Jelawat sultan atau juga dipanggil ikan jelawat dan ikan sultan merupakan salah satu spesies ikan air tawar tempatan yang menarik. Di kalangan kaki pancing, spesies jelawat cukup terkenal dengan kekuatan renangan ketika bertarung di hujung tali pancing.
Selain terkenal sebagai ikan sukan, jelawat juga mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi. Bahkan, bagi spesies tempatan, jelawat merupakan antara 5 spesies ikan air tawar tempatan paling bernilai. Nilainya melambung tinggi kerana keenakannya isinya lebih-lebih lagi jelawat liar atau jelawat sungai.
Ads
Spesies jelawat tergolong dalam order cypriniformes, ikan bersirip dan merupakan spesies barb dari keluarga cyprinidae. Dalam bahasa, nama genus spesies ini iaitu Leptobarbus datang daripada istilah Greek iaitu ‘leptos’ yang bermaksud kurus atau nipis(thin) sementara ‘barbus’ pula merupakan istilah Latin yang bermaksud barbell (sesungut berfilamen).
Di Malaysia, ikan jelawat atau nama latinnya Leptobarbus hoevenii, mempunyai ceritanya tersendiri. Menurut cerita, dek kerana keenakannya, ikan jelawat menjadi ikan hidangan hanya bagi santapan untuk golongan istana dan bangsawan sahaja suatu masa dulu. Disebabkan itulah, ikan jelawat juga digelar ikan sultan sehingga ke hari ini.
Ads
Ads
Ikan jelawat sultan atau ikan sultan ini merupakan spesies asal negara yang hampir pupus di habitat liar. Masyarakat malah ramai pemancing keliru dengan identiti jelawat ini dengan jelawat ekor merah yang merupakan spesies import yang dibawa masuk bagi industri akuakultur.
Maka tidak hairanlah apabila nama ikan jelawat lebih merujuk kepada ikan jelawat ekor merah berbanding jelawat sultan. Dan tidak mustahil spesies jelawat tempatan ini turut menerima nasib sebagaimana ikan jelawat emas yang telah pupus sepenuhnya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Jabatan Perikanan melarang membawa masuk beberapa spesies pendatang ke dalam negara, apatah lagi melepaskannya ke sistem perairan terbuka.
Anehnya, pemancing kita hari ini begitu taksub pula mengamalkan konsep tangkap dan lepas spesies pendatang ini, terutamanya ikan raja atau peacock bass.
Pada masa yang sama cukup berbangga dengan menggalas pulang spesies tempatan yang semakin berkurangan hari ini terutamanya kelah dan sebarau.
Admin cukup sedih melihat perkembangan songsang ini… korang pula bagaimana?
💡 AHMADUL AZMI
“Allah cipta ikan untuk makanan. Kalau rasa nak pancing untuk makan… makan je la. Kalau nak buat main, nak test lure joran atau reel bukan itu caranya.
Kalau nak jaga keturunan atau ekosistem ikan dengan cara CnR baik tak payah pancing terus. Sebab kita lepas pun belum tau dia hidup. Lagi menyeksa adalah.
Jika secara tak sengaja tertangkap spesies yang memang kita tak nak makan atau memang tak boleh makan setuju la lepaskan. Contoh terlalu kecil atau ikan beracun.”
💡 WAN ISLAHUDDIN WAN ALI
“Kalau semua pemancing Malaysia berdisiplin tinggi, sedar baik buruk spesies pendatang kepada ekosistem tempatan, boleh la.
Nak bisnes? Tak salah kalau buatkan satu spot buatan manusia, lambakan spesies pendatang yang agresif bila terkena pancingan.
Spot haruslah di kawasan yang berjauhan dari sistem sungai. Pemancing harus tau limitnya. Takkan bawa balik, letak dalam akuarium.
Nanti sampai masa, tak mampu dah nak tanggung kepelahapannya, terus pergi lepaskan kat tasik-tasik yang berhubung dengan sistem sungai.
Tak boleh nak komen lebih-lebih. Tempat koi sendiri ‘halal’ bawa masuk si patin Mekong tu. Selamat bergembira melayan Mekong 100 kg dari tebing Sungai Pahang dalam masa lagi lima tahun rodong-rodong Pahang koi.
Salam takziah jika anak cucu dah tak kenal patin buah dan patin muncung lagi lepas ni.”
💡 MOHD FAHMI MOHD AZMI
“Untung yang duduk di luar bandar masih banyak spot memancing kaya dengan local gamefish. Bagi kami yang tinggal di kawasan membangun/bandar ni sangat terhad spot memancing.
