
Penggunaan palet 920 (biji kecil) sebagai umpan patin begitu berfenomena sekarang ini sehingga menenggelamkan palet 6363 dan E8 yang begitu popular sebelum ini. Malah palet 920 ini lebih efektif jika diperam untuk tempoh yang lebih lama. Dan ia juga serasi dengan apa saja umpan yang ingin digunakan. Berikut merupakan salah satu perkongsian umpan yang serasi dengan palet 920 ini.
Bahan-Bahan:
- 1 kg palet 920
- 200 ml pati santan
- Kelapa parut
- Pes perisa pandan kelapa Original
- Pes perisa kelapa Original
- 200 ml air
Cara Penyediaan:
Masukkan 200 ml pati santan ke dalam bekas bancuhan bersaiz besar dan bertutup.
Kemudian masukkan pula 200 ml air bersih yang bebas klorin. Kacau seketika bagi air dan pati santan sebati.
Masukkan 5 penutup botol perisa pandan kelapa dan 5 penutup botol perisa kelapa ke dalam air santan. Kacau sehingga campuran sebati.
Kemudian masukkan 1 kg palet ke dalam air santan berperisa tadi. Gaul dengan tangan sehingga setiap biji palet menjadi basah.
Biarkan seketika palet di dalam bekas bertutup agar setiap biji palet menyerap larutan berperisa tadi. Kemudian barulah masukkan anggaran segenggam kelapa parut dan gaul rata sekali lagi.
Sebaiknya umpan ini diperap dalam bekas tertutup sekurang-kurangnya 3 jam sebelum digunakan. Sekiranya ingin diperam lebih lama (2-3 hari), pastikan ia dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat dengan kedap udara.
* Nota Tambahan
Untuk menaikan bau atau aroma yang lebih, boleh ditambah esen pisang atau badam (sedikit sahaja) ke dalam umpan ini sebelum digunakan.
Mengenal Identiti Spesies Ikan Jemuduk

Taksonomi:
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Carangiformes
Family: Carangidae
Genus: Carangoides
Species: C. gymnostethus
Binomial name: Carangoides gymnostethus (G. Cuvier, 1833)
Ikan jemuduk atau nama umumnya bludger, juga dikenali sebagai bludger trevally, naked-breast trevally dan Bleeker’s jackfish adalah spesies ikan laut bersaiz besar yang meluas di dalam keluarga jack, Carangidae.
Jemuduk diklasifikasikan dalam genus Carangoides, sekumpulan ikan yang lazimnya dikenali sebagai jack dan trevallies dan membawa nama binomial Carangoides gymnostethus.
Taburan jemuduk agak luas merangkumi seluruh kawasan tropika ke subtropika di Lautan Hindi dan barat Lautan Pasifik, Afrika Selatan di barat, sepanjang Afrika timur dan utara ke Laut Merah. Taburannya di Lautan Hindi meluas ke timur ke India, Asia Tenggara, Indonesia, Malaysia dan sejauh selatan Australia utara.
Bludger trevally merupakan spesies ikan bersaiz besar yang mampu membesar panjang melebihi 90 cm dan mencapai berat maksimum yang direkodkan seberat 14.50 kilogram. Ia mempunyai bentuk badan yang sangat mirip dengan yellow-spotted trevally, hanya lebih panjang dan lebih berbentuk silinder berbanding kebanyakan spesies dalam genus Carangoides.
Spesies dalam keluarga trevally seperti gerong belang dan cupak ini mendiami perairan tropika dari pantai dan terumbu karang berbatu, di mana mereka memakan ketam kecil, udang dan ikan.
Ketika juvenil, jemuduk memiliki garis besar bujur yang berubah mengikut perubahan usia. Ia memiliki warna badan perak kehijauan secara keseluruhan sebagai ketika juvenil dan apabila dewasa memiliki warna kehijauan di bahagian atas dan lebih keperakan di bahagian bawah badan.
