Sungai yang terdekat dengan rumah saya ialah Sungai Tekam. Beberapa port terbaik sudah terbayang dalam kepala. Sebelum turun, kenalah cari umpan dulu. Teringat nak guna cengkerik kali ini. Kereta kancil dihidupkan dan saya terus memecut ke Felda Kota Gelanggi 1 kerana di sana ada menjual cengkerik.
Sebaik sahaja sampai, belum sempat turun dari kereta, abang tu dah beritahu cengkerik dah habis. Macam mana ni? Semangat memancing sudah berkobar-kobar. Teringat kedai proses ayam daging. Dengan muka selamba saya menghadap makcik tuan punya kedai tu minta perut ayam.
“Kenapa lambat… perut dah buang. Cuba tengok dalam plastik hitam kat simpang tu, kalau lori belum angkut..”
Ads
Nasib baik, ada. Hari sudah semakin petang. Bergegas saya memandu ke lokasi. Sambutan dari sang ikan memang galak, tapi saiznya alahai… tengok pun rasa kasihan. Ikan-ikan bersaiz ‘cinonet’ tersebut dilepaskan kembali.
Ads
“Kalau goreng pun lekat celah gigi je,” kata member. Apa yang penting, hati terhibur melayan ikan bersaiz baby.
Sambil menunggu umpan direntap, kami menggali cacing di tebing sungai. Banyak juga cacing di bawah pangkal pokok buluh. Di samping perut ayam, cacing tanah kami hulurkan ke dasar. Murah rezeki ada ikan bersaiz abah yang sudi.
Tengah bersembang, joran bergetar kuat. Sentap balas dibuat. Nampak gayanya agak kasar. Saya berhati-hati melayan si mangsa memandangkan bangkar kayu antara halangan yang menanti. Mangsa semakin menghampiri tebing dan peluang semakin cerah.
Joran diangkat tinggi dan mangsa berjaya didaratkan. Baung tersebut adalah hasil terakhir kami. Hari pun dah semakin gelap. Eloklah kami beransur dulu. Lain kali boleh memancing lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ada sebuah cerita legenda di kalangan masyarakat Riau di Sumatera sejak beratus-ratus tahun dahulu. Cerita legenda tersebut mengisahkan seorang nelayan yang bernama Awang Gading, yang menemukan seorang bayi perempuan di atas batu di tepi sungai saat ia pulang memancing.
Konon, bayi itu adalah keturunan raja ikan di sungai tersebut. Oleh kerana merasa kasihan dan simpati, si nelayan membawa bayi itu pulang ke rumahnya untuk dijaga dan dibesarkan seperti anak-anak yang lain. Bayi itu diberinya nama Dayang Kumunah.
Selama dalam asuhannya, si nelayan telah mengajar Dayang Kumunah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik, sehingga ia pun membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berbudi pekerti. Setiap pemuda yang melihatnya pasti akan terpikat kepadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda tampan dan kaya yang bernama Awang Usop telah melewati rumah orang tua Dayang Kumunah. Pemuda itu melihatnya sedang menjemur pakaian. Saat itu pula, Awangku Usop langsung jatuh hati kepada Dayang Kumunah dan berniat untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidupnya.
Beberapa hari kemudian, Awangku Usop datang ke rumah Dayang Kumunah untuk meminangnya. Dayang Kumunah bersedia menerima pinangan Awang Usop, asalkan ia juga bersedia memenuhi syaratnya.
Syarat Dayang Kumunah yang harus dipenuhi oleh Awang Usop adalah untuk tidak meminta Dayang Kumunah ketawa walau sekalipun. Satu syarat yang pelik bagi Awang Usop tetapi demi kecintaannya kepada Dayang Kumunah syarat yang pelik ini telah dipersetujui dengan rela hati.
Setelah kata sepakat telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak akhirnya seminggu kemudian, mereka pun telah disatukan di dalam satu pesta perkahwinan yang berlangsung dengan gilang gemilang. Semua kaum kerabat dan tetangga kedua mempelai telah diundang bagi memeriahkan suasana perkahwinan tersebut.