Banyak yang ada pun dalam kategori tasik buatan manusia yang sumber airnya dari parit industri dan perumahan yang sudah lama dilambakkan dengan spesies luar sebelum saya lahir lagi.
Saya setuju spot asli dan yang masih terpelihara jangan diperkenalkan spesies luar. Dan saya sendiri selalu berpesan untuk mengamalkan CnR dan jaga spot memancing yang sedia ada sebab majoriti anglers dikekang masa dan kewangan.
Kami tidak mampu untuk trip jauh setiap minggu. Setuju juga penguatkuasaan yang telus perlu untuk menjaga populasi ikan tempatan.”
💡 AZHAR USMPENANG
“Inilah yang saya canang pada semua kaki pancing sebelum ini. Ikan PB, patin Mekong, pacu dan lain-lain ikan pendatang adalah tidak harus kita CnR.
Memanglah ia ikan game yang pasti syok melayannya tapi berbaloikah dengan kepuasan dalam lima minit melayannya bila kena hook berbanding kerosakan ekosistem ikan-ikan asal negara kita akibat pemangsa ini.
Jika kita tak ambil iktibar akibat kepupusan ikan-ikan yang sebelum ini maka generasi kita nanti akan dapat melihat di dalam kalendar pasang surut atau pun buku-buku perikanan air tawar sahaja. Bertindaklah dari sekarang demi melestarikan ikan asal kita.”
💡 AMIRRUL HAMKA ISMAIL HISHAM
“Maaf cakap… ikan PB memang dah beri kesan kat area Gopeng. Banyak lombong terbiar yang dulu banyak ikan tempatan kini dah pupus. Toman pun kalah dengan PB ni.
Sekarang PB pun dah besar kepala dan makan sesama sendiri sebab anak ikan udang tak boleh hidup… ikan PB ni terlampau rakus.
Aku rasa amat patut kerana tempat aku sudah terkesan dengan ikan PB.”
💡 AYEN LA
“Falsafah aku senang saja. Bila ikan ni ada dalam lombong atau tasik yang tak bersambung mana-mana sungai, aku CnR saja kalau nak tapau pun yang besar dua tiga ekor je sebab
tau dah ikan dalam tu tak pi mana pun. Dan kalau jumpa kat open river, delta ke apa ke yang bersambung dengan sistem sungai memang aku tapau habis-habis.”
💡 FAIZAL ABDULLAH
“Pendatang harus dihapuskan. Ini adalah spesies masuk rumah orang buat macam rumah sendiri.”
💡 AYIE AZZAHARI
“Hairan juga aku dulu kat lombong Pantai Kamloon, Penang takde PB ni sekarang dah ada. Makhluk mana la pergi lepas kat situ.”
➡ EDDY CALLEIGHT
“Tengok juga kalau dah satu tasik memang dah kena conquer dengan PB elok dibiarkan je PB tu membiak. Kalau masih belum dominan elok di deep fry. Hehe.”
💡 MOHAMMAD AZRINSHA
“Patutnya port yang ada ikan ni jangan ditutup. Kasi can angler kutip sampai pupus… haha.”
💡 ZASRIL ARIEL
“Pancing bawak balik je ikan ni. Tapi orang Malaysia tak ramai CnR tak payah risau. Majoriti angler Malaysia tangkap dan dapur.”
💡 SAIFUL SULONG
“Jangan risau orang Malaysia mesti tapau habis. Macam kat Kuantan ada kejap ikan ni tapi sekarang memang habis kena tapau.
Orang bawa balik macam stok setahun makan ikan tu je. Katanya sedap isi ikan ni.”
Hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini, bahawa pemancing suka berpuak-puak dan tidak bersatu. Tidak seperti zaman dahulu.
Benarkah dakwaan ini?
Bila ditanya pada rakan-rakan pemancing, ada yang kata benar, ada yang kata tidak. Malah, ada yang kata ini hanyalah isu remeh yang tidak perlu dibesarkan. Benar atau pun tidak, penulis menyerahkan kepada penilain tuan-tuan dan puan-puan yang sangat dihormati sekalian.
Cuma, kita boleh cuba mengenal pasti apakah ‘faktor’ atau ‘punca’ dakwaan ini, berdasarkan kajian saintis terkenal dunia, berkaitan psikologi dan sosiologi pemancing. Antaranya:
A: Pengkhususan rekreasi (recreation specialization) = Merupakan tahap pengkhususan seseorang dalam aktiviti memancing.
