Nak memancing sambil meluangkan masa dengan anak bini? Tok Mat Glamping adalah port yang terbaik untuk memancing dan anak bini tak bising. Malah diorang pun boleh buat aktiviti lain. Jadi takdelah boring dan jemu tengok korang memancing. Nak berehat santai sambil pacak dan menikmati keindahan dan kedamaian suasana kampung di tepian tasik, memang ngam sangatlah port ni.
Macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan kat sini secara percuma antaranya mandi manda di kolam dan tasik, ada kolam kanak-kolam dan dewasa. Aktiviti berkayak di tasik, berbasikal, makan buah-buahan fresh dari kebun seperti durian, berkaraoke, bbq ikan fresh hasil tangkapan, pingpong, carom dan pelbagai jenis permainan minda.
Untuk memancing, ada kolam pancing dan tasik yang terbentang. Boleh memancing 24 jam non-stop tanpa caj, ikan hasil tangkapan boleh masak atau bakar terus kat situ dan juga boleh dibawa balik. Itu pun percuma untuk korang!
Ads
Antara spesies yang ada patin, tongsan sisik kasar, rohu,lampam dan lain-lain. Yang minat melampam memang heaven la sini sebab lampam dia saiz-saiz idaman. Ada juga ikan tilapia merah and the best part udang galah pun ada!
Kat sini undang-undang kolam tak terpakai. Korang boleh bawa perambut sebanyak mana mata yang nak pakai. Bom spring 6 mata pun boleh.
Ads
Yang belum ada idea nak pakai umpan apa kat situ, perkongsian dari brader-brader yang dah mancing kat sini. Perisa strawberry antara fevret ikan-ikan di sini. Kalau nak mancing ikan sisik atau patin boleh try resepi umpan ni:
Dedak ayam kuning halus
Tepung gandum untuk ikat adunan supaya senang nak kepal
Dedak strawberi (Pakai 1/2 dari sukatan dedak ayam kuning tadi)
Perisa strawberi starbrand (pakai 2,3 penutup sahaja ikut sukatan bancuhan, boleh tambah sedikit demi sedikit kalau kurang harum, walaupun dah ada dedak strawberry tu, bau flavor ni penting tuk tarik ikan makan)
Kepal je kat mata kail dan spring, kalau kurang kukuh kat mata kail, boleh tambah dedak strawbery dan tepung sedikit demi sedikit. Tongsan sisik kasar, patin, dan lampam suka umpan ni
Mancing kat sini, sila bawak set masing-masing atau boleh sewa dengan kadar RM10/day.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut boleh search Facebook Tokmat Glamping
Lokasi: Kg Kepayang, Ipoh, Perak.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Lazimnya apabila pulang bercuti di kampung halaman di Terengganu, terutamanya cuti perayaan, akan pastikan peralatan memancing tidak ketinggalan. Kebiasaannya juga peralatan memancing tersebut tidak terusik sehinggalah kembali ke Lembah Kelang. Sebaliknya bila tidak membawa sebarang peralatan, tatkala itulah ada rakan yang pelawa sertai trip memancing.
Lama juga saya meminta ruang untuk berfikir. Meskipun diberi jaminan segala peralatan akan dibekalkan namun kepuasan menggunakan peralatan sendiri biarpun harganya lebih murah berbanding peralatan pinjam. Hanya setelah mendapat tahu trip ini akan disertai oleh Asri dan Nafiez, dua orang pemancing tenggiri handalan di Dungun, saya berusaha juga mencari sedikit kelengkapan untuk jigging tenggiri bagi menyertai trip tersebut.
Trip jigging di luar perairan taman laut Pulau Tenggol, Dungun ini lebih kepada sesi ulangan trip hampir setahun yang lalu. Bezanya cuma pada ahli trip. Saya, Tamizam dan Nahar (pemilik bot) adalah ahli trip asal manakala Asri, Nafiez dan Aiman pula ahli baru menggantikan tiga ahli lama. Pada trip yang lalu kami gagal mendaratkan tenggiri berikutan lubuk-lubuk berpotensi lebih banyak didiami saudara rapatnya bergigi tajam, alu-alu.
Trip bermula agak lewat berikutan mengalami sedikit masalah teknikal berkaitan dengan bateri bot namun sesi memancing bermula dengan agak memberangsangkan. Di lubuk kedua, Nafiez membuktikan kehandalannya apabila berjaya menewaskan seekor pemangsa. Namun ia bukanlah ikan sasaran sebaliknya seekor alu-alu yang kurang dialu-alukan kehadirannya.
