Dipercayai ikan siakap akan mudik hulu sungai dari bulan Jun hingga Ogos setiap tahun dan akan menjadikan muara sungai sebagai tempat persinggahan. Pada masa ini ramai nelayan dan pemancing akan tertumpu ke muara sungai untuk memburu siakap. Lazimnya ikan siakap ini mematuk pancing pada awal pagi atau lebih dikenali sebagai kepala pasang oleh para nelayan.
Ads
Jangka masa ikan galak makan umpan biasanya tidak lama, hanya sekitar setengah jam dari bermulanya air pasang pagi. Waktu permulaan pasang, arus bergerak perlahan dan waktu inilah siakap aktif memakan umpan.
Siakap akan kembali aktif apabila arus air kembali tenang iaitu di antara penghujung pasang dan permulaan surut. Jangka waktu di antara akhir pasang dan permulaan surut ini tidak lama. Sebab itulah timing air pasang dan surut di muara sungai amat penting dititikberatkan.
Ads
Sementara itu ada juga di beberapa tempat, waktu-waktu paling sesuai untuk memburu siakap pada musim air mati. Pada masa tersebut, air pasang malam agak besar dan menghasilkan arus yang agak deras.
Ads
Keadaan ini amat sesuai untuk ikan-ikan dari laut memasuki muara mengikut arus. Sebaliknya pada siang hari air pasang dan surut tidak besar perbezaannya. Keadaan sebegini menghasilkan arus air yang lembut, amat sesuai untuk ikan-ikan khususnya siakap singgah dan bermain-main di reba.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kalau merujuk kepada nama saintifiknya, berbelit juga lidah hendak menyebut. Tetapi bagi kaki pancing, si perayap dasar ini mempunyai pelbagai nama mengikut dialek masing-
masing seperti pak janggut, jerangkung, sepit biru, agang, adoi-adoi, apek, jenggo dan bermacam-macam lagi.
Udang galah menghuni sungai air tawar dan air payau dari utara tanah air hingga ke selatan tidak ketinggalan Sabah dan Sarawak.
Ia diburu kerana keseronokan memancingnya selain rasa yang enak dan harga yang tinggi di pasaran.
Selain Rompin yang terkenal dengan udang galah, ibu negeri Pahang juga apa kurangnya iaitu Sungai Kuantan yang begitu meriah terutama di hujung minggu dengan kehadiran bot-bot pemancing dalam misi memburu penghuni bersepit di dasarnya.
Saya juga tidak ketinggalan menduga penghuninya. Jam 8 pagi, saya dan Nazam sudah terpacak di tepi tebing Sungai Kuantan menunggu kehadiran seorang lagi rakan, Azuan, empunya bot.
Setelah memasukkan barang-barang dan set alatan pancing, enjin Mercury 3hp dihidupkan maka bermulalah pencarian sepit biru Sungai Kuantan.
Walaupun enjin sangkut milik Azuan kecil kuasa kudanya namun terbukti mampu memacu bot fiber 12 kaki yang memuatkan kami bertiga.
Faktor arus Sungai Kuantan yang lemah gemalai juga membantu. Kalau arusnya laju memang tidak bergeraklah bot dibuatnya.
Kami yang turun padang bukan pada hujung minggu nyata lega kerana terdapat hanya 3 buah bot sahaja pada pagi itu.
Menyusuri sungai yang airnya kuning kemerah-merahan agak mengusarkan hati. Apakah udang sudi menjamah umpan yang bakal dihulurkan.
“No problem.. saya suka juga memancing kalau air macam ni,” jawapan Azuan menghambat kerisauan di hati.
Sekurang-kurangnya ia dapat menyedapkan hati sendiri.
Lebih kurang 5 minit perjalanan, Azuan selaku tekong mematikan enjin, sauh dilabuhkan dan tunggu apa lagi.
Lima batang joran saya segera memulakan tugas dan mata mula tertumpu pada hujung joran.
Azuan mendaratkan tangkapan pertama bersaiz remaja. Beberapa minit kemudian hujung joran saya bergetar tanda umpan telah dingap.
Kekili dikarau dan hasilnya seekor anak ikan yang tumpang sekaki menjamu selera.
Nazam dan Azuan mempunyai marking lubuk yang banyak untuk dikunjungi. Lepas satu lubuk, satu lubuk dicuba yang mana bot diparkir di tengah sungai dan umpan dilempar ke arah lubuk sasaran.
Apabila kulit mula terasa perit dipanah cahaya matahari, kami beralih ke lubuk yang hampir dengan kawasan rimbunan pokok.
Di lubuk teduh yang pertama kami singgah, suasana menjadi kelam kabut sedikit.
Apa tidaknya, joran Nazam membongkok diasak penghuni sungai yang belum diketahui apakah gerangannya. Yang pasti ia bukannya kerja si udang.
Kekili di karau. Tangsi sekejap tegang, sekejap kendur dan akhirnya mangsa menampakkan muka.
Seekor belida dalam lingkungan 2kg telah meragut umpan. Sayangnya di saat-saat akhir ia berjaya memutuskan perambut.
Kemunculan belida tadi nampaknya berjaya membakar kembali semangat kami yang mula luntur sedikit kerana keletihan setelah berpanas separuh hari.
Makin kerap umpan diperiksa dan ditukar. Umpan isi ikan yang dibiarkan terlalu lama akan menyebabkan ia bertukar warna menjadi kekuningan akibat faktor air.
Sudah pasti udang enggan menghampiri. Dalam erti kata lain, kalau nak dapat hasil kenalah rajin memeriksa umpan.
Lubuk Mengkuang adalah lubuk terakhir dikunjungi sebelum kami bertolak pulang. Dengan hasil tangkapan yang agak lumayan untuk sesi pancingan separuh hari, memang berbaloi turun memancing di Sungai Kuantan.
Bagi mereka yang berani dan untuk lebih mencabar, bolehlah memancing pada waktu malam yang pastinya menjanjikan hasil yang memuaskan hati.
Sememangnya memancing udang galah mempunyai feel dan keseronokan tersendiri.
Merasai henjutan di hujung joran yang lembut menggamit peminatnya turun memancing walaupun ada ungkapan ‘di mana ada udang, di situ ada buaya’.
Kita hanya mencari sedikit rezeki sambil melayan hobi.
Cuaca agak baik pada pagi itu dan selepas hampir 1 jam perjalanan kami sampai ke satu spot yang diperkatakan tekong Ruby merupakan spot panas untuk trolling. Tanpa membuang masa, kami semua melabuhkan set trolling dengan mengenakan gewang yang sinonim dengan kaedah ini antaranya ialah Halco Sorcerer dan Rapala Deep Tail Dancer.
Tidak sampai 30 minit menunda, joran Juslin di bahagian hadapan bot mengeluarkan tali tanpa henti diringi deringan drag dari Penn Fierce 4000. Riuh sekejap apabila GT seberat hampir 2kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Halco Sorcerer sebagai first catch kami pada trip ini.
Sesampainya kami di satu spot karang yang kedalamannya tidak sampai 10 meter, sekali lagi kami dikejutkan dengan deringan drag dari Ajiking Airmax 2000 milik Hasnor yang berjaya menaikkan kerapu dengan gewang TDD9 Parrot yang merupakan spesies wajib di kawasan karang.
Kami berpindah ke spot seterusnya untuk pancingan bottom disebabkan angin yang semakin kuat memaksa kami untuk berlindung di balik pulau. Berumpankan udang hidup, berbagai-bagai jenis ikan berjaya dinaikkan dengan menggunakan skill Beluran bak kata Azrul.
Disebabkan hujan renyai mula turun, kami semua terus berlabuh ke Pulau Jambongan untuk berteduh. Sebaik sahaja hujan reda, pemancing-pemancing yang masih lagi bertenaga terus mengenakan set casting untuk menduga pemangsa di bahagian jeti Pulau Jambongan.
