Berkawan dengan pencuri, lama kelamaan kita akan jadi pencuri. Begitu jugalah dengan memancing, lama kelamaan kita tak terkena sengat juga. Ada juga orang yang berkata, selagi kita belum pernah terkena sengat ikan, tak kiralah apa jenis ikan yang bersengat, selagi itulah ilmu memancing kita tidak sempurna (tak sempurna pun tak sempurnalah… janji tak kena sengat. Hahaha).
Perkongsian sebelum ini ada menghuraikan jenis-jenis ikan yang bersengat namun tidak menyatakan langkah-langkah yang perlu dilakukan jika terkena sengat. Jadi, perkongsian kali ini mengumpulkan beberapa petua yang boleh dikaji keberkesanannya untuk dipraktikkan.
PETUA 1
Kalau terkena sengat ketika berada di daratan, segeralah pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan (ini bukan petua tapi panduan yang harus dilakukan sebenarnya)
PETUA 2
Buang atau cabut sengat (sekiranya masih tercucuk pada anggota tubuh). Kemudian picit atau tekan kawasan yang terkena sengat supaya bisanya keluar bersama darah. Selepas itu ambil ais dan tuam pada tempat yang terkena sengat. Tuam sehingga tempat tersebut terasa kebas atau hilang rasa denyutannya.
IKLAN
PETUA 3
Jika tiada ais, tampalkan biji asam jawa yang telah dihancurkan pada tempat kena sengat.
PETUA 4
Kunyah pucuk daun jemuju dan tekap atau tempel pada tempat yang terkena sengat (jangan telan air kunyahan daun ini kerana rasanya sangat pahit).
IKLAN
PETUA 5
Jiruskan air kencing pada tempat yang terkena sengat (air kencing rakan pun boleh kalau ketika itu tidak boleh nak kencing).
PETUA 6
Sesetengah bisa seperti sengat ikan kitang dikatakan boleh ditawarkan dengan melumur dakwat sotong dan dibiarkan sampai kering.
IKLAN
PETUA 7
Jirus cuka makan pada tempat yang terkena sengat. Dikatakan asid cuka dapat meneutralkan bisa sengat tersebut.
-Nota tambahan-
Dikatakan sengat ikan yang paling kuat bisanya ialah ketika air gerak pasang. Jika terkena sengat pada waktu ini bisanya seperti berganda kuatnya. Ia mungkin disebabkan ketika air bergerak pasang ini adalah waktu ikan asgresif mencari makanan.
Jika aktiviti mengilat atau casting memiliki spesies sasaran utama tersendiri, begitu juga dengan dunia pancingan pantai atau surfcasting ini. Malah spesies sasaran dalam pancingan pantai ini jauh lebih bernilai kerana ia bukan saja memberikan tentangan hebat kepada para surfcaster, kebanyakan spesiesnya juga bernilai tinggi di pasaran. Berikut disenaraikan spesies sasaran tersebut.
Pari
Tidaklah sama ada pari beting, pari daun atau pari lalat… ia merupakan spesies sasaran utama mana-mana pemancing pantai. Ini adalah kerana daya juangnya yang tidak mengenal erti kalah. Semakin besar saiz ikan pari yang ditawan, semakin seronoklah cabaran yang diberikan. Selain itu, ikan pari turut menjadi sasaran disebabkan faktor keenakan dagingnya. Umpan yang biasa digunakan untuk memancing pari terdiri daripada udang, ikan dan juga sotong.
Gerong Belang
Gerong belang atau golden trevally lebih mudah dipancing dan menjadi sasaran surfcaster di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Di Pantai Barat, spesies ini agak sukar untuk ditemui berikutan faktor geografi dasar pantai. Gerong belang diminati oleh penggemar surfcasting berikutan pecutan dan tenaganya yang jitu.
Sebagaimana ikan pari, ia turut diburu untuk sumber protein dan memiliki daging yang enak. Gerong belang biasanya diburu dengan menggunakan umpan hidup, ikan dan juga sotong.
Ebek
Ebek atau diamond trevally lazimnya akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20 meter hingga 100 meter sebagai habitatnya. Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara atau tepian pantai.
Ebek-ebek inilah lazimnya yang diburu oleh para pemancing pantai. Selain ebek juvenil, adakalanya ebek dewasa turut sama berjaya ditawan dan ia dianggap bonus. Ebek biasanya dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup, udang lipan dan turut mengambil umpan hirisan sotong.