Tidak lama berselang, Aiman selaku pendatang baru dalam dunia hanyir ini membuktikan pengalaman sahaja tidak cukup untuk memperoleh tenggiri. Kalau sudah bukan rezeki, strike banyak kali pun belum tentu berjaya mendaratkannya.
Begitulah yang dialami oleh kami yang lain beberapa kali berhadapan dengan kekecewaan tewas ketika sedang bertarung. Macam-macam rintangan yang dihadapi dan bukan sedikit jig yang terkorban termasuklah yang tersangkut pada unjam atau bangkai kapal.
Setelah Nafiez berjaya juga mendaratkan seekor lagi tenggiri, lubuk-lubuk lain yang digeledah seperti ketiadaan tenggiri. Berikutan cuaca berangin semenjak dari pagi malah kian menderu pada waktu petang yang menyulitkan situasi untuk memancing dengan selesa, mahu tak mahu terpaksalah tempoh memancing dipendekkan. Biarpun tidak banyak tenggiri yang berjaya ditewaskan, namun kami berenam semuanya berjaya pulang dengan selamat dan bebas dari membangau.
Keindahan Krabi tidak dapat disangkal lagi. Bagi yang pertama kali menjejak kaki ke sini memang sangat teruja. Keramahan penduduknya membuatkan kami terpaut hati untuk datang semula. Keindahan flora dan fauna di sekitar pantainya sungguh mendamaikan.
Sampai di jeti, tekong Sayan telah siap sedia menunggu kami bersama krew-krewnya Cheng dan Drogba. Apa yang menarik, pelbagai jenis teknik pancingan dapat dipraktikkan di lubuk-lubuk sekitar Laut Andaman ini.
Jigging, popping, trolling, drifting atau bottom, semuanya boleh belaka. Namun hasil perbincangan dengan tekong bot, satu resolusi telah dikeluarkan dengan teknik pancingan bottom pada siang hari manakala jigging pula pada waktu malam.
Keluar sahaja dari muka kuala kami terus melakukan trolling. Dua rod di kiri dan kanan dilengkapi set menunda Penn International serta Shimano Tiagra segera diturunkan dengan Rapala Redhead CD18 dan John Killers skirt.
Di tengah-tengahnya pula kami menunda bulu untuk mencari umpan tongkol segar. Bagi ikan pemangsa seperti tenggiri, wahoo dan tuna memang pantang melihat objek bergerak pasti disambarnya seolah-olah sedang kelaparan. Tundalah apa sahaja umpan tiruan pasti akan mengena.
Menurut tekong, stok ikan-ikan di sini sentiasa banyak tetapi bergantung juga kepada musim-musim tertentu. Spesies wahoo dan tuna banyak pada bulan Oktober hingga Disember. Spesies lain seperti ebek, cupak dan gerepoh juga banyak ketika itu.
Spot pertama kami di kawasan unjam yang dalam untuk aksi jigging. Biasanya banyak gerepoh dan tuna mengejar anak-anak ikan pada waktu senja. Ketika itulah sang gerepoh dan tuna keluar memburu mangsa. Rezeki kami memang banyak di sini. Bertalu-talu gerepoh dan tuna menyerang tanpa henti. Cuma saiznya sahaja kurang memberansangkan buat kali ini.
Basri, Rustam dan Faisol memang expert bermain jig di unjam seperti ini. Antaranya jig kegemaran mereka seperti Shimano, Shout, Runaway, Evergreen, Williamson, Ima Gun dan entah bermacam-macam nama lagi.
Saya pula lebih syok menggunakan jig murah White Rabbit, Siam Spoon dan Jig Raider yang berkilat berikutan trip yang lalu mendapat banyak sambaran rakus tuna dan gerepoh bagak.
Hari semakin gelap. Acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya masih belum memuaskan hati. Hairan juga entah ke mana monster-monster perairan Andaman ni. Masing-masing merungut tetapi masih tetap berjigging tanpa henti. Kami semakin resah dan geram apabila tekong menayangkan foto tuna dan gerepoh bagak milik pemancing Jepun pada trip yang lepas.
Tekong segera berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Mengikut jadual, pagi-pagi esok kami perlu sampai di spot bottom jadi kami perlulah jigging sepuas-puasnya. Nampaknya spot ini tidak kurang hebatnya. Bertalu-talu cupak menyerang tanpa henti berselang-seli dengan sambaran ikan pisang.
