Penulis bukan di kalangan pemancing layang. Namun, penulis tidak menafikan yang penulis begitu tertarik dengan kekili daripada Tibor. Tibor mempunyai rekaan kekili yang sangat cantik dan unik. Bukan sahaja dari segi rekaan luaran, malah ramai pemancing percaya dengan binaan dan kualiti Tibor. Memang mempunyai tarikan seni tersendiri.
Evotec CLWC diperbuat daripada bahan komposit yang lut sinar. Selain rekaan kekili fly yang unik, anda dapat melihat tali yang keluar dan masuk ke kekili Evotec ini. Kekili ini bukan antara yang termahal, namun begitu unik sekali. Loop mempunyai barisan kekili yang cantik dan Evotec layak untuk berada dalam senarai ini.
Abel menawarkan rekaan kekili yang jarang dilihat. Rekaan kekili Abel dibuat dengan tangan dan rekaan badan melalui proses artistic metallurgical istimewa. Apakah maksudnya? Ini bermaksud anda akan mendapatkan sebuah kekili yang sangat unik di mana sebuah kekili yang mempunyai rekaan paten seperti konsep ikan kegemaran anda.
Ads
Rekaan unik, futuristik daripada Ari’s Hart sangat mengagumkan. Hart merupakan satu-satunya pembuat kekili yang ditawarkan tempat untuk mempamerkan kekilinya dalam Architecture and Design Collection di Museum of Modern Art, New York. Kekili ini didatangkan dengan direktori pemasangan namun Exclusive Reels menyarankan pemasangan dilakukan oleh pemasang bertauliah.
Dengan paten ‘maintenance-free drag system’ dan rekaan yang menonjol, kekili ini mempunyai tarikan tersendiri. Kekili ini dihasilkan daripada material aluminium 6061-T6511, stainless steel dan titanium, bayangkan betapa kuatnya senjata ini. Kombinasi warna badannya juga membuatkan kekili ini kelihatan bergaya dan mewah.
Ads
Kekili Ito mula dikeluarkan pada 2003 dengan jumlah yang terhad. Kekili ini direka oleh Mr. Yuki Ito, pengasas dan ketua pereka bagi Megabass. Rekaan yang teliti dan kualiti kekili ini memang mengagumkan cukup popular di kalangan kebanyakan pemancing tempatan dan seluruh dunia.
Kekili Accurate direka oleh kumpulan yang pakar dalam kejuruteraan berteknologi tinggi yang asalnya mereka turbin enjin jet. Jadi apakah hasilnya jika mereka mereka sebuah kekili? Ya, kekuatan! Kekili ini mempunyai sistem revolusi ‘twin-drag system’ dan merupakan senjata terbaik anda untuk bertarung dengan spesies ‘monster’.
Ads
Revolusi daripada Shimano ialah sistem teknologi Digital Braking. Malah sistem DC mampu meningkatkan jarak balingan anda sehingga 40%. Dengan rekaan luaran yang menonjol dan teknologi DC, anda tidak pernah salah untuk memilih kekili ini.
Kekili daripada Quantum mempunyai rekaan luaran yang semakin unik kebelakangan ini. Rekaan kekili Quantum kelihatan elegan dan penilaian untuk prestasi kekili spinning daripada Quantum cukup membanggakan. Kelebihan bagi kekili ini ialah pada kekuatan badannya dan juga drag.
Kekili Zane Ti ibarat sebuah Bugatti Veyron. Kekili ini merupakan antara kekili termahal oleh kerana rekaan, kualiti prestasinya melawan spesies monster dan juga materialnya iaitu titanium. Apa yang melonjakkan nilainya lagi ialah kekili ini dihasilkan dalam jumlah yang terhad iaitu 100 buah sahaja.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kan Tang, sebuah daerah di wilayah Trang, selatan Thailand bukan sahaja popular dengan eko pelancongan, malah turut menjadi destinasi tersohor bagi kaki pancing domestik dan juga luar negara.
