IKLAN

 

Pemancing ni nampak macam sama, tapi pada hakikatnya mereka adalah berbeza-beza. Percaya atau tidak?

 

Sekiranya anda seorang pemancing yang suka memerhati gelagat pemancing lain, sudah pasti anda dapat mengenal pasti, wujudnya golongan pemancing yang berbeza-beza, dari segi cara, ragam, tingkah laku serta tujuan mereka memancing.

 

Di sini disenaraikan beberapa golongan pemancing yang mungkin wujud dikalangan mereka.

Kategori pemancing ini dikategorikan berdasarkan kajian ‘psikologi pemancing’ yang telah dijalankan di negara maju – boleh rujuk kajian Fedler dan Ditton (1986), Kyle dan rakan (2007), Arlinghaus dan rakan (2008).

Kategori pemancing ini juga berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemancing, tentang motif atau tujuan mereka keluar memancing.

 

Berikut adalah kategori pemancing tersebut:

 

A: Berehat

Bagi mereka yang tergolong dalam kategori ini, tujuan utama mereka pergi memancing adalah semata-mata untuk ‘berehat’. Mereka tidak mahu memikirkan tentang perkara lain, selain berehat.

Mereka menganggap memancing merupakan ganjaran, setelah penat bekerja membanting tulang mencari rezeki. Berehat boleh dikategori kepada dua, iaitu berehat ‘minda’ dan berehat ‘fizikal’. Berehat bertepatan dengan konsep memancing rekreasi iaitu ‘mencari rek-rea-si’.

 

B: Berseronok

Ada juga golongan pemancing yang dikategori sebagai mencari keseronokan. Tujuan utama mereka memancing hanyalah untuk berseronok.

Tidak kira walau apa pun keadaan dan situasi memancing (di kolam, sungai, tasik, laut / dapat ikan atau tidak) mereka pasti akan mendapat keseronokan.

IKLAN

Berseronok boleh dikaitkan dengan ‘hobi’, di mana aktiviti memancing merupakan hobi kegemaran mereka pada waktu lapang.

 

C: Bersama rakan

Terdapat juga pemancing yang mahu meluangkan masa bersama rakan mereka. Mungkin rakan yang dimaksudkan adalah rakan yang sudah lama tidak berjumpa, rakan tempat kerja, rakan karib, atau rakan istimewa!

Mereka membuat temu janji dan menyediakan peralatan memancing, lalu menuju ke destinasi memancing. Mereka akan meluangkan masa bersama, mungkin bertanya tentang perkembangan terkini atau mengimbau kenangan lalu sebagai rakan.

Terbukti, aktiviti memancing dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan.

 

 

D: Bersama keluarga

Ada pemancing yang mahu meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak ketika memancing.

Kesibukan seharian bekerja dan anak bersekolah, menjadikan pemancing jarang dapat meluangkan masa bersama. Kebiasaannya, mereka dari kategori ini akan memilih tempat

memancing yang mesra keluarga, yang mempunyai kemudahan seperti tempat berkelah, taman permainan, serta tandas awam.

IKLAN

Sama ada mereka sekeluarga memancing bersama, atau setiap ahli keluarga melakukan aktiviti sendiri.

Sebagai contoh di bandaraya besar seperti di Kuala Lumpur, aktiviti jogging dan zumba, serta aktiviti permainan alat kawalan jauh (contoh: dron) boleh dilakukan oleh ahli keluarga.

Aktiviti memancing dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan yang sihat.

 

E: Bersendirian

Pemancing yang tergolong dalam kategori ini merupakan mereka yang mahu meluangkan masa bersendirian. Tujuan mereka memancing adalah bagi mendapatkan ketenangan, jauh daripada kehadiran orang lain.

Mereka tidak mahu diganggu dan hanya ingin menghayati saat mereka bersendirian. Biasanya, mereka akan memilih lokasi memancing yang agak tersorok dan tidak diketahui oleh orang ramai.

Lumrah bagi manusia untuk bersendirian, mencari ketenangan ketika memancing.

 

 

baca juga 10 Etika memancing untuk rekreasi

 

F: Menikmati alam sekitar

Golongan pemancing kategori ini hanya mahu menikmati keindahan alam sekitar. Kebiasaannya, mereka akan memilih kawasan yang jauh di pedalaman dan tenang dari hiruk pikuk kesibukan kota.

Mereka ingin menikmati keindahan alam sekitar, seperti keindahan sungai, tasik, kehijauan tumbuhan, bunyian unggas, serta gunung-ganang, atau berada di tengah lautan – seluas mata memandang.

Di bandar, mereka akan mencari kawasan yang terpencil atau sedikit tersembunyi yang mempunyai elemen keindahan alam sekitar.

Mereka juga terdiri dari pemancing yang sanggup berbelanja besar untuk memancing di kawasan pedalaman seperti Taman Negara, Tasik Kenyir atau Hutan Simpan Royal Belum.

… bersambung

 

 

Oleh:

Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin

Pensyarah Perikanan Rekreasi, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia

 

Rujukan:

Fedler dan Ditton (1986). Environmental Management. https://doi.org/10.1007/BF01867360.

Kyle dan rakan (2007). Human Dimensions of Wildlife. https://www.tandfonline.com/doi/abs/10.1080/10871200701196066.

Arlinghaus dan rakan (2008). Fisheries Research. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0165783607003645.