Sekiranya tiada pertandingan memancing atau urusan lain pada hujung minggu, saya akan penuhkan cuti pada hujung minggu tersebut dengan mengadakan ujian umpan.
Sama ada berseorangan atau bersama kawan, saya akan pergi ke mana-mana kolam pancing, sungai, tasik atau lombong untuk menguji umpan yang saya adun sendiri atau mengubahsuai campuran umpan yang biasa digunakan.
Untuk kali ini saya cuba menguji campuran beberapa jenis umpan pemberian rakan pemancing seperti umpan Patin Jitra, perisa pandan kelapa Original dan beberapa bahan lain untuk digunakan bersama pelet atau dedak biji.
Setelah mencampurkan kesemua bahan dengan sukatan tertentu, bagi mengepal pelet yang sudah sebati dengan umpan pada mata kail, saya gunakan pam silikon yang diubai untuk kegunaan memancing yang lebih dikenali sebagai ‘dedak pam’.
Ads
Selain nak menguji tahap keberkesan umpan, saya juga nak uji kesesuaian pallet dengan penggunaan dedak pam.
Dan untuk menguji kesemuanya ini saya ke Rantau Eco Park yang terdapat kolam pancing dan lombong panjang yang digunakan untuk pertandingan memancing.
Ads
Fasa pertama yang diuji adalah tahap keliatan pelet yang telah dipam. Pelet tidak boleh terlalu liat dan tidak boleh juga terlalu berderai.
Oleh itu kandungan air yang digunakan perlu disukat dengan tepat. Setelah beberapa kepalan dan balingan barulah dapat sukatan yang tepat.
Barulah ada pelet yang terlekat pada mata kail disambar ikan. Bila ada ikan yang makan bermakna umpan yang diuji sudah lulus.
Ads
Mungkin disebabkan lokasi ujian umpan ini didominasi oleh tilapia dan beberapa jenis ikan lain yang terlebih dahulu mengambil umpan, maka ikan sasaran iaitu patin gagal diperoleh.
Walau pun gagal memperoleh patin, sesi ujian umpan yang saya namakan pelet pam ini bolehlah dianggap sebagai sukses.
Ia akan saya gunakan di lain lokasi untuk mencari sasaran sebenar iaitu patin. Apabila ia berjaya mendaratkan patin maka barulah umpan ini boleh diguna pakai untuk menyertai pertandingan memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Berikutan kejadian samun yang turut menyebabkan kematian pemancing baru-baru ini, di sini kami terpanggil untuk berkongsi beberapa panduan atau tip bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anda.
Survey dulu
Jangan terus memancing apabila menemui sesebuah padang pancing yang belum pernah anda pancing sebelumnya. Apatah lagi jika di lokasi tersebut tidak kelihatan pemancing lain yang memancing di tempat tersebut.
Berteman
Seboleh-bolehnya jangan memancing secara bersendirian walaupun di lokasi yang biasa anda pancing dan dianggap kawasan selamat.
Kawasan terpencil
Elakkan dari memancing di kawasan terpencil atau terlindung dari pandangan orang walaupun di lokasi tersebut ada pemancing lain yang memancing, namun pemancing lain tidak dapat melihat kedudukan anda di kawasan tersebut.
Parkir
Jika boleh, pilihlah spot memancing yang tidak jauh dari tempat anda memarkir kenderaan. Dalam pada masa yang sama anda turut dapat memantau status keselamatan kenderaan juga.
Waktu malam
Elakkan memancing waktu-waktu sunyi seperti tengah malam atau terlalu awal pagi serta ketika tidak pemancing lain yang memancing pada waktu tersebut.
Berseorangan
Sebaiknya juga jangan memancing terlalu jauh dengan pemancing lain walaupun hanya memancing di kolam berbayar. Ini kerana kejadian samun turut berlaku di lokasi memancing seperti ini.
Senjata
Bawa senjata untuk mempertahankan diri terutamanya jika memancing di kawasan yang berisiko atau terdedah kepada sebarang aktiviti jenayah.
Pantau
Jangan terlalu fokus terhadap memancing dan mengabaikan sebarang aktiviti berhampiran terutamanya kehadiran seseorang yang mencurigakan. Apatah lagi seseorang yang tidak kelihatan seperti seorang pemancing.