Malah pancingan laut dalam di Kan Tang turut tercatat dalam kalendar trip ramai pemancing dari Malaysia.
Kan Tang yang terletak di pesisir Laut Andaman sememangnya padang pancing idaman kaki pancing tanah air yang berhajat untuk menduga ikan-ikan mega bernilai tinggi.
Terutamanya ikan kerapu hitam gergasi atau giant black grouper dan ruby snapper. Ikan yang hanya ditemui di perairan kedalaman melebihi 150 meter dan tidak akan ditemui di perairan Selat Melaka.
Kebiasaannya musim memancing di sini bermula dari bulan September sehingga bulan Mac pada setiap tahun.
Justeru ia menjadi lapangan altenatif kepada penggemar pancingan laut dalam di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.
TRIP BERMULA
Kami bertuah kali ini kerana dapat mengikuti trip dan bergandingan dengan Abang Roslan selaku organizer trip dan Saudara Shahrizal sebagai jurupandu pancing.
Sebahagian dari kami masih newbie dan ia merupakan pengalaman baharu buat kami. Ia merupakan lapangan dan persekitaran memancing agak berbeza dengan padang pancing terdapat di Malaysia.
Penyertaan 14 orang pemancing dari pelbagai latar belakang memberi peluang untuk kami berkongsi ilmu dan pengalaman memancing masing-masing.
Perjalanan darat mengambil masa 9 jam yang memenatkan perlu diharungi dari Putrajaya untuk tiba di Kan Tang.
Sebelum memunggah naik barang dan peralatan ke bot, kami sempat singgah di kedai peralatan memancing setempat bagi mendapatkan stok wajib seperti perambut tangsi tahyul, tangsi biru Siam.
Tali tangsi ini sangat efektif dalam menjerat ikan kerapu hitam gergasi atau Lontang Andaman. Harganya amat ekonomi tetapi kukuh sekali gus menjadi pilihan utama.
Organizer mengesyorkan agar kami membeli stok tali tangsi ini bagi trip ini untuk dijadikan perambut utama.
Abang Roslan menyarankan agar menggunakan setting perambut apollo tali tangsi biru Siam berkekuatan 200lb dan dipadankan mata kail circle hook bersaiz 13/0 serta batu
ladung seberat 2kg hingga 3kg untuk pancingan dasar di lubuk berkedalaman 200 meter hingga 300 meter.
Penggunaan kekili elektrik atau lebih popular dengan gelaran`Bangla’ berkapasiti tali utama 500 meter ke atas adalah disyorkan.
Pelayaran bot ke lubuk mengambil masa 13 hingga 18 jam. Dalam perjalanan tersebut Tekong Pakdee akan berhenti di beberapa lubuk unjam bagi memancing umpan hidup.
Bot Tekong Pakdee dilengkapi pelbagai kemudahan keselamatan seperti terdapat 2 unit rakit keselamatan, jaket keselamatan, radio komunikasi dan telefon satelit sekiranya berlaku kecemasan di lautan Andaman.
Tekong Pakdee juga menyediakan empat orang awak-awak dan seorang chef untuk keselesaan pelanggannya sepanjang trip memancing ini.
Setibanya kami di lubuk yang pilihan, Tekong Pakdee memberikan isyarat agar semua pemancing menurunkan umpan di lubuk berkedalaman 250 meter.
Tanpa melengahkan masa kami menghulurkan umpan hirisan ikan tongkol. Tidak sampai 10 minit satu persatu set pancing kami dihenjut kasar oleh penghuni lubuk.
Seekor demi seekor ikan kerapu hitam gergasi berskala saiz 10kg hingga 30kg berjaya didaratkan. Sukar untuk kami gambar perasaan ketika itu.
Pada sebelah malam pemburuan gergasi hitam diteruskan. Penggunaan tanduk besi dua kaki panjang dan dipadankan dengan perambut tangsi 100lb ukuran antara 2 hingga 3
depa panjang serta batu ladung 1kg dan mata kail circle hook dicangkukkan umpan isi ikan tongkol. Umpan yang dilepaskan jauh ke lubangkerapu, disambut ganas.
