Memancing secara solo memang seronok tetapi jika memancing secara beramai-ramai menambahkan lagi keseronokannya.
Sesi memancing secara beramai-ramai atau lebih popular dengan istilah KOMPLOT semakin mendapat tempat di hati pemancing ketika ini.
Dari sudut jenis pancingan nyata para penggemar pancingan kolam komersial lebih sinonim dengan acara komplot. Pelbagai kelab memancing kini mengadakan komplot tersendiri.
Namun dalam pada seronok berkomplot, beberapa perkara haruslah dikaji supaya aktiviti komplot ini berjalan lancar dan menyenangkan hati semua pihak yang terbabit.
IKUT TEMA
Sempena Hari Raya, lazimnya ahli komplot diminta memakai kod pakaian hari raya. Senang cakap berbaju Melayu.
Jadi, sebaiknya bersikap sporting dengan berpakaian mengikut tema. Barulah komplot nampak meriah sekaligus membezakannya dengan komplot-komplot biasa.
Ads
PATUHI WAKTU
Sekiranya waktu komplot jam 10 pagi, sebaik-baiknya setengah jam awal sudah pun sampai di lokasi komplot.
Kalau tidak dapat menepati waktu sekali pun tak mengapalah jika lewat sedikit. Asalkan jangan komplot dah nak tamat barulah nampak muka.
HORMATI PERATURAN MEMANCING
Banyak juga berlaku kejadian bila buat komplot, dirasakan kolam pancing tu macam dia yang punya.
Main belasah je langsung tak ikut peraturan dan syarat memancing yang ditetapkan oleh pihak kolam.
Ads
SPORTING BEKERJASAMA
Komplot ertinya bergabung melakukan semua perkara bersama-sama. Kalau perlu menyediakan makanan atau memasak maka lakukanlah bersama.
Begitu juga dengan sikap sporting ketika memancing. Kalau tak boleh nak sporting dan kerjasama, baik jangan join komplot.
Ads
KURANGKAN SESI MEMBAHAN
Sesi memancing sememangnya acara wajib apabila melangsungkan komplot. Apabila memancing maka tidak lari daripada kemungkinan gagal atau kumpau.
Kalau korang tak kumpau atau menggasak, janganlah membakar rakan-rakan yang membangau berlebih-lebihan. Berpada-padalah.
ELAK JUDI
Komplot yang berlangsung dengan bersih boleh bertukar menjadi komplot haram apabila dibabitkan dengan unsur judi.
Biasalah… tak seronok memancing kosong katanya. Bila ada yang melambung `salam 10’ dan ada pula yang menyahut maka jadilah perjudian.
Apa pendapat anda? Ayuh komen dan share artikel ini jika anda suka berkomplot.
Jangan lupa Like, Follow & See First Facebook Majalah Umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Seekor ikan rohu anggaran berat dalam 4 kg berjaya diheret ke tebing. Hasil ketiga yang tumpas di tangan saya lewat petang itu. Seekor lagi berjaya memutuskan tangsi dengan menyusup masuk ke dalam kawasan keladi bunting.
Satu pencapaian peribadi yang baik untuk saya. Manakala Faizal berjaya menewaskan dua ekor jelawat. Hairul pula seekor jelawat serta seekor rohu.
Kedengaran sayup-sayup dari kampung berdekatan suara orang mengaji. Bermakna beberapa minit lagi azan maghrib akan dilaungkan. Kami mengemas barang dan masukkan dalam bonet kereta.
Setelah memastikan tiada lagi barang yang tertinggal, saya terus memandu keluar dari kawasan lombong menuju simpang kampung di mana Hairul meletakkan motosikalnya.
Selesai solat maghrib di surau, saya menghantar Faizal ke rumahnya terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah bujang saya. Dua ekor ikan hasil pancingan saya disedekahkan kepada Faizal memandangkan dia mempunyai ‘keluarga besar’.
Baki seekor lagi sudah cukup bagi saya untuk dibakar sebagai juadah malam nanti bersama rakan-rakan bujang.
Kereta Myvi saya pandu perlahan. Jalan kampung yang muat untuk sebuah kereta sahaja dan laluan yang bengkang-bengkok merbahaya jika memandu laju.
