Apa sebenarnya yang berlaku di Tasik Kenyir dan ke mana semua ikan-ikan ini menghilang? Kita bukan nak menuduh siapa-siapa tetapi sebagai pemancing, adakah kita
turut sama menjadi penyumbang kepada kemerosoton sumber di Tasik Kenyir dengan tangkapan berlebihan?
(Apa kata netizen Umpan)
💡 MAEL KENYIR
“Ikan di tasik sekarang bermusim. Jadi pandai-pandailah cari masa yang sesuai. Memang keadaan ikan di tasik jauh berkurangan berbanding dulu.
Keadaan ini berlaku setelah wujudnya siakap di Tasik Kenyir. Ditambah pula dengan nelayan tasik semakin ramai.”
💡 ASHRAFF AZAHAR
“Bagi saya sebagai anak jati Tasik Kenyir banyak perkara yang boleh menjadi punca. Antaranya melibatkan pihak atasan, tiada amalan catch and release, aktiviti pukat oleh
yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak dan banyak lagi. Tak mustahil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Tasik Kenyir hanya tinggal sejarah saja.”
Ads
💡 XAZI ROSLAN
“Tiada kawalan rapi dan penguatkuasaan. Nama je taman negara tapi dalam kawasan taman negara tu jugak orang bebas memburu atau memancing untuk tujuan komersial.
Dulu tak kira musim sebarau merata-rata tapi sekarang kumpau yang merata-rata. Tak tahu kenapa teruk sangat pengurusan Tasik Kenyir sekarang?”
💡 ZAINUDDIN IBRAHIM
“Terlalu banyak aktiviti menjaring ikan tanpa kawalan. Sepatutnya ditetapkan musim menangkap ikan sama seperti memburu rusa dan kijang.
Barulah ikan dapat membiak dengan bebas.”
Ads
💡 FAIZAL SUDIN
“Pernah memancing di sana dan melihat sendiri tekong bot yang cari kelah dan seludup jual keluar. Boathouse mana biarlah rahsia.
Kalau berterus terang nanti jawabnya kena blacklist terus dari masuk Kenyir.”
💡 SYLO ABNI
“Mana nak ada ikan kalau asyik menjaring. Dan kerajaan pulak kenalah lepaskan benih ikan banyak-banyak.
Sungai Pahang walaupun banyak nelayan menjaring tetapi hulu sungainya masih terkawal. Ini semua hulu sungai kat Tasik Kenyir dah hancur.”
💡 EWAN SPEEDCAST
Ads
“Tak ada saiz limit ikan apa yang patut ditapau. Kecik besar semua angkut tak sempat ikan tu nak bertelur atau membesar. Lama memang habis la ikan.”
💡 AHMAD DARMAWULAN
“Hehehe… status tanah di Tasik Kenyir milik kerajaan atau rezab tanah simpanan lagi ke? Aku tanya ni pasal hari tu terkantoi masa tolong kemas dokumen seorang VIP ni, ada dokumen penjualan tanah di Tasik Kenyir. Main juta tu… sorry la lari topik sikit.”
💡 AHMAD ZAINUDDIN
“Spesies ikan buruan dah berkurangan dek sifat kerakusan manusia… habis cucu cicit ikan dibedal. Salah kerajaan juga… kenapa perlu dibuat empangan?
Kalau takde empangan tentu akses nak ke hulu sungai tempat ikan bertelur tu susah nak sampai.”
💡 BRTHER LONG YNDFAMILY
“Siakap banyak dah kat dalam tu… saiz mega-mega pulak tu. Mana la kelah, tengas, sebarau nak membiak. Sekarang ni barulah nampak kelibat toman.
Dulu masa siakap tengah banyak memang susah gila nak jumpa toman.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing merupakan aktiviti membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.
Ada pula yang pergi memancing beberapa hari, dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri di rumah.
Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan dah penat. Habis tenaga berjemur di tengah panas dan kadang-kadang dilanda hujan, ribut dan petir.
Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli barang-barang dan alatan memancing.
Beli umpan, duit minyak, tambang bot, chalet, makan, minum, rokok, dan bermacam lagi barangan yang difikirkan perlu oleh pemancing.
Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing!
Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang ringgit, terutama pada mereka yang tidak melakukannya.
Tetapi, apa kesan aktiviti memancing ini kepada pemancing itu sendiri? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara?
Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang dari keluar memancing?
Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas sebab tertentu. Menurut bapa ‘motivasi pemancing’ Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994), tujuan pemancing keluar
memancing bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan ‘rekreasi’.
Betul ikan adalah benda yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini!
Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ‘ketenangan’, ‘menikmati alam sekitar’, ‘untuk bersama rakan’ selain ‘keseronokan mendaratkan ikan’.
Oleh itu ‘ikan’ hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan ‘rekreasi’.
Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju.
Pemancing akan cuba mendapatkan ‘ketenangan’ semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda, iaitu fizikal dan mental.
Mereka juga dapat lari dari rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama rakan atau ahli keluarga.
Cari sahaja di capaian internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina, keluar memancing bersama rakan atau keluarga.
Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ianya berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing.
Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun.
Di situ ada orang membuka kedai alatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan, kuih-muih, ada juga yang mengusahakan chalet atau homestay untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.
Bayangkan seperti di Tasik Kenyir, pemancing sanggup berbelanja ribuan ringgit hanya untuk menginap di ‘houseboat’.
Malah, sejak keluar dari rumah untuk sampai ke Tasik Kenyir, mereka telah pun berbelanja ratusan ringgit untuk minyak kereta, makan dan minum.
Keadaan ini menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan negara.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara, iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam.
Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Mereka kebiasaannya adalah orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Sekaligus mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.
Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada tahun 2005, semasa pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut.
Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan stres atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti; serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis.
Negara juga akan mengalami pertambahan ‘keluaran dalam negara kasar’ secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti kerja pemancing di pejabat akan meningkat.
Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif dari sebelumnya.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’
Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum.
Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian.
Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan terlebih dahulu.
Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri, serta ahli keluarga yang lain.
Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama.
Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu.
Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda, dengan berhemah. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan pada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa
pemancing adalah seorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan, terutamanya selepas keluar memancing.
Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, ‘menghormati’ dan ‘memahami’ adalah dua perkara yang perlu dititik-beratkan.
Menghormati hak pemancing adalah sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’, bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Fahamilah pemancing, kerana mereka memang terlalu cintakan aktiviti ini. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif.
Ingatlah bahawa aktiviti memancing adalah jauh lebih baik dari aktiviti lain yang tidak bermoral di luar sana.
Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi individu pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.
Penulis:
Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin, UPM
Pensyarah Kanan (Bidang Perikanan Rekreasi),
Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian,
Universiti Putra Malaysia
Rujukan:
Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994) Understanding Angler Motivations in Fisheries Management
California State Park (2005) The Health and Social Benefits of Recreation: An Element of The California Outdoor Recreation Planning Program
Ikan kap rumput atau tongsan sisik kasar merupakan spesies ikan pendatang yang dibawa masuk bagi tujuan akuakultur dan juga pemakanan.
Tidak dinafikan rasa ikan ini jauh lebih sedap berbanding saudaranya, tongsan sisik halus. Malah tahap pertarungan yang dipersembahkan oleh ikan ini juga mendebarkan.
Namun, tidak semua kolam pancing menyediakan ikan spesies ini sebagai ikan pancingan. Kebanyakannya sekadar `penjaga kolam’ sahaja bagi mengawal pembiakan rumpai di kolam.
Justeru itu ia agak kurang dipancing tidak sebagaimana kap lain seperti rohu dan juga tongsan sisik kasar. Selain itu ia juga dikatakan amat culas dan berhati-hati untuk mengambil umpan.