Joran dihenjut, drag kekili elektrik dilaras ketat agar dapat melawan dan menarik keluar sebelum ia berjaya memasuki lubang batu karang yang tajam.
Seekor demi seekor lontang didaratkan dengan jayanya sekali gus telah memenuhkan tong ikan kami.
Ikan kerapu hitam gergasi atau lontang banyak mendiami lubuk karang berbatu yang dalam. Ia jenis yang tidak memilih umpan dan akan menyambar apa sahaja makanan melintas di hadapannya.
Justeru penggunaan batu ladung sehingga berat 2kg-3kg sangat penting bagi memastikan umpan dapat dilabuhkan tepat ke sasaran lubuk.
Namun lubuk tersebut turut dihuni ikan belut yang menjadi pengacau dan sering mencuri umpan kami serta merosakkan tali perambut kami.
Satu rahsia menarik mengenai lontang ini, walaupun rupanya tidak menarik tetapi isi dagingnya sangat lembut dan sedap. Harganya di pasaran juga tinggi. Maka tidak hairanlah ia menjadi buruan dan sasaran pemancing ke lautan Andaman.
Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.
Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.
Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.
Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.
Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.
Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.
Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.
Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.
SPOT JIGGING RINGAN
Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.
Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.
Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.
Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.
Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.
Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.
Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!
LUBUK RUBY DAN KERTANG
Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.
Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.
Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.
Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.
Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.
Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.
Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.
Walaupun dari pangkalan yang berlainan, namun kami terus berhubung dan bertukar maklumat mengenai koordinat memancing antara satu sama lain. Sehinggalah pada suatu ketika, kami mula merancang untuk memancing bersama dalam satu sampan.
Pertemuan pertama di atas bot milik beliau pada hari yang dijanjikan. Ketika saya bersama rakan pancing lain tiba di pangkalannya, beliau sedang menyiapkan peralatan di sampan. Tanpa berbicara panjang bot yang siap terus dikemudikan menuju ke lokasi memancing setelah semua perkakas pancing dan umpan siap diuruskan.
Sampan beliau mudah dikenali kerana ia paling panjang yang berada di pangkalan, dipacu oleh enjin kembar 150 kuasa kuda jenis Big foot. Sampan 33 kaki ini dilengkapi dengan tandas tertutup ditempah dari Ibrahim Fibre yang beroperasi berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Sementa, Klang.
Sesuai dengan muatan 6 orang pemancing tapi kalau berempat lebih selesa. Sampan ini turut dilengkapi dengan tangki bekalan air tawar 200 liter untuk wuduk dan kegunaan perkumuhan. Kapten Hj Khairi Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten sahaja cukup peramah.
Beliau adalah kaki pancing hardcore, pernah beberapa kali mengemudi sampan fiber miliknya dari jeti Sementa ke Pulau Jarak. Perkara yang jarang-jarang dibuat oleh kaki pancing sekiranya mengemudikan sampan. Kalau bot kayu lain cerita.
Antara destinasi popular beliau ialah Rumah Api Permatang Sedepa dan lokasi yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sebelum ini beliau banyak kali menyertai Labuan IGFA Game Fish di bawah label TEAM BUDU.
Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.
Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.
Yang diperolehi cuma ikan-ikan plata, umpan yang paling tidak digemari pemancing tetapi tidak buat kapten. Kemudian kami beralih arah ke tali sauh kapal dagang yang berlabuh sementara di sepanjang Pantai Kelanang.
Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.
Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.
Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.
Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.
Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.
Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.
Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas.
Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.
.
Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.
Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.
5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.
Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri.. Kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.
Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi.
Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.
Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.
Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.
Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.
Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.
Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.
Semasa karau umpan ke atas, tidak semena-mena satu lagi sambaran diterima. Talang penutup tirai memberi sedikit kelegaan sebelum kipas enjin sampan berputar ligat memacu sampan pulang ke tempat ia diparkir.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...