Perjalanan dunia memancing saya bermula dari kecil lagi. Bak kata orang ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ketika kecil saya sering menemani arwah bapa menjala dan ke laut di Pantai Punggol. Tangkapan hasil menjala seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain dijadikan lauk-pauk kami sekeluarga. Selepas pemergian arwah bapa, minat ke laut bertukar menjadi hobi mengail dan mula menggunakan ambo (koyan). Kemudian saya mula minat untuk mencuba gunakan joran dan kekili. Saya terpegun dengan ketekunan seorang wanita tua memancing dan melalui beliau saya belajar cara-cara memancing dan membuat perambut.
Saya mula berkawan dengan kawan-kawan yang ‘gila’ memancing dan hampir setiap hari walaupun penat selepas bekerja, dapat memancing dua tiga jam pun dah kira seronok. Port yang sering saya dan kawan-kawan kunjungi di sekitar Singapura adalah Tanjong Rhu, Fort Road, Pantai East Coast, Punggol, Sembawang, Labrador, Hyundai, Changi dan Pasir Ris. Untuk ke tempat ini memang tiada masalah bagi saya kerana tinggal di kawasan timur.
Menerusi laman sosial, saya peroleh lebih ramai kenalan pemancing dan dapat mendalami teknik memancing. Bila tertubuhnya pelbagai kelab memancing di laman sosial, saya amat tertarik dan menyertai Team Gill’s Paradise Fishing W/Friends (GPFWF). Tim ini bukan sahaja tertumpu pada teknik pancingan pantai atau surfcasting, malah turut turun ke laut memancing dengan bot, kolam dan juga sangkar. Uniknya dari tim GPFWF ini mereka tidak kisah dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman, ilmu, tip, lubuk dan bermacam macam lagi. Kekuatan ahli ini terletak dari pengasasnya yang tidak suka mengongkong ahlinya.
Ads
Saya juga ada menyertai pelbagai tim lain yang mengundang saya memancing walaupun saya seorang sahaja pemancing wanita yang berani menyahut undangan dan tidak mengenali di antara satu sama lain. Sebaliknya saya berbesar hati menerima pelbagai tawaran daripada pemancing dari tim yang lain tidak saya kenali. Mungkin disebabkan saya membesar di kalangan kawan-kawan lelaki, tambahan pula adik beradik saya semuanya lelaki jadi saya tidak berasa kekok, malahan selesa dan lazimnya secara spontan saya terima tawaran memancing daripada pihak yang mengundang saya.
Ads
Setiap event atau aktiviti memancing sama ada di pantai, sangkar atau laut dalam sering sahaja membuat saya teruja kerana tidak tahu spesies ikan apa yang akan memakan umpan. Apatah lagi apabila saya dapat mendaratkan ikan yang bersaiz mega. Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ialah dapat menaikan ikan yu kemejan. Lebih teruja ketika itu saya menggunakan set ringan atau setup light tackle. Saya masih ingat joran yang digunakan ialah Hammer II Jig PE2-4 dipadankan dengan kekili ATC Valour SW5000 dan tali sulam Dr. Braid Extreme x8 (30lbs). Suasana ketika itu tegang dan kelam-kabut namun atas panduan teman yang juga penganjur trip, Hafiz dari Team Spike Buntalz ANGLERS (SBA), saya berjaya menaikkan ikan itu. Akibatnya empat hari kemudian saya terpaksa ambil cuti sakit kerana sakit.
Ads
Dari situ saya mula meluaskan wilayah memancing ke luar negara pula khususnya Malaysia dan Indonesia. Ada banyak lagi padang pancing di luar negara yang ingin saya terokai jika berpeluang untuk menambahkan lagi pengalaman memancing dan mendaratkan pelbagai spesies yang mampu memberi cabaran sebenar.
(kiriman: NOGO EREN)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Jeff memacu bot dengan laju menuju Lubuk Batu Balik. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari jeti hanya diisi dengan berbual-bual kosong sambil menyiapkan kelengkapan dalam bot.
Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Jeff amat arif dengan selok belok sungai ini. Dengan hanya berpandukan lampu kepala kecil, dia mampu mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk botnya. Maklumlah dia anak jati kampung ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di lokasi. Jam menunjukkan 10 malam dan masing-masing kelihatan tidak sabar mencampak umpan. Kelihatannya hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Umpan yang baru dibaling tidak menunggu lama untuk diragut ikan. Awong orang pertama yang beraksi. Setelah 5 minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Jeff pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Shuk dan Awong berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum diusik dan dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Shuk geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Jeff.
Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh rakannya. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Shuk dan Awong terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan. Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Awong dengan suara yang terketar-ketar.
Dalam pada itu, Shuk terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan matanya merah, rambutnya panjang dan matanya merenung tajam ke arah mereka bertiga. Jeff dan Awong juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar-ketar tangan Shuk ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk Kampung Kuala Medang. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut Pak Andak iaitu orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Awong demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Kira-kira 2 jam lebih diperlukan untuk tiba di lokasi pertama selepas bot bertolak dari jeti. Arus agak kuat dan ladung saiz 18 ke atas perlu digunakan. Sedang kami leka, tanpa sebarang amaran drag Chef Hamidon berbunyi nyaring dan terus menerus seakan-akan tanpa henti. Jorannya terus melendut. Akhirnya seekor ikan merah bersaiz 4.5kg dinaikkan. Man pula mendapat sambaran kasar selang 30 minit selepas itu.
Tiba di spot berikutnya, K.I yang awal-awal menurunkan pancing mendapat sambaran pertama ketika enjin baru sahaja hendak dimatikan. Seekor ikan saiz agak kecik dinaikkan. Selang 20 minit, salah satu drag pancing K.I berbunyi. Beliau terkial-kial kerana tidak bersedia disebabkan hampir terlelap ketika itu. Kali ini seekor cermin bersaiz agar baik dinaikkan.
Awak-awak serta kami juga berjaya menaikkan beberapa spesies kecil seperti kerapu, tambak dan sebagainya. Tiada ikan kasar yang sudi menjamah umpan di sini. Dalam pada itu, Mie Mamak yang mabuk teruk dari bermulanya perjalanan tetap cuba memancing, namun tiada hasil sehingga kini.
Kami ke kapal karam yang agak jauh apabila hari mulai gelap. Arus air sederhana namun angin pula bertiup agak kuat membuatkan bot sekali sekala bergoyang.
Beberapa ekor sotong berjaya dicandat dengan menggunakan jig sahaja ketika ia hampir ke bot. Masing-masing menghiris sotong tersebut. Tanpa menunggu lama, Alip yang sedang bersembang di belakang bergegas ke hadapan bot apabila pancingnya mengena. Pok Din yang turut menunggu ikan juga mengena… ebek. Tepat sekali, seekor ebek dinaikkan. Semua pemancing mula bersemangat dan duduk di depan joran masing-masing.
Sedang saya mengelamun menanti ragutan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi drag Penn VSX International. Kuat sungguh lariannya kerana dapat menarik tali keluar walaupun drag pada tahap agak maksimum. Sekali lagi Pok Din mencangkuk ikan ebek tersebut yang berskala 5kg lebih.
Ketika baru saja melabuhkan pancing dengan umpan baru, sekali lagi dray saya berbunyi nyaring. Kali ini lariannya lain namun asakannya padu dan menjunam. Setelah berjaya dikawal, akhirnya jemuduk dalam skala 4kg menjadi habuan.
Yusri aka Mr Doe yang berseorangan di depan kelihatan sedang menahan asakan padu sang ikan ketika kami leka di belakang. Beliau menjerit meminta fighting belt. Junaman ikan yang kuat menyebabkan tali banyak keluar. Akhirnya berjaya dikawal dan muncul seekor telinga gajah. Alip segera menukar umpan kepada sotong candat tadi.
