Beberapa tahun yang lalu, ajakan dari seorang rakan kerja untuk mengikuti pak ciknya memancing di Klang memang tidak saya lepaskan. Peluang sebegini memang datang hanya sekali sekala. Apatah lagi trip ini terdapat otai-otai yang turut serta.
Kami hanya memakai umpan udang hidup yang dibeli pangkalan jeti. Saya hanya membawa set pancingan ringan dan sederhana dari jenis seperti Toman X-Series dan Exori untuk joran, manakala Pioneer dan Abu Garcia untuk kekili.
Di lokasi pertama, ikan gelama mendominasi tangkapan dengan banyaknya. Puas melayan gelama, kami beralih tempat dengan harapan ada spesies lain yang boleh dipancing. Alhamdulillah kami berjaya mendapat tarikan dari pari, ketuka, malong, mengkerong, senangin, mayong dan ikan duri. Bersyukur saya dengan tangkapan yang diperolehi.
Ads
Sebelum pulang ke jeti, kami singgah di muara sungai untuk menghabiskan saki baki umpan udang hidup. Unggas dan nyamuk antara ‘rakan’ yang tidak diundang tetapi mereka tidak segan silu menghisap darah kami. Itu semua tidak mematahkan semangat saya.
Selang 30 minit kemudiannya, rod saya membengkok menandakan adanya sentapan dari ikan. Dengan berhati-hati, saya mengarau tali dan hasilnya seekor ikan daun baru. Dalam pada masa yang sama, terdengar satu kocakan air dan pak cik kawan saya memberitahu itu kemungkinan siakap yang mengejar anak-anak ikan.
Ads
Saya dengan segera mencangkuk umpan udang hidup dan membaling ke arah kocakan air tadi. Tidak sampai pun 10 minit, rod saya melentur kuat diselangi bunyi drag menandakan tali dipaksa keluar.
Walaupun menggunakan joran berharga ekonomi, saya cukup sayangkannya dan apa yang penting sekali, ia mampu menahan asakan dari makhluk air ini.
Tali semakin banyak keluar dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Apabila ikan keletihan dan timbul di permukaan air, dengan badannya yang berkilat, saya dengan spontan menjerit… siakap!
Ads
Ia merupakan rekod pertama kali saya mendapat siakap. Walaupun badan, kaki,dan tangan bengkak-bengkak dikerjakan oleh unggas dan nyamuk, tapi dengan tewasnya seekor siakap berskala 2.1kg, membuatkan saya cukup ceria malam itu.
Sampai di jeti pada pukul 3 pagi dan tanpa berlengah lagi saya terus memandu pulang ke rumah kerana pada pukul 8.30 pagi nanti saya terpaksa menjalani rutin harian sebagai seorang pekerja pejabat.
Badan letih adalah lumrah selepas memancing satu hari suntuk tetapi tangkapan yang dibawa pulang terutama tangkapan ’istimewa” pengubat kepada segala keletihan tersebut. Trip bersama otai-otai akan diulangi di masa depan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sekitar jam 7 pagi, konvoi sudah pun berada di kemuncak tertinggi di hutan simpan Hulu Lepar. Namun ia baru separuh perjalanan jalan balak sejauh 60 km. Cuaca yang amat baik melancarkan perjalanan konvoi. Trek hardcore hanya akan ditempuh apabila memasuki simpang ke Sanka 4 atau hulu Sungai Tekai.
Namun, perancangan memasuki hutan seawal jam 4 pagi yang disangka satu langkah bijak ternyata ke belakang juga. Kesan-kesan tayar yang masih baru di persimpangan ke Sanka 4 menunjukkan ada grup lain yang masuk lebih awal dari kami.
Umpama casting dengan menggunakan bot, apabila satu suak atau lubuk itu telah ada bot lain maka wajiblah beredar mencari suak lain pula. Begitulah juga hukumnya apabila Sanka 4 sudah dimasuki oleh grup lain maka tidaklah boleh kami redah juga.
