
Penyebaran aroma melalui minyak di dalam air merupakan satu kaedah yang sangat mujarab.
Ia membantu aroma umpan tersebut lebih cepat sampai ke deria bau ikan sekaligus menghampirinya.
Konsep itulah yang digunakan dalam tutorial membuat umpan ini.
Bahan-Bahan:
Minyak Durian MyePescado
Pes Strawberry MyePescado
Esen Nenas Star Brand
Kelapa Parut
Palet 920
Cara Penyediaan:
LANGKAH 1
Lembutkan dahulu 2kg palet 920 di dalam bekas bancuhan umpan. Kemudian masukkan 15 penutup botol pes strawberry.
LANGKAH 2
Gaul rata palet sehingga setiap palet kelihatan berwarna merah yang menandakan ia sudah diresapi pes strawberry.
LANGKAH 3
Masukkan pula 2 penutup botol minyak durian dan gaul rata palet.
LANGKAH 4
Seterusnya masukkan pula 3 penutup botol esen nenas dan gaul palet agar sekata.
LANGKAH 5
Masukkan 2 genggam kelapa parut dan gaul. Umpan sudah boleh digunakan atau boleh diperam untuk kegunaan pada lain masa.
Cara Buat Umpan `Rasuah’ Memikat Ikan Baung

Ikan baung memang sedap dimakan, ia enak dimasak lemak cili api, goreng berlada, tempoyak, kukus dan sebagainya. Memancingnya juga agak mudah, terutama dari segi peralatan dan umpan.
Baung lebih mudah dipancing pada waktu malam, di lokasi di mana airnya agak keruh (terutamanya selepas hujan), kawasan lubuk air yang mengalir dan umpan yang sesuai.
Anak ikan, umpan terbaik memikat baung bersaiz kasar, selain ia juga boleh dipancing menggunakan gewang selam dalam secara seretan dasar dan karau dengan perlahan.
Untuk memikat baung di air tenang (tidak berarus / mengalir perlahan), seperti di tasik ia agak sukar, melainkan perlu pujuk terlebih dahulu baung datang berkumpul. Caranya gunakan umpan busuk (umpan tapa) untuk memikatnya.
Cara-Caranya:
Sediakan sebalang umpan tapa, perca kain, tali, batu sungai, sarung tangan getah.
Kalau korang dah cukup tegar tak perlulah guna sarung tangan lagi
Buka dengan cermat penutup umpan tapa. Kalau korang tak tahan dengan bau umpan tapa, minta saja rakan korang yang buatkan. Ramai pemancing gagal bertahan kerana bau mencakop umpan tapa ni.
Ambil umpan tapa, masukkan ke dalam perca kain. Jika anda ada bawa lebih dari sebalang umpan tapa, bolehlah guna kesemuanya sekali. Kalau hanya ada sebalang, memadai guna setengah balang saja.
Letakkan seketul batu sungai yang sebagai pemberat (anggaran saiz yang mampu menenggelam umpan ke dasar), dan ikat kemas perca kain berkenaan. Seeloknya dilubangi sedikit perca kain agar aromanya lebih mudah meresap ke dalam air.
Jika bersampan, bawa umpan rasuah ke spot pilihan dan lepaskan ke dasar. Sebaiknya juga ikatkan tali panjang dan sambung pada botol air sebagai penanda. Jadi ia lebih memudahkan anda untuk melontar umpan nanti.
Jika tidak memiliki sampan, lontarkan saja bunjut umpan rasuah tersebut ke tengah sungai atau spot yang anda kehendaki.
Umpan Moden Untuk Lampam Liar!!

Walaupun ikan-ikan lampam liar (bukan ikan lampam ternak atau kolam pancing) sudah terbiasa dengan diet makanan di habitatnya, namun ia masih boleh dipancing dengan umpan yang bukan menjadi diet makanannya.
Bahan-bahan umpan yang biasa digunakan untuk memancing di kolam berbayar sebenarnya boleh juga digunakan untuk memancing ikan lampam di sungai ataupun tasik.
Bahan-Bahan:
Dedak ayam
Pes perisa strawberi
Roti dadu
Cara penyediaan & mengumpan:
1. Bancuh dahulu kira-kira 1-2 kg dedak ayam bersama pes perisa strawberi dan air. Jadikan doh atau adunan yang agak liat (keras).
Adunan ini bertujuan untuk dilontar ke kawasan memancing sebagai pengumpan atau rasuah.
Ia bertujuan untuk menarik ikan-ikam lampam datang ke radius umpan bermata kail yang akan dilontarkan kemudian.
2. Bancuh lebihan dedak ayam bersama pes strawberi dan air yang tidak terlalu peroi dan tidak perlu terlalu liat.
Yang penting adunan tidak berderai ketika dilontar ke lubuk dan boleh terurai dengan baik apabila berada di lubuk.
3. Potong roti sandwich menjadi kiub (dadu) dan gaulkan dengan pes perisa strawberi. Kemudian cucuk roti dadu in pada mata kail rambai atau perambut dua mata kail.
Setelah itu kepalkan adunan dedak ayam pada mata kail. Kemudian barulah dilontar umpan ini ke kawasan di mana dedak rasuah dilontar sebelumnya.
Lintah Bulan Boleh Buat Umpan…Biar Betul!