Walaupun saiz cupak kurang membanggakan tetapi kerana kegelojohan gerombolannya menyerang membuatkan kami begitu enjoy. Kehadiran cupak yang banyak membantut usaha memerangkap gerepoh dan tuna.
Memang cupak lebih cepat menyambar jig sebelum gerepoh mengintai kelibat besi jig yang di unjun. Tapi itulah, memancing ni bukan boleh memilih sangat. Apa yang ada bedal saja.
Hari semakin larut namun acara jigging terus rancak berlangsung. Pelbagai jenis tuna dapat ditewaskan tetapi saiznya hanya boleh tahan. Awak-awak segera menyimpannya untuk dijadikan umpan pancingan dasar keesokan harinya. Aya kurik dan tuna skipjack bolehlah dijadikan umpan untuk ruby snapper dan kertang hitam.
Namun anak-anak dogtooth tuna dan yellowfin tuna kami korbankan malam itu juga. Spesies mahal macam ni takkan la nak dibuat umpan juga. Buat umpan perut lagi bagus dan berwasabilah kami sepuas-puasnya malam itu.
Pada keesokan harinya kami telah bersedia di lubuk dalam mencecah hampir 200 meter untuk sesi pancingan suka ramai. Masing-masing sudah ready dengan mesin bangla pelbagai jenis dan kekuatan antaranya Daiwa Tanacom Bull, Daiwa Megatwin, Shimano Tankenmaru, Banax Kaigen di samping Command X4 hinggalah ke Command X8.
Jelas kelihatan di skrin menunjukkan kedalamannya antara 150 hingga 220 meter. Menurut tekong, ruby snapper hanya menghuni lubuk-lubuk yang dalam dan sejuk. Selain itu terdapat juga kertang hitam menghuni lubuk yang sama. Manalah tahu, untung-untung kedua-dua spesies mahal ini berjaya didaratkan.
Setelah siren dibunyikan umpan terus dihulurkan laju ke bawah. Sekejap sahaja kami dihiburkan dengan asakan bertali arus daripada mangsa di bawah. Masing-masing bersorak apabila ruby snapper pertama mula menjamah umpan. Penggunaan kekili elektrik memudahkan lagi kerja-kerja ini.
Tekong dan awak-awak pula tidak kurang hebatnya apabila berjaya menaikkan beberapa ruby snapper di hadapan bot. Umpan sotong segar dan tongkol yang masih berdarah memang cepat menarik perhatian si ruby snapper.
Setelah tiga malam di perairan Andaman, ternyata masing-masing berpuas hati dapat memancing pelbagai spesies mahal terutama kepada yang mencapai target untuk menawan spesies idaman. Bagi kaki bottom kali ini lebih bagus berbanding dengan hasil jigging.
Setelah menyempurnakan setiap pertandingan memancing pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya, kolam pancing Seri Bayu Tekala yang merupakan kolam pancing air tawar terbesar tanah air kembali meneruskan kesinambungan cabaran memancing dengan menganjurkan Cabaran Buka Tirai 2018.
Cabaran Buka Tirai yang akan dilangsungkan Kolam Pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih pada 28 Januari ini (Ahad) menawarkan lebih RM90,000 sebagai ganjaran tunai.
Sebanyak RM45,000 menanti juara Cabaran Buka Tirai, RM11,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM5,000 bagi podium ketiga. Manakala RM 1,000 untuk tempat ke-4, RM500 bagi tempat ke-5, RM400 bagi tempat ke-6, manakala tempat ke-7 hingga ke-10 memperolehi RM300. Tempat ke-11 hingga ke-100 pula membawa pulang RM200 dan ke-101 hingga ke-150 yang merupakan tempat terakhir memperoleh RM150. Dan kesemua hadiah yang ditawarkan mengekalkan konsep sapu bersih.
Selain itu ganjaran tunai turut ditawarkan bagi kategori hadiah khas tongsan sisik halus dan patin Chao Phraya dengan menawarkan hadiah RM300 bagi tempat pertama dan RM200 untuk tempat kedua.
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan dua buah televisyen LED berjenama dan 10 unit kekili berjenama Shimano bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza.
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu (27 Januari) nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal. Manakala sesi pelepasan pancang atau merebut tempat akan dilangsungkan pada jam 5.00 petang hari yang sama. Dan keenam-enam kolam yang ada akan dibuka bagi Cabaran Buka Tirai 2018 Seri Bayu Tekala ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...