Biarpun secara rohaninya trip ini berakhir, tapi alang-alang sudah jauh ke tengah hutan belantara, kami meneruskan perjalanan ke Sanka 3. Trek ke Sanka 3 merupakan jalan balak yang masih aktif. Meskipun kongsi balak di pinggir sungai utama iaitu Sungai Tekai sudah ditinggalkan namun kerja-kerja mengeluarkan kayu balak masih dilangsungkan.
Namun ketua konvoi memutuskan tidak mendirikan campsite di situ sebaliknya meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menemui anak Sungai Tekai dan di anak sungai dengan paras air setakat tulang kering itulah campsite didirikan!
Setelah mendirikan khemah dan mengalas perut, kurang satu perempat dari ahli trip yang merupakan ‘pemancing’ terpaksa kembali ke Sungai Tekai untuk ekspedisi memancing. Hazani, anak jati Lepar Utara yang merupakan guide kami meranduk ke hulu sungai manakala kami berlima meranduk mengikut arus sungai paling dalam separas paha ke hilir.
Hampir setengah hari mudik dan kemudian meranduk arus kembali tempat asal tanpa tidur pada malam sebelumnya maka dapatlah seekor kelah kurang dari setengah kg, kejor dan tengas sebesar empat jari dan beberapa ekor sikang dan sebarau dilepas dan terlepas kembali ke habitat asalnya.
Namun Hazani yang meranduk ke hulu seorang diri hampir 5 kilometer memperoleh hasil yang baik juga selamat dijadikan juadah kami pada senja tersebut. Hasil yang diperolehi oleh Hazani itu membuatkan kami sepakat untuk mendesak ketua konvoi bertukar campsite ke Sungai Tekai.
Namun apabila kami tiba di campsite, hasrat itu berkubur begitu saja apabila ditayangkan hasil menjala berdekatan campsite di anak sungai Tekai. Macam tak percaya juga ada kelah merah yang agak kasar juga di anak sungai tersebut. Mahu tak mahu, sungai separas tulang kering itu akan diranduk hingga ke hulunya pada keesokan harinya.
Walaupun ada ahli trip yang sudah putus harap namun ada pula ahli baru menyertai ekspedisi meranduk ke hulu anak Sungai Tekai. Bergerak secara berkelompok dan berperingkat, saya bersama seorang rakan bergerak dalam kelompok kedua terakhir.
Meranduk melawan arus sememangnya memenatkan apatah lagi jika hanya memakai sandal. Namun lebih memenatkan setelah setengah meranduk, tiada satu spot pun yang berpotensi untuk melontar gewang.
Sungainya terlalu mendatar tanpa lubuk dalam. Akhirnya setelah satu jam meranduk sungai dan menyusur tebing, saya mula hilang harapan untuk bertemu lubuk dan memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.
Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat berikutan laporan memberangsangkan selain kekecewaan yang dibawa pulang oleh kelompok pertama yang meranduk sehingga ke punca air anak sungai tersebut. Hampir 10 kilometer mereka redah namun tidak ketemu lubuk yang diimpi-impikan selain terkapar kepenatan.
Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada kepupusan `Raja Sungai’ iaitu spesies ikan kelah.
Atau dalam erti kata lainnya, walau apapun alasan yang diberikan, sedikit sebanyak kita sebagai pemancing merupakan penyumbang kepada kepupusan ikan kelah hari ini.
Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan
dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.
Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.
Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir.
Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.
Sama ada anda datang ke Tasik Kenyir sebagai pemancing atau pelancong, sewajarnya SIK di Lubuk Kejor, Sungai Petang disenaraikan dalam tentatif anda.
Pada dasarnya Santuari Kelah Sungai Petang ini dibina dengan objektif mengekalkan sumber akuatik dan bio diversity, menjadikan Sungai Petang sebagai pusat pembenihan
ikan, memulihara dan mengggalakkan pembiakkan spesis ikan asli Tasik Kenyir, membangun dan mempertingkatkan produk pelancongan berasaskan eco tourism serta memulihara alam sekitar bagi menentukan habitat ikan tidak tercemar.
Kehadiran kita ke SIK sebenarnya bukanlah tiket untuk memenuhkan tabung pihak yang mengusahakan santuari ini sebaliknya membantu populasi ikan yang kian terancam kepupusannya.