Contohnya: Pemancing ikan toman, boleh dikategorikan kepada: 1)pemancing biasa, 2)pemancing sekali-sekala, 3)pemancing mahir teknik, dan 4)pemancing mahir teknik dan lokasi. Ini berdasarkan kemahiran (skill) dan peralatan (equipment) yang digunakan untuk memburu toman.
Ini bermakna, lain pemancing lain tahap mereka. Walaupun pemancing biasa (kategori 1) mereka tetap juga pemancing toman. Begitu juga dengan spesies lain, dan teknik memancing yang lain.
‘Pengkhususan rekreasi’ pemancing perlu difahami, agar kita tahu, apa kelebihan dan kekurangan rakan pemancing kita.
B: Pembahagian pemancing (angler segmentation) = Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan atau segmen tertentu, berdasarkan ‘sikap’ dan ‘tingkah laku’ mereka.
Contohnya: ‘Sikap menangkap ikan’ (catch attitude). Pemancing boleh dibahagikan kepada mereka yang suka: 1)menangkap ikan besar, 2)menangkap banyak ikan, 3)membawa balik ikan ke rumah, atau 4)tidak mengapa jika tidak mendapat ikan.
Betul, tidak dapat ikan pun dikira sebagai segmen memancing. Ada yang ‘kumpau’ tetapi masih gembira dengan trip memancing mereka.
Akan tetapi C&R bergantung kepada spesies, saiz, jumlah ikan yang ditangkap, lokasi, serta dengan siapa mereka memancing. Setiap pemancing mempunyai pendapat tersendiri tentang C&R.
Perbezaan dalam ‘pembahagian pemancing’ sangat perlu dihormati, kerana ianya boleh menjadi ‘sensitif’ bagi sesetengah individu.
C: Kontinum pemancing (angler continuum) = Merupakan ‘julat’ atau ‘lingkungan’ di kalangan pemancing.
Contoh lain: Pengelibatan memancing atau kekerapan pergi memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)kurang penglibatan (cth: setahun sekali), 2)sederhana penglibatan, 3)tinggi penglibatan (cth: mereka yang memancing hampir setiap hari).
Ia boleh merangkumi pelbagai aspek, seperti kemahiran melempar gewang, kemahiran menyelenggara kekili, malah mengikat mata kail pun, boleh mempunyai kontinum tersendiri. Jadi, tanggapan bahawa orang yang tidak pandai mengikat mata kail, bukan pemancing, adalah kurang tepat.
Justeru, penting untuk kita menghormati pemancing lain, terutama mereka yang berada dalam kontinum yang berbeza dengan kita.
D: Kumpulan pemancing dan sub-kumpulan pemancing (angler groups and angler sub-groups) = Ini merupakan perkara biasa yang kita dengar, iaitu pemancing mempunyai kumpulan tersendiri.
Kumpulan ini bergantung kepada faktor seperti teknik (bottom vs casting vs jigging vs fly), lokasi (kolam vs sungai vs tasik vs pesisir pantai vs laut dalam), spesies (toman vs sebarau vs kelah vs sepat vs lampam), kolam (kolam air masin vs kolam air tawar vs kolam udang), menyertai pertandingan (suka pertandingan vs tidak suka pertandingan), dan banyak lagi kumpulan yang lain.
Selain faktor latar belakang seperti jantina, umur, tahap pendidikan, pekerjaan, dan pendapatan, juga boleh dijadikan kumpulan pemancing.
Kumpulan-kumpulan yang wujud menunjukkan diversiti atau kepelbagaian dalam dunia memancing. Sudah tentu, kita dididik agar meraikan kepelbagaian dalam hidup kita.
E: Motif tersembunyi memancing (fishingunderlyingmotives) = Motif, motivasi, atau tujuan, bermaksud mengapa pemancing keluar memancing. Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan tertentu, berdasarkan motif memancing mereka.
Contohnya: Pemancing yang keluar bersama keluarga, mempunyai motif berbeza dengan pemancing yang ingin menangkap banyak ikan. Teknik, pendekatan, dan usaha (effort) mereka akan jadi berbeza.
Contoh lain: Pemancing yang motifnya mahu kesunyian dan bersendirian, tidak mungkin boleh bersama dengan pemancing yang mahu bersama rakan untuk bersembang. Ini boleh menimbulkan konflik.
Begitu juga dengan motif lain seperti untuk mendapatkan rekreasi, untuk menikmati alam sekitar, untuk berseronok, dan lain-lain lagi.
Motif memancing sangat penting untuk difahami, agar kita tahu apa tujuan pemancing, selain untuk mendapatkan ‘strike’.
