemancing baru
Selesai sahaja bergambar dengan spesies tangkapan yang kuat melawan ini, giliran bob pula beraksi. Rod poseidon ‘spin jerker’ pe2.5 yang dipadankan dengan kekili daiwa saltiga z4500 kini mengambil bahagian beraksi di kala air mula mahu beralih dari surut kepada bunga pasang.
Joran poseidon yang berkekuatan pe2.5 ini cukup cantik beraksi dengan mudah menumpaskan seekor lagi ikan gerepoh (giant trevally) yang dianggarkan seberat 5kg. Bernard yang sedari tadi hanya memerhati dan membantu, kini turut beraksi sekali lagi hanya beberapa minit selepas bob melepaskan ikan gerepoh tadi. Tiada masalah bagi bernard kerana kali ini ikan gerepoh yang didaratkan hanyalah seberat 6kg, namun ia tidak mudah mengalah. Ini membuatkan bernard berjanji akan ke sini lagi bila ada peluang. Dah kena ‘karen’ la tuu…
Menjelang jam 3 petang, jig dihulurkan panglima ghaib disambar kasar penghuni dasar. Tali beberapa kali mencurah keluar dari kekili saltiga game 3500. Jig tersebut disambut di pertengahan air maka tidak syak lagi, mangsa pasti gerepoh bersaiz kasar. Pertarungan selama 15 minit akhirnya berpihak ke panglima ghaib yang tersenyum menaikkan gerepoh seberat 12kg.
Seketika kemudian, joran mahfudz pula direnggut kasar dan beberapa sentapan padu dilakukan untuk memastikan tancapan kemas mata kail, akan tetapi permainan hanya berlangsung beberapa saat. Diam seketika. 5 minit berlalu tanpa aksi dan gewang jig ini dirasakan telah tersangkut di karang.
Namun setelah dinasihatkan oleh abang lan, mahfudz hanya sabar menanti dan cuba merentap tali pada kekili avet jx 6/3 miliknya, dan kedapatan satu larian ke atas membuatkan mahfudz sedikit kaget. Rupanya gewang jig tadi ditelan oleh seekor kerapu yang cukup cantik.
Sesudah beberapa hanyutan terakhir dilakukan, akhirnya sekali lagi jig mahfudz bersambut kasar, mahfudz menyentap kemas dan cuba mengangkat tinggi joran dari posisi jigging yang normal dan terasa joran dihentak kasar membenam ke dasar. Hanya 6 minit sahaja diperlukan untuk mengarau seekor jenahak montel berskala 3kg ke atas bot. Mahfudz tersandar lega. Muka ada senyumm..!
Itulah ikan terakhir dalam trip ‘balik hari’ kali ini. Ini merupakan satu kejayaan pendek bagi pemancing baru seperti bernard dan mahfudz, sehinggakan mahfudz terlupa seketika dengan set pancing layang yang baru dibelinya.
Dalam teks ucapan ahli dewan negara Labuan, Senator Datuk Yunus bin Kurus sempena majlis pelancaran Agropreneur Muda (sempena MyDof Media Tour 2016) bertempat di Jeti
Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan menyatakan, perairan Labuan mempunyai sumber tuna yang sangat banyak.
Pendaratan tuna sehingga purata empat tan metrik sehari. Dari jumlah itu hanya satu tan metrik sahaja yang digunakan oleh penduduk Labuan sementara tiga tan metrik lagi dihantar ke negeri jiran seperti Sabah, Sarawak dan Brunei.
Walaupun pada dasarnya ia merupakan satu peluang khususnya warga Labuan untuk menceburi bidang pemprosesan produk makanan berasaskan tuna, secara tidak langsung
ia menjelaskan betapa kayanya perairan Labuan dengan tuna terutamanya tuna sirip kuning atau yellowfin tuna yang merupakan spesies game fish idaman ramai peminat sukan memancing.
Menurut Pengarah Pejabat Perikanan Negeri, Anuar Salam Sulaiman pula, selaku pusat pendaratan utama tuna Labuan juga bersedia untuk menjadi destinasi agrotourism memancing.