Yu kemejan
Spesies campuran yu dari pari ini mampu menghabiskan tali utama sepanjang 200 hingga 400 meter di dalam gelendung kekili milik surfcaster dengan sekelip. Justeru yu kemejan menjadi spesies sasaran utama bagi pemancing pantai yang mendambakan pertarungan yang sengit dan penuh mencabar.
Yu kemejan merupakan spesies yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan rata yang mendatar. Waktu utama pemburuannya ialah pada waktu malam berikutan ia lebih aktif memburu mangsa pada tersebut. Umpan bagi memburu spesies ini lebih kurang sama dengan pari iaitu udang, sotong dan ikan.
Talang
Ikan talang atau queenfish biasanya boleh ditemui di lagun pantai, terumbu dan persekitaran pulau-pulau. Mereka mendiami perairan yang jernih dari permukaan hingga kedalaman 100 meter. Sementara talang juvenil mendiami kawasan air cetek berhampiran pantai dan boleh memasuki muara termasuklah kawasan air payau.
Walau bagaimana pun ikan dewasa turut menghampiri pesisir pantai dan sering menjadi sasaran kepada pemancing pantai. Ikan ini digemari oleh surfcaster berikutan aksi akrobatiknya selepas tercangkuk mata kail. Ia boleh dipancing dengan menggunakan umpan belanak hidup, udang hidup serta hirisan ikan.
Daun baru
Ikan daun baru atau sicklefish boleh ditemui hampir merata pesisiran pantai semenanjung. Ikan daun baru menjadikan pesisiran pantai berkarang, berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya. Walaupun tidak tergolong dalam game fish yang memberikan tentangan hebat kepada pemancing, ia turut tersenarai dalam ikan sasaran pengemar pancingan pantai. Ikan daun baru boleh dipancing dengan menggunakan umpan umpun-umpun, hirisan ikan dan udang.
Sembilang
Sembilang atau gemang merupakan spesies sasaran utama khususnya di bahagian sebelah Pantai Barat Semenanjung yang memiliki pesisir pantai berlumpur. Spesies yang terkenal dengan sirip berduri dan berbisa ini juga mampu melenturkan joran panjang jika bersaiz kasar. Ia menjadi sasaran utama bukanlah kerana keupayaan pertarungan, sebaliknya lebih kepada hidangan di meja makan berikutan keenakan dagingnya.
Banyak jenis umpan boleh digunakan untuk memancing sembilang seperti udang, sotong, ikan, umpun-umpun dan kerang-kerangan.
Belukang
Ikan belukang atau sagor catfish, lazimnya boleh didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai. Ia hidup di laut berlumpur berdekatan pantai dan estuari. Bagi sesetengah pemancing menganggap ikan belukang umpama ikan pengacau umpan.
Namun ia masih menjadi buruan utama bagi sesetengah pemancing lain, malah menjadi sasaran utama khususnya di dalam pertandingan memancing pantai. Berikutan ia dilabel sebagai pengacau umpan maka apa saja umpan yang digunakan untuk memancing spesies sasaran lain boleh dijadikan umpan untuk memancing belukang.
Ibu Gelama
Ibu gelama atau temerih mendiami kolom dasar, lubang dalam di muara, selokan yang terbentuk dengan baik di luar pantai, terumbu pantai yang berlumpur, bangkai kapal atau lubang yang bersebelahan dengan terumbu luar pantai sehingga 40 meter.
Diet utama ibu gelama terdiri dari cecacing, udang, sotong dan ikan kecil.
Antara umpan paling popular yang mudah kita mengumpan sagai ialah anak sotong cumit hidup kurang sejengkal. Selain sotong hidup, sotong kecil segar, udang hidup serta anak ikan tamban adalah umpan terbaik. Anak ikan selayang, selar, kembong dan hirisan isi ikan mati mahu pun sotong menjadi pilihan terakhir.
Cara moden yang telah menjadi pilihan lewat masa kini ialah menggunakan kepingan sesudu berkilat dengan teknik casting di tebing pulau berbatu serta penggunaan jig dalam teknik jigging.
Dari apa yang saya perhati teknik tradisional banyak dipraktikkan oleh nelayan masa kini iaitu teknik umpan segar dan teknik bulu appollo. Kedua-dua teknik ini memerlukan kemahiran serta pengamatan yang baik jika inginkan hasil yang lebih. Dan rata-rata nelayan di pantai timur lebih menjurus kepada pengunaan perambut halus dari 20lb hingga 40lb. Kadar sentapan kurang bagi mereka yang menggunakan perambut kasar lebih 40lb
Ketika mula memancing spesies jack atau trevally ini, saya gagal untuk mendapatkan hasil yang positif berikutan jahil tentang teknik memasang umpan dengan betul. Sedangkan tekong asyik mengena sahaja. Setelah memerhati dan diberi tunjuk ajar oleh tekong baru saya merasakan perbezaan yang amat ketara.