Kira-kira 15 minit kemudian, joran beliau melentur diikuti bunyi drag. Sekali lagi pertarungan bermula. Umpama pesta di lubuk ini. Hampir semua menjerit seronok apabila siakap merah didaratkan. Man yang berada di tepi bot juga menjerit secara tiba-tiba meminta fighting belt. Akhirnya muncul jemuduk besar skala 5kg. Berjaya juga Man setelah putus awal tadi. Ketika ini waktu telah pun melepasi tengah malam manakala angin bertambah kuat. Kami terpaksa beredar kerana tanda-tanda ribut telah muncul.
Ada juga yang sudah masuk tidur untuk berehat. Alip yang masih tekun memancing dikejutkan dengan tarikan yang kasar. Kelihatan seperti dragnya tidak keluar manakala joran hendak patah mencecah air. Kelam kabut seketika namun berjaya dikawal.
Lama beliau bertahan dan ikan seolah-olah tidak mahu mengalah. Pok Din yang sempat berkata yang ikan ni pasti besar. Setelah berhempas pulau, timbul seekor jemuduk 7kg dan menjadi ikan terbesar setakat ini.
Ketika ini hanya saya dan Mr Doe sahaja yang masih memancing. Menjelang Subuh, saya dikejutkan dengan panggilan beliau yang ketika itu sedang menarik sesuatu. Beliau menyuruh saya mengambil kamera. Seketika kemudian, seekor talang dinaikkan dan beliau masuk tidur apabila selesai bergambar.
Azizan pula dalam diam berjaya mendaratkan seekir ikan yu bersaiz 2.5kg yang membeliy tali kami sesama sendiri. Saya turut berehat selepas itu dan hanya terjaga apabila mendengar bunyi bising di belakang bot. Rupanya Pok Din sedang membantu bot anak beliau yang terbelit tali pada kipas dan kebetulan pula berdekatan kami.
Bot ditunda ke kawasan selamat untuk kerja menyelam bagi membuang tali tersebut. Kami kemudiannya berpindah ke lokasi kapal karam Vietnam untuk apollo ikan selayang. Hampir sebakul penuh kami dapat. Pok Din berpindah lagi dan kali ini mengadap resort di Pulau Tenggol.
Hampir 2 jam tanpa sambaran kasar telah menyebabkan saya mencadangkan akar kami singgah di Pulau Tenggol untuk mandi sambil berehat. Setelah 2 jam di sana, kami kembali ke bot dalam keadaan segar dan bersemangat.
Lokasi kapal karam sebelah laut dituju. Jam menunjukkan hampir 3.30 petang dan kelihatan tanda-tanda ribut muncul lagi. Laut agak kucah sedikit namun diteruskan juga. Kami tiba sejam kemudian.
K.I pantas mendapat sambaran kasar dan terpaksa menahan asakan demi asakan ikan tersebut dalam keadaan laut berkucah. Ikan tidak mahu mengalah malah menarik tali keluar lagi. Tali akhirnya putus ketika beliau sedang menahan larian ikan tersebut.
Suasana sepi seketika hingga ke ke 2 jam berikutnya manakala angin pula bertambah kencang. Menurut Pok Din, ribut kuat akan melanda malam ini. Kami segera beredar. Kami menuju ke tepian pulau dan cuba memancing ikan-ikan kecil namun hasilnya agak mendukacitakan.
Pada waktu yang sama, Mr Doe menukar umpan dengan menggunakan hirisan selayang. Tak sampai 5 minit, berdesing drag beliau dengan tarikan menjunam. Tenyata tentang ikan ini terlalu padu. Mr Doe sempat berkata yang beliau menahan sakit pinggang akibat tentangan ikan ini.
Akhirnya timbul ikan jahan skala 6.8kg. selepas itu, kami hanya berehat dan tidur sepanjang malam. Lebih kurang 5 pagi, kami membuat keputusan untuk berkemas dan pulang.
Terletak 30km di luar pantai barat laut tanah besar Semenanjung Malaysia, Pulau Langkawi adalah sebuah kepulauan daripada 99 pulau-pulau (tambahan 5 pulau sementara yang didedahkan semasa air surut) di Laut Andaman.