Sudah sampai masanya para pemancing menyenaraikan Labuan dalam kalendar trip memancing tahunan.
“Pembinaan payau (unjam) dalam program pembangunan tuna menjadi kunci untuk memastikan populasi tuna sentiasa ada di perairan Labuan.
Walau bagaimana pun bulan September hingga Disember merupakan tempoh terbaik untuk memancing tuna. Terutamanya jika berhasrat untuk memburu yellowfin tuna gergasi sehingga saiz 120 kilogram.”
Selain melihat secara langsung proses produk berasaskan tuna terbaharu iaitu satay tuna yang diusahakan oleh usahawan agropreneur muda, Suzana Ahmad, rombongan media
dalam program MyDof Media Tour di Labuan ini turut berpeluang melihat dan menyentuh tuna sirip kuning seberat 77 kilogram hasil pancingan secara tradisional oleh nelayan tempatan.
Dengan stok ikan dan saiz gergasi yang terdapat di perairan negara ini sebenarnya kita tidak perlu pergi sehingga ke perairan Indonesia untuk memburunya.
Hidup sang penghanyir tidak pernah kenal erti rehat. Walaupun banyak menghabiskan cuti hujung minggu di kolam-kolam pancing air tawar sekitar Lembah Kelang, namun disebabkan pandemik Covid-19, terpaksalah niat untuk merentas daerah/negeri pergi memancing dilandaikan seketika.
Pun begitu minat untuk memancing ikan-ikan di habitat liar tidak pernah padam dalam diri. Tak kiralah sama ada memancing ikan lampam, baung, belida atau patin di sungai, tasik mahupun lombong.
Keseronokan memancing di lokasi sebegini jauh lebih indah berbanding pancingan di kolam-kolam pancing komersial. Apatah lagi hasil pancingan dijadikan juadah dan dimakan terus di lokasi kejadian. Kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan waima hanya sekadar tilapia bakar.
Apabila bertemu kembali dengan rakan-rakan lama yang pernah sama-sama menjadi penunggu tebing sungai, tasik dan lombong, secara spontan sesi untuk kembali menjadi penunggu tebing dirancang. Kami sepakat sekata untuk mencuba nasib yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi kami untuk memancing lampam dan patin.
Berikutan sudah agak sebati dengan pancingan kolam air tawar maka umpan yang digunakan untuk lokasi liar ini sama sahaja dengan umpan untuk pancingan kolam. Bezanya, untuk memanggil ikan merapati kawasan kami memancing, kami harus `merasuah’ beberapa kilogram dedak ayam yang dicampur dengan sedikit bahan perisa seperti pes strawberi.
Apabila ada riak-riak ikan menghampiri kawasan yang telah dirasuahi baharulah kami memulakan sesi memancing. Umpan yang digunakan pun sama sahaja dengan teknik pancingan kolam iaitu rot sandwich biasa dipotong dadu yang dicampuri dengan pes perisa strawberi.
Tidak perlu menanti lebih lama, sebagaimana yang dijangka ikan lampam Jawa dan lampam sungai yang berjaya didaratkan. Walaupun ia cuma lampam dan saiznya tidaklah sebesar mana namun ia tetap menghiburkan. Namun kami masih menaruh harapan spesies ikan liar yang terutamanya patin yang mengena.
Lebih setengah hari menjadi penunggu tebing, akhirnya pancing kami menerima sambaran dan corak larian yang berbeza dengan tindak balas lampam apabila terkena mata kail. Pada awalnya kami menjangkakan ikan patin yang mengena, setelah didaratkan ternyata ia bukan patin sebaliknya ikan kaloi. Kami sama sekali tidak menjangka ikan kaloi akan memakan umpan roti yang kami gunakan. Lebih menarik, tidak lama kemudian ada lagi kaloi yang berminat dengan umpan tersebut.
Setelah beberapa ekor berjaya didaratkan, kami bakar tanpa sebarang rencah dan diratah begitu sahaja. Nikmat dan kepuasannya sangat-sangat berbaloi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...