Kita mungkin pernah mendengar pelbagai jenis fobia ataupun rasa takut terhadap sesuatu. Walaupun jarang kedengaran wujudnya kes takut terhadap ikan, kewujudan fobia ini tetap ada. Terma khusus bagi fobia ini dikenali sebagai ichthyophobia.
Ichthyophobia merujuk kepada beberapa fenomena fobia terhadap ikan seperti perasaan takut memakan ikan ataupun takut terhadap ikan yang telah mati. Galeophobia pula merupakan terma khusus yang merujuk kepada perasaan takut terhadap jerung.
FOBIA TERHADAP IKAN
Ads
Kes ichthyopobia merupakan kes fobia luar biasa yang jarang berlaku seperti yang dihuraikan di dalam naskah Psychology: An International Perspective. Menurut John B. Watson, seorang pakar psikologi, terdapat kes luar biasa di mana seseorang individu mempunyai rasa takut atau fobia terhadap ikan emas.
Kes fobia terhadap ikan ini telah mampu diatasi dengan terapi yang dikenali sebagai graduated exposure theraphy di mana pesakit didedahkan kepada interaksi dengan ikan secara perlahan-lahan.
Ads
FOBIA MEMAKAN IKAN
Ads
Menurut Journal of the American Medical Assosiation, terhadap kajian dikeluarkan berkaitan rasa takut memakan ikan. Rasa takut memakan ikan ini boleh berlaku akibat daripada pernah memakan ikan yang telah tercemar. Contohnya akibat daripada kandungan merkuri yang terkumpul dalam ikan.
KES ICHTHYOPHOBIA
Antara kes popular bagi fobia terhadap ikan ialah yang pernah diceritakan oleh pemain bola sepak terkenal Itali iaitu Paolo Di Canio. Di dalam autobiografinya, Paolo Di Canio ada menyebut tentang rakan sepasukannya iaitu Peter Grant yang mengalami kes fobia terhadap ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahun 1995 hingga 1998 adalah tahun saya kemaruk dengan aktiviti memancing. Maklumlah waktu tu jadi guru banyak masa senggang. Waktu petang boleh buat macam macam aktiviti. Lebih-lebih kalau duduk di Saratok. Boleh mengail udang di pangkalan.
Waktu itu juga kawan-kawan Iban sering mengajak saya memukat di Alit. Pantai Alit yang agak landai memang menjadi lokasi memukat anak belanak atau disebut orang tempatan ikan kemura. Selain anak belanak kadang udang laut (lapis/tohey) juga mudah sangkut.
Saya masih teringat lagi saat air surut kami dah mula mencacak kayu atau buluh di pantai. Selepas jaring diikat pada kayu atau buluh tadi. Kami akan menunggu saat air pasang. Waktu itu kami tak hanya berdiam diri. Maka masing-masing mencapai joran dan melabuhkan kail dan ladung sambil menanti pari merenggut umpan.
“Woii! Dapat woiii!” jerit Cikgu Zul bila jorannya direntap sesuatu. Sambil melayan kekili, Cikgu Zul menarik sedikit demi sedikit tali jorannya. Meskipun mula-mula ikan melawan tapi akhirnya tewas juga ditarik ke daratan. Ternyata bukan pari tapi sembilang.
Bila air mula pasang… saya, Cikgu Zul dan Cikgu Wan mula meninjau pukat. Banyak juga anak belanak sangkut dipukat. Cikgu Zul memang peminat ikan belanak.
“Ni kalau masak steam sedap ni, Zal.” kata Cikgu Zul.
Selesai memukat saya menyimpan pukat di dalam bonet Kancil. Masing-masing pulang ke rumah. Namun pada waktu malam ada ‘pelawat’ datang menjengah di rumah mertua tempat saya menginap.
Ia disedari oleh orang kampung yang nampak sebiji bebola api berlegar di atas kereta saya. Saya juga perasan bila terdengar bunyi kicauan murai dan tekukur di tengah malam agak riuh.
Saya pun turun ke bawah rumah. Kelihatan beberapa orang kampung datang membawa lampu suluh. (maklumlah waktu itu kampung Nyabor masih menggunakan generator).
“Ado antu laut dibah yo… tapi dah lari dikepong kamek orang.” Kata seorang jiran tidak jauh dari rumah.
