Tidak kira apa saja cabang ilmu jika belajar tanpa tunjuk ajar seorang guru, tidak akan sempurna ilmu yang dipelajari. Begitu jugalah dengan memancing. Jika belajar agama tanpa guru boleh mengakibatkan sesat, maka jika belajar memancing tanpa tunjuk ajar guru boleh mengakibatkan kegagalan teruk atau lebih popular di kalangan pemancing sebagai kumpau!
Setelah sekian lama memancing haruan dengan kepelbagaian teknik dan lokasi, belum pernah sekali pun saya berpeluang memancing dengan kaedah yang betul. Atau dalam erti kata lain memancing sambil dipantau atau di bawah bimbingan seseorang yang layak bergelar guru.
Justeru untuk mempelajari selok-belok memancing haruan menggunakan umpan katak hidup, bermula daripada mengenal pasti lubuk berpotensi sehinggalah cara-cara yang betul menanggalkan mata kail dari mulut haruan, saya mengikut satu grup pemburu haruan ke sebuah ladang kelapa sawit di Pekan, Pahang.
Abang Kamal si guru haruan (tengah)
Ads
Setelah memperkenalkan habitat yang bagaimana digemari haruan, cara-cara mengesan kewujudan anak-anak haruan termasuklah anak haruan yang masih berbentuk lava (masih berwarna hitam sebelum berubah ke warna merah), akhirnya saya berpeluang juga mempamerkan bakat memujuk pasangan haruan yang masih lagi melindungi anak setelah pasangannya (betina) berjaya didaratkan oleh rakan saya yang juga di bawah bimbingan Abang Kamal si guru haruan.
Anak murid bongsu Abang Kamal
Abang Kamal cukup yakin anak-anak haruan tersebut masih dilindungi sekurang-kurangnya seekor haruan. Menurut Abang Kamal tidak semestinya anak-anak haruan dilindungi oleh induknya sahaja, kadangkala aku haruan dewasa lain yang bertanggungjawab sebagai pengasuh.
Ads
Kenyataan Abang Kamal terbukti benar setelah umpan katak yang saya lontarkan ke arah kawanan anak haruan tersebut menerima respons dari penjagaannya. Permukaan air seperti berombak menandakan ada pergerakkan ikan yang bukan kecil saiznya itu cukup mendebarkan jantung.
Walaupun penjaga anak-anak haruan tersebut bertindak seperti cuba menghalau umpan katak tersebut dan bukan membahamnya, Abang Kamal tetap yakin memberi semangat kepada saya agar terus mengganggu anak-anak haruan tersebut. Abang Kamal cukup yakin haruan dewasa tersebut akan membuka mulut juga dan membaham umpan katak yang saya gunakan.
Ads
hasil berguru dengan Abang Kamal
Hampir setengah juga saya dihidangkan dengan aksi haruan dewasa tersebut seperti menyergah umpan katak yang saya lontarkan namun tidak juga membahamnya. Ketika saya hampir berputus asa akhirnya haruan dewasa tersebut membuka mulut juga. Hasil sambaran yang mencetuskan gelembung udara ke permukaan parit yang dipenuhi samai itu segera saya balas dengan sentapan joran.
Haruan jantan (dipercayai pasangan kepada haruan betina yang didaratkan sebelumnya) dalam anggaran satu kilogram lebih berjaya saya daratkan setelah mendesaknya keluar dari rintangan samai di permukaan parit. Ia cukup menggembirakan saya kerana lulus sebagai murid namun keseronokan itu umpama candu yang pasti akan menyebabkan saya akan ketagihan memancing haruan lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Walaupun dari pangkalan yang berlainan, namun kami terus berhubung dan bertukar maklumat mengenai koordinat memancing antara satu sama lain. Sehinggalah pada suatu ketika, kami mula merancang untuk memancing bersama dalam satu sampan.
Pertemuan pertama di atas bot milik beliau pada hari yang dijanjikan. Ketika saya bersama rakan pancing lain tiba di pangkalannya, beliau sedang menyiapkan peralatan di sampan. Tanpa berbicara panjang bot yang siap terus dikemudikan menuju ke lokasi memancing setelah semua perkakas pancing dan umpan siap diuruskan.
Sampan beliau mudah dikenali kerana ia paling panjang yang berada di pangkalan, dipacu oleh enjin kembar 150 kuasa kuda jenis Big foot. Sampan 33 kaki ini dilengkapi dengan tandas tertutup ditempah dari Ibrahim Fibre yang beroperasi berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Sementa, Klang.
Sesuai dengan muatan 6 orang pemancing tapi kalau berempat lebih selesa. Sampan ini turut dilengkapi dengan tangki bekalan air tawar 200 liter untuk wuduk dan kegunaan perkumuhan. Kapten Hj Khairi Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten sahaja cukup peramah.
Beliau adalah kaki pancing hardcore, pernah beberapa kali mengemudi sampan fiber miliknya dari jeti Sementa ke Pulau Jarak. Perkara yang jarang-jarang dibuat oleh kaki pancing sekiranya mengemudikan sampan. Kalau bot kayu lain cerita.
Antara destinasi popular beliau ialah Rumah Api Permatang Sedepa dan lokasi yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sebelum ini beliau banyak kali menyertai Labuan IGFA Game Fish di bawah label TEAM BUDU.
Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.
Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.
Yang diperolehi cuma ikan-ikan plata, umpan yang paling tidak digemari pemancing tetapi tidak buat kapten. Kemudian kami beralih arah ke tali sauh kapal dagang yang berlabuh sementara di sepanjang Pantai Kelanang.
Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.
Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.
Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.
Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.
Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.
Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.
Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas.
Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.
.
Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.
Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.
5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.
Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri.. Kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.
Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi.
Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.
Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.
Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.
Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.
Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.
Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.
Semasa karau umpan ke atas, tidak semena-mena satu lagi sambaran diterima. Talang penutup tirai memberi sedikit kelegaan sebelum kipas enjin sampan berputar ligat memacu sampan pulang ke tempat ia diparkir.
Kali ini rakan baik saya Bob mengajak menjala di Tasik Zahra, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Halim dan Ben.
Pemanduan memakan masa tiga jam dan di sepanjang perjalanan Halim menceritakan tentang pengalaman misteri yang dialami ketika memancing di Sungai Koh dua bulan lepas. Sebelum tiba di destinasi, Ben selaku driver, mengajak kami bertiga mengeteh dahulu di sebuah warung kecil bersebelahan sawah padi yang sudah menguning dan hanya menunggu masa untuk dituai.
Saya hanya minum segelas Nescafe tarik dan sepinggan laksa yang kuahnya dibuat dengan menggunakan isi belut sawah dan dihiasi dengan telur puyuh bulat 3 biji. Memang sedap dan begitu menyelerakan.
Selesai makan, barulah kami meneruskan perjalanan. 20 minit kemudian, kami telah tiba di jeti. Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Bob telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.
Perjalanan dari jeti ke pot pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.
Bob menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.
Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Ben.
Menjelang pukul tujuh malam, kegelapan menyelubungi kawasan kami. Suasana menjadi hening. Dada langit semakin kelam dan burung-burung berterbangan pulang ke sarang. Saya mengambil keputusan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak secara jamak.
Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.
Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.
Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Bob dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.
Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.
Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.
Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.
Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa. Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.
Selepas mendapat cincin itulah, rezeki saya bertambah setiap kali keluar menjaring. Sesungguhnya saya percaya kuasa Allah SWT itu melebihi segala kuasa makhlukNya di muka bumi ini. Mungkinkah ikan kecil bersisik emas itu adalah tuan puteri yang hadir di dalam mimpi saya?
Walaupun mata yang masih bengkak tidak Tidur dari awal malam kerana perjalanan daripada ibu negara ke sini mengambil masa 5 jam untuk sampai kami tetap bersemangat meneruskan perjuangan ini.
Tekong mula menghala bot terus ke tuasnya dengan kelajuan maksimum memecah kesunyian pagi dengan deruman bunyi bising ekzosnya. 1 jam perjalanan kami tiba di tuasnya dan acara casting bermula.
Kelihatan kelibat tenggiri membuat ‘boiling’ kelihatan kira-kira 100 meter dari bot kami. Memandangkan lontaran peluru torpedo kami tidak sampai ke tahap itu, maka kami menggunakan teknik menghanyut umpan segar.
Menanti beberapa ketika, kekili Abu Garcia 405 berdesing memuntahkan tali secara tidak henti. Lantas Ayim menyentak 2 kali jorannya agar mata kailnya tertancap kemas pada mangsa dan setelah diyakini mangsa tertewas dengan tusukan mata kail tersebut.
Ayim segera mengarau kekilinya tanpa memberi ruang kepada mangsa untuk melarikan diri. Beliau amat yakin dengan teknik dan kekuatan tali utama 50 paun dan steel leader berkekuatan 40 lb tidak mampu diputuskan pemangsa. Akhirnya tenggiri seberat 7 kg dapat ditewaskan.
Setelah kawanan tenggiri menghampiri tuas, kami meneruskan aktiviti pagi itu dengan acara casting menggunakan peluru ‘torpedo’ yang dijual di jeti. Tekong menasihatkan kami membuat karauan selaju mungkin bagi menarik perhatian mangsa.
Lontaran dibuat sejauh mungkin dan dikarau selaju mungkin bagi menjadikan larian umpan ‘torpedo’ kelihatan seperti sotong jarum yang melarikan diri apabila terlihat pemangsa.
Memang benarlah kata orang, inilah karannya bila casting tenggiri di sini. Sebabnya tangan anda penat mengayuh laju, kekili, ketika itulah tiba-tiba umpan anda disentak ke belakang dan dihenjut tanpa memberi amaran langsung.
Ragutan pertamanya membuatkan anda mampu berasa cemas dan ketika itulah serapan penghayatan kuasa ikan mengalir dari tali terus ke joran dan mengalir ke urat tangan anda dan seterusnya merangsang otak anda untuk melawan kembali asakan tersebut.
Selain tenggiri yang menjadi target, ikan lauk lain juga menjadi sasaran kami iaitu cencaru dan juga kembong dengan menggunakan teknik apollo. Penutup trip tenggiri terakhir seberat 9 kilogram menjadikan tangkapan keseluruhan 12 ekor. Misi telah tercapai dengan semua ahli dapat merasai permainan tenggiri di sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...