Suatu ketika sekitar 20 tahun dahulu, setiap malam pada hari tertentu selama berminggu-minggu saya sanggup membatalkan segala urusan sekiranya bertembung dengan waktu penayangan sebuah drama bersiri persilatan Melayu.
Saya bukan sekadar menonton malah siap merakam dalam bentuk VCR lakonan aktor kegemaran saya, Eman Manan dalam drama siri Pendekar Kundur.
Justeru, apabila berdiri di hadapan Pengkalan Pantai Kundur, secara spontan saya terimbau babak-babak lakonan pencak silat para pendekar di tepian pantai.
Bezanya, saya hadir di Pantai Kundur bukanlah untuk berpencak silat di tepian pantai, sebaliknya berpencak di atas sampan bersama beberapa ‘pendekar joran’ di perairan Selat Melaka yang terbentang luas dari Pengkalan Pantai Kundur.
Selama dua hari berturut saya dan beberapa orang ‘pendekar joran’ turun memancing di perairan Selat Melaka menggunakan khidmat tekong tersohor, Nadzri di Pengkalan Pantai Kundur, Melaka.
Hari pertama saya turun bersama dua pendekar handalan dalam persilatan jigging perlahan, Shahrul Nizam dan Johannas.
Ads
Sementara dua orang lagi adalah muka baru dalam arena jigging perlahan namun Akashah dan Muttaqin dari EBSF Tackles ini bukanlah nama baru dunia hanyir.
Jika dalam dunia persilatan, mereka berdua sudah boleh diangkat sebagai mahaguru.
Ads
Gaya permainan jigging perlahan di perairan di perairan Pantai Kundur ini tidak banyak bezanya dengan padang permainan lain seperti zeezone Port Klang, Port Dickson atau Muar.
Berat jig yang harus digunakan bergantung kepada kedalaman air, kederasan arus dan kelajuan bot berhanyut ditolak angin. Namun warna jig yang digunakan sangat mempengaruhi hasil jigging di perairan ini.
Menurut Nadzri, jig berwarna merah jambu sangat efektif ketika arus lemah. Sementara ketika arus bergerak laju jig berwarna jingga atau oren pula menjadi pilihan.
Ads
Tak ubah Hang Ishak dalam Pendekar Kundur, Nadzri membuktikan tip yang beliau nyatakan bukan omong kosong apabila berjaya menewaskan seekor spesies tompok hitam bersepuh emas dengan skala berat enam kilogram lebih.
Sekaligus merupakan jenahak terberat yang pernah didaratkan di perairan tersebut. Selepas jenahak bantal itu berjaya didaratkan, menyusul pula tangkapan berikutnya hanya berselang kurang dari setengah jam.
Sehingga jam tiga petang dan sebelum angin barat mula bertiup, dua ekor jenahak, seekor talang dan seekor kaci berjaya ditempatkan ke dalam tong penyimpanan ikan.
Hari kedua kami turun tanpa Akashah dan Muttaqin. Parman dan Sham pula menjadi pengganti. Namun cuaca pada hari kedua begitu berbeza berbanding hari pertama.
Seawal pagi lagi hujan turun lebat di tengah laut. Menjelang tengahari, angin barat pula membadai. Ekoran cuaca yang agak buruk, demi keselesaan dan keselamatan kami mengambil keputusan untuk kembali ke jeti sahaja.
Ternyata keputusan amat tepat kerana cuaca semakin teruk menjelang waktu petang malah hampir sepanjang perairan Selat Melaka dilanda angin barat hari itu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Apa reaksi dan perasaan anda sekiranya set pancing kesayangan bernilai ribuan ringgit terlepas dari genggaman dan tercampak ke laut dalam sekelip mata?
Selain keselamatan diri, kelengkapan pancing juga perlu dikendalikan dengan baik agar tidak terjun ke laut ketika sedang bertarung dengan ikan berstatus monster.
Saya yang berada di lokasi kejadian hanya dapat menyaksikan set pancing rakan trip (Bobby) tenggelam dibawa pergi ke dasar laut oleh pemangsa yang tidak dikenali pasti spesiesnya.
Hasil terakhir sebelum ia terjun ke laut
Trip jigging perlahan bersama tekong Pak Ali di Port Dickson hari itu berjalan seperti biasa-biasa saja.
Malah seperti menampakkan petanda bakal pecah tong berikutan pada awal pagi lagi sudah ada ikan yang menyambar jig yang kami gunakan namun gagal didaratkan.