Selekeh
Jangan kelihatan terlalu mewah ketika memancing kerana secara tidak langsung sebenarnya ia mengundang untuk disamun. Biarlah kelihatan selekeh kerana penampilan tersebut lebih selamat.
Dokumen
Bawa dokumen dan barangan yang penting sahaja ketika memancing. Jika perlu pisah-pisahkan barangan dan dokumen tersebut. Jangan simpan kesemuanya dalam dompet.
Ingat wajah
Sekiranya anda berhadapan dengan situasi samun, sebaiknya jangan melawan sekiranya anda tidak yakin mampu menewaskannya. Sebaiknya imbas rupa paras dan penampilan penjenayah tersebut supaya senang untuk membuat laporan polis.
Selain peralatan memancing, salah satu peralatan lain yang wajib pemancing ambil tahu adalah pemegang joran atau rod holder pada sebuah bot atau sampan sebelum turun memancing khususnya untuk trip pancingan dasar.
Tidak kira muara atau laut dalam, kemudahan ini dianggap satu bonus kepada pemancing kerana ia memudahkan tugas-tugas memancing tanpa perlu memegang joran sepanjang masa.
Salah satu kegunaan lainnya adalah sebagai platform untuk meletakkan joran ketika tidak digunakan dan bagi kaki bottom, jika ia tiada, memang satu masalah besar.
Tidak mungkin kaki pancing mahu memegangnya sepanjang masa atau menyandarkan pada birai bot.
Tetapi apakah kita tahu kekuatan dan ketahanan sesuatu pemegang rod yang berada di bot itu mampu memegang joran apabila disentap ikan ataupun digunakan semasa menunda gewang apabila bot bergerak?
Tiada skala pengukur ketahanan bagi sesebuah pemegang rod yang mudah alih ataupun tersedia di bot.
Ia hanya boleh dinilai dari mata kasar dari segi material dan kedudukan pemegang rod ini.
Terdapat pelbagai jenis pemegang rod. Ada yang diperbuat daripada stainless steel, paip pvc, paip besi ataupun yang telah disiapkan dalam membentuk sampan menggunakan gentian kaca atau fiber.
Sebagai pemancing sebaiknya kita memeriksa terlebih dahulu pemegang rod ini sebelum meletakkan joran bagi tujuan simpanan, tundaan atau semasa menggunakan teknik bottom.
Teliti bahagian sokongan kepada dinding bot sama ada ia kuat dan mampu bertahan apabila bot menempuh perjalanan atau terkena sesuatu yang boleh menjejaskan pemegang joran.
Bagi sampan atau bot pemancing yang tiada kelengkapan ini dinasihatkan untuk menyediakan pemegang joran agar keselesaan pemancing terjaga semasa melakukan
aktiviti memancing dan juga keselamatan lebih terjamin berbanding rod yang diletakkan berselerak di atas lantai.
Kedalaman sesebuah pemegang joran juga perlu dilihat sebagai salah satu aspek keselamatan agar ia tidak terkeluar daripada kedudukan asal.
Tapi jika ia terlalu dalam kerana sukar untuk dikeluarkan semasa ikan meragut umpan atau ketika hendak mengeluarkannya daripada pemegang rod.
Walau di mana kedudukannya sudah pasti ia peralatan yang wajib ada pada setiap bot dan bagi pemancing laut dalam pemegang rod mudah alih adalah salah satu alat yang perlu dibawa ketika turun memancing.
Memancing udang galah boleh dilakukan dari tebing atau menggunakan sampan atau bot. Tetapi bagi saya, pancingan dari bot lebih sesuai kerana anda boleh bertukar lokasi sekiranya di satu-satu lokasi itu ‘senyap’ tiada sebarang getuan.
Untuk pancingan bot fiber menggunakan enjin 5-8 kuasa kuda, memadai hanya 2-3 orang sahaja dalam satu bot. Ini bagi membolehkan seorang itu memasang lebih dari 2 pancing setiap orang.
Selepas umpan dihulurkan, perhatikan setiap hujung joran. Ketika ini, tali harus sentiasa tegang. Bila sahaja ada getuan, sentap dengan lembut dengan cara mengangkat tinggi joran anda, bagi memudahkan mata kail tertancap kemas di mulut udang.
