Seorang tekong bot memancing meninggal dunia akibat sesak nafas, sementara enam pemancing lain berjaya diselamatkan, selepas bot yang mereka naiki terbalik dan karam
dipukul ribut dalam kejadian di perairan Pulau Tinggi, Mersing pada awal pagi kelmarin (Khamis).
Mustafa Harun, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Mustafa di kalangan pemancing,
64, menghembus nafas terakhir akibat semput nafas pada pukul 4 pagi selepas terapung lebih dua jam setelah bot dinaiki mereka terbalik dan karam.
Difahamkan, kesemua tujuh mangsa yang berusia antara 30 hingga 64 tahun itu dikatakan keluar ke laut pada pukul 4.30 petang Isnin sempena cuti Hari Pekerja untuk memancing ikan di perairan berkenaan.
Ads
Timbalan Pengarah Operasi Mairitim negeri Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata kesemua mereka ditemui oleh tekong bot nelayan tempatan, yang ketika itu melalui kawasan kejadian pada jam 7.30 pagi.
“Akibat daripada keadaan cuaca yang sejuk, tekong bot pancing dikenali sebagai Mustafa Harun, 64, meninggal dunia, kerana mengalami kesesakan nafas ketika terapung, sebelum meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi.
Ads
“Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui seorang tekong bot nelayan tempatan lain yang ketika itu membawa sekumpulan pemancing lain, telah membawa mereka pulang ke jeti berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Ads
Menurut Sanifah, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor Bahru) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 mengenai kejadian bot pancing terbalik di perairan Pulau Tinggi itu pada jam 11.15 pagi tadi.
Terdahulu, menerusi akaun Facebook orang awam, tular satu video yang memaparkan sebuah bot menyelamatkan beberapa mangsa yang memakai jaket keselamatan di tengah laut.
Dalam video berkenaan juga, kelihatan mangsa yang meninggal dunia turut diangkat memasuki bot berkenaan oleh sekumpulan pemancing.
Sanifah berkata, Maritim Malaysia memuji tindakan prihatin komuniti maritim setempat yang dapat menyelamatkan nyawa orang ramai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Orang yang bertanggung jawab membina menara condong ini Leong Choon Cheong pada tahun 1885. Tujuan asal ia dibina untuk menempatkan sebuah tangki air untuk kegunaan penduduk setempat dan keperluan memadamkan kebakaran.
Menara yang tingginya 25 meter dengan 110 anak tangga pada asalnya tidaklah condong. Pada tahun 1895, berlaku kejadian banjir besar di Teluk Intan yang menyebabkan bebanan berat sekaligus telah menyebabkan ia mulai condong ke arah Barat. Walaupun ia condong, ia tetap selamat untuk dikunjungi pelawat dan menjadi ikon bandar ini.
Teluk Intan
Nama Teluk Intan memang sudah termasyhur kerana di sinilah terletaknya menara condong kedua yang ada di dunia selepas Menara Pisa di Italy. Ia juga merupakan ikon bandar dan daerah yang terletak di hilir negeri Perak Darul Ridzuan.
Di sebalik populariti menara condongnya, Teluk Intan juga kini sedang giat diangkat naik oleh pihak Tourism Negeri Perak sebagai produk pelancongan destinasi memancing udang galah, selain melawat ke lokasi-lokasi bersejarah dan menarik di sekitar daerah ini.
Menurut Pengarah Negeri Tourism Malaysia Perak, pengenalan Teluk Intan sebagai produk pelancongan adalah rentetan dari kesinambungan beberapa produk pelancongan yang dilancarkan sebelum ini seperti Ipoh Heritage Trail, Ipoh Food Trail, Jejak Masjid, program homestay dan banyak lagi.
“Produk pelancongan memancing udang galah ini, tidak terhad kepada kaki pancing sahaja, bahkan disasarkan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk merasai bagaimana pengalaman memancing udang galah bersepit biru terutama ketika ia memakan umpan.