Setelah beberapa kali kejadian tali bersilang dengan pemancing lain, Bobby menyangkakan kejadian sama berulang.
Sejurus beliau bertanyakan perkara tersebut kepada pemancing lain, secara tiba-tiba set pancingnya direntap kuat dan dihenjut dengan deras.
Dalam keadaan tidak bersedia set pancingnya tergelincir dari genggaman dan tercampak ke laut.
Antara hasil lain hari itu
Saya sendiri dapat melihat set pancing itu terapung seketika di permukaan air namun agak jauh untuk dicapai. Kemudian, joran Temple Reef Levitate yang dipadankan dengan kekili Shimano Ocea Jigger Limited berserta power handle Livre tenggelam ke perut laut.
Menyedari apa yang berlaku, tanpa berlengah tekong mengarahkan kami berhenti jigging dan kembali ke lokasi tersebut dalam usaha untuk mendapatkan kembali set pancing yang lenyap di lautan luas dan dalam.
Sambil berhanyut di kawasan tersebut, kami berlima berusaha dengan cara tersendiri mencarinya.
Setelah tiga kali berhanyut di kawasan tersebut, usaha saya menyeret jig 250gm di dasar laut membuahkan sesuatu.
Namun sesuatu yang tersangkut pada mata kail itu dirasakan terlalu berat seumpama menarik sampah atau karang besar. Sesekali ada juga seperti tarikan berlaku.
Saya tidak menaruh harapan tinggi sehinggalah kelihatan ada tali pancing yang tersangkut pada split ring jig dan apabila tali pancing itu ditarik, maka muncullah set pancing yang dicari-cari.
Bobby kembali beraksi walaupun kekok menggunakan kekili kayuhan kanan
Sorak-sorai bergema di tengah lautan sejurus set pancing yang hampir satu jam tenggelam di dasar laut selamat kembali ke tangan pemiliknya.
Ternyata rezeki berpihak kepada pemiliknya. Saya sendiri sukar untuk percaya ia berjaya ditemui semula.
Setelah ianya selesai, kami meneruskan kembali berjigging mencari ikan pula. Biarpun tidak banyak hasil yang diperolehi, sekurang-kurangnya kami pelajari sesuatu yang baru pada trip tersebut.
Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya set pancing terjun ke laut.
Rezeki saya setelah berjaya menemui set pancing Bobby
Pesta mencandat sotong ini mula diperkenalkan secara lebih fokus dan besar-besaran secara komersial oleh kerajaan negeri Terengganu seawal tahun 1991 di kawasan perairan Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Marang bermula dari bulan April – Julai setiap tahun.
Bermula 2014, aktiviti mencandat sotong telah berjaya melonjakkan industri pelancongan negeri Terengganu dengan penganjuran Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu dengan jemputan hampir 200 pengamal-pengamal media cetak, elektronik, penulis kembara dan bloggers tempatan dan antarabangsa untuk merasai dan menyiarkan pengalaman mencandat sotong di dalam rangkaian media-media di negara masing-masing. Di samping itu, festival candat sotong ini juga memperkenalkan kluster produk dan destinasi pelancongan lain seperti Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands.
Pada program tahun ini seramai 220 peserta kesemuanya mengesahkan penyertaan dan sebanyak 22 buah bot termasuk feri Taman Tamadun Islam digunakan. Penyertaan terdiri daripada; 90 peserta daripada Kelab Rekreasi Tourism Malaysia (Putrajaya) termasuk wakil-wakil media dan agensi pelancongan dari Lembah Kelang; 40 peserta daripada Persatuan Pemancing Wanita (WAC); 20 peserta daripada Persatuan Orang-Orang Pekak Negeri Terengganu; 15 pengamal-pengamal media tempatan; 15 peserta daripada Persatuan Homestay Teluk Ketapang; ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Program ini adalah platform kepada kempen Beautiful Terengganu, Malaysia dan kesinambungan daripada promosi yang telah dibuat pada tahun-tahun sebelumnya bagi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Terengganu bagi merasai keseronokan mencandat sotong di samping berpeluang melawat destinasi lain.
Ia turut bertujuan memperkenalkan destinasi pesisir air di negeri Terengganu dan acara mencandat sotong sebagai aktiviti riadah yang bersesuaian untuk semua peringkat usia dan memartabatkan aktiviti warisan berzaman masyarakat nelayan yang sinonim dengan aktiviti pesisir pantai yang terdapat di negeri Terengganu.