Jadi, pernahkah anda berjaya memancing ikan ini dan kongsikan pengalaman anda di sini.
💡 DIN DIN
“Bab mancing memang jarang la dapat. Tapi kalau buat masak tempoyak campur taugeh kasar dan timun… perghhh!
Orang Perak belah kawasan Sungai Perak suka buat kenduri ikan ni. Terutamanya di Bota, Parit dan Kuala.”
➡ UZAIR MUHAMAD NOOR
“Pernah dapat sekali je. Itu pun dulu punya cerita. Kira bertuah sebab memang susah nak dapat ikan kap sisik kasar ni.
Masa tu pakai umpan dedak campur sekali dengan kopi 3in1 tu… hahaha. Nak percaya ke tak try dulu la tengok macam mana.”
💡 MOHD HAFIZ RAZALI
“Orang kata ikan tongsan sisik kasar ni memang susah nak makan umpan pancing. Tapi pernah dapat sekali, besar pulak tu.
Rasanya dalam 8kg lebih. Umpan pun pakai umpan bodoh je… palet 920 kosong!”
➡ SHAHRUL NIZAM SALLEH
“Biasa dapat ikan tongsan sisik kasar atau kap rumput ni. Umpan yang saya guna sempoi je… saya guna palet 6363 campur dedak 929 dan pes strawberi.
Kalau ada rezeki dapat la, kalau tak… nasib la. Macam mancing ikan lain-lain jugak. Kalau dah takde rezeki sampai sudahlah membangau.”
💡 RC MATTS
“Kalau memancing tu memang tak pernah dapat. Sebab memang tak pernah mancing pun ikan ni. Tapi kalau nak cerita pasal rasa tu memang A la.
Walaupun banyak tulang tapi memang sedap gila la ikan ni.”
💡 NASYRUAN AIDIL
“Ada bela ikan ni dalam kolam kelisa bagi bersihkan rumpai dalam kolam. Ada sekali tu masa tengah sweep kolam untuk check anak kelisa.… melompat pulak si torpedo ni tepat
kena kat dada aku. Maaakkkk oooiiii… senak dengan sakit bukan main. Lebam dada aku dibuatnya.”
💡 LAVENDER SHAF
“Ikan ni memang jenis langgar orang… tapi Alhamdulillah saya tak pernah kena. Jadi tak tau apa rasa kalau kena langgar dek ikan ni.
Kalau nak tau macam mana rasa dia boleh tanya akak saya selalu kena langgar dulu. Hahahaha…”
💡 AMRA STAPA
“Ikan kap rumput ni aku pernah bela dulu dalam 1000 ekor dekat kolam kawan. Janji hasil bagi dua. Tapi seekor pun aku tak sempat makan.
Anak-anak saudara sepupu sepapak dia pergi mancing. Sabar je la…”
💡 MAZWAN ROS MAZALAN
“Ikan ni makan rumput. Jadi, kalau nak buat umpan mudah je. Blender rumput padang bola tu lepas tu campur dedak. Letak kunyit dengan tepung sikit… garam jangan lupa.
Nak percaya atau tak, terpulanglah. Aku tak paksa pun korang try… kehkehkeh.”
💡 RAFIDAH MOHAMED
“Saya dapat hari tu taklah besar mana… 6 kilo je. Kemudian pergi jual kat Cina kedai ikan tu dia ambik RM15 sekilo.
Dapat la la RM90. Lepas la duit minyak kereta. Tak sangka boleh tahan juga harga ikan ni.”
Dunia memancing masa kini sudah memasuki era moden dengan pelbagai inovasi peralatan dan kelengkapan memancing.
Begitu juga dengan gaya pancingan serta teknik yang diaplikasikan. Semakin ia semakin melangkah ke depan.
Sebagai contoh, pengurangan penggunaan mata 3 (treble hook) kepada mata tunggal khususnya dalam sukan memancing segmen casting dan jigging semakin giat dipraktikkan.
Sebaliknya dalam dunia pancingan dasar air tawar khususnya pancingan kolam komersial, dalam sesuatu aspek ia seperti masih jauh ketinggalan.
Terutamanya melibatkan hal penggunaan mata kail berangkai yang diistilahkan sebagai mata bom atau cakar ayam.
Masih ramai pemancing yang mengekalkan teknik konvensional ini khususnya pancingan rohu.
Mata bom dan mata kail berangkai sehingga 10 penggunaan mata kail masih diguna pakai sehingga ke hari ini.
10 mata kail digunakan hanya untuk memancing seekor ikan. Tidak dinafikan ia teknik yang berkesan dan peratusan seekor ikan akan memagut umpan pada 10 mata kail adalah tinggi.
Namun persoalan yang timbul adalah, apa bezanya teknik perambut mata bom ini dengan teknik sembat mata 3 dan cakar ayam?
Meskipun teknik sembat tidak lagi dibenarkan, dibenarkan atau tidak teknik ia pasti diguna pakai juga apabila menggunakan perambut mata bom.
Setiap gerakan kecil pada tali utama pasti akan dibalas dengan sentapan atau sembat. Jika ikan sedang memakan umpan pasti mata kail akan tertusuk di dalam mulutnya.
Jika ikan sedang mengutis umpan sekalipun akan tercangkup juga mata kail sama ada di luar mulut, mata mahupun anggota badannya.
Jika bernasib baik, ikan akan berjaya didaratkan dan disumbat ke dalam jut kerana lazimnya pancingan rohu lebih merupakan pancingan berlauk atau bawa pulang tak mengira boll ataupun tidak.
Jika tidak bernasib baik, ikan terlepas dan membawa bersama kecederaan akibat tajamnya mata kail tersebut.
Selain boleh mendatangkan kecacatan pada ikan, mata bom dan mata rambai juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemancing.
Terutamanya kepada pemancing baru yang belum berpengalaman dalam pengendalian ikan.
Menanggalkan sebatang mata kail yang tertancap dalam mulut ikan dengan keadaan 9 mata kail lagi bergerak bebas tatkala ikan sedang menggelupur untuk membebaskan diri adalah tugas berisiko tinggi.
Sedangkan menanggalkan mata 3 gewang dari mulut ikan sering saja berlaku kemalangan kepada pemancing, inikan pula terdedah kepada 10 mata kail.
Barangkali sudah tiba masanya para pemancing khususnya peminat rohu, memodenkan teknik pancingan rohu dengan penggunaan maksimum 2 mata kail.
Tentu saja pemancing merangkap nelayan kolam yang mencari makan dengan menjual hasil tangkapan ikan rohu akan membantah sekeras-kerasnya cadangan ini.
Namun, jika sudah ditetapkan rezeki, hanya menggunakan satu mata kail sekalipun masih boleh gasak.
Malah dengan penggunaan mata kail yang minima juga dapat menguji umpan yang digunakan.
Logiknya, kalau umpan tak power, guna 100 mata kail sekalipun belum dapat mendaratkan seekor ikan.
Tentu saja usaha ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama dari pengusaha dan pemilik kolam pancing.
Meskipun tidak semua tapi masih ada pengurusan kolam yang membenarkan penggunaan mata bom sehingga 10 mata kail ini.
Pihak kolam tidak perlu risau risiko kehilangan pemancing kerana seketat mana pun peraturan, pemancing akan turun juga ekoran ketagihannya.
Dalam masa yang sama, penggunaan mata kail yang minima bukan merugikan sebaliknya menguntungkan kolam.
Yang pasti, sudah tiba masanya teknik pancingan yang boleh memudaratkan ikan serta pemancing sendiri dilupuskan. ⊗
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...