Pulau Langkawi secara rasmi dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah pada 15 Julai 2008 oleh Sultan Abdul Halim bersempena Sambutan Jubli Emas baginda.
Keluasan Kepulauan Langkawi adalah sekitar 47,848 hektar di mana di pulau utama adalah Pulau Langkawi itu sendiri seluas 32,000 hektar merangkumi tanah rata dan dataran aluvium diselangi dengan rabung batu kapur.
Dua pertiga dari pulau ini didominasi oleh hutan dilindungi gunung, bukit dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Pelbagai cara untuk ke Pulau Langkawi sama ada menggunakan khidmat Feri Langkawi dari jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah serta Pulau Pinang dengan kadar murah ataupun melalui
udara dengan tersedianya kadar tambang murah oleh Air Asia yang hanya mengambil masa 45 minit penerbangan sahaja dari LCCT.
Dari terminal jeti Kuah terdapat perkhidmatan teksi ke Pantai Cenang dengan kadar tetap RM24 manakala dari lapangan terbang adalah RM18.
Di Pantai Cenang banyak terdapat tempat penginapan dari hotel bertaraf bintang hinggalah ke homestay yang selesa dengan kadar serendah RM50 semalam.
Untuk trip santai ini, kami memilih untuk terbang dan menginap di sebuah home stay di sekitar Pantai Chenang.
Kami tiba di Lapangan Terbang Kuah dan disambut oleh Eddie Haniz, rakan pengilat yang telah tiba awal sehari.
Setelah mendaftar masuk bilik, petang itu kami dibawa warming up untuk mengilat secara landbase di tebing berbatu sekitar Pantai Chenang dan kawasan pemecah ombak sebelum boating keesokan harinya.
Tiada sebarang strike yang kami perolehi sepanjang petang tersebut kerana kami lebih kepada aktiviti santai sahaja.
BERMULANYA AKSI SEBENAR
Tibanya kami di jeti nelayan Teluk Baru, Tekong Beq telah menunggu kami seawal pagi lagi bersama tekong Ishak.
Sebelum kami dibawa mengilat di sekitar taburan pulau di Langkawi, tekong Beq singgah untuk mengilat sebentar di tepi tiang jeti Star Cruise namun tiada sebarang sambaran.
Kemudian barulah kami menuju ke sebuah pulau berdekatan. Pada awalnya, kami dihiburkan dengan sambaran dari pelbagai spesies kerapu cilik yang mengendap di celah-celah batu.
Setelah beberapa ketika, barulah Ijoi berjaya mendarat seekor ikan kunyit bersaiz hidangan.
Di Pulau Tanjung Sawa pula, gewang Rapala Shadrap saya disergap kasar oleh penghuni berbatu. Siakap merah berskala 1kg yang menyambar rupanya dan selamat didaratkan.
Tekong memberitahu agak sukar untuk memperolehi siakap merah di sini, maka menambahkan lagi keterujaan saya kerana berjaya mendaratkannya.
Di Pulau Rebak Besar, joran saya sekali lagi direntap kasar dan kali ini seekor kerapu bersaiz agak baik pula berjaya saya perolehi.
Sudah dua lesen spesies air masin saya perolehi tidak sampai separuh hari mengilat, ini menambahkan lagi semangat kami untuk terus menduga penghuni-penghuni di sini.
Sebelum nerhenti rehat tengah hari, kami dibawa ke jeti Star Cruise semula untuk mencuba kaedah light jigging pula.
Seekor kerapu comel menggunakan udang Zerek 12 gram dan seekor GT remaja menggunakan jig 20 gram sahaja yang berjaya dinaikkan.
DIBULI GT
Pada sebelah petangnya, angin bertiup agak kuat dan sedikit menyukarkan kami untuk mengilat.
Banyak juga pulau yang kami duga namun tiada yang sudi menyambar gewang yang dihulur, hanyalah 2-3 ekor kerapu cilik.