Hanya di sini sahaja pemancing atau sesiapa sahaja bukan sekadar dapat melihat malah menyentuh dan bermain-main dengan spesies raja air tawar iaitu kelah merah.
SIK Sungai Petang terletak di Sungai Petang dengan jarak sekitar 21 kilometer dari Pengkalan Gawi. Menaiki bot laju ia memakan masa sekitar 40 minit perjalanan ke Pos Kawalan Santuari Kelah Sungai Petang, seterusnya anda akan dibawa ke Hentian 1.
Dari Hentian 1 anda akan merentas denai dan meniti jambatan gantung dengan jarak sekitar 1.7 kilometer sebelum tiba ke lubuk untuk menimba pengalaman yang tak ternilai bermain dengan spesies idaman para pemancing satu Malaysia ini.
Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu.
Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).
Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda
tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.
Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari. Kuota 80 orang diberi
untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Trip yang dianjurkan oleh seorang kenalan dari sebuah kilang bersebelahan dengan Kompleks Kumpulan Karangkraf boleh disifatkan trip mengejut juga setelah notis pelawaan agak singkat. Geng pancing ini rata-rata baru belajar memancing dan peralatan yang digunakan adalah banyak ‘cap ayam’.
Soal peralatan bukanlah ukuran asalkan keinginan memancing adalah perkara pokok. Memandangkan tiada perancangan lain dalam waktu tersebut, persetujuan diberikan kerana trip ini boleh balik kampung sekali.
Kami berlima menggunakan khidmat tekong Othman yang berpangkalan di kampung Geliga berdekatan dengan Kuala Kemaman. Bot kayu uzur ini bersaiz 36 kaki memadai untuk grup yang kecil.
Malah kabin tidur hanya muat 2 orang pemancing kerana kabin bot tersebut disumbat dengan enjin generator. Yang tidur di kabin akan berdendangkan enjin generator sepanjang malam sambil menikmati bau asap yang sesekali menyelubungi ruang pernafasan.
Bergerak dari jeti selepas sarapan ringkas ke lubuk pancing kegemaran tekong yang memakan masa lebih dari 2 jam. Lubuk ini adalah kawasan tapak unjam berdasar keras di mana banyak bot pancing lain turut berada di sekitar lubuk.
Setelah membuat hentian sementara di unjam untuk mencari bekalan umpan, tekong meneruskan perjalanan untuk mencandat sotong terlebih dahulu.
Kami disarankan untuk mencandat sotong kerana kawasan tersebut sotong galak di siang hari. Sambil mencandat, aktiviti memancing sampingan turut dilakukan. Kerana ramai kurang berpengalaman mencandat sotong pada siang hari, tidak banyak yang kami perolehi tetapi sudah memadai untuk dijadikan umpan sepanjang malam.
Lewat petang sauh dibongkar menuju ke lokasi utama setelah hentian pertama tiada tanda-tanda ikan pemburu berkeliaran. Tak payah tunggu lagi kata tekong. Waktu kami tiba belum nampak lagi kelibat bot nelayan berhampiran, rasa was-was bermain di fikiran.
Ikan dah habis ke? Bila tanya ikan apa yang biasa dipancing di kawasan tersebut, tekong Othman yang sentiasa sengih selamba memberitahu ‘macam-macam ada’ kat sini.
Seperti biasa hirisan sotong segar dan ikan selayang menjadi pertaruhan. Dalam leka memancing layan akan-anak ikan kerisi dan tambak, sekali sekala sentapan mengejut mengena joran aksi sederhana.
Awal malam kehadiran kumpulan aruan tasik pula sering melenturkan joran. Puas melayan penangan aruan tasik lepas seekor demi seekor sampai kami kecoh dalam ruang bot yang sempit.
Tidak lama selepas itu spesies cobia ini mula menyepi walaupun dihidangkan dengan sotong cumit segar malah hidup lagi.
“Nak tengok pari besar?” suara awak-awak tekong memberi cadangan sambil memasang kepala sotong jarum yang paling besar.
Kami berehat sambil melihat sahaja awak-awak tekong menyediakan peralatannya memancing pari. Sambil menunggu elok juga alas perut dengan kari sotong ala kadar.
