
Pada awalnya saya sangkakan tekong-tekong tuas Pulau Payar sekadar melawak. Iyalah, bila ditanya nak guna umpan apa pancing cencaru, mereka sepakat sekata menjawabnya… bulu.
Saya sebenarnya bukanlah tak pernah umpan tiruan yang diletakkan bulu itik sebagai aksesori untuk memperdaya ikan. Malah ada individu yang mengusahakan umpan bullet fly. Tapi tak pernah pula tengok sehelai bulu dan mata kail saja yang digunakan.
Untuk memuaskan hati saya, tekong tersebut sedia melakukan tutorial serta demontrasi. Dan saya memerhati dengan tekun. Beliau mengeluarkan sehelai bulu itik dari bekas pancingnya dan sebatang mata kail.
Kemudian dia ambil tali perambut dan tali perambut itu digunakan untuk mengikat mata kail bersama Perambut mata kail berbulu itik sepanjang sedepa itu kemudian disambung ke set pancing yang telah disiapkan dengan pemberat.
Mata kail berumpankan bulu ayam itu kemudian diturunkan ke air sehingga pemberat mencecah dasar lalu dikarau dengan kadar kelajuan yang agak tinggi juga.
Dan ia segera berhasil! Hanya dengan semudah itu cencaru serta alu-alu berjaya didaratkan.
Inovasi bulu
Melihat kepada kesan penggunaan bulu tersebut, saya segera menginovasikannya dengan meletakkan bulu ayam pada assist hook yang digunakan untuk jigging.
Terbukti ia adalah pendekatan yang cukup berkesan kerana bukan saja cencaru yang mengejarnya malah ikan-ikan pemangsa lain juga.
Pancaindera Hebat Pada Ikan!!

Pernah tak korang terfikir bagaimana ikan dapat menemui umpan yang dipasang pada mata kail dan memakannya? Adakah kerana ikan nampak umpan tersebut atau ada punca lain? Ini dia penjelasan bagaimana ikan menemui umpan korang.
Deria getaran
Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekornya. Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air. Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
Deria bau
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya. Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
Deria penglihatan
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air. Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna. Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa. Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghala penglihatannya ke atas. Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda.
Deria rasa
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan sukan. Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.
Spesifikasi & Peralatan Asas Teknik Jigging!!

Ikan makan besi! Itulah antara perkara pertama yang akan kita ingati bila bercerita perihal teknik jigging.
Boleh dikatakan teknik ini menjadi semakin popular di kalangan kaki pancing masa kini. Namun, masih ada juga yang tidak begitu arif mengenai teknik ini.
Jom kita kongsi beberapa info penting mengenai teknik jigging yang perlu anda ketahui. Dalam istilah jigging, terdapat 2 jenis kaedah untuk jigging, iaitu vertical jigging dan jig cast.
Vertical jigging
Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.
Jig cast
Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.
Joran
Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 5.5 hingga 6.5 kaki. Rod handle atau pemegang joran biasanya lebih panjang berbanding joran casting bagi tujuan menggayakannya lebih mudah.
Kekili
Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, kekili bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.
Saiz jig
Untuk menentukan saiz jig yang boleh anda gunakan, anda harus mengambil kira kedalaman air di lokasi memancing anda.
Misalnya, kedalaman 100kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100gm dan begitulah seterusnya. Senang cerita, jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Ini kerana pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar.
Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekali gus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.
Assist hook
Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig atau assist hooks. Ada banyak cara untuk membuatnya dan ia tidaklah sukar. Anda boleh rujuk dalam segmen DIY di laman sensawang Umpan.
Warna jig
Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.
Tali utama
Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.
Shock leader
Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba.
Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Mistik – Kompilasi pengalaman seram memancing

