Trip memancing ke perairan Beting Patinggi Ali atau Lucornia di Sarawak ini lebih menjurus kepada menyasarkan ikan kertang dan ruby snapper melalui teknik pancingan dasar, maka peralatan bottom yang diberi keutamaan. Peralatan jigging sekadar untuk ringan saja yang dibawa dengan beberapa ketul jig ringan.

 

Dalam perjalanan ke lubuk seterusnya pada malam kedua, tekong singgah sebentar di suatu kawasan untuk membolehkan kami berjigging. Namun tujuan sebenar adalah untuk menambah stok umpan segar terutamanya ikan-ikan aya atau tongkol.

 

Melakukan teknik fast jigging pada kedalaman 80 hingga 100 meter di perairan berkedalaman sehingga 200 meter, dengan menggunakan jig seberat 60 hingga 100 gm, semata-mata untuk mencari ikan umpan memerlukan motivasi yang tinggi.

 

Trip Throwback – Tuna Cendol Di Lucornia

 

Tidak sampai sepuluh pusingan berjigging bagai nak tercabut lengan, saya mengangkat bendera putih. Memandangkan ada di antara ahli trip yang tidak memiliki peralatan jigging maka saya beri peluang kepada mereka pula.

 

Saya mengambil keputusan untuk membersihkan tubuh dan berehat di dalam kabin. Dapat melelapkan mata buat seketika pun bagus juga.

 

Belum pun sempat melelapkan mata, kedengaran kekecohan mereka strike ikan dan kedengaran nama saya diseru keluar. Sejurus keluar, kelihatan beberapa ekor ikan aya bergelimpangan di atas dek dan beberapa ahli trip sedang rancak berjigging dan mengepam joran. Apabila melihat ada ahli trip berjaya mendaratkan aya sirip kuning, saya segera mengambil kamera untuk merakam foto.

 

Trip Throwback – Tuna Cendol Di Lucornia

 

Dalam pada merakam foto itu berdetik juga dalam hati rasa kesal kerana terlalu cepat menyerah kalah. Tambah geram bila melihat aya sirip kuning itu dinaikkan oleh rakan yang menggunakan set pancing saya. Walaupun masih bersaiz juvenil, ia tetap bergelar aya sirip kuning yang mana saya sendiri pun belum peroleh lesen!

 

Selain aya sirip kuning tunggal, aya-aya lain yang didaratkan ialah aya kurip dan satu lagi spesies aya yang belum pernah juga saya daratkan iaitu aya budak atau dogtooth tuna. Saiznya tidaklah besar sekitar 1-2 kg saja, tapi di Semenanjung mana nak jumpa aya spesies itu. Dan ia begitu mudah pula diperoleh sehingga ada ahli trip yang berjaya mendaratkan dua ekor aya budak pada satu jig.

 

Trip Throwback – Tuna Cendol Di Lucornia

 

Mungkin memahami perasaan saya ketika itu, selepas mendaratkan seekor lagi aya budak juvenil, rakan yang menggunakan set pancing saya itu menyerahkan kembali set pancing itu kepada saya. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa berlengah lagi saya terus menyambutnya dengan senyum lebar.

 

Bila ikan dah banyak, tak perlu berpenat lelah mengunjun joran pun boleh dapat ikan. Sejurus jig memasuki kedalaman 70-80 meter, terus ada pemangsa yang menyambar. Harapan saya tentu saja aya sirip kuning yang mengena. Tetapi yang berjaya didaratkan ternyata aya budak juvenil. Tak mengapalah… sekurang-kurangnya sudah ada lesen.

 

Trip Throwback – Tuna Cendol Di Lucornia

 

Selepas 3 ekor aya budak juvenil berjaya saya naikkan, gerombolan aya tersebut mula menghilang. Tidak pasti pula sama ada bot hanyut keluar dari lubuk atau gerombolan ikan yang beredar ke kawasan, suasana kembali sebagaimana waktu awalan saya berjigging tadi.

 

Menyedari keadaan itu, tekong mengambil keputusan untuk bergerak ke lubuk kertang dan ruby snapper dan kami pula bergerak ke kabin untuk melelapkan mata buat seketika. Dan saya pula masih tidak dapat melelapkan mata kerana terlepas peluang untuk memperoleh lesen aya sirip kuning.

 

Trip Throwback – Tuna Cendol Di Lucornia

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI