
- Pallet 920 (saiz kecik) 1kg
- Santan 700ml/750ml
- Kelapa Parut Segenggam
- Perasa Esen / Pati buahan
CARA PEMBUATAN
Gaulkan pallet tadi dengan santan, apa² jenis santan pun boleh, lagi pekat santan tu, lagi lemak bau umpan tu, kalau campur dengan air pun boleh untuk kolam harian. jika guna essen, sebaiknya guna 750ml, jika gunakan pati yang dibeli atau pati buah²an yang tuan blend dan masak sendiri, sebaiknya guna 700ml, jika tidak, pallet akan jadi terlalu lembut dan sukar dikepal.
Setelah digaulkan pallet tadi, sampai betul² kembang (dlm 15-30min). Simpankan pallet tadi dlm bekas kedap udara selama dua hari. Selepas dua hari, gaulkan pallet bersama dengan segenggam kelapa parut dan gaulkan sekali dengan apa² jenis perasa yg tuan² mahu. Perapkan lagi sehari, dan umpan tuan sudah siap untuk digunakan.
PERASA
Jika gunakan esen Starbrand 3 tutup sudah memadai untuk 1kg pallet, atau jika menggunakan emulco dari kedai kek, boleh letak 5-10 tutup (bergantung kepada bau) bagi saya sendiri, saya lebih suka gunakan perasa dan pati yang diolah sendiri. Antara yang saya dan kawan² pernah gunakan:-
1.Tapai Ubi / Air Tapai pulut
2. Buah rosell
3. Buah durian
4. Buah durian belanda
5. Buah sukun + Mauripan (peram)
6. Barembang/Kedabu + ara
7. Pelam Kuini
8. Buah Nona
9. Pelam Bemban (peram)
10. Buah Kulim
Secara asasnya, umpan yang saya tulis di atas secara dasarnya ialah lemak dari santan, manakala kelapa parut ialah sebagai agen pemecah pallet sewaktu pallet berada dalam air, diperam untuk mengeluarkan sedikit MINYAK sebagai agen penyebar bau di dalam air dan sedikit bau MASAM dari santan. Manakala perasa adalah untuk menambahkan bau WANGI pada umpan atau utk melebihkan bau lemak atau masam.
Kenapa Perlu Tahu Tatacara Maintence Bot & Enjin

Bot dan enjin merupakan aset yang cukup bernilai bagi seorang pemancing ataupun nelayan. Nilainya boleh diibaratkan seperti kenderaan di atas jalan raya seperti motosikal dan juga kereta. Harga untuk memiliki bot dan enjin bukannya murah, semuanya ribuan ringgit. Lagi besar saiz dan kuasa kuda enjinnya, lagilah besar nilainya.
Bagi bot-bot yang berkuasa tinggi pula, pastinya ia mencecah angka RM50 ribu ke atas dan hinggalah ke ratusan ribu ringgit. Nilai dan harganya pula boleh beli rumah kalau di atas daratan. Di sebalik kegembiraan memiliki aset penting aspek penjagaan keselamatan perlu dititik beratkan. Justeru, bagi kaki pancing dan nelayan pesisir pantai perlulah peka terhadap aset yang dibeli, jangan sampai kena curi.
Bagi pengguna bot topper dan memiliki enjin bersaiz kecil yang mudah disimpan mungkin banyak kelebihan ketika simpanan apabila tidak digunakan. Bot boleh diangkat ke atas bumbung kereta pacuan empat roda ataupun kereta Datsun ‘tonggek’ lama. Enjinnya pula boleh dipikul di atas bahu. (Merujuk kepada bot bersaiz 13 kaki dan enjin 15 kuasa yang masih disimpankan ke darat).
Begitu juga dengan bot-bot yang mempunyai kemudahan trailer yang hanya diturunkan ke air sewaktu hendak digunakan. Kaedah menurunkan dan menaikkan bot dari air lebih mudah dan cara simpanan lebih selamat jika aspek keselamatan ditingkatkan. Namun tidak semua jeti di negara kita mempunyai kemudahan tempat menurunkan bot seperti luar negara.