Lagi pun saya tidak berapa biasa dengan laluan tersebut. Termasuk yang ini, baru kali kedua saya melaluinya. Ada satu lagi jalan baru yang lebih luas tetapi jauh.
Memandu bersendirian, melayan lagu sambil teringatkan aksi pecutan ala torpedo rohu lombong petang tadi. Memang seronoklah. Kalau ada kesempatan mahu saya turun lagi ke sini.
Dumm!
Terkejut dan serta-merta kaki menekan brek. Lampu tinggi saya pasang. Saya terlanggar sesuatu. Lima belas kaki di hadapan kereta berhampiran jambatan kayu, saya lihat seseorang terbaring di dalam semak.
Menggelabah dan berdebar-debar. Saya bergegas keluar. Masih terpinga-pinga, saya meluru ke arah semak. Kaki dan tangan saya menggeletar.
Seingat saya tidak ada sesiapa tadi di tepi jalan atau melintas jalan. Apakah saya tidak perasan atau fikiran jauh melayang. Rasa bersalah menyelubungi diri.
Menyesal pun ada. Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30-an bangun sambil mengibas-ngibas kain membuang rumput dan ranting kayu yang melekat.
“Kak… teruk ke kak? Saya tak nampak tadi. Maaf kak.. maaf,” Kelam-kabut saya dibuatnya. Yalah aku langgar orang. Kalau langgar kucing pun kita sudah rasa tidak keruan.
“Tak apa, sikit saja dik… tak apa.” Sambil tersenyum wanita itu mula melangkah.
“Err..kak, saya hantar kak ke klinik. Kat mana klinik yang dekat?”
Wanita itu terus melangkah. “ Tak apa, rumah akak seberang jalan sana saja. Akak tak apa-apa. Adik baliklah…”.
Setelah tiga hari peristiwa tersebut saya bercadang pergi ke tempat kejadian mencari rumah kakak tersebut untuk menziarahinya. Jauh tempat kejadian dengan rumah bujang saya, kira-kira satu jam perjalanan.
Sebaik sampai di jambatan kayu tersebut, saya terlihat seorang lelaki sedang menangguk anak udang. Saya berhentikan kereta.
Saya bertanyakan lelaki berkenaan perihal wanita yang saya terlanggar beberapa hari lalu, mungkin dia mengenalinya.
Menurut apa yang lelaki itu beritahu saya, rumah wanita yang di seberang jalan itu sebenarnya kawasan tanah perkuburan Islam kampung berkenaan. Tiada rumah di kawasan itu.
Berderau darah saya. Kejadian malam itu sepantas kilat terbayang di depan mata. Patutlah kakak itu bangun selamba tanpa sebarang kecederaan dan kenapa saya boleh tidak perasan, kainnya langsung tidak koyak sedikit pun! Malam itu saya macam terpukau.
Lelaki itu memberitahu saya, pada awal tahun 80-an wanita itu mati dibunuh oleh bekas kekasihnya.
Mayatnya dicampak ke bawah jambatan dan penduduk kampung sering bertembung ‘wanita’ berkenaan di sekitar jambatan ini. Seram sejuk tubuh saya mendengarnya. Tergesa-gesa saya meminta diri.
Pada mulanya saya bercadang untuk terus pulang. Teringat pula si Hairul yang rumahnya hanya sekitar 15 kilometer sahaja lagi ke hadapan. Saya terus memandu menuju ke rumah Hairul.
“Lama dah kau tak datang ke mari, apa khabar?,” Soalan cepu emas daripada emak Hairul sebaik saya melangkah masuk ke ruang tamu.
“Saya macam ni lah mak cik. Mak cik sihat?” Memang betul. Hampir 6 bulan saya tidak ke rumah Hairul
“Makcik sihat. Sihat orang tua”. Ujar mak Hairul sambil melangkah ke dapur.
Sedang rancak bercerita kisah-kisah memancing, saya teringat hendak memberitahu Hairul apa yang saya alami sewaktu pulang dari memancing rohu tempoh hari.