Terdapat juga kaki pancing yang ‘merasuah’ terlebih dahulu udang galah iaitu datang berkumpul di bawah bot dengan cara menebuk tin sardin, makanan kucing (jenis basah) dan menggantungnya di bawah bot.
Dengan cara ini, udang akan tertarik dan berkumpul dek kerana bau dari tin yang ditebuk ini. Pemancing akan menghulurkan sahaja pancing di bawah bot.
Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa. Caranya selepas 5 minit umpan dilabuhkan dan tidak ada sebarang isyarat, joran perlu diangkat untuk memastikan sama ada ia tersangkut atau pun sudah memperolehi udang.
Jadi kenalah rajin selalu. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain.
Sebaiknya umpan perlulah divariasikan dengan melontar joran dalam kedudukan berbeza iaitu balingan jauh, tepi, depan, belakang dan juga di bawah bot.
FAHAMI GETUAN UDANG GALAH
Perlu diingat, memancing udang galah ada kalanya tidak mendapat respon seperti mana anda memancing ikan.
Kadang-kadang memakan umpan tanpa menunjukkan sebarang gerakan. Ada juga yang menyambar dengan kasar seperti ikan.
Bahkan ada yang menarik umpan dengan keadaan separuh malu. Apa yang perlu ada ketahui lagi ialah, sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Jangan terkejut, kononnya bila anda mahu melihat sama ada umpan ada atau tidak, ketika separuh karauan kekili dilakukan, tiba-tiba sahaja hujung rod anda digetu kuat isyarat sang jenggo telah menelan umpan anda.
SEWA BOT
Kebanyakan spot memancing terkenal di negara kita memang ada menyediakan khidmat sewaan (harga cukup berpatutan) bot dan enjin, bot sahaja (enjin sendiri).
Hanya perlu bawa sendiri bot berkenaan. Jika anda masih baru dalam hobi ini, tanyalah dan berkenalanlah dengan mereka yang arif dan pakar memancing udang galah.
SOAL KESELAMATAN
Walaupun memancing udang galah dianggap tidak terlalu mencabar, soal keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan.
Pakailah jaket keselamatan ketika berada di dalam bot. Begitu juga dengan pendayung yang perlu sentiasa ada di dalam bot.
Untuk pengetahuan, pancingan udang galah pada waktu malam sebenarnya lebih galak, namun memerlukan lebih ketelitian kerana pada malam hari pandangan mata amat terhad. Selain lampu suluh, parang juga hendaklah sentiasa dibawa.
Serangan nyamuk dan agas, perkara yang perlu anda hadapi, gunakan losyen penghalau nyamuk, ubat nyamuk, baju lengan panjang, lampu kepala, baju hujan dan sebagainya.
Memancing pada malam hari juga terdedah dengan binatang berbisa seperti ular. Berhati-hati jika anda memancing di bawah pokok. Sebaiknya jika lokasi memancing udang galah itu agak berbahaya, jauh dari penempatan, sebaiknya batalkan hasrat anda.
Memancing udang galah juga tidak terlepas daripada gangguan seperti umpan terlebih dahulu dimakan oleh anak-anak ikan. Sila berhati-hati melepaskan mata kail jika umpan terkena ikan yang berduri tajam. Jika terkena ular air, potong sahaja perambut tersebut.
PERINGATAN
Bercakap soal udang galah, tidak dinafikan memang terdapat hubungannya dengan reptilia bergelar sang buaya.
Apa yang penting ketika berada di dalam bot, mulut jangan cabul. Begitu juga dengan mata dan telinga perlu sentiasa peka memandang dan mendengar keadaan sekeliling.
Dalam soal memancing, soal semangat setia kawan hendaklah diutamakan. Sentiasa muhasabah diri dan bersyukur dengan rezeki pemberian Allah.
Jika anda memancing secara berseorangan atau berdua, maklumkanlah pemergian anda kepada keluarga. Jika trip ramai-ramai bersama rakan, patuhilah arahan ketua yang dilantik.
Untuk pemancing baru, jangan segan minta tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dan kaki pancing yang sudah biasa janganlah lokek memberi tunjuk ajar dan nasihat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...