Keesokan paginya 5 ekor bangkai tekukur peliharaan adik ipar mati dalam keadaan dadanya berlubang.
“Apa kitak polah ari marek cikgu?” Tanya seorang penduduk.
“Kamek memukat jak. Dapat ikan murak dan lapis. Pas ya kamek pulang,” jawab saya.
“Ni pukat tek?” Soal beliau kembali.
“Ado dalam bonet,” jawab saya.
“Sik dicuci?” tanya beliau lagi.
“Sik…” jawab saya pendek.
“Yasullah. Patutlah diagak antu kitak tok… (patutlah kamu di kejar hantu) rupanya pukat sik dicuci.”
“Manalah saya tahu…” jawab saya tersengih.
Saya membuka bonet. Terkejut sungguh bila pukat saya penuh dengan sampah, daun kering dan tulang ikan.
Saya dan penduduk kampung mengutip semua sisa yang terlekat dipukat dan dibawa semula ke pantai Alit untuk dibuang.
Sejak itu saya tak berani lagi kelaut. Rasa cuak bila dikejar penunggu laut. Bila gian nak mengail. Saya hanya mengail haruan di parit sahaja.
Peningkatan jumlah pemancing dalam pelbagai terma memancing terutamanya dalam segmen jigging laut dalam secara tidak langsung menuntut lebih ramai operator sewaan bot sebagai tekong.
Pendapatan yang memberangsangkan sebagai tekong juga menyebabkan ramai yang menjadi tekong bidan terjun. Oleh yang demikian beberapa kriteria perlu ada bagi mengekalkan kerjaya sebagai tekong.
Minat Memancing
Pertama, mesti ada minat dan pandai memancing. Ini kerana kebanyakan pemancing yang menyewa dengan tekong yang sekadar bawa bot, biasanya pulang dengan hasil yg kurang memberangsangkan. Memanglah rezeki dari Allah… tetapi kalau kita sekadar berserah tanpa berusaha bersungguh-sungguh, mungkin hasilnya juga akan kurang.
Spot Memancing
Kedua, sebagai tekong juga… dia mesti arif dengan lokasi atau spot memancing. Bukan sekadar bawa saja. Jadi, dialah yang patut memberi tunjuk ajar bagaimana ingin menjinakkan ikan di kawasan tersebut. Pemancing yang menyewa mungkin tidak tahu spesies apa yang ada di kawasan itu. Contohnya kawasan dasar berlumpur atau berbatu, unjam atau tukun tiruan.
Jadi, tekonglah perlu memainkan peranan penting dalam hal ini kerana setiap spot itu mesti ada kelainan dan cara menjinakkan spesies target juga berbeza.
Rajin & Peramah
Ketiga, tekong mestilah peramah dan ringan tangan. Kadang-kadang dalam satu group memancing di laut, tak semua akan memancing. Percayalah… ada yang ambil bahagian dalam acara tidur separuh masa, tidur sepenuh masa ekoran mabuk laut.
Apabila crew mempunyai masalah untuk mengikat mata kail, membuang ikan, dalam keadaan mabuk laut, tekong mesti cepat mencuri hati crew kerana selalu menunduk di atas bot yang asyik bergoyang membuatkan lagi bertambah mabuk. Jadi, tolong ikat mata kail, buang ikan apa salahnya, kan?
Bertolak ansur
Keempat, bertolak ansur terutama mengenai bayaran sewa bot. Memanglah kita berniaga, semua orang nak untung, kan? Tetapi janganlah sampai membebankan penyewa. Bagi saya, ramai kawan itu lagi bagus. Kalau cuaca tak berapa cantik, spot pun tak semua boleh sampai.
Hasil pun kurang, apa salahnya sebagai tekong kita bagi diskaun sikit. Tu cara berkawan dalam bisnes. Next time dia cari kita lagi kalau nak pergi memancing.
Gajet lengkap
Kelima, last skali wajib ada sonar, GPS dan kelengkapan yang berkaitan kerana alatan ini amat penting. Sebagi contoh kita nak jalan pada waktu malam, memang kekadang kita boleh sampai ke sesuatu destinasi tapi banyak halangan. Lebih baik sediakan lampu suluh. Perjalanan lancar, jalan lagi terang. Sama juga situasi di laut. Kawasan ikan senang dikesan dan kawasan spot pon sama.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...