Rakan penulis yang dari tadinya senyap menghendap baby GT akhirnya mendapat sambaran daripada ikan rare iaitu spesies flathead atau ikan baji menggunakan gewang Storm Thunder Crank. Dua ekor barracuda, seekor baby GT, 2 ekor Kerapu dan 3 ekor tetanda hasil casting tidak sampai 1 jam di jeti sahaja sudah menunjukkan bahawa perairan di sekitar Sandakan masih lagi terpelihara.
Trip Repeat
Tepat jam 8.00 pagi, bot bergerak menuju ke satu takat yang dianggarkan sedalam 60 meter untuk pancingan dasar. Kebetulan kami terserempak dengan satu bot nelayan, kami sempat meminta sedikit bekalan umpan untuk pancingan dasar nanti.
Sesampainya di spot, kami semua melabuhkan umpan sotong yang baru diperoleh tadi. 10 minit berlabuh, akhirnya joran Juslin digetu oleh sang dasar. Dengan tarikan kurang agresif akhirnya Juslin berjaya menaikkan kerapu seberat hampir 600 gram.
Selepas aksi memancing hambar selepas itu, kami sepakat berpindah ke muara sungai untuk sesi trolling dan casting. Tidak lama menunda di satu kawasan anak sungai, kekili Pioneer Altitude Prestige milik Hasnor berdesing memuntahkan tali mengejutkan pemancing yang lain di atas bot.
Hampir 3 minit pertarungan, GT dianggarkan 1.5kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Storm Thunder Crank warna clown. Walaupun menggunakan set yang agak heavy, kehebatan GT melarikan diri masih berjaya membuatkan Hasnor kelam kabut meleraikan pertarungannya.
Tiba-tiba kami semua dikejutkan dengan aksi Juslin dengan set castingnya di hadapan bot dengan gewang ekonomi Bakau Jointed Red Headnya yang disedut dengan bunyian boof!. Tidak sampai 5 saat pertarungan, gewang Juslin melompat di atas air. Rabut. Terkejut kami setelah gewang ditarik split ring dan treble hook gewang beliau hilang entah ke mana.
Ujar tekong, kes patah split ring dan hook ini mungkin disebabkan angkara siakap atau selungsung, nama panggilan orang Sabah yang cukup terkenal dengan sifat rakusnya.
Juslin yang tidak berputus asa kembali melontarkan gewang yang sama ke satu suak kecil disambut kasar penghuni bakau. Akhirnya setelah puas mengepam kekili Pioneer Karman 2000 akhirnya seekor siakap merah seberat 2 kg yang merupakan siakap merah tunggal kami pada trip ini.
Azrul yang dari tadi senyap terus mendapat sambaran daripada baby kerapu di satu suak menggunakan gewang Salmo Butcher warna Fire Tiger.
Sedang asyik casting dan trolling, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Berkat pengalaman tekong Ruby yang tahu selok-belok kawasan sungai telah membawa kami ke satu kawasan teduhan di tepi bukit menunggu hujan reda.
Selepas hujan reda, sesi trolling diteruskan menuju ke arah laut dalam perjalanan pulang ke Jeti Beluran. Hampir 1 jam menunda tiada hasil, akhirnya sekali lagi joran Daiwa Palie bengkok menahan larian ikan.
Pertarungan hampir 3 minit hingga ke bawah bot, akhirnya sekali lagi gewang Strike Pro Alpha Minnow 95 Red Head berjaya mendaratkan seekor barracuda bersaiz kasar, dianggarkan seberat 3kg. Bahagian belakang bot dimeriahkan lagi dengan kerapu yang dinaikkan tekong menggunakan Rapala TDD9 Parrot.
Juslin yang memulakan trip kami dengan ‘first catch’ GTnya menggunakan gewang Halco Sorcerer sekali lagi mengakhiri trip ini dengan menggunakan gewang Halco Sorcerer yang berjaya menaikkan seekor barracuda anggaran seberat 2kg selepas hampir 2 jam kami menunda.
Dengan selamatnya barracuda dinaikkan ke atas bot, berakhirlah trip newbies yang betul-betul memberi seribu macam kenangan manis buat kami yang pertama kali menduga penghuni air masin ini.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...