Kebelakangan ini kerap pula berlaku kejadian kepala air. Apa dia kepala air? Merujuk kepada Kamus Dewan, fenomena kepala air membawa maksud permulaan atau penghabisan air bah. Atau dalam kata lain ialah limpahan air yang besar yang membanjiri sungai dan berlaku secara tiba-tiba. Ia turut dikenali sebagai ibu air atau lidah air.
Fenomena kepala air ini berpunca dari aliran air dalam kuantiti yang besar. Ia mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan kadangkala meragut nyawa.
Punca kejadian Punca atau sumber kepala air:
Ads
Hujan di hulu sungai dengan kadar luar biasa, akibat daripada itu akar pokok tidak dapat memainkan peranan menahan air untuk diserap ke dalam tanah. Begitu juga dengan kawasan takungan atau tadahan di hulu menjadi penuh maka ia terus melimpah dan masuk ke sungai dengan banyak.
Berlaku tanah runtuh akibat pembalakan atau semulajadi. Pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan empangan-empangan kecil yang menakung air.
Ads
Kesannya, jika ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air ia akan pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.
Ads
Hujan di kawasan tanah tinggi pegunungan lebih dari kebiasaan. Walaupun akar pokok memperlahan proses air mengalir ke sungai namun jika hujan berlaku lebat dan lama, maka air akan melimpah masuk ke sungai dengan kadar yang banyak dan laju.
Jika empangan pecah dan berlakunya gempa bumi. Namun kedua-dua kejadian amat jarang dan hampir tidak berlaku di negara kita.
Dan tentu saja kefahaman tentang kepala air ini perlu diambil berat oleh pemancing terutamanya pemancing yang menggemari aktiviti memancing di sungai pegunungan. Di kawasan sungai pegunungan inilah lazimnya berlaku kejadian kepala air.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan kap India atau catla, yang turut dikenali dengan nama umum major carp atau major Indian carp (nama saintifiknya Catla catla) adalah ikan air tawar Asia Selatan yang penting dari segi ekonomi.
Spesies tunggal dalam keluarga besar Cyprinidae ini biasanya ditemui di sungai-sungai dan tasik di utara India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, dan Pakistan. Kap India adalah ikan dengan kepala yang besar, rahang bawah yang menonjol besar, dan mulut terbalik.
Ia mempunyai skala yang besar, berwarna kekelabuan di bahagian belakang badan dan keputihan pada perutnya. Catla mencari makanan di permukaan dan pertengahan air. Catla dewasa memakan zooplankton, manakala catla muda atau juvenil memakan zooplankton dan fitoplankton.
Ia mencapai kematangan seksual pada usia purata dua tahun dan purata berat dua kilogram dan mampu membesar sehingga 38 kilogram.
Di Malaysia, ikan kap India ini turut dikenali dengan nama karak oleh warga tempatan. Namun, identiti ikan karak ini sering mengelirukan khususnya kepada pemancing dengan ikan kap Siam. Sekali pandang, ciri-ciri ikan Indian carp dan Siamese carp sememangnya boleh mengelirukan kerana memiliki skala dan bentuk badan yang hampir sama.
Namun ikan kap India ini boleh dibezakan dengan ikan kap Siam melalui ciri-ciri sirip pektoral (sirip atas badan) yang panjang sehingga ke sirik pelvik (sirip ekor). Sementara sirip pektoral ikan kap Siam lebih pendek. Seperkara lainnya, mulut ikan kap India jauh lebih kecil berbanding mulut ikan kap Siam.
Melalui perkenalan ini dapat dijelaskan bahawa kebanyakan ikan karak yang terdapat di beberapa buah kolam pancing komersial air tawar di Malaysia ini sebenarnya adalah merujuk kepada ikan kap India dan bukannya ikan kap Siam.
Sementara ikan temoleh yang merupakan ikan kap tempatan terbesar, morfologinya tidaklah terlalu mengelirukan berbanding Siamese carp dan karak.
Saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap landing di pinggir air. Di dada langit, bulan mengambang penuh. Awan pada malam itu tidak sepekat mana. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, cukup untuk menjadikan badan dan mata saya segar sepanjang malam.
Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam, air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.
Saya melabuhkan punggung di satu kawasan lapang yang sedikit berpasir. Tidak jauh daripada saya, dalam jarak 50 meter, Nasrul dan kawan baiknya Bahtiar juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa.
Sejak petang tadi, kami bertiga memang sudah berjanji untuk memancing di lombong terbiar berdekatan dengan kawasan Sidam Kiri ini.
Dikatakan sekarang adalah musim ikan kaloi dan haruan. Setakat dua, tiga kilo beratnya sudah menjadi perkara biasa penduduk sekitar mendapatnya. Itu yang menyebabkan saya, Nasrul dan Bahtiar geram mendengar cerita-cerita begitu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk memancing di sebelah malam.
Dengan berbekalkan umpan anak ikan, katak, cengkerik dan cacing, kami bertiga mencuba nasib di lombong seluas dua ekar ini. Tidak jauh dari saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya.