“Nasib baik ada lelaki di jambatan tadi yang memberitahu aku siapa sebenarnya ‘kakak’ tu”.
“Ada lelaki dekat jambatan?” Emak Hairul yang menghidang air kepada kami tiba-tiba menyampuk.
“Ya mak cik. Lelaki kurus, rambut kerinting. Tinggi tak tinggi sangat, lebih kurang tinggi saya. Kenapa mak cik?.
“Itu suami perempuan tu. Dia pun sama kena bunuh sekali dengan isteri dia. Dua-dua dicampak ke bawah jambatan kayu tu” jelas mak Hairul.
Herkkk! Astaghfirullah…!
“Hairul, aku beransur dululah. Nak rileks kepala aku ni. Malam tu jumpa kakak tu, pagi tadi jumpa suami dia pulak! Berat… berat!”.
Saya meminta izin pulang kerana kepala sudah mula serabut dengan dua kejadian yang menimpa saya tanpa diduga.
“Kau nak ikut jalan kampung ke jalan baru?”
“Kau hulur seratus pun aku tak akan lalu lama tu. Kalau kau ikut sama, boleh”.
Sepanjang perjalanan, kejadian pagi tadi dan malam jumaat tempoh hari bermain di fikiran. “Patutlah tiada kesan calar atau kemek pada bumper depan…” bisik hati saya.
Hari ini, sekiranya melepaskan kembali hasil tangkapan, tanpa mengira apa juga spesies ikan, sama ada ikan tempatan atau pendatang, anda akan dianggap sebagai idola.
Sebaliknya, jika anda mengamalkan konsep `take away’ atau tangkap dan bawa pulang, maka anda akan dicop sebagai pemusnah sumber walaupun tujuan anda memancing adalah untuk mencari sumber protein.
Sejak dari dulu lagi pemancing di negara kita terbahagi kepada beberapa kategori.
Ada yang memancing untuk kepuasan diri semata-mata dengan mengamalkan dengan konsep tangkap dan lepas sepenuhnya.
Ada yang memancing untuk kepuasan diri juga tetapi hasil tangkapan akan dinilai dahulu sama ada untuk dilepaskan kembali atau dibawa pulang.
Dan ada juga yang memancing untuk menyara hidup di mana hasil tangkapan akan dibawa pulang sama ada untuk dimakan atau dijual.
Berbanding ketiga-tiga kategori ini boleh dikatakan golongan pertama tidak akan sebulu dengan pemancing golongan ketiga.
Amat pantang bagi mereka untuk melihat hasil tangkapan ditapau. Apabila peratus ikan di sesuatu lubuk itu merudum maka golongan ketiga inilah yang akan menjadi kambing hitam.
Untuk mengetahui anda berada di dalam kategori yang mana, kami sediakan foto ikan sukan yang ditapau untuk melihat respon dari para netizen.
Respon Netizen :
“Sebagai pemancing saya tengok dulu ikan tu dari kolam komersial atau liar. Tapi tak ada ulasan lanjut. Jadi gambar tu sekadar gambar ikan toman.”
“Maaf. Ni dipanggil rakus. Over fishing. Apatah pula spesis yang menjadi kegilaan sport anglers. Ambil yang perlu. Release yang selebihnya. Catch-Photo-Release. A true sport anglert motto.”
“Kadang-kadang angler pun selfish jugak. Seronok layan tarik ikan tapi tak pernah fikir betapa seksa ikan tu bila kena mata kail. Dapat ikan tu rezeki. Bila dapat dilepas balik…
seolah tolak rezeki. Kepupusan ikan bukan disebabkan memancing atau memukat tapi faktor pemusnahan habitat.”
“Come on lah… give some. Biar dia berpeluang untuk membiak… kang anak cucu tak kenal baka ikan apa suatu hari nanti.
“Macam baru ambil dari kolam ikan jer… spesies pun satu jer… saiz pun hampir sama… pendapat aku jer. Jadi aku tak rasa nak komen atau kecam sesapa.”
“Kepupusan kitaran hidup. Kalau zaman ni ada dinosaur pun boleh habis kena bedal dengan manusia.. rakus. Rakusnya manusia zaman ni.”