Tidak sampai 20 minit menunggu, tangsi koyan yang diselitkan pada kaki pembantu tekong Othman menegang keluar. Barulah nampak beliau membuka langkah bersilat menahan larian pari berkenaan.
Tekong Othman datang membantu, 2 lawan 1. Elok juga saranan untuk dipasang pada joran kami ditolak kerana pari bukanlah buruan utama kami bertandang ke mari.
Melihat cara mereka berdua bergilir melayan pari, masing-masing melonjak untuk melihat saiz pari yang memerlukan kederat 2 tenaga manusia. Hampir setengah jam mereka berdua layan barulah kelibat di permukaan.
‘Besornya’, bunyi yang terpacul dari mulut seorang dari rakan penulis. Nasib baik tak kena pada joran medium action, kalau kena jenuh mengepam pari ke atas.
Masalah kedua ialah untuk menaikkan pari ke bot. Tekong kemudian menarik perlahan-lahan pari ke arah hadapan bot tempat simpanan ikan bagi memudahkan ia dinaikkan dan di simpan. Tengok saiz kami anggarkan lebih dari 60 kg. Kalau saya pasti putuskan je pari kerana cukup faham masalah untuk menyimpan dan proses menyiang juga rumit.
Setelah selesai urusan mereka berdua, kami mengambil alih aktiviti memancing. Namun aktiviti memancing terpaksa berhentikan dahulu apabila hujan mula berderai.
Elok juga hujan memberikan waktu rehat walaupun dalam keadaan yang cukup tidak sempurna. Janji dapat berteduh dari kebasahan. Sakit badan bersesak dalam tirisan hujan sampai ke pagi.
Seawal pagi hujan kembali reda memberi peluang untuk kami memancing semula menghabiskan sisa-sisa waktu sebelum berangkat pulang. Sedang menyiapkan perambut baru, kedengaran beberapa ekor ikan meloncat dari permukaan air dari jauh.
Tenggiri! Dengan cepat perambut tenggiri dipasang berumpankan sotong jarum malam tadi yang di candat.
Dua kali sotong dilontar ke arah lokasi tenggiri meloncat, sambaran diterima tidak lama selepas umpan jatuh. Sayang ikan bijak dan mudah memutuskan perambut dawai 40lb yang digunakan.
Sambaran kedua mengalami masalah sama, beberapa saat larian, tali tiba-tiba sahaja kendur. Umpan hidup ketika itu tiada, jig juga tiada dalam list, terpaksa guna umpan mati yang ada. Tenggiri memilih sedikit pasal umpan di kawasan ini, hanya sotong yang masih bercahaya sahaja digunakan.
Sambaran ketiga turut membuatkan kami buntu apabila tidak semena-mena perambut boleh putus. Mungkin seekor yang melarikan umpan dan yang lain turut mengejar umpan yang sama sebab itu perambut dan juga perambut tangsi menjadi mangsa.
Kali keempat barulah dapat solid hook up dan akhirnya tenggiri 8 kg menjadi milik kami. Masa galak umpan pula sukar, kalau dapat umpan hidup pasti cepat disambar. 1 berjaya ditewaskan dalam 6 kali rabut dan putus perambut. Nasib baik apabila tenggiri senyap, joran dasar pula bersilih ganti melentur.
Kali ini ebek pula menyerang berselang seli dengan haruan tasik. Terpaksa umpan dihulurkan jauh sedikit dari dasar. Ketika yang di belakang tertumpu pada tenggiri, 2 orang pemancing haluan bot pula fokus pada pengumpanan dasar.
Senyap tenggiri, geng haluan terus mendapat sambaran rakus. Kedua-dua joran menerima sambaran dalam selang 2 minit. Strike pertama berjaya ditangani tidak lama selepas itu manakala strike kedua terpaksa menerima bantuan awak-awak untuk menarik tali secara manual setelah joran tidak mampu mengepam.
Pari ketiga terpaksa ditewaskan dalam perlawanan berat sebelah 2 lawan 1. Selepas pari dinaikkan ebek masih lagi berkeliaran di kawasan kami berada. Selepas itu silih berganti kami setiap orang merasai penangan ebek Kemaman sebelum mengakhiri trip semalaman memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...