Negara kita perlu mengiktiraf memancing sebagai sukan profesional dan menambah baik jeti supaya kemudahan untuk menurunkan dan menaikkan bot dibuat di semua lokasi memancing dibina. Tetapi bagi jeti yang tiada kemudahan menurunkan bot, penyimpanan di jeti adalah langkah terakhir.
Tetapi aspek keselamatan merangkumi kesemua perlu dititikberatkan contohnya jeti yang kukuh, kawasan jeti yang tidak berada di laut terbuka dan berombak. Jika tiang jeti diperbuat daripada kayu, ia hendaklah sentiasa dibuat penyelenggaraan berjadual untuk ketahanan jeti bagi jangka masa panjang sekiranya dibuat daripada kayu.
Kebiasaannya pengusaha-pengusaha jeti mempunyai persatuan dan ada juga yang tiada. Terdapat jeti yang dibina oleh kerajaan yang diberikan kepada nelayan namun tiada persatuan yang mengawal dan juga menjaga kebersihan persekitaran jeti. Ini memperlihatkan kelonggaran dari segi keselamatan bot-bot yang di letakkan di kawasan jeti.
Sebaiknya ditubuhkan satu persatuan bagi menjaga keselamatan bot. Ada jeti yang berpagar dan berkunci dan ada juga jeti yang tidak berpagar. Jika tidak berpagar, pemasangan lampu yang terang di sekitar jeti juga mampu mengelakkan kes kecurian.
Malah ada di kalangan pemancing dan juga nelayan mengajikan pekerja yang biasanya rakyat asing untuk menjaga kawasan jeti dan bot yang parking di jeti berkenaan. Walaupun ada pekerja, aspek keselamatan yang asas seperti memasang rantai keselamatan pada enjin bot dan mangga pada kunci pagar jeti mampu meningkatkan keselamatan bot atau enjin daripada dicuri.
Produk & Servis: Nikskiper, tekong padu candat sotong

Nama penuh: Mohd Khairulniza Ibrahim
Nama FB: Khairulniza Nik
Usia: 38
Port: Kuantan
UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
NIK: Mula memancing sejak dari kecil lagi iaitu seawal usia 6 tahun tetapi mula menjadi tekong pada awal 2009. Kiranya baru 10 tahun saya menjadi tekong secara rasmi.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
NIK: Saya memilih untuk menjadi tekong kerana berasa sesuai dengan diri yang memang suka memancing.
Disamping itu ia juga satu kerjaya yang mampu untuk menyara kehidupan untuk tempoh jangka masa panjang jika menjayakannya dengan baik.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong candat?
NIK: Pada pandangan saya, kriteria yang perlu ada pada seorang tekong candat ialah perlu tahu umpan yang menjadi pada masa dan tempat yang berkenaan dan juga tempat untuk parking di kawasan kandang sotong.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
NIK: Rintangan yang dihadapi paling besar adalah ancaman bot pukat tunda yang menceroboh kawasan kandang selain dari itu seperti biasa la rintangan cuaca yang kadang kala mambantutkan trip.
Harapan dalam meneruskan kerjaya dapat menyediakan bot yang lebih selesa untuk penyewa-penyewa.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
NIK: Pengalaman yang pahit semasa trip bot rosak di tengah laut dan ribut yang kuat. Trip yang manis apabila penyewa mendapat hasil yang penuh tong
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil pada trip anda?
NIK: Tip untuk memperoleh hasil yang lumayan pastikan tarikh untuk trip adalah hari yang terbaik sebaiknya selepas 3 hari bulan penuh.
Servis:
Pakej: candat dan bottom
Nama bot: Balok Evergreen
Saiz: 32kaki x 8kaki
Enjin: 200hp Yamaha 4stroke
Harga sewa: RM1,000.00
Jumlah pemancing: Max 6
Waktu memancing: 5.00 petang – 7.00 pagi
Lokasi memancing: Kuantan
Jeti: Balok, Kuantan, Pahang.
Trip Retro – Berpesta Di Lopak Sang Merah!!

Perjalanan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke destinasi pancing. Apa lagi, sebelum bertarung inilah masa untuk tidur mengumpul tenaga. Saya tersedar dari lena apabila terdengar bunyi bising berdesing lantas bergegas keluar dari dek bot. Rupa-rupanya bot telah pun parking berhampiran pelantar minyak Ang-C. Jam tangan menunjukkan angka 10.15 malam.