Pada semua peringkat kehidupannya, ikan ini mempunyai beberapa bintik coklat atau keemasan di garisan lateral badan, tetapi jauh lebih sedikit berbanding yellowspotted trevally atau jemuduk bintik. Sirip dorsal, sirip anal dan kaudal adalah hijau buah zaitun.
Jemuduk memiliki profil kepala cembung dan berkurang dengan curam bergantung kepada usia. Sirip dorsal berada di dua bahagian yang berbeza, yang pertama terdiri daripada lapan duri manakala yang kedua terdiri daripada satu duri dan 28 hingga 32 sirip filamen lembut.
Sirip analnya mempunyai dua unit duri yang terpisah secara berurutan diikuti oleh tulang belakang yang disertai 24 hingga 26 filamen lembut dan sirip pelvik mempunyai satu tulang belakang dan 18 hingga 20 filamen lembut.
Secara umumnya ikan jemuduk dianggap sebagai antara ikan sukan yang baik dan menghiburkan kerana mampu memberikan tentangan yang bagus ketika dipancing. Namun ia bukanlah ikan meja makan terbaik kerana memiliki daging yang agak berminyak dan lembik. Sebaliknya dagingnya itu amat sesuai untuk dijadikan umpan bagi memancing spesies ikan lainnya.
Bludger Trevally ini ketika juvenil sering mencari makanan secara berkumpulan namun apabila semakin dewasa ia lebih sering ditemui secara bersendirian. Biarpun jemuduk mampu membesar sehingga 14.50 kilogram namun spesimen yang lazim ditemui, khususnya yang dipancing sekitar tiga hingga enam kilogram sahaja.
Kenali Fisiologi Ikan Barat-Barat

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Tetraodontiformes
Family: Monacanthidae
Genus: Aluterus
Species: A. monoceros
Binomial name: Aluterus monoceros (Linnaeus, 1758)
Nama umum: Unicorn leatherjacket
Ciri fizikal: Badan nipis melebar. Ekor separa bulat. Sirip dorsal pertama tajam dan keras. Kulit liat tapi tidak seliat ikan yu.
Diet: Hidupan dasar seperti cacing laut, moluska, krutesia dan anak ikan (kecil).
Habitat: Pertengahan dan dasar berkarang lembut serta lautan lepas
Taburan: Laut China Selatan, Antlantik dan Lautan Pacifik
Tempatan: Hampir keseluruhan semenanjung, Sabah dan Sarawak. Taburan di pantai timur lebih ketara berbanding di pantai barat-barat Semenanjung
Dari 11 sub-spesies ikan yang di kenali sebagai filefish, ikan barat-barat biru adalah yang paling cantik. Berbadan leper melebar, berkemampuan memberi tentangan kepada pemancing. Malah ia dikuatkan dengan ekor melebar separa bulat berpangkal tegap pasti mengegarkan hujung joran.
Ciri-ciri utama yang mudah kita mengenali ikan barat-barat ialah badan leper, mulut kecil, bergigi kapak kecil tajam menuris, kulitnya kesat tanpa sisik seperti kulit ikan yu. Sesetengah tempat ia dipanggil leatherjacket yang memberi makna ikan berkulit liat.
Namun kulitnya tidak keras seperti ikan jebong atau triggerfish. Satu lagi ciri utama barat-barat ialah sirip dorsal utama hanya ditumbuhi satu duri tajam keras seperti sengat ikan duri.
Bezanya duri keras ini hanya satu sahaja dan terpacak di bahagian atas badan atau hampir dengan bebola mata. Kulit ikan yang unik ini dicipta untuk melindungi isinya yang lembut dan putih jernih. Saiz dewasa ikan barat-barat ini menjangkau sekaki lebih.
Habitat Dan Taburan
Ikan barat-barat ini biasanya ditemui bersama-sama Sargassum iaitu sejenis hidupan laut algae kelabu mudah terpisah pada rumpun utama dan hanyut di laut lepas. Ikan barat-barat dikatakan gemar mengikuti pergerakan rumpunan hidupan laut ini bebas di lautan lepas bagi memudahkan ia mencari sumber buruan dan perlindungan.