“Program Jom Memancing Udang ini, merupakan rentetan selanjutnya selepas Program Pulau Sembilan/Jarak Angling Tourism dan selepas ini, kita akan tumpukan pula kawasan tasik sebagai daya tarikan produk pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan Program Farm Trip Jom Mancing Udang Galah bersama media, blogger dan agensi pelancongan di Teluk Intan.
Sementara itu, satu pengalaman baru bagi 22 orang wakil media, blogger dan agensi pelancongan apabila merasai sendiri meredah Sungai Perak dengan menaiki bot yang telah disediakan oleh pihak penganjur yang terletak tidak jauh dari mercu tanda dan Dataran Udang Galah Teluk Intan.
Selepas menaiki bot, semua peserta mengikut haluan tekong bot masing-masing. Menurut cerita tekong di sini, udang galah Teluk Intan, hanya gemarkan umpan udang beras. Umpan lain seperti perumpun, cacing tanah, organ lambat digetu, sebaliknya ia lebih cepat digetu oleh ikan duri, gelama dan juga buntal.
Menginjak waktu tengah hari, semua peserta menikmati nasi bungkus dan makan di dalam bot. Walaupun simple cara masakan kampung ia begitu menyelerakan sambil menantikan hujung joran digetu oleh udang.
Sekitar jam 4 petang, barulah ahli trip beransur kembali ke jeti. Masing-masing memperagakan hasil tangkapan. Mengejutkan apabila ada ahli trip yang berjaya memperoleh jumlah udang lebih dari sekilogram seorang, walaupun dalam tempoh yang singkat dan ia pengalaman sulung memancing. Itu baru gunakan sebatang joran. Kalau 3-4 batang joran seorang, lagi lumayan.
Ternyata, Teluk Intan memang masih kaya dengan udang galahnya. Setidak-tidaknya ia destinasi memancing udang galah yang wajib dikunjungi oleh kaki pancing dan sesiapa sahaja yang menggemari tarikan spesies berharga mahal ini.
Guntern morgen…! Atau selamat pagi, sapaan pengurus pemasaran Zepco Europe, Cristian Nawrat kepada rombongan kami sebaik keluar daripada ruang bagasi lapangan terbang Hamburg, Jerman.
Rangka lawatan kali ini adalah kali kedua. Matlamat lawatan kali ini adalah melihat pelbagai produk terbaru Zepco Europe antaranya Quantum, Black Cat, Browning dan Fin Nor.
Sepanjang 3 hari jadual kami padat dengan menelaah katalog Zepco Europe setebal lebih 700 muka surat, memilih produk-produk yang sesuai untuk dijual di pasaran Malaysia.
Hari keempat, kenderaan kami meluncur laju melepasi 160km/j dari Tostedt, Hamburg ke sebuah bandar di bahagian utara Jerman. Neustadt adalah sebuah pelabuhan yang terletak berhampiran sempadan antara Jerman dan negara tetangganya Sweden.
Di sinilah pengembaraan kami bermula, ia sebahagian daripada perancangan kami dalam menguji keberkesanan peralatan pancing pelbagai jenama keluaran Zepco Europe. Pelabuhan Neustadt adalah lapang sasar kami selepas 3 hari ‘muntah’ menghadap pelbagai barangan dan kelengkapan pancing di gudang yang terletak di Tostedt, Hamburg.
Bersama kami adalah Jocke Palmer, pemancing profesional dari Sweden. Beliau juga adalah juara pertandingan memancing Sweden Pole Fishing Tournament selama 4 tahun berturut-turut.
Kejayaan itulah yang telah melayakkan beliau mewakili Sweden ke Europe Pole Fishing Challenge juga untuk tempoh yang sama. Selain Jocke, trip kami turut disertai Cristian Nawrath dan Patrick pemancing profesional dari Jerman.