Selepas pekena roti dengan kopi panas sesi pertama kami bermula. Kaki bottom tercatuk di depan bangla masing-masing manakala jigger mula mengocak joran. Jig Eupro Zebra pendar cahaya 80 gram yang diunjun Rizal direntap ganas. Pertarungan yang memercikkan peluh menghasilkan cupak dalam anggaran berat lebih 4 kg. Mangsa hasil umpan besi pertama nyata telah membakar semangat kami semua.
Hirisan tongkol segar selebar tiga jari yang dihulur oleh Omar ke dasar terus bersambut. Tersenyum Omar sambil menunggu tali sulam Ichiban 80lb digulung kekili elektrik Command X4 NP. Mesin baru katakan, tentunya teruja untuk melihat apakah gerangan ikan yang bakal muncul di permukaan. Wah… seronok betul dia, ikan merah yang merasmikan bangla barunya.
Arus pada malam pertama nampaknya tidak memihak kepada kami. Tali yang tegak umpama tiang bendera memberi isyarat tiada arus dan penghuni dasar sudah pasti tidak bergerak aktif. Lantas Roy mencapai set jigging elektrik kecilnya dan menurunkan jig Madai 60 gram.
Dengan setting karauan laju, joran dihenjut-henjut dan beberapa saat kemudian joran menunduk tanda ada pemangsa yang membaham jig. Seekor cupak rempit berjaya didaratkan ke lantai bot. Malam itu Roy hanya menumpukan kepada jigging menggunakan bangla dengan hasil 15 ekor cupak berjaya dipindahkan dari perairan Ang-C ke tong Coleman.
Pagi hari pertama Tekong Pok Lan memecut laju ke spot ikan merah. Sebaik sampai hon dibunyikan sebagai isyarat pemancing sudah boleh melabuhkan umpan. Pantang jatuh sahaja hirisan kepingan sotong atau hirisan tongkol pasti ada merah yang melahap umpan.
Apabila batu ladung mencecah dasar, jari telunjuk mesti terus standby di sisi butang manual (batang sentap) kekili elektrik. Sentap balas mesti dilakukan secepat mungkin. Kalau lambat sedikit alamatnya melepaslah.
Suasana riuh-rendah di sebelah kiri dan kanan bot dengan suara pemancing yang bersorak keseronokan melayan strike. Air di sini tidak lah begitu dalam. Paparan skrin kekili menunjukkan angka 50-60 meter sahaja namun habuan yang naik boleh tahan saiznya.
Arus pula sederhana laju dengan saiz ladung 720 di hujung perambut menyaksikan tali utama kami dalam keadaan ‘condong lemang’. Sudah dikira cantiklah tu. Kalau arus laju sangat jawabnya ladung besar penumbuk kena beraksi.
Tanduk stainless steel panjang setengah depa yang saya bawa hanya tersimpan dalam beg joran. Penggunaan perambut apollo dua mata berkekuatan 60lb-80lb nampaknya cukup menjadi. Bukan merah sahaja yang terjerat. Kerapu, tambak, ibu kerisi, kerapu bara, tetanda, kaci dan jemuduk berjaya didaratkan. Bekerja keras nampaknya kekili Command X5 HS saya melayan asakkan penghuni dasaran Ang-C.
Apa yang menarik adalah kemunculan spesies ikan target yang menjadi sasaran saya secara peribadi iaitu ibu kerisi. Spesimen ini mendiami lautan dalam antara 50-200 meter dan ia tergolong dalam keluarga Lutjanidae bersama siakap merah, jenahak, delah dan ikan merah. Ikan ini lebih aktif memagut umpan disiang hari berbanding malam.
Syukur kerana sepanjang kami berada di lautan tiada hujan yang mencurah serta tiada angin kencang yang menerjah. Awak-awak bot Pok Lan juga ‘ringan tulang’ sentiasa sedia membantu menguraikan kekusutan apabila tali pancing tersangkut sesama sendiri, membantu melekatkan tanda pada ikan-ikan yang diperolehi (ikan tak kongsi) dan tidak ketinggalan masakan Chef Ganu yang umppph!