Umur sebenar pokok itu tidak diketahui, cuma apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya. Jentolak rosak, pemandu jentolak jatuh sakit, hujan ribut dan sebagainya. akhirnya pokok sena yang mempunyai banyak akar berjuntaian itu dibiarkan begitu saja kerana dikatakan berpuaka.
Sesekali mata saya pasti melirik ke situ. Sebagai pemuda yang dilahirkan dalam zaman merdeka dengan usia baru mencecah usia 25 tahun, saya kurang percaya dengan cerita-cerita misteri begini. Dalam zaman yang serba moden ini mana ada hantu atau jembalang.
Semuanya mainan perasaan manusia itu semata-mata apatah lagi saya merupakan graduan dalam tahun akhir bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan.
Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Saya mengucapkan syukur, Alhamdulillah ini rezeki pertama setelah lima belas minit menunggu.
Dari jauh, saya lihat Bahtiar dan Nasrul juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.
Setelah memasang umpan anak katak pada mata kail (dengan harapan kali ini haruan pula yang akan menyambarnya) tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali.
Seperti dua orang budak kecil yang bermain kejar-kejar sambil mengacah sesama sendiri. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu. Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas.
Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi. Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Gelagat Bahtiar Dan Nasrul tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi (sebenarnya umpan saya sedang dimakan ikan). Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.
Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.
Perasaan saya menjadi semakin geram dan tidak sabar. Dalam otak hanya satu yang saya fikirkan, saya mesti berjaya menangkap kedua-dua ikan putih ini untuk ditunjukkan pada kawan-kawan dan sanak saudara.
Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.
Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!
“Iqbal…Iqbal….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.
Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!
Nasrul datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Bahtiar, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.
Kejadian ini berlaku beberapa tahun lepas. Walaupun diuji begitu, saya tidak serik untuk ke lombong itu lagi. Setiap kali turun ke Teluk Intan, saya pasti akan memancing di situ. Cuma kali ini saya memancing pada sebelah siang sahaja. Sebelum waktu Maghrib tiba, saya pasti akan angkat kaki dari situ.
Ikan lain ialah layaran, yang selalu dilihat melompat berulang-ulang kali. Namun layaran dikatakan melakukan sedemikian untuk tujuan menakutkan dan mengepung mangsanya.
Bagaimana pun keterangan ini tidak boleh diterima pakai untuk belanak, kerana dietnya terdiri dari bahan organik reput dari dasar muara.
Dari pemerhatian yang lebih terperinci, lompatan belanak didapati cukup tersendiri. Lazimnya ia bukanlah satu gesaan untuk terbang keluar, sebaliknya satu perbuatan
bermalas-malasan dan perlahan. Kadangkala ikan ini sekadar menujah kepalanya ke permukaan air.
Jadi apakah alasan yang munasabah tentang sifatnya itu? Mungkin bertempiaran lari dari pemangsa seperti siakap, senangin, siakap merah atau sebagainya.
Tetapi andainya angkara pemangsa, pasti keseluruhan kumpulan akan melompat bersama-sama dalam keadaan panik yang ketara.
Bahkan jika lari dari pemangsa sekali pun, tentu ia akan melompat berulang kali bukannya sekejap-sekejap.
Ada beberapa teori dari pemancing yang agak melucukan. Misalnya, oleh kerana belanak sering berenang dalam air berkeladak, maka mereka kerap melompat untuk mendapatkan
bearing dan melihat ke mana mereka pergi! Ada juga yang menyifatkan sang belanak itu ingin bersuka ria.
H.D. Hoese, seorang ahli biologi yang berjaya mencari jawapan mengapa belanak suka melompat dalam subtajuk. ‘The Diving Bell Hyphothesis.’
Dalam kajiannya itu, beliau mendedahkan bahawa belanak jenis Mugil cephalus ini mempunyai ciri fizikal yang agak unik.
Di belakang tekaknya terdapat satu ruang menganjur yang dibekalkan dengan banyak saluran darah. Selalunya bila banyak saluran darah, bermakna banyaklah pengangkutan gas.
Jadi dalam kes ini, ianya diteorikan (tetapi tidak dibuktikan) bahawa ruang yang sungguh bervaskular itu bertindak sebagai tambahan kepada respirasi insang, yang membekalkan
oksigen kepada rangkaian sistem darah. Ianya dipanggil organ ‘pharyngobranchial’ (secara ringkasnya, ‘insang tekak’). Maka dijangka bahawa lompatan atau tujahan belanak itu
sebenarnya untuk `meneguk’ udara, dan oksigen diekstrak oleh organ respirasi tambahan tersebut.
Teori ini lebih logik, kerana belanak meluangkan banyak masanya menapis makanan melalui kelodak dan lumpur organik di dasar muara, di mana tahap oksigen selalunya sangat rendah.
Oleh itu, apabila ada gesaan untuk ia memerlukan lebih banyak rangsangan oksigen. Belanak naik ke permukaan untuk menghirup udara dan turun semula seperti loceng yang timbul dan tenggelam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...