Dunia seorang penganyir ini sukar untuk diduga. Begitu juga dengan bentuk pancingan dan hasil yang dipancing.
Apa saja jenis kaedah untuk memperoleh hasil akan dilakukan jika gagal memperolehnya melalui kaedah memancing.
Namun kaedah mendapatkan hasil tersebut tidaklah menghalalkan cara demi mencapai matlamat.
Banyak cara yang beretika untuk mendapatkan hasil tangkapan sekiranya penggunaan joran dan kekili menemui jalan buntu. Salah satu caranya ialah dengan mengoca.
Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar perkataan mengoca dan tertanya-tanya akan maksud perkataan itu.
Namun bagi masyarakat terutamanya di Negeri Sembilan, perkataan itu bukanlah sesuatu yang asing.
Mengoca ini membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam.
Lazimnya, aktiviti mengoca diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.
Ads
Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati agak dalam yang menyulitkan untuk menangkap dengan tangan, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.
Baru-baru saya dan beberapa rakan pemancing melaksanakan aktiviti mengoca tanpa dirancang. Perancangan asal kami ialah untuk casting di tebing-tebing sungai di Sungai Tekala, Semenyih.
Setelah beberapa lokasi kami redah dan gagal memperoleh hasil, kami bertemu dengan sebuah lopak kolam di tepi sungai (kawasan limpahan air sungai) yang dihuni spesies ikan yang tidak dikena pasti.
Setelah meninjau keadaan dan kedalaman lopak kolam tu kami segera bertindak.
Menyedari tidak sesuai untuk memancing di lopak kolam tersebut, sedangkan kelihatan begitu banyak pergerakan ikan, maka kami bersepakat untuk mengoca.
Ads
Tanpa berlengah kami segera mengambil tangguk di dalam kereta.
Secara beramai-ramai kami mengepung dan membimbing ikan-ikan agar lari ke arah tangguk. Dalam masa yang singkat kami sudah memperoleh hasilnya.
Tak sangka pula lopak kolam itu dihuni oleh kumpulan ikan terbol. Saiz-saiz ikan terbol itu pula agak kasar-kasar juga.
Ads
Lebih dari satu juga kami menghabiskan masa mengoca di lubuk terbol itu. Setelah hasilnya dikumpul dan ditimbang, sama sekali kami tidak menyangka berjaya mengoca terbol hampir 30 kg banyaknya.
Ikan-ikan terbol itu kami agihkan sesama sendiri dan turut menjadi rezeki jiran tetangga yang berdekatan.
(Saksikan juga sedutan video aktiviti mengoca di bawah ini… ↓)
Sungai Teluk Intan, Perak tidak asing bagi peminat jenggo atau udang galah sepit biru. Bagi penggemar tarikan gemalainya, sungai ini menjadi tumpuan pemancing kerana udang di sini yang bersaiz 200 gram ke atas.
Tenaga udang galah bersaiz mega ini sering kali menjadi dambaan kerana tarikannya yang padu dan mampu membuat pemancing tepuk dahi jika ia terlepas di pertengahan air.
Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan.
Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50–80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter.
Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh dipancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar.
Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan.
Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana.
Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini.
Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya.
Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya.
Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang.
Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam.
Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging.
Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh.
Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan.
Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam.
Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan.
Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing.
Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini.
Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang.
Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini.
Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami.
Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing.
Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya.
Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Setelah lebih kurang sejam berjalan meredah hutan, Fuad, salah seorang daripada ahli kumpulan kami mengalami kekejangan otot. Perjalanan terpaksa dihentikan seketika bagi memberi peluang Fuad merehatkan badan dan mengurangkan kesakitan.
Tetapi, oleh kerana semangat yang kuat untuk memburu raja sungai, kesakitan yang dialami tidak begitu dihiraukan sambil dia tetap berazam untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Namun, kami tidaklah memberi tekanan kepadanya, sambil perjalanan berhenti rehat beberapa kali. Sekitar jam 6 petang, kami akhirnya berjaya sampai ke Lubuk Panjang (Lubuk Berdengung). Kami mengambil keputusan untuk berkhemah memandangkan Fuad sudah tidak berdaya lagi.
Setelah khemah siap dipasang dan makan malam, Karim dan Pak Mat membina para untuk menyalai ikan yang ditangkap nanti, manakala Pak Chom, Zack, Aiman dan Milo menuju ke bawah untuk mencuba nasib sebelum malam berlabuh.
Pada pengamatan saya yang sudah beberapa kali trekking bersama Karim, lazimnya jika dia membuat awal para untuk menyalai ikan, akan ada rezeki kelah buat kami.
Bagi penjejak kelah, suasana bising perkara yang perlu dielakkan. Bahkan cahaya lampu suluh juga mesti dielakkan dari disuluh di permukaan air terutama di kepala dan ekor lubuk, kerana di sinilah kelah dan kejor bersaiz besar akan mula berkeliaran mencari makanan.
Lewat malam, Mus dan Karim beralih mencuba di lubuk dalam di bahagian atas. Sekitar jam 12.30 malam satu sentapan kuat berlaku yang menyebabkan joran Mus hampir terjun ke lubuk. Mujur batang joran sudah berikat.
Pertarungan hampir 10 minit tetapi kelibat mangsa belum kelihatan, Karim sudah bersedia di tepi tebing untuk menarik mangsa ke darat, malangnya dengan kudrat yang masih ada mangsa membuat henjutan terakhir memutuskan tali utama (tali sulam 20lb). Hampa sungguh wajah Mus ketika itu.
Mangsa dikhuatiri meloloskan diri mungkin terkejut dek cahaya lampu yang disuluh ke dalam air sewaktu pertarungan tadi malah struktur batu-batu besar yang terdapat di dasar membantu mangsa memutuskan tali pancing.
Melihat aksi Mus yang digasak begitu hebat, ada di antara rakan-rakan yang tidur-tidur ayam, terus sahaja cerah biji mata. Iyelah memang satu kerugian, trekking jauh-jauh tetapi tidur di dalam khemah. Apa salahnya berjaga sedikit. Bukan selalu dapat sampai ke sini.
Malam itu, rata-rata di antara kami galak menerima sambaran. Paling memeranjatkan kami bila joran milik Karim patah dikerjakan mangsa selepas diasak kuat sebelum mangsa berjaya meloloskan diri. Kecewa lagi bila gagal menaikkan kelah bersaiz besar.
Pada malam itu, seekor kelah dan dua ekor kejor yang dianggarkan sekitar 1 kg setiap seekor berjaya juga dinaikkan di samping baung akar yang tak terkira banyaknya memenuhi jut.
Hari kedua, kami mengambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan. Pak Chom, Fuad, Zack, Milo, Nasir dan Aiman menghala ke bawah lubuk khemah. Manakala saya, Mus, Karim dan Pak Mat naik ke atas hingga sampai ke Ulu Pering.
Saya yang membaling umpan di hujung ekor lubuk akhirnya mendapat sentapan kuat. Dek kerana air yang jernih memang jelas kelah bara memecut untuk melepaskan diri.
Dengan berhati-hati saya melayan mangsa agar tidak terlepas dan akhirnya puas, bila kelah dalam skala 1.5kg berjaya saya pangku.
Akhirnya dapat juga lesen, setelah tiga trip sebelum ini gagal membuahkan hasil. Sejam kemudian, giliran Mus pula menerima sentapan kuat, larian padu mangsa di kepala lubuk membuatkan Mus tak senang duduk kerana terdapat batuan besar yang mungkin dapat memutuskan perambut 20lb yang dipakai.
Benar kata pepatah, kalau dah rezeki memang tak ke mana. Kelah hampir sama saiz berjaya didaratkan. Sekitar pukul 4.00 petang kami menamatkan pancingan dan pulang semula ke khemah.
Dua ekor kelah bara dan 5 ekor kejor berjaya didaratkan (yang kecil dilepaskan semula ke habitat asal). Perkhabaran daripada rakan di bawah pula, gagal menaikkan kelah bara. Hanya kejor yang berjaya dinaikkan.
Hari terakhir di lubuk ini, kami memutuskan untuk membuat sebuah rakit buluh untuk membawa barang-barang. Lega rasanya bila bahu tiada lagi beban memikul beg. Kami tidak begitu terlalu memancing pada hari ini dan hanya casting pada lubuk-lubuk tertentu di sepanjang kembali turun ke bahagian hilir.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...