Berkawan dengan pencuri, lama kelamaan kita akan jadi pencuri. Begitu jugalah dengan memancing, lama kelamaan kita tak terkena sengat juga. Ada juga orang yang berkata, selagi kita belum pernah terkena sengat ikan, tak kiralah apa jenis ikan yang bersengat, selagi itulah ilmu memancing kita tidak sempurna (tak sempurna pun tak sempurnalah… janji tak kena sengat. Hahaha).
Perkongsian sebelum ini ada menghuraikan jenis-jenis ikan yang bersengat namun tidak menyatakan langkah-langkah yang perlu dilakukan jika terkena sengat. Jadi, perkongsian kali ini mengumpulkan beberapa petua yang boleh dikaji keberkesanannya untuk dipraktikkan.
PETUA 1
Kalau terkena sengat ketika berada di daratan, segeralah pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan (ini bukan petua tapi panduan yang harus dilakukan sebenarnya)
PETUA 2
Buang atau cabut sengat (sekiranya masih tercucuk pada anggota tubuh). Kemudian picit atau tekan kawasan yang terkena sengat supaya bisanya keluar bersama darah. Selepas itu ambil ais dan tuam pada tempat yang terkena sengat. Tuam sehingga tempat tersebut terasa kebas atau hilang rasa denyutannya.
PETUA 3
Jika tiada ais, tampalkan biji asam jawa yang telah dihancurkan pada tempat kena sengat.
PETUA 4
Kunyah pucuk daun jemuju dan tekap atau tempel pada tempat yang terkena sengat (jangan telan air kunyahan daun ini kerana rasanya sangat pahit).
PETUA 5
Jiruskan air kencing pada tempat yang terkena sengat (air kencing rakan pun boleh kalau ketika itu tidak boleh nak kencing).
PETUA 6
Sesetengah bisa seperti sengat ikan kitang dikatakan boleh ditawarkan dengan melumur dakwat sotong dan dibiarkan sampai kering.
PETUA 7
Jirus cuka makan pada tempat yang terkena sengat. Dikatakan asid cuka dapat meneutralkan bisa sengat tersebut.
-Nota tambahan-
Dikatakan sengat ikan yang paling kuat bisanya ialah ketika air gerak pasang. Jika terkena sengat pada waktu ini bisanya seperti berganda kuatnya. Ia mungkin disebabkan ketika air bergerak pasang ini adalah waktu ikan asgresif mencari makanan.
Paling penting dan juga untuk keselesaan, dapatkan satu kumpulan kecil (10-12 orang) untuk tempahan satu bot. Perhatikan waktu bilakan sesuai untuk mencandat. Paling sesuai adalah ketika bulan terang kerana sotong lebih aktif dan tertarik kepada cahaya. Menurut tekong, ketika bulan gelap sotong kurang sedikit tetapi saiz yang di candat lebih kasar dan isinya lebih tebal.
Amat penting menyediakan candat ketika masih di atas daratan, ia mengelakkan mabuk laut jika membuatnya di atas bot. Candat apollo atau candat mayat sebanyak 2-3 biji diikat ke tali perambut seperti ikatan mata kail apollo atau paternoster. Jarak di antara candat lebih kurang 1 hingga 1.5 kaki supaya sotong yang bersaiz panjang tidak tersangkut ekornya dengan candat yang lain.
Batu ladung atau candat twist diturunkan terlebih dahulu secara perlahan-lahan agar candat tidak berbelit. Candat yang telah mencecah dasar dikarau naik sedikit lantas dihenjut berulang kali bagi menarik minat sotong yang berlegar-legar di bahagian dasar. Sambil menghenjut, kekili dikarau sedikit demi sedikit kerana ada kalanya kawanan sotong lebih berminat kepada candat yang di unjun di pertengahan air.
Jika menggunakan kekili, larasan drag kekili yang sesuai adalah sesuatu yang perlu di ambil perhatian. Jika terlalu ketat dibimbangi sesunggut sotong terkoyak/terlucut ketika ia menghenjut ke belakang dalam usaha melepaskan diri.
Sebaiknya gunalah kekili bersaiz besar (4000-5000) supaya kerja mengarau sotong dapat dilakukan dengan pantas. Dengan kehadiran sotong yang banyak sudah tentu masa tidak perlu dibazirkan.
Joran sederhana keras lebih sesuai digunakan. Bayangkan 4-5 ekor sotong torak yang panjang-panjang berjaya di candat, sudah pasti ‘letih’ anda melayan dengan joran yang lembut. Disarankan agar menggunakan tali utama berkekuatan 25lb – 30lb. Boleh juga menggunakan tali sulam sekitar 40lb-50lb. Manakala tangsi 20lb-25lb sudah memadai sebagai perambut.
Penggunaan perambut yang lebih halus sememangnya lebih sensitif tetapi cepat kerinting dan mudah putus seandainya ada ikan yang menyambar sotong yang tersangkut di hujung candat. Ketika jumlah sotong berkurangan ikatan perambut ‘Y’ lebih efektif berbanding ikatan mata apollo.
Pada trip mencandat saya dan rakan-rakan kali ini, kehadiran sotong lebih banyak ketika menjelang maghrib dan pada awal malam. Turut serta, beberapa orang rakan termasuklah geng ‘abang-abang veteran’ yang turut ingin merasai pengalaman mencandat. Bagi saya, lebih gemar mencandat menggunakan set pancing (reel & rod) berbanding cara koyan seperti cara tekong kerana ia lebih
Bila sahaja sotong banyak diperolehi, bot nelayan pasti berkumpul berhampiran bot. Tidak ketinggalan bot-bot kecil turut sama ‘menyelit’ untuk berpesta menaikkan sotong.
Apabila sotong mulai sepi, tekong biasanya akan berhubung antara satu sama lain di mana spot sotong yang banyak selain akan pergi ke lokasi yang kerap dia kunjungi. Sejak kebelakangan ini kumpulan pemancing wanita turut menempah botnya untuk merasai keseronokan ‘menarik’ sotong. Anda bila lagi?
Walaupun ikan-ikan lampam liar sudah terbiasa dengan diet makanan di habitatnya, namun ia masih boleh dipancing dengan umpan yang bukan menjadi diet makanannya. Bahan-bahan umpan yang biasa digunakan untuk memancing di kolam berbayar sebenarnya boleh juga digunakan untuk memancing ikan lampam di sungai ataupun tasik.
Bahan bancuhan umpan:
Dedak ayam
Pes perisa strawberi
Roti dadu
Cara penyediaan & mengumpan:
Bancuh dahulu kira-kira 1-2 kg dedak ayam bersama pes perisa strawberi dan air. Jadikan doh atau adunan yang agak liat (keras). Adunan ini bertujuan untuk dilontar ke kawasan memancing sebagai pengumpan atau rasuah. Ia bertujuan untuk menarik ikan-ikam lampam datang ke radius umpan bermata kail yang akan dilontarkan kemudian.
Bancuh lebihan dedak ayam bersama pes strawberi dan air yang tidak terlalu peroi dan tidak perlu terlalu liat. Yang penting adunan tidak berderai ketika dilontar ke lubuk dan boleh terurai dengan baik apabila berada di lubuk.
Potong roti sandwich menjadi kiub (dadu) dan gaulkan dengan pes perisa strawberi. Kemudian cucuk roti dadu in pada mata kail rambai atau perambut dua mata kail. Setelah itu kepalkan adunan dedak ayam pada mata kail. Kemudian barulah dilontar umpan ini ke kawasan di mana dedak rasuah dilontar sebelumnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...