Aktiviti mencandat sotong juga dilihat mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan tempatan melalui peluang-peluang keusahawan yang boleh diceburi seperti penyediaan pakej-pakej mencandat, penyediaan bot, penyediaan peralatan memancing dan mencandat di samping mampu menjana pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyediaan aktiviti sokongan pelancongan seperti penyediaan penginapan, makan minum dan kraftangan.
Majlis perasmian dan pelepasan peserta program Mari Candat Sotong ini telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Port Dickson atau lebih mudah menyebutnya PD, merupakan pantai peranginan popular bagi penduduk berdekatan terutamanya bagi warga kota kerana jaraknya yang dekat.
Namun, mungkin tidak ramai tahu bahawa lautnya yang biru itu juga adalah spot pancingan popular terutama jika mengetahui rahsia lubuknya serta teknik untuk memikat ikan-ikan di sana.
TRIP AIR BESAR
Kami memilih air besar bagi trip jigging ini kerana kebiasaannya, ikan aktif tanpa mengira waktu. Kedatangan kami pada awal pagi disambut dengan hujan dan angin Selatan.
Menurut tekong Pak Din, hujan akan mematikan angin Selatan tersebut. Akhirnya sekitar jam 9 pagi, barulah kami dapat memunggah barang dan bersedia untuk menuju ke laut dalam keadaan yang masih gerimis.
Bot 24 kaki Pak Din dengan enjin 40 kuasa kuda terus membelah ombak sambil semua menahan kesejukan akibat kebasahan.
Spot pilihan ialah boya penanda kapal karam di laluan kapal. Hampir 20 minit barulah kami tiba di sana. Matahari masih lagi menyorok dan Pak Din menyarankan agar jig berwarna terang berkilat kebiruan atau merah jambu digunakan.
Belum sempat kami membaling jig, Pak Din bergegas menghidupkan enjin kerana beliau telah mengesan boiling di belakang bot.
Kami yang telah bersedia hanya menunggu bot untuk sampai sahaja sebelum memulakan aksi pertama. Semua melontar hampir serentak dan Maed terus sahaja mendapat tarikan pertama.
Kemudian diikuti oleh tekong Pak Din selang beberapa saat sahaja, juga sedang menahan asakan.
Maed akhirnya dapat menawan seekor talang bersaiz remaja manakala Pak Din pula terlucut ketika hendak menaikkan ikan tadi.
Saya turut merasai tarikan namun ikan dapat melepaskan diri ketika separuh perlawanan. Azrul dan K.I tetap cekal berjigging walaupun masih belum menerima sebarang sambaran.
Tekong Pak Din
TARUHAN TEKNIK CAST JIG
Pak Din menyarankan agar kami memasang mata tiga pada jig bagi memastikan ikan lekat kukuh.
Bot kemudiannya terpaksa dialihkan kerana ikan telah beralih arah pula. Cepat sungguh ikan tersebut hilang daripada pandangan.
Untuk mengesan boiling kami hanya perlu mengikuti dan memerhatikan kawanan burung yang turut sama memburu ikan. Di mana ada burung, di situ ada boiling.
Tanpa membuang masa, sekali lagi, semua melontar jig serentak. Teknik cast jig diguna-pakai pada ketika ini kerana ikan bermain di atas. Giliran K.I mendapat sambutan dan drag terus menerus berbunyi.
Pak Din juga turut serta menahan asakan, sama seperti aksi pertama tadi. Setelah berhempas pulas berlawan tarik tali menggunakan set ringan, akhirnya kedua-duanya berjaya menewaskan talang.
Azrul yang rajin berjigging menerima sentapan padu dan tali terus menerus keluar tanpa henti. Ia tidak kelihatan seperti larian talang.
Tanpa diduga, tali terputus begitu sahaja tanpa sempat mengepam joran. Menurut Pak Din, pastinya itu adalah tenggiri batang.
Selepas kejadian putus tadi, tiada lagi kelihatan kelibat ikan bermain air dan kawanan burung pula menghilang entah ke mana.
Kami beralih berhampiran boya di mana terletaknya kapal di dasar. Maed yang menggunakan popper menerima 2 kali sambaran namun tidak lekat.
Saya yang masih bermain cast jig `atas air’ menggunakan jig Metalic Sardine 40gm menerima satu sambaran dengan larian pantas ketika jig berada di depan bot sahaja.
Belum pun reda dengan asakan larian ikan tadi, Azrul pula mendapat tarikan di sebelah saya. Kelam kabut kami membetulkan posisi masing-masing. Agak lama juga sebelum kami dapat melihat. Kelibat ikan.
“Tenggiri….!” Jerit Pak Din.
