Macam-macam panggilan untuk baung ekor merah (BEM). Ada yang memanggilnya baung Mekong, redtail, mahupun baung asing. Bagaimana kewujudannya di sungai-sungai masih menjadi tanda tanya. Sekitar 5 tahun dahulu… ketika itu saya asyik memancing baung bersama boatman saya, Rahim. Saya telah terpancing dan menaikkan seekor ikan baung ekor merah sebesar ibu jari.
Waktu itu sebenarnya saya dan Rahim bertaruh siapa yang akan berjaya untuk hasil terberat ikan baung. Makanya bernanah telinga akibat menjadi bahan darinya dan dari teman-teman sekampung yang mendapat tahu peristiwa tersebut.
Pada mulanya saya menjangkakan bahawa baung itu cacat atau kacukan dari baung kelulang. Apabila pulang ke kampung, saya ada bertanya pada otai-otai baung di kampung saya. Agak memeranjat apabila mereka pun turut bercerita tentang baung ekor merah sebesar ibu jari yang memakan umpan tapa.
Dahulu, dalam sebulan hanya seekor dua sahaja terpancing baung ekor merah bersaiz ibu jari kaki. Menginjak ke tahun 2017 di mana saya mula aktif hampir sepenuh masa mencari baung, dari hari ke hari semakin banyak baung ekor merah bersaiz hampir sekilogram dinaikkan. Dan rekod ketika itu hampir dua kilogram.
Ads
Pada masa itu, baung ekor merah ini menjadi bahan gelak sahabat-sahabat pancing sekampung jika berjaya menaikkannya. Namun ia tidak bermula dan terhenti di situ saja. Saya mula menyusur banyak tempat dan sungai di sekitar negeri Pahang. Di mana saja saya memancing baung pasti akan dapat baung ekor merah.
Saya masih ingat di awal 2018 ketika saya banyak menaikan baung ekor merah melebihi 2 kilogram. Saya mula membayangkan akan kewujudan monster-monster baung ekor merah.
Ia seperti menjadi kenyataan apabila saya melihat sendiri otai baung (Abang Ma) yang sama-sama memancing baung, hanya mampu menahan rod sahaja dan tidak mampu mengarau.
Ads
Sehinggalah tali benang 100lb meletop! Bertitik-tolak dari peristiwa itu, selang beberapa bulan pada awal 2019, berpuluh ekor monster baung ekor merah dinaikkan.
Pada awal 2019 juga beberapa wartawan menelefon dan datang berjumpa saya kerana ingin mendapatkan maklumat tentang spesies ini, selepas banyak aduan yang menyatakan baung ini adalah pemusnah habitat di dalam sungai.
Saya hanya mampu menggariskan beberapa faktor tentang kewujudan ikan ini. Kemungkinan ada yang membawanya masuk seperti yang diceritakan teman saya. Ia diletakkan di dalam sangkar dan mungkin terlepas.
Saya juga pernah lihat ritual masyarakat untuk luck yang lebih. Atau dari kolam kolam berbayar untuk aktiviti sukan memancing.
Ads
Saya juga sempat bertanya kan pada teman-teman di seluruh negeri dan menyatakan kebanyakan sungai di Semenanjung Malayasia telah diduduki oleh baung ekor merah.
Kecuali seorang sahabat saya di Sibu, Sarawak bernama Radin Luat yang menyatakan tiada baung ekor merah di sana.
Apa apa pun kewujudan baung merah ada positif dan negatif. Mangsa dan pemangsa di dalam habitat sungai. Baung ekor merah amat sedap di masak asam pedas.
Kerana isinya yang tidak liat walaupun saiz berbelas kilogram. Bagi kaki pancing, ikan ini amat kuat dan amat berbeza caranya memakan umpan dari baung biasa. Di mana pergerakannya di dalam air tidak selaju baung biasa menarik diri ke kayu.
Oleh: RULLNUACANCERS
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
Berkesempatan mengunjungi rakit ini sewaktu satu ternyata memberikan pengalaman memancing yang baru buat penulis. Jika kebanyakan rakit sebelum ini yang penulis kunjungi lebih mengamalkan konsep pancingan yang lebih terbuka di sekitar rakit, namun di Rakit Wak Kahar ternyata lapangan pancingnya lebih unik.