Hampir gelap, kami dibawa ke tebing berbatu di Tanjung Malai berhampiran dengan jeti Star Cruise sekali lagi.
Bot tekong Ishak berjaya menaikkan seekor GT kecil. Sedang leka memainkan gewang, joran Ijoi terus sahaja disentap amat kuat.
Sistem tegangan kekili yang dikunci hampir 100% seumpama tidak berfungsi kerana peragut gewang terus-menerus memecut laju mengeluarkan tali dari gelendong Daiwa Aggrest kepunyaannya.
Akhirnya, walaupun setelah berhempas pulas menahan asakan pemangsa, namun nasib dan rezeki tidak berpihak kepada kami kerana penghuni dasar berjaya menyusup masuk ke
celah batu serta mengorbankan gewang Rapala Clankin Minnow berwarna ‘Glass Ghost’ kesayangan Ijoi.
Dari segi lariannya, tekong menjangkakan GT bersaiz kasar yang punya angkara kerana waktu-waktu sebelum gelap memang banyak GT akan berlegar di kawasan tersebut.
Kami pulang dengan sedikit hampa kerana tidak berjaya memperolehi GT yang menjadi target utama kami.
AKSI TERAKHIR
Sebelum Pulang Pada hari yang kami jadualkan untuk pulang, tekong Beq menghubungi saya dan beria mengajak kami mengilat sekali lagi pada sebelah petang kerana tidak berpuas hati kami tidak menaikkan GT Langkawi.
Setelah selesai membeli belah cenderahati di pekan Kuah, saya dan Ijoi turun sekali lagi bersama tekong Beq.
Apa yang menariknya, 2 jam yang singkat inilah kami dihidangkan dengan sambaran GT yang bertalu-talu di sekitar Pulau Batu Merah.
Pada awalnya, sekawan talang sedang galak menghambur anak ikan di permukaan air. Popper dan pencil kami hanya diekori sahaja tanpa sebarang sambaran.
Di satu sudut gua berbatu di dalam air, lontaran pertama Ijoi dan saya terus mendapat sambaran.
Lontaran kedua Ijoi juga sekali lagi disambar oleh GT di spot yang sama sebelum gewang Rapala BX Minnow saya dicukai oleh GT kasar yang berjaya menyusup masuk ke celah gua berbatu dan memutuskan tali utama 20lb saya.
Setelah itu, kami bertukar lokasi berhampiran pulau yang sama juga. Kali ini pencil Duo Realis Ijoi pula yang mendapat sambaran dan tiga ekor lagi GT berjaya didaratkan.
Sekali lagi saya tewas di sini setelah tidak dapat mengekang larian GT yang amat kasar saiznya dan mengorbankan seketul lagi gewang.
Walau apa pun, kami tidak menang tangan selama 1 jam melayan aksi-aksi kemesraan serta keramahan luar biasa GT pada petang itu dan faktor air yang cantik petang tersebut mungkin banyak mempengaruhi mood pemakanan ikan.
Walaupun kami hanya dapat mengilat selama lebih kurang 2 jam sahaja sebelum gelap, namun kami amat teruja dengan hasil yang diperolehi petang itu.
POTENSI
Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan hasil yang diperolehi sepanjang trip ini walaupun tidak berjaya mendaratkan GT bersaiz kasar.
Namun, sambaran-sambaran daripada GT berskala 1-2kg amat menghiburkan yang kebanyakannya rakus meligan gewang selaman cetek berwarna natural dan cerah.
Tidak keterlaluan saya katakan taburan pulau di Langkawi amat berpotensi dan penghuni tebing berbatunya masih banyak terutamanya spesies GT, kerapu, siakap merah serta bandang.
Dengan promosi yang cukup baik, Langkawi bukan lagi sekadar lokasi pelancongan bagi membeli-belah bebas cukai, namun boleh menjadi salah satu lokasi mengilat spesies air masin terbaik di negara kita.
Dalam pada masa yang sama, sentiasalah mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Hormatilah hak pemancing lain dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil saling berkongsi ilmu dengan
menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama. Tiada ruginya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...