Kami berdua berjaya mendapat tenggri bunga dan tangguk digunakan untuk menaikkan kedua-dua ekor ikan tersebut bagi mengelakkan ia terlucut.
Walaupun tidak besar, ia tetap satu tangkapan yang berharga dalam trip ini.
Suasana sunyi selama hampir setengah jam dikejutkan dengan sambaran popper Maed. Akhirnya berjaya juga ikan melekat di popper tersebut setelah mata tiga ditukar.
Tewas talang tersebut angkara popper Yozuri. Dalam masa yang sama, K.I turut kelihatan sedang bertarung di belakang bot.
Seekor lagi Talang tumpas. Ketika ini, kami berjigging dasar kerana tiada kelibat ikan di atas air.
Sambil itu, tekong Pak Din tidak kurang hebatnya kerana sambil ligat bersembang, rupanya dalam diam beliau sedang lawan tarik tali dengan sang ikan. Spesies yang sama juga berjaya ditumpaskan lagi.
GANGGUAN SI PENGACAU
Tiba-tiba kami terlihat sekawan ikan lumba-lumba sedang melakukan “rondaan”. Serta-merta kami tahu bahawa sekejap lagi pasti ikan akan lari menyelamatkan diri.
Tiada lagi sambaran walaupun kami mencuba berkali-kali di tiga spot yang berbeza.
Kesempatan ini kami gunakan untuk makan tengah hari dan berehat. Matahari yang dari tadi suram, kini mula terik membakar kulit.
Setelah kira-kira satu jam lebih sedikit berehat, kami bergerak semula untuk mencari ikan.
Saya menukar ke mikro jig, semata-mata ingin mencuba nasib. Jig Bakau 23gm akan diuji. Tanpa disangka, balingan kedua saya disambut dengan junaman demi junaman.
Setelah berjaya mengawal lariannya, ikan mula di pam naik. Seperti biasa, seekor lagi talang ditawan. Aksi tadi disambung oleh Azrul dan K.I pula.
Masing-masing menahan asakan dan dalam pada itu, Maed yang menukar kepada popper rare barunya, turut mendapat sambaran.
Nampaknya triple hook up sedang berlaku ketika ini. Ketiga-tiga mereka terpaksa menukar posisi bagi mengelakkan tali terbelit. Tumpas lagi sepsis Talang.
Nampaknya kami berpesta talang pada waktu ini. Spesies seperti GT, aruan tasik atau pun sagai langsung tidak kelihatan.
Kelibat ikan lumba-lumba masih kelihatan. Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ikan-ikan di kawasan ini.
Rata-rata bot lain yang turut berada di sini tiada sambaran, senasib seperti kami. Namun kami tetap berusaha.
PESTA TALANG
Bot mula dialihkan sambil Pak Din mencari spot-spot terbaik. Agak jauh juga kami bergerak ke spot baru untuk mencuba nasib.
Hampir 10 minit berlalu, Pak Din memecah kebuntuan dengan bunyi drag beliau. Maka bermulalah pesta Talang kami lagi.
Boleh dikatakan kami semua mendapat sambaran paling tidak dua kali seorang. Pelbagai saiz berjaya dinaikkan.
Rabut dan terlucut juga dirasakan sama banyak dengan jumlah sambaran kami berlima.
Menjelang petang, kami beralih ke kawasan berbatu Tanjung Tuan. Di sini, airnya cetek namun berpotensi untuk mencari spesies lain.
40 minit telah berlalu, masih tiada hasil. Maed akhirnya mendapat satu sambaran padu dan melentur jorannya.
Masing-masing bersorak mengatakan GT telah terjerat. Sangkaan kami meleset apabila senangin kasar yang menjelma dan ia selamat di tangguk naik.
Trip ini berakhir dengan tangkap tersebut. Berjaya juga kami mendapat ikan gred A.
Walaupun tiada GT atau tenggiri batang mahu pun spesies mega lain, sambaran talang tetap menghiburkan dan mendebarkan.
Misi memancing adalah untuk merasai adrenalin dan “karen” tarikan ikan kerana pengalaman tersebut tidak ternilai.
Tekong Pak Din telah memberikan servis terbaik kepada kami dengan tidak lokek memberi tunjuk ajar serta pelbagai tip dan teknik yang betul di samping berbual sepanjang masa!!
Trip ini juga telah membuktikan bahawa perairan PD masih kaya dengan ikan sekali gus menafikan kata-kata sesetengah pihak yang kerap mengatakan ianya tiada hasil.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...