“Bagi saya sebagai seorang pemancing, tolonglah cacth n release semula ikan yang tu. Setakat sekor dua boleh la bawak balik. Tapi ni dah melebih!”
“Orang cari rezeki kot tu… kita ni mancing untuk kepuasan je. Jadi bersyukurlah dengan nikmat yang diberi. Tak perlulah kita nak berlebih-lebih dalam segala hal.”
“Alaa sungai besar… ikan pun banyak. Ikan beranak bukan seekor dua… jadi tak payahlah nak takut pupus. Setakat memancing ni tak pupusnya ikan.”
“Jangan la buat mcm ni… bagi la kita ni merasa tarikan toman monster ni… kita ni belum ada lesen toman lagi.”
“Esok-esok anak cucu tengok toman melalui gambar je la… sungguh menyedihkan!”
“Nak mancing dan bawa balik itu tak kisah. Tapi kenali erti ‘bag limit’ dan bawa balik saiz ikan yang sesuai, bukan saiz induk dan bukan saiz yang terlalu kecil.”
Dalam industri perikanan, spesies lampam boleh dikatakan agak penting dalam beberapa cabang perikanan.
Secara tradisional, spesies lampam mempunyai kepentingan yang agak tinggi bagi komuniti pinggir bandar.
Komuniti yang menjadikan spesies lampam sebagai salah satu ikan target ialah komuniti pemancing sara diri atau subsistence anglers.
Berbeza dengan pemancing rekreasi, pemancing sara diri bermaksud komuniti ini menangkap sesuatu spesies ikan untuk keperluan harian, terutamanya sebagai sumber makanan.
Selain itu, spesies ini juga mempunyai kepentingan dalam perikanan komersial dan akuakultur.
Jasanya spesies lampam diternak dalam skala yang besar untuk tujuan sumber makanan kepada komuniti setempat.
Dalam sektor perikanan ikan hiasan juga, spesies ini merupakan antara spesies ikan popular dan mudah didapati di kalangan kedai ikan hiasan.
Disebabkan spesies ini gemar berenang berkumpulan, biasanya lampam akan ditempatkan dengan sekumpulan lampam yang lain di dalam akuarium.
Malah spesies ini antara spesies ikan yang tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi jika dibela.
Dalam pancingan sukan sekali pun, selain dipancing untuk dimakan, spesies lampam yang bersaiz kecil juga boleh dibuat umpan untuk menjerat pemangsa yang lebih besar.
Anak lampam adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat baung besar, toman, mahupun sebarau.
Kebanyakan orang, lampam nungkin sekadar spesies biasa-biasa sahaja, namun pancingan lampam yang ringkas dan santai mampu mendatangkan riuh rendah jika dilakukan secara berkumpulan.
Bahkan, di sesetengah tempat, lampam sungai terutamanya bersekolah cukup tinggi. Ibarat jinak di depan mata, pandai mencuri umpan, tetapi sukar untuk menangkapnya.
Jika kunjungan trip pancing ke tasik-tasik utama di Malaysia seperti Tasik Kenyir di Terengganu atau Royal Belum di Perak, kaki pancing semestinya meletakkan keazaman yang tinggi untuk menjerat spesies toman dan sebarau.
Bagi kaki trekking pula, spesies pujaan semestinya si raja sungai iaitu kelah dan juga peragut malam iaitu baung.
Iyalah, trip-trip sebegini apatah lagi ke tasik utama yang terkenal di kalangan kaki pancing wajib untuk menyenaraikan ikan target yang bernilai tinggi baik dari segi kekuatan pertarungan mahupun nilai ikan target yang rare untuk dipancing serta sedap dimakan.
Begitu pun, dalam kesibukan memburu ikan gred A, kunjungan ke tasik utama tidak sah jika tidak melayan keseronokan spesies lampam.
Pancingan lampam di tasik utama lebih santai malah teknik pancingan juga lebih santai, ringkas dan minimalis. Pancingan yang santai sebegini memang menghiburkan apatah lagi jika aktiviti tersebut dilakukan beramai-ramai. Riuh boathouse dibuatnya.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...