Memancing dapat kerapu, memanglah syok, sebab dah terbayang nak masak apa. Selain masak stim limau, stim halia, goreng, tiga rasa, kerapu juga sedap dimasak masam manis. Apa kata lepas ni, dapat je kerapu buat sendiri resipi di bawah ini di rumah.
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan kerapu (diambil isi dan dipotong kiub)
120 gm tepung jagung (dicampur sedikit garam)
1 biji telur (dipukul)
Minyak masak secukupnya
Ads
BAHAN SOS :
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih – dikisar
3 cm halia
1 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
1 cawan air
Garam secukup rasa
Ads
CARA MEMASAK
Gaul ikan dengan telur dan tepung jagung.
Ads
Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ikan tadi sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
Sos: Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga naik bau.
Selepas itu masukkan cili kisar dan kacau sehingga pecah minyak.
Masukkan air, sos cili, sos tomato dan garam secukup rasa.
Apabila sudah mendidih, angkat dan tuangkan kuah ke atas ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Seringkali kita terdengar; ‘mengurus perikanan rekreasi’ adalah dengan melepaskan ikan ke dalam sungai atau tasik, yang kemudiannya boleh dipancing oleh pemancing.
Ya! Memang betul. Melepaskan ikan adalah salah satu strategi dalam mengurus perikanan rekreasi. Akan tetapi, melepaskan ikan bukanlah segala-galanya.
Ada banyak lagi elemen lain yang perlu diambil kira dalam mengurus perikanan rekreasi.
Jika kita lihat dari sudut yang lebih meluas, perikanan rekreasi sebenarnya terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu komponen biologi (ikan dan habitat), komponen ekonomi pemancing (nilai RM), dan komponen sosiologi pemancing (kajian manusia).
Di negara maju, mereka telah lama mengurus perikanan rekreasi, dengan mengambil kira ketiga-tiga komponen ini. Matlamat utama adalah supaya pemancing dapat mencapai ‘kepuasan memancing’ dan akan terus keluar memancing.
Pertama, bagi komponen ‘biologi’, jabatan yang mengurus (contohnya: U.S. Fish and Wildlife Service di Amerika Syarikat) perlu mengambil kira status sumber perikanan dan habitat ikan.
Mereka melakukan pelepasan ikan secara berjadual, membuat inventori ikan (pemantauan ikan) bagi mengganggar jumlah ikan, selain membaiki kawasan tebing sungai atau tasik serta menanam semula tumbuhan akuatik sebagai habitat ikan.
Kedua, bagi komponen ‘ekonomi pemancing’, mereka menilai jumlah wang yang ‘telah’ dibelanjakan oleh pemancing.
Ini bagi mendapatkan anggaran nilai $USD (kalau kita RM) bagi aktiviti memancing tersebut.
Bukan itu sahaja, mereka juga menilai berapakah jumlah wang yang ‘sanggup’ dibayar oleh pemancing bagi mendapatkan nilai ekonomi pemancing dimasa hadapan. Lesen memancing juga boleh dikategorikan dibawah komponen ini.
Ketiga, bagi komponen ‘sosiologi pemancing’, mereka di negara maju sangat mengambil berat tentang ‘kepuasan memancing’.
Mereka ingin mengetahui sama ada pemancing berpuas hati atau tidak semasa memancing. Mereka mendapatkan data ‘kepuasan memancing’ melalui soalan kaji selidik.
Pemancing akan bekerjasama dengan memberikan maklumat latar belakang, pengalaman memancing, kenapa keluar memancing, spesies yang mereka mahukan, serta maklumat lain yang berkaitan dengan aktiviti memancing.
Maklumat dari ketiga-tiga komponen ini (biologi, ekonomi dan sosiologi) akan diambil kira dalam membuat keputusan bagi mengurus perikanan rekreasi.
Mereka akan meneliti setiap komponen serta kombinasi bagi ketiga-tiga komponen tersebut. Sebarang keputusan akan menjurus kearah matlamat utama, iaitu ‘kepuasan memancing’.
Sebagai contoh, melalui kaji selidik pemancing, pengurus perikanan dapat mengetahui kenapa pemancing keluar memancing dan apakah spesies kegemaran mereka?
Maklumat ini dapat membantu pengurus dalam menentukan spesies paling sesuai untuk dilepaskan di sungai atau tasik, serta fasiliti dan kemudahan yang terbaik yang boleh disediakan bagi memenuhi kehendak pemancing.