Saya buat penilaian di mana kumpulan kami memancing menggunakan umpan dan saiz mata kail yang sama, tempat dan masa yang sama, tetapi keputusannya saya mendapat lebih dari 20 ekor berbanding 5 ekor yang memasang umpan dengan cara biasa.
Ia juga menjadi pilihan ikan karang dan pelagik yang tertarik dengan persembahan umpan tersebut. Rahsianya ialah teknik yang betul mampu mengelakkan umpan berbelit dengan tali perambut utama. Jika ini berlaku, seharian tunggu tiada ikan yang sudi dengan umpan anda.
Hirisan ikan segar ini mesti digabungkan dengan teknik memasang umpan yang betul agar ia dapat memberi persembahan yang optimum. Kemudianya kita mesti tahu cara untuk melabuhkan umpan pada kedalaman yang ngam di mana kebarangkalian ikan mengambill umpan berkenaan adalah tinggi.
Sebagaimana kita tahu ikan trevally berkeupayaan meronda pada kedalaman dari permukaan hingga dasar, jadi kita nilai waktu dan ketika di mana ikan sedang bermain. Paling penting ialah mengawal permainan semasa bertarung dengan ikan sagai. Bibir mulutnya adalah lembut, sentapan kuat dan berterusan boleh mengoyakkan atau merobek cuping dan seterusnya rabut.
Walaupun saiznya hanya mencapai hingga 2 kaki panjang atau kurang dari 10 kg berat tetapi ikan dari keluarga Trevally mempunyai daya ketahanan dan kuat melawan. Kombinasi peralatan berkekuatan 10 hingga 20lb sesuai dan paling layak digunakan atas konsep pertarungan seimbang. Tali utama tidak perlu kasar kerana ikan ini amat berhati-hati dengan keadaan sekitar dan begitu memilih mengambil umpan.
Perambut 20lb hingga 30lb menjadi pilihan kebanyakan nelayan. Berdasarkan pengamatan saya, bagi teknik Apollo untuk 2 atau 3 mata kail sudah di kira amat memadai. Usah terlalu banyak seperti memancing ikan umpan. Kebanyakan nelayan mengunakan mata kail mustad, VMC bersaiz 11 atau 13 atau jenis Gamakatsu saiz 1/0 atau 3/0 dengan 3 mata mencukupi.
Ikan talang-talang adalah ikan lautan tropika yang popular sebagai sasaran pemancing berikutan memiliki tenaga, kepantasan dan aksi akrobatik berulangkali di luar permukaan air dalam usahanya untuk melepaskan mata kail yang tersangkut pada mulutnya.
Ikan talang-talang secara umumnya hidup di laut luas dan mendiami perairan pantai dan sering didapati berenang secara berkumpulan. Ikan talang-talang bersaiz kecil atau juvenil boleh ditemukan di muara sehingga sempadan air payau. Manakala talang-talang dewasa biasa ditemukan mendiami kawasan perairan terbuka berhampiran dengan terumbu karang atau tanjung.
Ikan talang-talang boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup, umpan potongan ikan, pelbagai jenis umpan tiruan serta jig. Jika menggunakan umpan hidup (ikan, udang atau sotong) bolehlah gunakan teknik apungan, pertengahan air ataupun dasar.
Walaupun talang-talang adalah ikan pelagik, yang mencari makanan di permukaan dan pertengahan air, talang-talang turut meronda hingga ke dasar laut yang cetek.
Disebabkan talang-talang merupakan ikan pelagik atau pemangsa, maka ia turut boleh dipancing dengan menggunakan gewang tiruan dengan teknik casting, popping, trolling dan jigging. Untuk kepuasan sebenar memancing talang-talang disarankan menggunakan set peralatan ringan.
Biarpun talang-talang tidak memiliki gigi tajam seperti tenggiri atau alu-alu namun ia memiliki mulut atau bibir kasar yang boleh memutuskan tali perambut. Oleh yang demikian penggunaan perambut fluorocarbon adalah lebih baik berbanding perambut nylon atau monofilamen.
Sekiranya kawasan tersebut ada kewujudan tenggiri maka bolehlah guna perambut dawai sebagai insuran walaupun untuk memancing talang-talang.