Sama ada memancing di sungai, tasik, lombong, laut mahupun kolam pancing pasti ada spesies yang tidak diingini yang gemar menghabiskan umpan yang digunakan. Di laut, spesies-spesies ini sememangnya menjengkelkan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Ketam
Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkok pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.
Ulat bulu
Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulu. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila dinaikkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkok. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Belangkas
Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkok pada mata kail. Namun jika tidak tercangkok pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuk ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Perumpun sarang
Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang. Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkok umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.
Sekiranya kewangan kurang mengizinkan untuk membayar kos trip secara langsung, maka perlulah membuat tabungan sekurang-kurangnya setahun awal daripada tarikh bertolak. Lazimnya trip ditempah berbulan-bulan lamanya.
Kos trip dalam anggaran RM1000 bagi sewaan bot sahaja. Selain itu perlu sediakan dalam RM500 lagi bagi menampungkan kos pengangkutan, makan minum serta peningkatan kos trip sekiranya ada ahli yang menarik diri.
Wajib ada satu kekili elektrik atau mesin ‘bangla’ yang lengkap dan sempurna. Sekiranya belum ada maka kenalah berusaha mendapatkannya (bukan murah harganya) atau meminjam daripada kawan-kawan. Set kekili elektrik wajib ada sekiranya pancingan dasar merupakan fokus utama trip.
Selain itu set jigging (kekili, joran dan jig) juga perlu dibawa. Jika berhasrat untuk main GT maka set jigging perlulah yang sepadan. Begitu juga kalau berhasrat nak main popping. Yang pasti satu set ringan untuk kegunaan apollo umpan hidup atau mencandat sotong wajib di bawa.
Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.
Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam atau sakit sebelum bertolak. Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.
Bersedia untuk menukar sistem tidur kerana aktiviti memancing di pelantar minyak lebih aktif pada waktu malam. Sementara waktu siang bot lebih banyak bergerak untuk bertukar lubuk atau sebagainya. Jadi, alangkah ruginya jika kita tidur ketika pemancing lain bergasak dengan ikan.
Selain palet, dedak (palet yang dikisar) juga merupakan salah satu bahan umpan asas yang boleh digunakan untuk memancing ikan patin. Dipercayai hanya penggunaan dedak kosong ia mampu untuk dijadikan umpan namun untuk kesan yang lebih cepat, beberapa bahan perisa harus dicampurkan bersama dedak tersebut.
Bahan-bahan keperluan:
Dedak 929
Perisa Yogurt
Perisa buah ara
Serbuk 014 strawberi
Serbuk 011 buah ara
Cara-cara penyediaan umpan.
1. Masukkan sepaket dedak 929 ke dalam bekas bancuhan. Kemudian masukkan 1/2 paket serbuk perisa 014 strawberi dan 1/2 paket serbuk perisa 011 buah ara. Gaul bahan-bahan ini hingga campurannya sekata.
2. Masukkan pula 2-3 penutup botol perisa yogurt dan perisa buah ara ke dalam campuran dedak dan serbuk perisa (pastikan goncang dahulu botol perisa). Gaul bahan-bahan ini hingga sekata.
3. Masukkan sedikit demi sedikit air (bukan air paip yang mengandungi klorin) ke dalam dedak dan gaul sehingga adunan ini boleh menjadi bahan kepalan yang bersesuaian iaitu tidak mudah berderai dan tidak pula doh yang liat.
Cara penggunaan umpan:
1. Umpan dedak ini boleh digunakan dengan pam dedak, spring dedak atau juga perambut dua mata kail. Sekiranya menggunakan pam dedak pastikan adunan hanya dilembabkan dengan air sahaja. Sekiranya menggunakan spring dedak atau perambut mata kail, pastikan adunan boleh dikepal pada spring atau mata kail yang dicucuk keropok jagung dengan kemas dan tidak pecah ketika membuat lontaran ke tengah kolam.
2. Umpan patin Matsumoto ini turut digemari oleh spesies lain yang ada di dalam kolam seperti tongsan atau rohu. Jadi, tidak semestinya hanya patin sahaja yang bakal didaratkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...