Sargassum atau rumpai laut ini boleh dikatakan sebagai perumah sementara kepada ikan kurang menjadi buruan kaki pancing. Walaupun ia boleh menghuni lautan dan laut, untuk memancingnya pula, pemancing boleh mencuba di kawasan yang memiliki bunga karang.
Tidak semua barat-barat menghuni lautan lepas dan ada juga gemar mendiami kawasan sub-tropika yang kaya dengan dasar berkarang untuk di jadikan tempat perlindungan dan pembiakan.
Melalui pengamatan saya, di Semenanjung ikan barat-barat pernah terpikat pada mata pancing di Pulau Jarak di Perak dan Pulau Aur di Johor. Kedua-dua kawasan pancing ini adalah berstruktur batu karang tebal dan memiliki rumpai laut di sekitarnya.
Tapi uniknya ikan barat-barat sering dilihat timbul di permukaan mencari makanan. Ia kadang kala boleh dilihat sekitar unjam bersama-sama kumpulan ikan telinga gajah berlawi panjang iaitu sub-spesies telinga gajah yang amat jarang tertarik dengan umpan pemancing.
Trip Throwback – Perairan Redang Yang Lumayan!!

Selepas Asar kami menyusur membelah ombak mencari spot sotong untuk dijadikan umpan hidup di Redang pada keesokan hari nanti. Terdiri daripada Pok Din (tekong), Bengoh (awakawak), Burhan, Faez, Kenny, Rizal, Shahrul Amin, Balan, Didi, Acik, dan Bob.
Spot sotong mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai dari jeti. Ketika bot menuju spot sempat kami membuat perambut candat dan melelapkan mata seketika untuk berehat.
Kelibat bot #2 sudah tidak kelihatan, masing-masing mencari spot sendiri mana la tahu dapat kandang sotong boleh la ‘calling-calling’ untuk sama-sama mencari umpan.
Ternyata malam itu sotong tidak seberapa mewah. Hanya yang hidup ada 30 ekor sahaja. Tekong Din menghubungi tekong bot #2. Ternyata hasil sotong hidup bot #2 pun kurang pada malam tersebut. Memandangkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, satu perbincangan kecil antara saya dengan Tekong Din agar meneruskan perjalanan menuju ke Redang.
Perjalanan ke Redang membolehkan kami tidur sepuasnya. Pukul 7 pagi kami sampai satu spot kapal karam. Bayang Pulau Redang sudah kelihatan tetapi masih jauh nak ditujui. Labuh dulu umpan mana tahu ada rezeki kami. Set kekili elektrik dan multiplayer menjadi taruhan kali ini. Set multiplayer Banax Tracker 30 dipadankan dengan rod Lemax PE#2-4 berumpan sotong hidup menjadi pilihan ikan bagi pembuka tirai.
Balan, selaku orang baru yang mengikuti trip ini menggigil mengarau kudrat jenahak. First strike dengan spesimen 7 kg membuatkan beliau tersenyum lebar dan membuatkan rakan lain berasa geram, tercabar dan tak senang duduk. Lantas, kemudiannya, seekor demi seekor pelbagai spesies dinaikkan daripada rakan lain. Ada juga mencuba nasib dengan kaedah jigging.
Faez berjaya mendaratkan sagai berskala 2 kg dengan menggunakan setup ‘light jig’. Padanan rod Major Craft Go Emotion PE#0.4-0.8 dengan kekili Shimano Stradic CI4 – 2500FA, serta tali sulam Extreme Spectra 10 lb memang karan melayan.
9 pagi kami berpindah menuju ke karang Redang. Kelihatan bot #2 baru sampai mencari spot karang dan lopak. Set yang sama digunakan, umpan sotong hidup menjadi taruhan. Strike!!! Hanya menekan button ON kemudian bertahan dengan batang rod sahaja. Haha.. Mudahkan dengan adanya khidmat ‘bangla’. Kudrat Miya command X6 memang tidak dinafikan akan kekuatannya. Jangan putus perambut sudah. Spesimen 4 kg ebek berjaya didaratkan oleh saya.
“Gancu…gancu… ‘Dia’ mai dah,” jerit Didi yang menjadi DJ di atas bot #1.
Ada sahaja celoteh beliau di atas bot yang membuatkan kami tidak sunyi. Tahniah, ebek seberat 6 kg berjaya menjadi milik Shahrul Amin. Petang kami masih di karang Redang. Melayan karenah ikan bersaiz 500 gram sehingga 2 kg. Saiz sebegini memang sedap untuk lauk. Hari semakin senja, umpan hirisan sotong dipertaruhkan. Tiba-tiba isyarat loceng berbunyi, rejaman kuat kelihatan. Spesies apakah ini?. Skrin Miya Command X6 menunjukkan bacaan 54 meter terus memuntahkan tali hingga 70 meter.
Drag diperketat sedikit lagi agar tali tidak terus keluar. Sedang asyik melayan kudrat yang tidak tahu spesies apakah ini, ada juga rakan lain sudah berjaya mendaratkan ikan. Pertarungan masih berlaku, akhirnya muncul jua memperkenalkan diri. Satu spesies yang diberi nama Yu kemejan.
Memang spesies ini kuat kudratnya sehinggakan memerlukan dua batang gancu untuk menaikkannya di atas bot. Satu kepuasan bagi saya kerana dapat menjinakkan yu kemejan ini yang berskala 13 kg.
Sebelah malamnya, kami masih dengan seisi ‘bottom’ menggunakan hirisan juraian sotong. Teknik jig juga dipertaruhkan. Dengan menggunakan jig luminous pasti dapat menarik perhatian spesies pelagik.
Cupak bersaiz remaja banyak terpedaya dengan aksi unjunan jig luminous ini. Sesekali alu-alu juga membaham jig ini yang membuatkan putus tali perambut. Geram juga jika spesies ini menyerang. Tetapi hendak buat macam mana memang itu rezeki kita. Layan je la.
Bot #2
Dikendalikan oleh tekong Pok Pa dan seorang pembantubernama Meso. Para pemancing terdiri daripada Faizul (penganjur), Zarmali, E-angah, Asu, Jett, Amirul, Yusrizal, Remy dan Hj Kasim. Saya mendapat maklumat daripada organiser iaitu Faizul, mereka mencari umpan sotong sehingga jam 4 pagi kemudian baru meneruskan perjalanan ke perairan Redang.
Bekalan sotong hidup mereka juga agak kekurangan. Pada malam pertama pencarian sotong lebih gemarkan memakan umpan ikan. Mujur mereka ada membawa sedikit umpan ikan yang dibeli di pasar.
Jam 9 setengah pagi baru mereka sampai di Redang. Bermulalah misi mereka mencari spesies monster. Ada yang mengunjun jig dan bottom sebagai teknik untuk mendapatkan hasil tangkapan. Spot mereka berjaya mendapat 4 ekor jemuduk, 4 ekor ebek, dan pelbagai spesies ikan lauk.
Difahamkan Jett mendapat ragutan kasar oleh sang layaran. Hanya mendapat melihat aksi akrobatik layaran sahaja. Tetapi apakan daya set ringan jignya tidak mampu menahan kudrat sang layaran sehinggakan beliau terpaksa memotong tali set pancingnya.
Pada sebelah petang Faizul mendapat strike seekor tenggiri seberat hampir 5kg dengan teknik drift. Set yang digunakan terdiri daripada kekili Shimano Aernos 8000, rod Asuka 10-20lb, tali utama 25lb Power Pro sudah cukup untuk membuatkan sang tenggiri menyerah kalah.