Pengurus juga dapat memberikan nilai RM yang ‘telah’ dan ‘sanggup’ dibayar oleh pemancing.
Sudah tentu, jumlah RM yang dizahirkan akan membuktikan betapa pentingnya aktiviti memancing kepada masyarakat dan negara.
Dalam situasi sekarang, dengan pelbagai cabaran seperti ancaman pencemaran, kemusnahan habitat, sikap tamak manusia, dan lain-lain lagi, negara perlu mengurus perikanan rekreasi dengan sebaik-baiknya, sebelum semuanya terlambat.
Langkah terbaik adalah dengan mencontohi negara maju dalam mengurus perikanan rekreasi mereka.
Ini boleh dilakukan dengan mengambil kira ketiga-tiga komponen yang dibincangkan (biologi, ekonomi, dan sosiologi).
Ini boleh dilaksanakan sama ada secara terus (copy and paste) ataupun secara modifikasi mengikut kesesuaian di negara kita.
Kerjasama pemancing (pembaca) dalam membantu jabatan yang mengurus (Jabatan Perikanan Malaysia) sudah pasti dapat melancarkan pelaksanaan mengurus perikanan rekreasi di Malaysia, setanding dengan negara maju lain di dunia.
Telahan tidak meleset. Seekor rohu anggaran berat dalam 3 kg diheret ke tebing. Hasil keempat yang tumpas di tangan saya lewat petang itu. Manakala Lan berjaya menewaskan dua ekor jelawat. Badrul pula seekor jelawat serta seekor rohu. Seekor lagi berjaya memutuskan tangsi dengan menyusup masuk ke dalam kawasan keladi bunting.
Kedengaran sayup-sayup dari kampung berdekatan suara orang mengaji. Bermakna beberapa minit lagi azan maghrib akan dilaungkan. Kami mengemas barang dan masukkan dalam but kereta.
Setelah memastikan tiada lagi barang yang tertinggal, saya terus memandu keluar dari kawasan lombong menuju simpang kampung di mana Badrul meletakkan motosikalnya. Selesai solat maghrib di surau, saya menghantar Lan ke rumahnya terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah bujang saya. Dua ekor ikan hasil pancingan saya disedekahkan kepada Lan memandangkan dia mempunyai ‘keluarga besar’. Baki dua ekor lagi sudah cukup bagi saya untuk dibakar sebagai juadah malam nanti bersama rakan-rakan bujang.
Kereta Proton Satria Neo saya pandu perlahan. Jalan kampung yang muat untuk sebuah kereta sahaja dan laluan yang bengkang-bengkok merbahaya jika memandu laju. Lagi pun saya tidak berapa biasa dengan laluan tersebut. Termasuk yang ini, baru kali kedua saya melaluinya. Ada satu lagi jalan baru yang lebih luas tetapi jauh.
Memandu bersendirian, melayan lagu sambil teringatkan aksi pecutan ala torpedo rohu lombong petang tadi. Memang seronoklah. Kalau ada kesempatan mahu saya turun lagi ke sini. Dumm! Terkejut dan serta-merta kaki menekan brek. Lampu tinggi saya pasang. Saya terlanggar sesuatu. Lima belas kaki di hadapan kereta berhampiran jambatan kayu, saya lihat seseorang terbaring di dalam semak. Menggelabah dan berdebar-debar. Saya bergegas keluar. Masih terpinga-pinga, saya meluru ke arah semak. Kaki dan tangan saya menggeletar.
Seingat saya tidak ada sesiapa tadi di tepi jalan atau melintas jalan. Apakah saya tidak perasan atau fikiran jauh melayang. Rasa bersalah menyelubungi diri. Menyesal pun ada. Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30-an bangun sambil mengibas-ngibas kain membuang rumput dan ranting kayu yang melekat.
“Kak..teruk ke kak? Saya tak nampak tadi. Maaf kak.. maaf,” Kelam-kabut saya dibuatnya. Ya lah aku langgar orang. Kalau langgar kucing pun kita sudah rasa tidak keruan.
“Tak apa, sikit saja dik.. tak apa”
Sambil tersenyum wanita itu mula melangkah. “Err..kak, saya hantar kak ke klinik. Kat mana klinik yang dekat?” Wanita itu terus melangkah. “ Tak apa, rumah akak seberang jalan sana saja. Akak tak apa-apa. Adik balik lah”.