Memang betul! Mungkin tidak ramai diantara kita mengenali marfologi dan taksonomi serta habitat haiwan ini yang merupakan sejenis serangga dalam habitat semulajadi.
Lintah bulan (Arion sp) atau slugs merupakan sejenis haiwan dalam kumpulan Molluska Gastropod yang terdapat di kawasan lembab. Ia tidak mempunyai cengkerang atau mempunyai sedikit cengkerang. Lintah bulan wujud di darat dan di laut, dan ada juga satu genus slug air tawar, Acochlidium.
Perkataan lintah bulan lazimnya digunakan untuk merujuk lintah bulan tanah, manakala lintah bulan juga berada dari laut atau dari air tawar biasanya dirujuk sebagai lintah bulan laut atau lintah bulan air tawar.
Sesetengah jenis lintah menghisap darah tetapi kebanyakan lintah juga tidak menghisap darah, seperti spesis lintah bulan.
Bagi Orang Asli laut dipanggil lintah laut atau melat atau Lintah Laut, dan kebanyakan para nelayan amat berminat menggunakan lintah bulan ini bagi merawai ikan dasar bermisai terutama sembilang.
Bagi kebanyakan para pemancing, masih ramai yang tidak tahu spesies lintah bulan ini kerana tiada info yang memaklumkan spesies ini boleh dijadikan umpan memancing yang mana ia digemari oleh sang sembilang.
Bagi mereka yang telah menggunakan umpan ini pasti berpuas hati kerana hasil yang diperoleh amat berbaloi.
Lintah bulan ini merupakan diet makanan ikan-ikan dasar seperti ikan duri, belukang, mayung dan sembilang.
Ia juga digemari oleh pengacau umpan seperti sesirat. Harus diingat juga, di mana ada sesirat pasti ada sembilang kerana kedua-dua spesies ini mendominasi persekitaran yang sama.
Pemilihan perambut dan teknik
Menggunakan tali berkekuatan 30lb sudah memadai. Mata kail bersaiz 6 atau tidak terlalu kecil kerana sembilang bermulut besar, andai mata kail kecil khuatir mata kail akan rabut dari mulut sembilang.
Boleh menggunakan Teknik batu hidup dan batu mati. Jika memancing di atas bot atau rumah rakit, teknik batu mati amat sesuai kerana pemancing tidak perlu lontar, sekadar hulur umpan ke bawah.
Teknik memasang umpan lintah bulan
Cangkuk mata kail di bawah badan lintah bulan yang lembut (badan atasnya yang kasap) kerana boleh memanjangkan hayatnya. Ia juga membantu mata kail untuk mudah tercangkuk dalam mulut ikan.
Bagaimana mencari lintah bulan?
Ia mudah dikesan melekap pada celahan batu atau lumpur pantai sewaktu air surut atau melekap pada pangkal-pangkal pokok bakau atau pelepah pokok nipah.
Pemancing boleh mencari di perairan pantai berlumpur seperti tebing sungai, melekap di pangkal pokok bakau, pelepah nipah, di bawah batu-batu atau di atas lumpur berpasir.
Waktu sesuai untuk mencarinya ialah ketika air surut. Ia juga boleh didapati semasa air gerak pasang kerana ia akan bergerak mencari tempat kering dari air laut walaupum habitatnya di tempat lembab.
Pastikan juga anda membawa bekas umpan hidup bagi memastikan umpan lintah bulan dibawa pulang dalam keadaan sentiasa hidup dan segar.
Dan waktu paling sesuai untuk mendapatkannya dengan banyak adalah pada waktu MALAM HARI… sesuai dengan namanya lintah bulan. Maka luangkanlah masa pada waktu malam untuk mencari lintah bulan ini.
(Rujukan bersama: Zulkiffleeh.blogspot.com)