Pemiliknya, Kahar Bin Abu atau lebih mesra dipanggil Wak Kahar berkata, “Pada asalnya rakit ini yang dibina hampir 12 tahun yang lalu ini memang hanya meletakkan fokus utama terhadap penternakan kupang.
Namun bila melihat sendiri potensinya untuk aktiviti memancing, maka saya mula membuka rakit ini kepada kaki pancing dan ternyata ia mendapat sambutan yang hangat dari kaki pancing seluruh Malaysia terutamanya sekitar Johor Bahru dan Singapura”.
Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.
Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.
Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini.
Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.
Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.
Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.
Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.
Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.
Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rakit ini.
Fenomena Mikro Jigging
Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.
Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rakit ini aplikasi mikro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.
Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.
Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah
pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.
Perancangan Rakit Wak Kahar
Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.
Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.
Menurut beliau, semua perancangan ini dijangka akan direalisasikan mulai tahun hadapan. Jadi, bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Rakit Kupang Wak Kahar, bolehlah melawat laman Facebook mereka iaitu Rakit Wak Kahar.
Tahun lalu sebanyak 1.8 tan ikan pelbagai spesies berjaya dituai. Namun tahun ini ia sedikit berkurang tetapi tetap melebihi 1 tan hasilnya dan ia berlangsung dengan penuh meriah.
Lebih 400 penduduk menyertai Pesta Mongoi Bombon atau ‘menuai ikan Tagal’ dalam bahasa Dusun di Kampung Poturidong, Kiulu, kelmarin.
Ia merupakan acara tahunan yang amat dinanti-nantikan penduduk menjelang musim kemarau.
Uniknya, aktiviti menangkap ikan Tagal hanya diadakan apabila Sungai Kiulu menjadi cetek dan tenang.
Menurut Ketua Kampung Poturidong yang juga Pengerusi Persatuan Tagal, Juara Gidal, 73, selain berkongsi hasil tangkapan, acara itu juga bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan.
Katanya, penduduk kampung sudah bersetuju untuk menuruti semangat Tagal supaya tidak menangkap ikan pada hari-hari biasa.
“Kami menetapkan peraturan, sesiapa yang didapati menangkap ikan akan dikenakan denda seekor kerbau untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua, pesalah akan dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri kerana tidak menghormati semangat Tagal,” katanya ketika ditemui di sini.
Pesta itu bukan sahaja disertai saudara-mara penduduk, malah rakan dari luar daerah turut berpeluang menikmati pengalaman menangkap ikan secara tradisional.
Antara ikan yang ada di sungai berkenaan ialah ikan Barob, Pelian, Sarawi dan Lampam Sungai atau lebih dikenali sebagai Gayomato.
Pesta yang mula diadakan sejak 1986 itu tidak pernah menghampakan penduduk kerana hasil yang diperoleh setiap tahun mencecah 1.2 tan ikan air tawar.
Lebih menarik, selepas berjaya ‘mendaratkan’ ikan air tawar, penduduk, terutama wanita akan memasak juadah hasil ikan tangkapan untuk dimakan semua penduduk yang menghadiri pesta.
Juara berkata, kawasan ikan Tagal ini dibahagikan kepada beberapa kawasan untuk tujuan pembiakan, pemuliharaan dan tarikan pelancongan.
Katanya, ini bagi memastikan spesies ikan air tawar sentiasa terjaga dan tidak merosakkan ekosistem air sungai yang menjadi kebanggaan penduduk Kiulu.
Penduduk, Rushdi Lusi, 42, berkata setiap kali pesta berlangsung, mereka tidak akan hampa kerana penduduk mampu menaikkan ikan besar sehingga mencecah 4.6 kilogram.
Katanya, pengalaman menangkap ikan secara tradisional yang dipelajari daripada orang tua menjadi panduan berguna untuknya setiap kali menyertai pesta.
Pengunjung luar daerah, Faznie Baili, 37, berkata dia menemani rakannya datang ke sini untuk merasai sendiri pengalaman menangkap ikan secara tradisional.
Katanya, kemeriahan menangkap ikan, selain kerjasama erat sesama penduduk kampung menyebabkan dia ingin kembali pada tahun depan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...