Hari Ahad, setelah tiga hari peristiwa tersebut saya bercadang pergi ke tempat kejadian mencari rumah kakak tersebut untuk menziarahinya. Jauh tempat kejadian dengan rumah bujang saya, kira-kira satu jam perjalanan. Sebaik sampai di jambatan kayu tersebut, saya terlihat seorang lelaki sedang menangguk anak udang. Saya berhentikan kereta.
Saya bertanyakan lelaki berkenaan perihal wanita yang saya terlanggar beberapa hari lalu, mungkin dia mengenalinya. Menurut apa yang lelaki itu beritahu saya, rumah wanita yang di seberang jalan itu sebenarnya kawasan tanah perkuburan Islam kampung berkenaan. Tiada rumah di kawasan itu.
Berderau darah saya. Kejadian malam itu sepantas kilat terbayang di depan mata. Patutlah kakak itu bangun selamba tanpa sebarang kecederaan dan kenapa saya boleh tidak perasan, kainnya langsung tidak koyak sedikit pun! Malam itu saya macam terpukau.
Lelaki itu memberitahu saya, pada awal tahun 80-an wanita itu mati dibunuh oleh bekas kekasihnya. Mayatnya dicampak ke bawah jambatan dan penduduk kampung sering bertembung ‘wanita’ berkenaan di sekitar jambatan ini. Seram sejuk tubuh saya mendengarnya. Tergesa-gesa saya meminta diri.
Pada mulanya saya bercadang untuk terus pulang. Teringat pula si Badrul yang rumahnya hanya sekitar 15 kilometer sahaja lagi ke hadapan.. Saya terus memandu menuju ke rumah Badrul.
“Lama dah kau tak datang ke mari, apa khabar?,” Soalan cepu emas daripada emak Badrul sebaik saya melangkah masuk ke ruang tamu.
“Saya macam ni lah makcik. Makcik sihat?” Memang betul. Hampir 6 bulan saya tidak ke rumah Badrul “Makcik sihat. Sihat orang tua”. Ujar mak Badrul sambil melangkah ke dapur,
Sedang rancak bercerita kisah-kisah memancing, saya teringat hendak memberitahu Badrul apa yang saya alami sewaktu pulang dari memancing rohu tempoh hari. “Nasib baik ada lelaki di jambatan tadi yang memberitahu aku siapa sebenarnya ‘kakak’ tu”.
“Ada lelaki dekat jambatan?” Emak Badrul yang menghidang air kepada kami tiba-tiba menyampuk. “Ya makcik. Lelaki kurus, rambut kerinting. Tinggi tak tinggi sangat, lebih kurang tinggi saya. Kenapa makcik?.
“Itu suami perempuan tu. Dia pun sama kena bunuh sekali dengan isteri dia. Dua-dua dicampak ke bawah jambatan kayu tu” jelas mak Badrul.
ASTAGHFIRULLAH..! “Badrul, aku beransur dulu lah. Nak rileks kepala aku ni. Malam tu jumpa kakak tu, pagi tadi jumpa suami dia pulak! berat..berat”. Saya meminta izin pulang kerana kepala sudah mula serabut dengan dua kejadian yang menimpa saya tanpa diduga.
“Kau nak ikut jalan kampung ke jalan baru?”. “Kau hulur seratus pun aku tak akan lalu jalan lama tu. Kalau kau ikut sama, boleh”. Badrul tersenyum.
Sepanjang perjalanan, kejadian pagi tadi dan malam jumaat tempuh hari bermain di fikiran. “Patutlah tiada kesan calar atau kemek pada bumper depan…” bisik hati saya. Hanya tuhan yang tahu apa hikmah di sebalik kejadian ini. Moga tuhan merahmati ke atas kedua-duanya. Al-Fatihah.
Dari Abu Hurairah Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?”
Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kkemudian salah seorang berkata: “Ya, wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk.”
Baginda bersabda: “Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya.”
(HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih
Keterangannya:
(Jadikanlah mereka ini teman kerana aura kebaikan akan kita perolehi.)
(Jauhilah mereka kerana kita akan mendapat mudarat daripada kejahatan dan kezalimannya.)
Ayuh jadilah kita dan orang yang bersama kita dari kalangan orang yang paling bermanfaat kepada orang lain, dan tidak mendatangkan mudarat sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...