Hakikatnya
Ramai sahaja pemancing yang ‘cool’ dan ‘chill’ dengan rakan-rakan pemancing, walaupun terdapat perbezaan pendapat, latar belakang, kumpulan, sikap, serta kemahiran.
Ramai sahaja yang ‘okay’ dengan rakan-rakan baharu, walaupun mereka telah mencapai tahap tertinggi (otai, masta, sifu, mahaguru). Malah ada yang sudi menurunkan ilmu dan kemahiran, seikhlas hati.
Mungkin, ada seorang-dua yang agak ekstrim dan agak menonjol, yang boleh menjejaskan keakraban rakan-rakan pemancing lain. Saya kata, mungkin…
Penting
Adakah penting untuk memahami kepelbagaian serta perbezaan kumpulan pemancing?
Ya, penting. Kerana kita akan lebih mengenali siapa mereka ini, dan apa yang mereka mahukan.
Justeru, kepuasan memancing, selain dari ‘strike’ dapat dipenuhi. Serta, pembangunan perikanan rekreasi di Malaysia dapat diperbaiki.
Berdasarkan komen dan maklumbalas dari pelbagai kumpulan, segmen, dan motif yang wujud.
Terbaik
Perkara terbaik adalah pemancing harus bijak dalam menilai sesuatu isu atau perkara yang dibangkitkan, agar keharmonian sesama pemancing dikekalkan.
Toleransi, saling menghormati, dan berlapang dada, merupakan elemen pendamai, yang perlu ada dalam setiap diri pemancing. Sekaligus, dakwaan pemancing suka berpuak-puak dapat ditangkis sepenuhnya.
Kesan dari keadaan mabuk laut menjurus kepada rasa yang tidak selesa dan melemahkan. Walaupun ia tidaklah mengancam nyawa namun ia boleh menjejaskan tumpuan kepada kerja termasuk memancing.
Dalam kebanyakan kes, petanda awal mabuk laut akan mula bertambah baik sekiranya badan anda dapat menyesuaikan diri. Atau anda selesaikan masalah tersebut dengan menamatkan sebarang aktiviti dan tidur saja.
Tanda 1 – Kulit Jadi Pucat
Mungkin ramai yang tidak menyedari simpton awal ini kerana kebanyakan pemancing menutup hampir keselurahan kulit ketika memancing bagi mengelak cahaya terik. Jika korang tengok kulit muka rakan dah mula pucat, beritahulah mereka. Jangan pula tunggu mereka muntah.
Tanda 2 – Mula Peluh Sejuk
Ia dapat dirasai apabila badan mula rasa tidak selesa dengan keadaan sekeliling. Walaupun ia Simpton awal, kalau dah keluar peluh yang tidak sepatutnya keluar, kemungkin korang akan berhadapan dengan mabuk laut yang agak kronik.
Tanda 3 – Air Liur Jadi Banyak
Ia berlaku tanpa disedari sehinggalah anda lebih kerap meludah daripada biasa. Walaupun takde air liur nak ludah pun tetap juga meludah walaupun hanya keluar angin saja.
Tanda 4 – Mengantuk Tahap Gaban
Perkara ini biasa berlaku. Walaupun cukup tidur, anda mula menguap berkali-kali. Dalam pada masa yang sama, mata mula meninjau tempat untuk merebahkan badan.
Tanda 5 – Terasa Sesak Nafas
Rasanya seperti tidak cukup udara untuk bernafas. Nafas menjadi pendek dan cepat. Namun tetap tidak puas untuk bernafas.
Tanda 6 – Letih Melampau
Apabila berada dalam keadaan ini, anda akan berasa seperti malas untuk buat apa saja. Semangat untuk memancing mula hilang dan tidak peduli lagi pasal kumpau atau sebagainya.
Tanda 7 – Pening-Pening Berpanjangan
Boleh dikatakan ia berlaku kepada semua orang yang menghadapi masalah mabuk laut. Jadi anda tidak perlu risau sangat pasal pening ni. Sebaliknya kalau terlalu memikirkannya, ia akan menyebabkan semakin cepat mabuk.
Tanda 8 – Sakit Kepala Ya Amat
Ia lebih menyeksakan berbanding sesak nafas atau pening. Atau dalam erti kata lain, ia sudah berada sebelah kaki dalam penyiksaan mabuk laut.
Tanda 9 – Muntah
Kemuncak awal mabuk laut! Namun ia terbahagi kepada dua cabang. Sama ada anda akan pulih atau terus terseksa. Muntah berulang kali hingga tahap terasa macam nak terkeluar urat perut inilah yang menakutkan ramai pemancing untuk ke laut dalam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...