Para undangan turut gembira menyaksikan kedua pasangan yang bagai pinang dibelah dua sama cantik sama padan disatukan. Dayang Kumunah gadis yang sangat cantik dan Awang Usop seorang pemuda yang sangat tampan. Mereka pun hidup berbahagia, saling mencintai dan saling menyayangi.
Namun, kebahagiaan mereka tidak berlangsung lama. Beberapa minggu setelah mereka menikah, Awang Gading ayahanda Dayang Kumunah meninggal dunia kerana sakit. Ini membuatkan Dayang Kumunah sering sedih-sedih kerana kehilangan ayah yang telah mendidik dan membesarkan sejak dari kecil lagi biarpun bukan ayah kandungnya yang sebenar.
Hingga berbulan-bulan lamanya, hati Dayang Kumunah diselimuti perasaan sedih. Untungnya, kesedihan itu segera terubat dengan kelahiran anak-anaknya yang berjumlah lima orang. Kehadiran mereka telah menghapus ingatan Dayang Kumunah kepada ayahnya. Ia pun kembali bahagia hidup bersama suami dan kelima-kelima anaknya.
Namun, Awang Usop merasa kebahagiaan mereka kurang lengkap kerana semenjak mereka berkahwin tidak pernah dia melihat Dayang Kumunah ketawa. Pada suatu petang, Dayang Kumunah berkumpul bersama keluarganya di serambi rumah mereka.
Saat itu, si Bungsu mulai dapat berjalan dengan tertatih-tatih. Semua anggota keluarga tertawa bahagia melihatnya, kecuali Dayang Kumunah.
Kerana keinginan yang amat sangat Awang Usop meminta isterinya untuk ikut tertawa namun Dayang Kumunah menolaknya tetapi suaminya terus mendesak.
Akhirnya ia pun menuruti keinginan suaminya. Disaat dia tertawa itulah, tiba-tiba tampak insang ikan di mulutnya. Menyedari hal itu, Dayang Kumunah segera berlari ke arah sungai. Awangku Usop berserta anak-anaknya hairan dan mengikutinya dari belakang.
Sesampainya di tepi sungai, perlahan-lahan tubuh Dayang Kumunah menjelma menjadi ikan dan segera melompat ke dalam air.
Pada masa itu Awang Usop pun baru menyedari kekhilafannya kerana dia sudah memungkiri syarat sewaktu mereka hendak melangsungkan perkahwinan dahulu. Dikala itu tiada apa yang dapat dilakukan kerana segalanya sudah pasrah.
Sebelum menyelam ke dalam air, Dayang Kumunah berpesan kepada suaminya Awang Usup untuk menjaga anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan tiada sesiapa di kalangan keturunan mereka yang dibenarkan untuk memakan ikan patin kerana barangsiapa yang memakannya adalah seumpama memakan keturunan sendiri dan boleh menjadi gila ataupun mendapat penyakit yang boleh membawa kepada kematian.
Awangku Usop dan anak-anaknya sangat bersedih melihat Dayang Kumunah yang sangat mereka cintai itu telah menjadi ikan. Mereka pun berjanji dan bersumpah akan mematuhi segala larangan yang dikenakan. Sumpahan ini diteruskan ke atas semua keturunan mereka selepas itu.
Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik mencemaskan selepas jarinya tersepit pada sebuah kekili pancing yang dipercayai kekili menegak atau baitcaster, Khamis lalu.
Ketua Zon 3 Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub ke lokasi selepas menerima maklumat dari Unit Kecemasan Hospital Raub kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, pasukan EMRS Bomba Raub menggunakan mesin pemotong (ring cutter) dan sepana untuk memotong mesin pancing tersebut.
“Operasi memotong mesin itu berjaya mengeluarkan jari kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
“Setelah selesai mengeluarkan jari mangsa, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Namun tidak dinyatakan sama ada kejadian itu berlaku di rumah atau kedai pancing. Yang pasti, admin percaya kanak-kanak lelaki tersebut adalah adik atau anak kepada seorang caster.
Pengajaran kepada caster yang lain, simpan baitcaster anda di tempat yang selamat dan jauh dari capaian kanak-kanak.
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...