Sebaik melangkah ke jeti, mata kami tertumpu kepada deretan bot pancing berserta enjin sangkut 6.5 kuasa kuda. Ia begitu kemas dan bersih.
Satu permulaan yang positif sebelum memulakan satu-satu trip pancing terutamanya pemancing seperti kami yang jarang mendapat perkhidmatan first class bila memancing di tanah air.
Bukan mahu membuka pekung di dada tapi inilah realitinya apabila industri memancing diangkat pada tahap yang sepatutnya dan paling penting ia diiktiraf sebagai satu industri yang memberi pulangan lumayan kepada negara.
Kemudahan yang diperolehi peminat sukan bermotor dan sebagainya turut dirasai pemancing-pemancing di sini, kemudahan jeti, bot yang sempurna, tahap keselamatan diutamakan, sistem komunikasi pada setiap bot pancing juga memperlihatkan kepada kami bagaimana industri memancing di Jerman mendapat sokongan baik dari pihak berwajib.
Setiap penyewa bot pancing akan diberi taklimat ringkas tentang fungsi enjin dan langkah keselamatan jika berlaku kebakaran ketika memancing. Peta dan lokasi pancing serta lubuk-lubuk ikan turut disertakan sekali pada setiap bot pancing.
Ia adalah sebahagian keperluan wajib yang perlu diadakan pengusaha-pengusaha bot pancing komersial.
Sebarang kegagalan dalam mematuhi keselamatan, pengusaha boleh didenda malah lebih teruk lesen dan kemudahan bot mereka boleh dirampas oleh pihak berkuasa tempatan.
Kami tinggalkan soal kemudahan, sebaliknya menumpukan haluan bot membelah muara menuju Laut Baltic.
Di kiri kanan pelabuhan terdapat pemancing tempatan mula memenuhi tebing menghunuskan joran menggunakan umpan soft plastic.
Sebenarnya ini bukanlah musim yang sesuai untuk memancing namun, ketika kehadiran kami, awan yang mendung sejak 3 minggu sebelumnya mula memberi ruang kepada cahaya matahari menerobos celahan gumpalan awan dan membentuk satu garisan cahaya yang mengasyikkan.
Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk memancing sambil bertemu dengan jiran tetangga selepas masing-masing terperap panjang di rumah.
Kami dimaklumkan jurupandu bot tentang musim ikan kod bakal tiba dan mula memasuki muara antara bulan November sehingga bulan Mac.
Ikan kod adalah spesies bernilai tinggi malah isinya mengandungi tahap lemak yang sesuai bagi mereka mengharungi musim sejuk berpanjangan.
Sepanjang menyusuri pesisir pantai kami menggunakan teknik menunda dengan kedalaman gewang mencecah 4 meter.
Sesekali teknik menunda kami selangi dengan teknik mengunjun dan mengilat menggunakan soft plastic beberapa pagutan manja kami terima namun ia tidak berakhir dengan aksi pertarungan.
Ketika meneruskan tundaan di laluan kapal tangki, Shafizan yang menaiki bot berasingan menjerit gembira apabila gewangnya dirembat penghuni dasar. Kami tumpang gembira apabila beliau berjaya mendaratkan seekor ikan kod berskala hampir 2 kilogram.
Perasaan gembira tersebut diselangi dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menambahkan lagi koleksi tangkapan.
Namun harapan tersebut berkubur apabila pengawal pantai menghampiri bot kami dengan mesej kami perlu pulang ke jeti berikutan cuaca bertambah buruk. Memang sepanjang tundaan gewang, kami menggigil kesejukan berikutan cuaca mencecah – 5 darjah Celcius.
Hanya 2 ekor ikan kod yang berjaya kami daratkan sepanjang 45 minit memancing, ia tempoh memancing yang sangat tidak adil bagi kami.
Perasaan tidak puas hati sentiasa bermain di dalam fikiran, dan kami bertekad untuk kembali ke gelanggang ini pada masa dan cuaca yang lebih baik.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...