Berikut merupakan kompilasi kisah mistik yang berlaku kepada para pemancing yang dihidapi ketika memancing.
DITOLAK MASUK GAUNG
Pengalaman paling seram pada tahun 2015 kalau tak salah. Nak try pancing toman dengan baung dekat Empangan Talang, Kuala Pilah. Kami pergi tiga orang.
Semua semangat nak pergi. Macam-macam umpan kita orang bawak. Joran pun banyak kami bawak.
Lokasi sasaran terletak jauh ke dalam hutan. Tapi kami pergi naik motor. Rilek aje walaupun lampu motor den takdo.
Sebelum nak sampai empangan tu kena ikut laluan motor yang amat sempit. Sebelah kiri laluan tu pulak gaung.
So kami bertiga bergilirlah bawak motor lalu jalan tu. Keadaan gelap sikit sebab tau-tau sajalah suasana dalam hutan.
Dah nak senja pulak tu. Aku paling belakang… masa nak masuk lorong tu dah rasa macam sesuatu dah. Bulu tengkuk dah berdiri awal.
Kawan den yang dua orang tu macam takda akal bawak motor punya laju masa tu. Selepas tu den dengar bunyi riuh monyet. Memang pelik secara tiba-tiba monyet riuh.
Tatkala itulah den dapat rasa macam ada sesuatu tolak motor den dari tepi ke arah gaung. Den langsung tak boleh nak buat apa. Apa lagi, macam stuntman den jatuh dalam gaung tu…!
(Catatan pengalaman: Ahkmal Norshamudin)
JORAN DITARIK MASUK KOLAM
Kejadian berlaku di salah satu kolam kecil antara banyak kolam di padang golf Perangsang Templer Golf Club pada sekitar tahun 2000. Seperti biasa, padang golf akan tutup lebih kurang jam 12 malam selepas night golfing.
Saya masuk dalam padang golf dengan 2-3 biji kereta selepas meminta kebenaran daripada pengawal keselamatan.
Dalam padang golf tu, selepas dimatikan spot light, gelap gelita. Nasib baik ada jugak cahaya bintang. Kami bertujuh memancinglah.
Sekitar jam 3 pagi lebih kurang, tiba-tiba kami semua terhidu bau yang sangat busuk.
Tak tau bau apa, lain macam sangat rasanya, semakin lama semakin kuat baunya. Kami pun saling tengok muka masing-masing.
Semua macam deh kerut kening. Tahan bau pun ada, kerut kening rasa lain macam pun ya jugak. Ada kawan yang tarik pancing masuk dalam kereta dan yang lain buat tak reti mancing.
Tiba-tiba macam tak percaya joran kami satu per satu terjun dalam kolam tu. Tercengang kami semua campur berpeluh sebab rasa kali ni betul-betul lain macam.
Semua tak sempat capai joran, yang dah longgar drag pun terjun. Dalam 6 hingga7 terjun kolam dalam masa yang sama. Memang meremanglah bulu roma.
Kami semua terus cabut pancang besi, bungkus-bungkus apa yang patut, start kereta terus cabut.
Ada member yang mancing sama yang juga pekerja di golf club tu esok-esoknya demam menggigil… kikiki. Tak taulah apa bendanya dalam tu.
Lepas pada tu sampai sekarang tak nak lagi mancing malam kat sana. Saya punya rod Fenwick Duo 6’3″ dengan reel Daiwa BG kecik berkubur kat sana.
KENA SAKAT DI LOMBONG TINGGAL
Lokasi kejadian berlaku di lombong tinggal tepi jalan antara Bandar Tasik Selatan dan pekan Sg. Besi. Siapa ada perasan tempat tu?
Ada satu lombong besar dan satu lombong kecil. Sekarang mungkin dah buat pembangunan kawasan tu.
Grup aku ni tiga orang memang pantang jumpa spot mancing walaupun tempat tu kawasan larangan pasti kami redah.
Tapi nak start operasi mesti turun malam sebab boleh main redah.
Memang malam tu dah terasa tapi buat berani je. Member pulak buat hal nak kencing main tembak je. Nampak jelas lembaga putih tu berdiri belakang dia lepas buang hajat.
Apa lagi tak tunggu dengan dia sekali berterabur lari lintang pukang. Pancing entah ke mana selipar entah ke mana.
Dalam kereta diam seribu bahasa lidah kelu nak berkata. Nak ketawa pun ada bila ingat balik… tapi Tuhan je yang tahu macam mana kelajuan larian meredah semak samun waktu tu… haha.
(Catatan: Abd Halim)